Tuesday, February 16, 2016

SURI AZZAHRA




Alhamdulillah setelah sekian lama menyepi, hari ini terpanggil untuk berkongsikan cerita sekecil molek, Suri Azzahra yang manis, cucunda yang kelima. Lama sudah kami menantikan puteri kami Fatin Zahirah yang dikasihi, dengan pasangannya yang dicintai, anakanda Mohamad Shazlee,  dikurniakan zuriat selepas lebih setahun mendirikan rumah tangga. Sungguh telah ditakdirkan Allah yang maha pengasih, liku-liku yang pelbagai bagi kedua-dua anakanda tercinta itu. Selepas sebulan berkahwin, dek kerana tugasnya dia tidak dapat bersama dengan suaminya yang tercinta. Seorang di Scotland, dan seorang terpaksa menghabiskan 'housemanship' di Alor Setar. Jadilah mereka pasangan di alam maya, setiap hari cuma dapat bersama melalui 'skype' yang dapat menghubungkan kasih sayang dan rindu yang mendalam antara mereka. Namun alhamdulillah, Allah menjadikan mereka orang yang sabar dan redha. Segalanya dapat dilalui dengan tenang adanya. Tamat saja tempoh 'housemanship' puteriku terbang ke Scotland. Seluruh keluarga amat berasa gembira bagi pihak mereka yang sudah lama tidak bersama. Diam-diam semua kami mendoakan supaya mereka dikurniakan cahaya mata, buat penyeri keluarga. Lama kami menunggu, akhirnya Allah yang  maha pemurah mengurniakan  kepada puteriku dan suaminya, seorang puteri, yang kami namakan Suri Azzahra.

Kami amat bersyukur kerana Allah yang maha berkuasa mengaturkan segalanya. Kedatangan Suri memang sungguh dipermudahkan. Ibunya mula mengalami contraction bermula awal petang, tapi masih boleh lagi dia keluar ke Aman Central, dan mengunjungi Gunung Keriang bersama kakaknya. Selepas maghrib barulah sakitnya mula terasa lebih kerap. Maka kami bersedia untuk membawanya ke Hospital SB. Sedang merasai contraction puteri kami yang cekal kelihatan sabar dan tenang, dan dia masih boleh bercerita itu ini pula. Lebih kurang Jam 10 malam dia sudah dimasukkan ke Wad Bersalin, dan selepas itu pada  jam 10.30 malam, dia sudah ditolak masuk ke bilik bersalin.   Barangkali itulah berkatnya membaca 3 Qul semuanya lancar, aturan Yang Maha Pengasih untuk umatnya.

Oleh sebab anakanda Shazlee belum sempat tiba lagi,  maka Allah telah takdirkan aku dapat bersama puteriku semasa menunggu kelahiran bayi sulungnya itu. Tiada lain yang dapat kulakukan melainkan hanya bermohon kepadaNya supaya dipercepatkan dan dipermudahkan kelahiran cucu kami itu. Alhamdulillah dengan izinNya jua Suri selamat dilahirkan dengan selamat sejahteraya pada jam 12.20 pagi 27 Oktober 2015. Air mata gembira mengalir tanpa henti, syukur alhamdulillah ibu dan anak kedua-duanya selamat -  tiada sebarang masalah dan komplikasi, begitulah  adanya yang telah ditakdirkan untuk kami.

Ruang legar Hospital menjadi tempat kami meraikan kegembiraan, dan menikmati suasana penuh syukur menyambut orang baru bagi keluargaku dan keluarga Shazlee. Kedua-dua orang tuanya telah sejak seawal pukul sepuluh malam lagi,  telah bersama-sama kami menanti ketibaan orang baru dengan penuh doa dan harapan. Tidak kami hiraukan kedinginan malam bercampur-baur dinginnya penghawa dingin di situ. Kami cuma berharap, menanti, dan berdoa dengan penuh yakin semuanya akan selamat jua hendaknya. Alhamdulillah  kedua-dua keluarga sama-sama berada di hospital menyambut kelahiran Suri. Bayi seberat 2.6 kg itu mendatangi kami di awal pagi, menambahkan lagi jumlah anggota keluaga kedua belah pihak, menyerikan lagi  dan menyemarakkan lagi ikatan kasih sayang yang telah terikat dan terpadu sejak sekian lama.  Syukur padaMu ya Allah. Engkau maha pengasih, Engakau maha penyayang, dan Engkaulah yang mentakdirkan segalanya. Ya Allah semoga Engkau jadikan Suri cucu kami ini, anak yang solehah, anak yang berbakti kepada kedua orang tuanya dan berbakti juga kepada masyarakat dan agamanya, insyaaAllah. Dan yang paling  kami harapkan dariMu ya Allah Suri menjadi  anak yang Engkau takdirkan menjadi seorang insan yang sentiasa patuh dan taat kepadaMu ya Allah ya Robbalaalamiin. Amin ya Allah.







No comments:

Post a Comment