Tuesday, September 8, 2015

YANG SUKAR DILUPAKAN



Lama sudah tidak menulis.Tiba-tiba teringat seorang rakan, dan seorang teman seperjuangan yang sungguh sangat dikagumi. Orang yang kuat bekerja akan menyenanginya. Orang yang komited akan  meniru dan mengunggulinya. Jika tiada akan terasa ketiadaanya. Jika bercakap akan dirasai tepat, ringkas dan padat buah butirannya. Jika menulis akan terasa tertusuk ke sanubari lontaran idea-idea yang bernas dengan bahasa yang sudah pastinya, elok lenggok susunan ayatnya, dan  pemilihan perkataannya menepati tema yang ingin disampaikan. Lontaran idea pada setiap masa pun, sentiasa sesuai dengan matlamat. Jarang tersasar dan  amat  membantu menyelesaikan masalah atau membuka ruang untuk pengembangan dan peningkatan dalam apa jua bidang.  Amat jelas pemikiran di  'luar kotak' yang sungguh bermanfaat untuk kemajuan, sama ada kemajuan organisasi, sumber tenaga atau anak bangsa. Begitulah Puan Ariyaty nama orangnya, Guru Cemerlang Bahasa nama jawatannya, tapi sudah bersara sebelum tiba masanya, tahun 2013 tamat perkhidmatanya. 

Sungguh amat dirasakan kehilangannya selepas bersaranya. Sekolah kehilangan seorang guru yang sungguh amat dedikated, yang meletakkan sekolah dan pelajarnya di atas semuanya. Jabatan Pendidikan  kehilangan sebutir permata yang amat sukar boleh dicari ganti. Sumbangan baktinya dalam kemajuan bidang pendidikan dan kecemerlangan pelajar sukar ditandingi pencapaiannya.  Persaraannya ditangisi anak-anak murid yang mengenalinya, juga seluruh warga sekolah yang sudah dapat melihat kesan ketiadaannya selepas bersara. Memang kata orang yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti. Namun yang ganti tak akan pernah sama, dan yang tumbuh tak akan boleh setara dengan yang bersara. Begitulah adanya, dan begitulah kenyataannya yang terlaksana oleh kehendak Allah jua. 

Sesungguhnya hanya Allah sahajalah yang layak memberikan anugerah dan nikmatnya kepada guru ini. Manusia memang tidak termampu membalasnya dalam apa jua bentuk balasan sekalipun. Sungguh besar bakti yang dicurahkan, khidmat yang diberikan, pengorbanan yang disajikan, hati dan perasaan yang sedia berkhidmat dengan penuh kasih sayang, dan umur yang dihabiskan dengan penuh kerelaan, ikhlas dan redha.  Itulah dia Puan Hajah Ariaty Basiron, seorang Guru Cemerlang Bahasa Melayu, yang sentiasa seger dalam ingatan sebagai seorang guru sejati, seorang guru yang berjiwa besar dan seorang guru yang sarat menaburkan bakti, kepada semua muridnya yang amat dikasihi. Mudah-mudahan Allah merahmatinya, mengasihinya, dan meredhainya, insya Allah.

 

 

No comments:

Post a Comment