Friday, June 11, 2021

CERITA EMAK AYAH 2

 

EMAK AYAH 6

Emak dah lama meninggal. Tinggal ayah duduk dengan seorang anak lelakinya yang bongsu dan seorang cucu perempuan yang dibela sejak kecil hinggalah masuk sekolah menengah Tingkatan 5. Masa ayah masih kuat setiap pagi ayah hantar cucunya ke sekolah dengan motor. Dari sekolah rendah hinggalah ke sekolah menengah ayah menghantar dan mengambil cucu setiap hari. Dia sungguh bahagia dengan cucunya yang seorang itu. Cucunya pun tak mau ikut emak ayahnya balik tinggal di Kuala Lumpur. Dia tidak selesa di sana, dia mahu terus sekolah di kampung dan tinggal bersama tok wannya.

Masa cucu di tingkatan 5, ayah jatuh sakit. Cucu terpaksa berbasikal pergi sekolah sendiri.Anak ayah kerja rencam, kerja sendiri. Jadi setiap pagi anak bongsu ayah meninggalkan ayah yang terlantar di perbaringan. begitu juga cucu ayah terpaksa meninggalkan ayah untuk ke sekolah. Sebelum keluar ayah dibekalkan nasi bungkus dan air minum yang diletakkan di tepi tilam. Bila ayah lapar dia akan mengiring dan makan makanan yang disediakan oleh anak dan cucunya.

Oleh kerana ayah kurang dapat menggerakkan tangannya, selepas makan bungkusan terbiar di situ, ayah terus tidur. Sisa makanan itu sudah tentulah mengundang semut untuk berkongsi rezeki. Maka terbiarlah ayah dengan sisa makan dan hurungan semut, sehingga cucunya balik sekolah, barulah ia dibersihkan. Begitulah setiap hari. Anak ayah hanya akan pulang waktu petang dengan membawa makanan malam pula.

Akhirnya cucu ayah tamat Tingkatan  5. Cucu ayah dipaksa oleh ayahnya untuk balik ke Kuala Lumpur supaya dapat meneruskan pengajian di peringkat tinggi. Dengan berat hati cucu balik ke Kuala Lumpur meninggalkan tok wannya sendirian. Tok wan duduk sendiri, dan makan sendiri seadanya. Kini tok wan terbiar sehingga petang baru anaknya balik kerja. Tok wan buang air besar di tempat tidurnya, kencing pun di situ juga. Anaknya akan cuci bila dia balik kerja petangnya. 

Keadaan ayah semakin parah. Oleh kerana terlalu lama ditinggalkan maka najis yang terkena di bahagian-bahagian tubuhnya dan terbiar sehingga kering. Kadang-kadang makanan pun terkena najisnya. Masha Allah amatlah sedihnya, dan terharunya. Lama-lama ayah dah tak boleh makan sendiri lagi. Tenaganya juga semakin kurang. Badannya dah tinggal tulang dan kulit sahaja. Akhirnya ayah meninggal sendirian dalam keadaan badan penuh berlumuran najis yang sudah kering. Maha suci Allah yang maha mentakdirkan, hanya Dia sajalah yang tahu rahsia di sebalik setiap takdir yang ditetapkan buat siapa jua. Wallahu aklam.

EMAK AYAH 7

Emak ada dua orang anak, sulung perempuan bongsu pula seorang lelaki. Selepas ayah meninggal emak kahwin baru. Anak-anak mak tak suka perkahwinan itu. Mereka jarang balik menjenguk mak dan ayah tiri mereka. Lepas ayah tiri meninggal, emak duduk sorang diri. Dia rajin jual kueh untuk dapat wang belanja seharian, selain mendapat bantuan kebajikan masyarakat. 

Emak sihat saja sejak sekian lama hidup sendiri. Dia pun tidak peduli sangat tentang anaknya. Saban hari rutinnya buat kueh jual di samping aktiviti biasa seorang tua. Suatu hari mak sakit. Anak lelakinya yang tinggal berhampiran telah menghantarnya ke Rumah Orang Tua (ROT). Dia tidak sanggup menjaganya, kerana dia bekerja rencam, pergi pagi pulang malam. Untuk sekian lama mak terlanatar di Rumah Orang Tua, sendiri-sendiri. Akhirnya mak kembali menemui Tuhan Rabbul Jalil sendiri-sendiri dan diuruskan di ROT. Subha nallah maha suci Tuhan yang maha lembut tadbiranNya. Wallahu aklam

EMAK AYAH 8

Ayah kerja besar, berkedudukan tinggi dan dihormati. Isteri ayah orang bangsawan bukan saja cantik tapi dari keluarga yang ternama. Anak-anak Ayah berpelajaran dan ada jawatan. Kemudian ayah sakit. Dia hilang deria penglihatan. Dia ditinggalkan di hospital tidak dijemput oleh isteri dan anak-anaknya. Ayah minta seorang teman menghantarnya pulang. Tapi ayah amat terkejut isterinya membaling bag pakaiannya dan menghalaunya dari rumah kediamanannya sendiri. 

Rakannya membawanya ke rumah penjagaan orang tua swasta. Dia tinggal di situ tidak diziarah oleh anak isteri yang  amat dicintainya suatu ketika dulu. Dia tiada pendapat lagi, sebab hilang upaya bekerja. Begitulah jika bekerja dengan swasta, gaji banyak tapi tiada pencen. Akhirnya ayah didibiayai oleh kawan-kawan yang simpati dengannya. 

Lama juga ayah tinggal di pusat rawatan dibiayai para sahabat yang dermawan. Hanya rakan-rakan rapat dan kenalan di tempat kerjanya yang melawatnya. Ayah sungguh kecewa, ayah sungguh stress, namun apa kan daya takdir Tuhan siapa yang tahu. Akhirnya ayah meninggal dan dia diuruskan keluarganya yang masih ada rasa kasih dan rasa sayang, akan darah daging mereka. Subha nallah maha suci Allah, Allahu akbar. Sesungguhnya dari Dia kita datang dan kepadaNya kita kembali. Wallahu aklam




No comments:

Post a Comment