Wednesday, May 11, 2022

DEMI MASA

Tanggal 26 April 2016, sampai bila pun akan dikenang. Ia menyimpan  cerita yang mewarnai hidup ini. Hingga kini  peristiwa yang terjadi menjadi takdir diriku. Tarikh itulah emak dengan sekelip mata, tidak boleh bergerak sebelah badan  kerana diserang stroke. Tangan kiri, kaki kiri dan separuh badan emak, dari pinggang ke hingga ke kaki sebelah kiri, tidak boleh bergerak lagi. Depan mata aku sendiri kaki emak sebelah kiri tidak boleh lagi menyarung kasutnya. Tangan kirinya juga tidak mampu lagi memegang pemegang tangga untuk berdiri, dan waktu itu juga dia jatuh terduduk. Aku dengan tidak berdaya lagi melihat mukanya, mulutnya kelihatan sudah herot sebelah. 

Aku mengucap berkali-kali. Ya Allah, Ya Allah ya Rahman ya Rahiim, inikah takdir Engkau kepada ku? Aku pasrah. Emak pun dibawa ke hospital. Kemudian emak berada di zone pemerhatian, diperiksa dix-ray, dan akhirnya dimasukkan ke wad untuk rawatan selanjutnya. Dan sejak itu emak tidak menunjukkan sebarang perkembangan, tidak lagi boleh bergerak seperti sediakala. Aku diingatkan berkali-kali supaya bersedia minda. Emak bukan akan semakin pulih tetapi sebaliknya. Papa minta aku menerima kenyataan yang berat itu. Memang sukar tapi apakan daya ia sudah suratan. Sesuatu yang tak disangka, seringkali mendatangi kita. Ia bukan satu kebetulan tapi ia memang qadha dan qadar yang telah tersurat dalam khazanah pengetahuan Allah yang maha esa, untuk hambaNya.

Pada hari itu, rancangan awal emak memang dia nak ke hospital melawat Nabila, anak suadaraku yang tenat melawan kanser. Tapi Allah menentukan esoknya Nabila dibawa ke IKN pada pagi 27 April, dan emak tidak lagi berdaya melawat cucu kesayangnya yang tenat itu, kerana dia sudah tidak boleh berjalan lagi. Jelas kelihatan air mata mak tergenang menahan kesedihan buat cucunya dan dirinya sendiri, apa kan daya. Dan yang lagi sedih tanggal 29 April Nabila telah menghembuskan nafasnya di IKN, di bawa balik ke rumahnya di Jitra dan emak tidak lagi dapat menatap wajah cucunya itu. Kami tidak mampu dan tidak boleh nak membawa mak dari wad, sebab emak memang tidak berdaya langsung untuk bergerak walau pun untuk duduk di kerusi roda. Dalam linangan air mata aku minta izin mak untuk pergi ziarah Nabila buat kali terakhir, dia hanya merenung jauh dan dia membisu seribu bahasa, kerana dia sedar dia masih terlantar di hospita entah bila akan sembuhnya.

Akhirnya 1 Mei 2016 kami bawa emak balik ke rumah. Sejak itu emak terlantar di katil, hanya tangan kanan dan kaki kanan boleh bergerak. Emak juga masih mampu duduk dengan bantuan kami. Emak masih mampu makan sendiri menggunakan tangan kanannya. Namun selepas adik kahwin, Februari tahun 2019, emak sekali lagi diserang stroke, selepas itu, sehingga kini, dia tidak lagi boleh makan seperti biasa, cuma boleh minum susu melalui tiup.

Dan kini emak terlantar sudah 6 tahun. Bayangkan enam tahun itulah emak diadun pagi, petang dan malam. Semuanya kami uruskan kerana emak sudah tidak berdaya lagi mengurus dirinya sendiri. Jika ada pembantu urusan menjaga emak lebih mudah. Emak juga tidak berdaya mengurus hati dan perasaannya. Kadang-kadang emak ingat-ingat lupa. Banyak perkara yang emak sudah lupa, terutamanya perkara yang baru-baru, emak tidak ingat sangat. Emak lebih ingat yang lama-lama, tapi terkadang bercampur aduk memori yang diingatnya itu. Tapi kami faham. Sebab itu kami kadang-kadang bagi emak sedikit ubat penenang, supaya dia boleh tidur dan tidak rasa tertekan dan susah hati.

Sekarang bibik tidak ada jadi emak kami uruskan, memang berat dan perlu banyak bersabar. Semoga Allah bantu kami, kami serahkan kesusahan yang kami mlalui ini kepadaMu ya Allah kerana Engkau maha melihatdan maha mengasihani. Bantulah permudahkan urusan kami ya Allah. Tiada daya upaya kami, melainkan cukuplah Engkau bagi kami, cukuplah Engkau tempat kamu berserah dan berharap. Semoga ada jalannya untuk dipermudahkan urusan kami, dan semoga Engkau redha ke atas kami, ya Allah, ya zaljalaliwalikraom.

No comments:

Post a Comment