Tuesday, December 23, 2025

SAKIT LUTUT

 

DISEMBER 2025

Selalu pergi ke hospital ternampak pesakit jalan pakai tongkat, jalan lambat-lambat, atau jalan bertopangkan satu kaki kerana kelihatan lutunya sakit yang tertahankan. Dulu tengok orang, kini sendiri yang merasakan. Alhamdulillah ya Allah Engkau berikan aku kesihatan yang melipah ruah. Umur 78 baru tau betapa sakitnya lutut tak boleh dibawa bincang. Sebabnya sikit saja, pergi jalan-jalan di kebun entah di mana silapnya. Balik kebun lutut terasa sakit. Ya Allah semasa sihat, semasa tak sakit, semasa boleh berjalan biasa atau berjalan laju, masa tu boleh berjalan rasa macam biasa saja. Dah sakit baru terasa amatlah berharga kesihatan lutut yang Allah kurniakan kepada kita. 

Barang kali pergi ke kebun tu satu asbab saja untuk trigger rasa sakit lutut. Yang pasti semuanya Allah telah aturkan, sudah tertulis di lauhal mahfuz. Barangkali kerana tidak menjaga diri, membiarkan berat yang berlebihan, itu juga menjadi asbab. Apa pun takadir pasti akan terjadi bila tiba masa dan ketikanya. Itu pasti. Itu qadha dan qadar. Ia pasti akan terjadi, ada sebab ka tak ada sebab ka, kerana ketentuan Allah itu kun faya kun. Allah kata jadi maka jadilah. Kita tiada pulihan. Terima redha, sabar dan bersyukurlah seadanya atas nikmat yang telah tertuliskan. 

Jadi bersyukurlah dengan kesakitan yang telah ditakdirkan. Bila berjalan lambat-lambat dengan perasaan yang kurang selesa teringatlah akan sang pencipta. Aduhai dengan penuh rintihan merayulah akan kesembuahan. Dengan penuh kesakitan sedarlah barangkali akan sebarang kesalahan atau kealpaan. Dengan rasa kesakitan barangkali lebih banyaklah masa menyebut dan mengingatNya, barangkali dengan kesakitan juga meningkatlah muhasabah diri akan hubungan denganNya, dengan kesakitan juga barangkali bertambhlah tawadhuk denganNya, dan dengan kesakitan juga barangkali lebih banyaklah bersyukur kepadaNya.

Ya Allah ya zaljalaa liwal ikrom, bantu kami ya Allah. Jika Engkau berkehendak sekelip mata boleh saja apa pun terjadi. Kami sangat yakin, yang Engkau takdirkan itulah yang terbaik untuk kami. Kami saja yang tidak tahu, sebab itu kadang-kadang terdetik sedikit rasa  atau terkadang merasakan sedikir kurang senang akan apa yang terjadi, segalanya kerana memang kami dengan segala kejahilan kami, akan terasa seperti itu. Amapuni kami ya Allah.

Ya Allah di usia senja ini bantulaah uruskan diri kami hambaMu yang dhaif ini. Tidak ada daya upaya kami berbuat akan  kebajikan jika tidak dengan keizinanMu ya Allah. Begitlah jika sebaliknya pun. Kami berserah diri kami yang hina ini kepada Mu ya Allah. Tolonglah uruskan kami mengikut takdirMu yang terbaik untuk kami mengikut ilmu dan kehendakMu jua. Tolonglah palingkan hati kami daripada perkara-perkara yang bukan menjadi takdir kami seupaya kami akan terus bersyukur menikmati segala urus tadbir yang Engkar adunkan untuk kami. Bantu kami menjadi orang yang bersyukukur kepada Mu, bantu kami menjadi orang yang tawdhuk dengan Mu , bantu kami menjadi tenang dan redha dan bantu kami supaya sentiasa merasa cukuplah, akan hanya Allah bagi kami. Hasbiyalla hu wanikmal wakil.....

