Sunday, March 11, 2018

AKU DI AMBANG SENJA



Tahun ini 2018, usiaku sudah pun genap 60 tahun. Alhamdulillah setinggi-tinggi syukur kepadaMu Ya Allah ya Rahim ya Rzzak, aku dan suami masih sihat, masih dapat menjalani kehidupan seperti biasa adanya. Kami masih boleh bereadhah setiap pagi berjalan kaki, menikmati nyamannya alam ciptaanMu ya Allah ya Ilahi. Hari-hari yang kami tidak bersenam, kami diizinkan yang maha kuasa untuk hadir ke kelas tafsir, kelas hadith, kelas  fekah dan talaqi al-Quran.  

Tahun ini,  sudah masuk tahun ke-6 menikmati hidup selepas pencen bersara wajib. Ada kawan-kawanku yang tidak sempat pencen sudah dijemput pulang bertemu Allah. Ada yang baru pencen sudah sampai ajalnya. Ada yang pencen terus diserang penyakit. Ada yang kematian isteri dan ada juga yang kematian suami atau ada yang menjaga suami atau isteri yang mengidap pelbagai penyakit. Ada pula yang anak cucu tak sihat atau anak menantu tak sihat. Pendek kata macam-macamlah suratan takdir yang telah dilakarkan untuk dilalui masing-masing, sementara menunggu dijemput pulang ke sana. Alhamdulillah syukur kepadaMu Ya Allah Engkau takdirkan aku masih dapat menjalanai kehidupan bersama lagi. Kami masih boleh ke sana sini berdua,dan masih boleh ada teman bergurau senda. Ada masanya kami boleh masih membuat kerja-kerja ringan bersama - berkebun, menanam pokok-pokok bunga, atau mengubah-ngubah perabut, bila suka.

Mengikuti rombongan Kajiselidik PSMCK ke Bangkok
Ya Allah, memang tidak dapat lagi disangkal firmanMu ya Allah, "Mana satu di antara nikmat Tuhan kamu yang kamu hendak dustakan?" Apa lagi yang diingini manusia selain apa yang direzekikan  Allah kepada aku sekarang ini? Suami sihat dan baik, badan pun sihat dan ada sedikit rezeki untuk kegunaan, dan masa pun ada sedikit kelapangan. Dan yang paling amat kami syukuri, dalam usia senja ini kami masih boleh berkhidmat. Setiap hari papa masih boleh ke klinik memberi khidmatnya. Dan aku masih boleh membantunya mana yang perlu, mana yang dipinta.  Kami masih boleh berbincang-bincang hal-hal yang perlukan buah fikiran dan pandangan, terutamanya dalam kerja-kerja yang papa perlu menghasilkan tulisannya.

Bersama Setiausaha PSMCK di Airport Hatyai
Ya Allah semoga Engkau akhiri hidup kami dengan husnul khotimah ya Allah,
Semoga Engkau jauhi akhir hidup kami daripada suul khotimah,
Bantulah kami supaya kami mati dalam mengingatMu dan dapat bertaubat kepadaMu ya Rahiim,
Mudahkanlah akhir hayat kami supaya kami tidak meminta-minta selain dariMu Ya Allah ya Robbal aalamin,
Takdirkan kami supaya mati di hari yang baik, mati kan kami di hari Jumaat ya Allah, supaya kami dijauhi dari siksa kubur, supaya mati kami itu, menjadi tempat rehat yang aman dan dapat mecium bau syurgaMu ya Allah.  Aamiin ya Robbal aa lamiin

No comments:

Post a Comment