Tuesday, September 15, 2020

SEDIA UNTUK BERLEPAS

 

BISMILLAA HIRROHMAA NIRRAAHIIM 

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha mengasihani. 

Mula awal cerita tidak perbah terbayang Hera akan terbang ke Malaysia. Tidak pernah terlintas akan bekerja, mencari rezeki jauh di perantauan. Jauh dari kaum keluarga, jauh dari sanak saudara dan jauh jauh dari segala yang pernah ada. Sungguh amat berbeza, 360 darjah bezanya. Bahasa beza, makanan beza, pakaian beza, suasana rumah beza, perasaan lagi berbeza. Pendek kata segala-galanya memang sangat berbeza. Ibarat bermimpi di siang hari, terkadang terasa ibarat mimpi setiap hari, dari pagi, tengah hari hingga ke malam dan pagi lagi. Segalanya bagai mimpi, mimpi dan mimpi lagi.

Masih terbayang dengan jelas waktu sibuk-sibuk Hera mencari kawan-kawan untuk bekerja di Melaysia. Tapi bila diberi syarat mesti sembahyang, yang berjanji sudah mula beri alasan tidak mahu. Ada yang sudah ambil wang duluan, namun mungkir lagi. Lepas seorang, seorang pada mungkir, tidak sanggup bekerja sebagai bibik di rumah orang. Mahunya bekerja di salun atau di mall. Akhirnya Hera sudah tekad, dia sendiri yang datang, kerana tiada yang sanggup. 

Dia mulanya ke Imegresion, urus passport, terpaksa tunggu tarikh yang ditetapkan. Kemudian beli tiket seperti syarat yang diberikan sebelum buat passport. Sampai tarikh pergi lagi isi segala butiran. Masih tidak lulus kerana macam-macam yang diminta sediakan. Berkejaranlah ke sana sini melengkapkan apa yang diminta. Setiap suatu yang diminta semunya perlu biaya. Bagai air mengalir wang keluar dari poket, aduh kenapa amat sukar jadinya? Akhirnya dengan segala susah payah dan belanja yang  berjuta-juta rupiah, dapatlah passport bersama tiket untuk terbang ke Malaysia. 

Tiba harinya bapa sewa kereta hantar Hera ke bandara Bandung. Turut serta bekas suami yang tidak disukai bapa. Apa lagi kereta jadi panas dengan leteran bapa. Macam-macam pula masalah yang timbul. Kata bapa tak lain musibah semuanya kerana orang yang tak diundang turut serta, dia tetap terus-terusan menyalahkannya. Alhamdulillah sampai di bandara juga akhirnya. 

Usai bersalaman Hera dengan cemas bertanya-tanya balai perlepasan antarabangsa. Maklumlah dia tidak pernah keluar dari Bandung. Apatah lagi naik kapal terbang tidak pernah termimmpikan, Tapi hari ini, dia sudah berada di kaunter untuk  mendapatkan boarding pass. Dia akan terbang ke Penang Malaysia. Alangkah, alangkah janggalnya tapi ia benar. Pekerja di kaunter menyapa, Pergi kerja ya neng? Kerja baik-baik, selamat maju jaya ya.  Dia kemudian  menghulurkan  boarding pass sambil senyum. Hera meluru ke pintu perlepasan. Terasa lega berada dalam barisan menunggu masuk. Tiba-tiba pramugara minta satu dokumen. Hera sendiri tidak mengeri apa,  tapi  bila diberitahu Hera mengagak-agak memang Hera terperasan ada sekeping surat yang dibuang ke tong sampah semasa di mendapatkan tiket tadi. Hera lari ke kaunter tiket mencari-cari pegawai yang bertugas tadi, malang pegawai itu sudah berganti orang lain. Hera minta simpati pegawai di situ, meminta dia tolong carikan surat tersebut yang dibuang ke tong sampah. Allah amat penyayang surat itu ada di tong sampah. Lari lagi Hera ke pintu berlepas. Akhirnya dia menghela nafas lega bila sudah duduk dalam pesawat sedia untuk berlepas ke Penang buat pertama kali dalam hidupnya.


No comments:

Post a Comment