Sunday, December 7, 2025

KONVO UKM KE-3


23 NOVEMBER 2020
UKM BANGI

Seawal jam 7.10 kami bergerak keluar dari Hotel TENERA  menuju ke UKM. Kami rasa masih awal rupanya di jalan orang sudah ramai. Trafik sudah mula sesak, kereta dah bersusun-susun di jalan masuk utama Universiti, Di perkarangan Dewan telah ramai graduan-graduan sudah mula bergambar kenangan bersama keluarga masing-masing. Cuaca pagi yang nyaman dan sinaran cahaya matahari yang cerah dan lembut amat baik untuk berfoto-foto. 

Kami turunkan along di tepi jalan bersama papa, sebab dia kena lapor diri jam 7.30 pagi.  Kami tiga orang bersama Hajar terus ke tempat parking  awam yang diarahkan. Kelihatan Ali agak moody barangkali kerana letih dan tak cukup tidur. Namun kami cepat-cepat meninggalkan kereta.  Kemudian dari situ kami naik bas universiti ke Dewan Besar. Banyak bas menunggu para gaduan dan ahli keluarga. Penuh penumpang bas mula bergerak, tak perlu tunggu lama sebab semua orang sudah sedia untuk menaiki bas tanpa membuang masa.

Sambil menaiki bas, fikiran terus melayang mengimbau kenangan silam. Ini kali kedua naik bas UKM, kali ke-4 masuk kampus UKM, dan kali ke-3 majlis Konvocation UKM. Kali pertama naik bas dulu, semasa pendaftaran pelajar baru tahun pertama 2005. Masa tu alang masuk tahun 1 Fakulti Perubatan. Kampus di Kuala Lumpur tapi pendaftaran di UKM Bangi. Kali ini meraikan majlis konvocation along, mendapat ijazah kepakarannya sebagai Pakar. 

Majjlis Konvo pertama tahun 1980, papa mendapat Ijazah Doktor Perubatan MD UKM. Majlis Konvo ke-2 tahun 2010, Alang tamat pengajian bidang Perubatan mendapat MD UKM juga seperti papa. Hari ini dengan rasa amat terharu, dan rendah hati, serta penuh rasa syukur yang teramat sangat, dipanjangkan umur untuk dapat lagi hadir ke Majlis Konvo ke-3, hari graduation along lulus sebagai Pakar dalam bidang Orthopedic. 

Alhamdulillah, syukur ya Allah Engkau kurniakan semua kebaikan dan rezeki ini kepada ku dan anak-anakku. Ya Allah tiada daya upaya aku untuk berbuat kebaikan melainkan dengan keizinanMu, dan tiada daya upaya aku untuk berbuat kejahatan melainkan hanya dengan keizinanMu jua ya Allah. Cukuplah Allah bagiku, Hasbiallah hu wanikmal wakiil...... 

Semua ini bukan kebetulan, bukan kerana kehebatan kami, atau kerja keras kami, atau daya usaha kami, tapi segalanya apa pun yang terjadi hari ini, atas takdir yang telah Engkau aturkan, yang telah tertulis sejak azali lagi, kun fa ya kuun. Segalanya adalah atas kehendak dan ketentuanMu. Halusnya pentadbiranMu Ya Allah, dan besarNya rahmatMu Ya Allah, nikmat apa lagi yang kami dustakan. Ya Allah aku amat bersyukur padaMu Ya Allah, dan aku mohon ampun, malunya aku mererima segala nikmatMu, takut-takut aku tak cukup  bersyukur kepadaMu. Ampuni aku ya Allah. Jadikan aku semakin dekat denganMu, wahai Allah yang maha penyayang,  walau sebanyak mana nikmat sekali pun yang telah Engkau kurniakan.

Jauh sekali aku mengimbau kenangan, tiba-tiba bas sudah berhenti. Kami semua turun terus bergerak menuju Pintu B yang diberitahu. Kami jumpa papa dan along, sempat foto-foto dua tiga keping sebelum along bergerak ke Pintu A untuk perarakan masuk. Kami beratur masuk di Pintu B dan papa pergi ke Dewan Seni untuk para waris yang tidak berkesempatan masuk dewan, boleh menyaksikan majlis konvo secara live.



