Sunday, September 6, 2015

REZEKI YANG BERKAT


Gambar hiasan
Saya petik cerita ini dari whattsap, yang dihantar kepada saya untuk dikongsikan, moga-moga memberi manfaat kepada kehidupan kita menuju ke akhirat:

Seorang lelaki datang menemui Imam Syafie mengadukan tentang kesempitan hidup yang dia alami. Dia memberitahu bahawa dia bekerja sebagai orang upahan dengan gaji sebanyak 5 dirham. Dan gaji itu tidak mencukupi untuknya. Namun anehnya, Imam Syafie langsung menyuruh dia untuk menemui orang yang mengupahnya supaya mengurangkan gajinya menjadi 4 dirham.

Lelaki itu pergi melaksanakan perintah Imam Syafie sekalipun dia tidak faham apa maksud dari suruhan itu. Setelah berlalu beberapa lama lelaki itu datang kembali menemui Imam Syafie mengadukan tentang kehidupannya yang tidak ada kemajuan. Lalu Imam Syafie memerintahkannya untuk kembali menemui orang yang mengupahnya dan minta untuk mengurangkan lagi gajinya menjadi 3 dirham. 


Lelaki itu pun pergi melaksanakan anjuran Imam Syafie dengan perasaan sangat hairan. Setelah berlalu sekian hari lelaki itu kembali lagi menemui Imam Syafie dan berterima kasih atas nasihatnya. Dia menceritakan bahawa wang 3 dirham itu dapat mencukupkan semua keperluan hidupnya, bahkan hidupnya menjadi lapang. Dia menanyakan apa rahsia di sebalik semua itu? 

Gambar hiasan
Imam Syafie menjelaskan bahawa pekerjaan yang dia jalani itu tidak berhak mendapatkan upah lebih dari 3 dirham. Dan kelebihan 2 dirham itu telah mencabut keberkatan harta yang dia miliki ketika bercampur dengannya. Lalu Imam Syafie membacakan sebuah sya'ir yang bermaksud: جمع الحرام على الحلال ليكثره دخل الحرام على الحلال فبعثره  "Dia kumpulkan yang haram dengan yang halal supaya ia menjadi banyak. Yang haram pun masuk ke dalam yang halal lalu ia merosakkannya"

Riwayat kisah itu mengingatkan saya beberapa cerita yang betul-betul terjadi tapi jarang orang mengambil iktibar mengenainya. Kadang-kadang saya bawakan ibarat ini untuk dihayati guru-guru dan staff-staff di sekolah agar mereka dapat bertugas sebaik mungking supaya pendapatan yang diperoleh setimpal dengan upah yang diperolehi. Saya sering menegaskan biarlah tugas titik peluh  kita, melebihi daripada ganjaran upah yang diberi. Kerana Allah sajalah yang selayaknya dapat menilai kerja buat kita, sama ada setimpal atau sebaliknya. Saya ingin berkongsi cerita  yang terjadi di  sekolah  semasa saya masih bertugas, supaya dapat menjadi renungan kita bersama:

 
CERITA 1
Seorang guru selalu memberi alasan kepada saya apabila diberi suatu amanah untuk dilaksanakan, selain tugasan mengajar di dalam kelas. Selalunya apabila diberi tugas dia merungut, marah-marah dan tugasan yang diberi, tidak dilaksanakna mengikut spesifikasi yang sepatutnya, lambat bertindak, buat kerja sambil lewa dan yang lebih teruknya dia tidak masuk kelas, dan membuat kerja semasa masa PdP (pengajaran dan pembelajaran), dengan alasan dia sangat sibuk selepas waktu sekolah dengan urusan anak-anak dan keluarganya yang perlu diberi perhatian yang lebih. Setelah gagal melaksanakan tugasnya berkali-kali, serta tidak mengikut piawai yang sepatutnya, maka terpaksalah tugas itu diberikan kepada guru lain pula. Supaya dengan ini, dapatlah menjamin proses pendidikan supaya dapat berjalan lancar, dan perjalanan sekolah menjadi lebih berkesan. Bila dia tidak lagi memegang tugasan, maka dia pun dengan gembira dan bangganya menghasut rakan-rakan guru yang lain pula: "Senang saja kalau dapat kerja jangan buat elok-elok, nanti akan diberikan tugas itu kepada orang lain, kan selesai masalah...." Maka kuranglah tugasannya selain mengajar, sedangkan rakan yang lain sibuk melaksanakan tugasan yang diagihkan. Namun saya selalu menegaskan, kita tidak boleh bergembira dengan kurangnya bebanan kerja kita, kerana gaji kita tidak pernah berkurang adanya.

