UKM BANGI
Seawal jam 7.10 kami bergerak keluar dari Hotel TENERA menuju ke UKM. Kami rasa masih awal rupanya di jalan orang sudah ramai. Trafik sudah mula sesak, kereta dah bersusun-susun di jalan masuk utama Universiti, Di perkarangan Dewan telah ramai graduan-graduan sudah mula bergambar kenangan bersama keluarga masing-masing. Cuaca pagi yang nyaman dan sinaran cahaya matahari yang cerah dan lembut amat baik untuk berfoto-foto.
Kami turunkan along di tepi jalan bersama papa, sebab dia kena lapor diri jam 7.30 pagi. Kami tiga orang bersama Hajar terus ke tempat parking awam yang diarahkan. Kelihatan Ali agak moody barangkali kerana letih dan tak cukup tidur. Namun kami cepat-cepat meninggalkan kereta. Kemudian dari situ kami naik bas universiti ke Dewan Besar. Banyak bas menunggu para gaduan dan ahli keluarga. Penuh penumpang bas mula bergerak, tak perlu tunggu lama sebab semua orang sudah sedia untuk menaiki bas tanpa membuang masa.
Sambil menaiki bas, fikiran terus melayang mengimbau kenangan silam. Ini kali kedua naik bas UKM, kali ke-4 masuk kampus UKM, dan kali ke-3 majlis Konvocation UKM. Kali pertama naik bas dulu, semasa pendaftaran pelajar baru tahun pertama 2005. Masa tu alang masuk tahun 1 Fakulti Perubatan. Kampus di Kuala Lumpur tapi pendaftaran di UKM Bangi. Kali ini meraikan majlis konvocation along, mendapat ijazah kepakarannya sebagai Pakar.
Majjlis Konvo pertama tahun 1980, papa mendapat Ijazah Doktor Perubatan MD UKM. Majlis Konvo ke-2 tahun 2010, Alang tamat pengajian bidang Perubatan mendapat MD UKM juga seperti papa. Hari ini dengan rasa amat terharu, dan rendah hati, serta penuh rasa syukur yang teramat sangat, dipanjangkan umur untuk dapat lagi hadir ke Majlis Konvo ke-3, hari graduation along lulus sebagai Pakar dalam bidang Orthopedic.
Alhamdulillah, syukur ya Allah Engkau kurniakan semua kebaikan dan rezeki ini kepada ku dan anak-anakku. Ya Allah tiada daya upaya aku untuk berbuat kebaikan melainkan dengan keizinanMu, dan tiada daya upaya aku untuk berbuat kejahatan melainkan hanya dengan keizinanMu jua ya Allah. Cukuplah Allah bagiku, Hasbiallah hu wanikmal wakiil......
Semua ini bukan kebetulan, bukan kerana kehebatan kami, atau kerja keras kami, atau daya usaha kami, tapi segalanya apa pun yang terjadi hari ini, atas takdir yang telah Engkau aturkan, yang telah tertulis sejak azali lagi, kun fa ya kuun. Segalanya adalah atas kehendak dan ketentuanMu. Halusnya pentadbiranMu Ya Allah, dan besarNya rahmatMu Ya Allah, nikmat apa lagi yang kami dustakan. Ya Allah aku amat bersyukur padaMu Ya Allah, dan aku mohon ampun, malunya aku mererima segala nikmatMu, takut-takut aku tak cukup bersyukur kepadaMu. Ampuni aku ya Allah. Jadikan aku semakin dekat denganMu, wahai Allah yang maha penyayang, walau sebanyak mana nikmat sekali pun yang telah Engkau kurniakan.
Jauh sekali aku mengimbau kenangan, tiba-tiba bas sudah berhenti. Kami semua turun terus bergerak menuju Pintu B yang diberitahu. Kami jumpa papa dan along, sempat foto-foto dua tiga keping sebelum along bergerak ke Pintu A untuk perarakan masuk. Kami beratur masuk di Pintu B dan papa pergi ke Dewan Seni untuk para waris yang tidak berkesempatan masuk dewan, boleh menyaksikan majlis konvo secara live.

No comments:
Post a Comment