Tuesday, December 2, 2025

MERAWAT LUKA-LUKA

 

Lama sudah tidak menulis tentang emak. Sejak akhir-akhir ini kami agak sibuk, banyak fokus merawat luka akibat lama emak tidak bergerak dan kulitnya yang semakin menipis. Merawat luka 'bed-sore' pesakit lumpuh terbaring seperti emak sangat tidak mudah dan mencabar. Kami cuba seadanya ikut cadangan yang dicadangkan oleh papa, adik dan alang. Kami cuba untuk elakkan luka. Kami alih posisi tidur, sekejap  melentang, sekejap alih ke kiri, kemudian alih ke  kanan pula. Usaha kami Allah izin selama lebih 8 tahun terlentang di katil, emak tidak ada sedikit pun luka bed-sore. Namun ketentuan Allah itu, Allah saja yang maha mengetahui dan  maha halus pentadbirannya. Akhir-akhir ini belakang emak mula luka, tulang pinggul kiri dan kanan pun melecet juga. 

Oleh itu bermulalah era baru dalam penjagaan emak, mengurus luka bed-sore.  Untuk elak luka semakin parah, kami guna bantal donut, supaya luka tidak tertekan ke tilam. Kami letakkan luka di tengah-tengah bantal supaya dapat membantu mengurangkan pressure. Bolehlah sedikit membantu tapi luka tak mau hilang terus sebab kulit emak memang semakin sangat nipis.

Kadang-kadang emak sakit dia menyebut Allah dengan keras. Jika siang tak menjadi apa-apa, jika malam tidur kami agak terganggu, kami relakan saja, ini ujian kami. Alhamdulillah. Jika emak panggil, kami pujuk supaya emak merayu dengan Allah, nanti Allah akan bantu mengurangkan sakit insyAllah. Emak pandang merenung dalam jauh ke mataku, barang kali merelakan takdirnya. Tak berapa lama dia panggil lagi, aku ulang lagi, dia diam membisu dan terus menyebut Allah setiap masa hingga dia terlena.

Ada masa aku ingatkan emak tentang jasa baiknya, dengan harapan barangkali boleh menghibur hatinya dan memberi semangat kepadanya. 

'Terima kasih emak membela kami dengan baik hingga berjaya. Terima kasih mengajarkan kami sembahyang dan baca alquran. Terima kasih mak mengajarkan kami menjadi wanita yang cekal, cerdas dan pintar bertindak, Terima kasih untuk membimbing kami menjadi bertanggung jawab, perihatin, teliti dan tidak ambil mudah. Sifat pembersih juga emak tekankan dengan sangat tegas, sehingga rumah tangga menjadi sangat bersih kemas dan selesa. Orang perempuan jangan harap bedak dan lipstik, tapi jaga kebersihan diri luar dan dalam. Terima kasih yang tidak terhingga. Memang banyak jasa emak mengajarkan sifat-sifat positif: Berhati-hati dengan dengan orang, baik kawan atau lawan, adik beradik dan jiran tetangga, berpada-padalah, kenali dan lihat betul-betul untuk sebarang tindakan. Ada duit berjimat cermat, jangan ikut nafsu makan, nafsu pakaian, dan pandangan orang, beli ikut keperluan. Simpan duit buat bekal susah. Hati-hati dengan orang meminjam, kalau mampu beri, tapi orang kalau tak malu meminjam dia pun tak malu tidak membayar hutang. Terima kasih mak untuk semua, semoga Allah ampun dosa mak, semoga Allah beri emak syurga, mintalha kepadaNya, Allah maha melihat dan mengetahui segala  jasa baik mak menjaga dan mendidik kami.'

Begitulah kami merawat luka fizikal, susah memang susah, tapi kami tidak boleh berputus asa, hidup mesti diteruskan selagi nyawa dikandung badan. Ya Allah sembuhkanlah penyakit emak dan berikanlah kami kesudahan yang baik husnul khotimah, dan jauhi kami dari suul khotimah. Ya Allah kami serahkan diri kami dan keseluruhan hidup kami, kepadaMu ya Allah, tolonglah Ya Allah  uruskanlah kami dengan kasih sayangMu Ya Allah. Aamiin Ya Robb.

SEMAKIN MEROSOT

 

SEMAKIN MEROSOT

26 April 2016, tarikh yang tidak pernah dapat dilupakan. Sejak tarikh itu, sehingga kini sudah hampir 9 tahun, mak tidak lagi boleh berjalan. Depan mata dan sekelip mata mak berubah menjadi bed-ridden. Subhanallah, maha suci Allah yang menentukan segalanya ikut ketentuan yang telah tercatat sejak aazali, tersimpan kemas di Luh Mahfuz, dan terjadi pabila sampai masanya. 

