Saturday, August 1, 2015

TAKUT KE SEKOLAH 1




Suatu hari dek kerana ingin bermalas-malas, maka aku sengaja merelakan diri membaca dan mengikuti "whatsapp famili" yang sungguh nostalgik, tapi elok dijadikan pedoman untuk kita semua - ibu bapa, guru dan anak. Topik yang menjadi perbincangan; kenangan yang paling diingati. Salah satu topikya ialah tentang seorang anak yang tidak mahu pergi sekolah. Lima puluh tahun lalu, salah seorang anggota keluarga setiap hari, bangun pagi, menangis dan enggan pergi sekolah. Si bapa dengan penuh harapan untuk anak dapat belajar, mengenakan paksaan  agar anaknya pergi sekolah. Si anak pula mengeraskan badannya tidak mahu berjalan ke sekolah. Akhirnya bapa yang hilang punca dan hilang sabar, mengheret anaknya yang masih kecil yang berusia tujuh tahun, dibawa menuju ke sekolah. Si anak terus menangis kerana diheret di atas rumput melalui pokok-pokok semalu yang berduri tajam. Berdarah-darahlah betis si anak kecil itu, terkena duri-duri semalu. Akhirnya si bapa tewas dan si anak enggan ke sekolah sepanjang-panjang tahun satu itu.  Hilang daya usaha ayah untuk menjadikan anaknya belajar di tahun satu. Terpaksalah si ayah redha dengan tekad anaknya yang tidak mahu pergi belajar di sekolah itu.

Rupa-rupanya anak malang itu enggan ke sekolah kerana takut pada gurunya. Dia adalah antara beberapa orang murid yang tidak siap kerja rumah dan tidak tahu menjawab latihan-latihan yang diberikan guru. Oleh itu guru mengarahkan mereka supaya makan rumput kerana kononnya mereka "bodoh macam lembu". Anak itu pun dengan takut dan patuhnya, makanlah rumput seperti yang diarahkan gurunya, bersama beberapa rakannya yang lain. Sudah tentulah keesokan harinya tidak lagi dia mahu ke sekolah, kerana  bukan saja takut tapi malu yang teramat kepada rakan yang lain di kelasnya.

Cuba kita renungkan apakah yang patut kita lakukan?  Sebagai bapa apakah tindakan yang sewajarnya? Jika kita guru, apakah wajar tindakan sebegitu? Jika kita anak apa yang boleh dibuat agar dapat dibantu?


No comments:

Post a Comment