Masa pun berlalu, suatu hari dia datang mengadu yang anaknya bermasalah di asrama sebuah sekolah terpilih, kerana masalah disiplin. Dia marah-marah guru-guru di sekolah itu, guru tidak ambil tahu anaknya, tidak membantu perkembangan anaknya, sekolah tidak menyediakan apa yang sepatutnya kepada anaknya, dan ramai guru tidak menjalankan PdP dengan baik. Ada yang tidak masuk kelas pula tu, sebab itulah anaknya yang pandai sejak sekolah rendah, telah merosot pencapaiannya di sekolah itu. Hatinya yang dikatakan senang tidak lagi senang. Masanya yang banyak kerana kurang tugas di sekolah tidak lagi lapang. Perihal anak yang bertimpa-timpa itu, menjadikan dia sangat banyak masalah. Bukan itu saja malah dia menanggung malu yang amat sangat kerana karenah anak yang tidak lagi dapat dikawalnya.

Itulah dia yang saya selalu katakan kepada guru-guru, jika kita memudahkan orang lain,Tuhan akan mempermudahakan urusan kita, jika kita membantu orang lain Allah akan sentiasa membantu kita. Jika kita melaksanakan tugas dengan niat membantu anak-anak yang perlu dididik maka Allah akan membantu memberi kesejahteraan dan perlindungan kepada anak-anak kita. 


 CERITA 2
Seorang tukang kebun, memang sesungguhnya sangat rajin dan tekun bekerja. Dia bekerja dengan penuh minat. Semua kerja buatnya dibuat dengan hati-hati, kemas dan teliti. Dia tidak pernah merungut jika kerja lebih masa, atau jika banyak diminta buat kerja sekali pun. Dari pagi membuat kerja, sehinggalah tengah hari, waktu matahari terik panasnya di kepala. Pada bila-bila masa pun dia kelihatan tekun melaksanakan amanahnya. Tidak pernah terjumpa dia mencuri tulang dalam bekerja. Tidak pernah terasa dia tidak bekerja dengan berkualiti sepanjang masa bekerja. Selalu dipesan kepada staff-staff lain cubalah tiru macam dia, tapi jika tiada kesedaran dari dalam hati sendiri tidak akan menjadi. Sesungguhnya ketekunan bekerja dengan sungguh-sungguh lahir atas kepatuhan dan 'takut' dengan Allah yang menyaksikan segalanya. Jadi memang dapat kita rasakan, gaji yang diterimanya memang setimpal dengan kerja buatnya, malah melebihi daripada upah gajinya.

Cerita gembira ini sangat layak kita kongsikan. Dia cuma seorang tukang kebun, yang rendah pendidikannya. Isterinya juga suri rumah yang setaraf dengannya. Tapi berkat kerjanya yang sungguh-sungguh melebihi upah yang diperolehinya, Allah gantikan 'bayaran' untuk kerjanya itu dengan anak-anak yang pandai-pandai, semua anaknya mencapai keputusan cemerlang untuk semua peperiksaan UPSR, PMR, dan SPM serta dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti pula, alhamdulillah. Sesungguhnya Allah bayar kepadanya dengan kesihatan yang baik yang diberikan kepadanya dan keluarganya. Dia tidak pernah mengambil cuti sakit setiap tahun. Dia tidak pernah mengadu menghadapi sebarang masalah, atau ditimpa musibah. Melihat wajahnya, dia sentiasa kelihatan tenang dan gembira menjalani kehidupan sehariannya. Dia bukan saja kelihatan tenang tapi juga dapat menenangkan seiapa saja yang melihatnya. Barangkali itulah harga bayaran kepada titik peluhnya yang tumpah melebihi upah kerja buatnya....

Semoga dengan ini akan memberi motivasi kepada kita untuk bekerja lebih kuat. Kalau kerja kita tidak setimpal malah melebihi jika dibandingkan dengan gaji kita, percayalah Allah akan membayarnya dengan kesenangan, kesejahteraan, kesihatan dan ketenangan hidup yang kita sendiri tidak mampu mengadakannya jika tidak dengan izin dan rahmat dari Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.

 

No comments:

Post a Comment