Sejak hari itu emak perlukan bantuan untuk semua pergerakannya kecuali anggota tangan dan kaki sebelah kanan. Mak hanya boleh suap makan dan angkat kaki kanan. Mandi, pakai pampers, bangun duduk dari tidurnya, dan pusing ke kanan, semuanya dibantu. Alangkah sangat sedihnya ketika itu melihat keadaan mak yang sudah menjadi orang lain, bukan dirinya yang dulu lagi. Tapi lama kelamaan keadaan itu dapat diterima seadanya. Maka kehidupan kami berubah sesuai dengan keadaanya yang perlu dirawat setiap hari. 

Hari terus berlalu, lama kelamaan mak kurang selera makan, badannya semakin susut. Macam-macam masakan dimasak, atau dibeli supaya mak lebih selera makan namun takdir Allah tidak siapa dapat mengubahnya. Mak terus terusan tak lalu makan, makan sesuap dua dia dah tak mau makan lagi, walaupun disuap mak tetap mengelak untuk makan. Alangkah sedihnya waktu itu Allah saja yang tahu. Laailaaha illa anta subha naka inni kuntu minadhoo limiin. 

Kemudian mak diserang stroke buat kali kedua, dia masih boleh makan sikit-sikit dan minum sedikit air. Akhirnya mak tak boleh minum lagi apatah lagi makan, langsung tak boleh. Dia akan tersedak jika makan atau minum kerana makanan dah tak boleh masuk lagi sebab lama tak diguna pakai. Selepas itu, untuk bantu mak, dia mula minum pakai tiub dan tidak boleh lagi makan apa-apa lagi. Kaki dan tangan kananya yang masih boleh bergerak, semakin mengeras kerana dia enggan bergerak langsung. Aku sangat sedih tapi takdir Allah tiada yang dapat menghalang, aku belajar menerima seadanya. 

Selepas itu keadaan mak semakin merosot. Emak sering terganggu tidurnya di malam hari. Maka siangnya emak tidur setidur-tidurnya. Kadang-kadang bermalam-malam mak tidak tidur. Maka mak mula bercakap banyak, bercakap seperti orang yang kurang sihat fikirannya. Maka kami berikan ubat membantu emosi mak agar lebih tenang dan dapat tidur malam. Selepas itu mak kembali stabil emosinya bila dapat tidur malam seperti biasa. Namun sejak itu mak dah semakin kurang bercakap, sepatah ditanya, sepatah dijawab. Bersabarlah aku dengan apa saja seadanya. Alhamdulillah syukur dengan segala yang ditakdirkan.

Sekarang mak banyak tidur siang dan malam pun dia tidur juga. Dia langsung tidak bercakap. Ditanya apa-apa dia senyum saja, dan merenung kami. Berat badan pun nampak semakin susut. Aku sedih tapi apa yang boleh aku buat, hanya memohon ampun kepada Allah dan menerima takdir Allah dan berdoa agar terus redha dengan segala pemberianNya. Aku terus belajar bersabar, terus belajar memujuk hati agar redha dan terus berserah pada Allah semata-mata, terus berdoa agar diberikan kekuatan untuk mengaharungi ujian yang Allah berikan. 

Aku yakin segalanya atas kehendak dan ketentuan Allah untuk kami. Ya Allah semoga Engkau bantu kami untuk terus dapat berlapang dada. Ya Allah bantu kami untuk sabar, bantu kami ya Allah untuk terus berharap dengan rahmat dan rahim Mu. Cukuplah Engkau bagi kami ya Allah, tiada daya upaya kami untuk berbuat kebaikan melainkan dengan keizinanMu jua dan tiada daya upaya kami untuk berbuat keburukan melainkan hanya dengan keizinanaMu jua ya Allah. Bantulah kami, kasihanilah kami, dan redhalah ke atas kami. Sesungguhnya tiada apa pun milik kami, melainkan milikMu segalanya, ya Allah ya zaljala liwal ikram.