Monday, June 1, 2015

GURU RAJIN, PELAJAR ?




Saya selalu mendengar guru-guru mengeluh. Kadang-kadang sambil menikmati makan di kantin, kadang-kadang  sambil  duduk di padang  atau
berehat di bawah Anjung atau kadang-kadang dalam mesyuarat kurikulum, mesyuarat panitia, malah mesyuarat guru juga. Saya selalu mendengar dengan penuh prihatin dan simpati kerana guru yang mengadu dan mengeluh itu bukanlah guru-guru yang malas, bukan juga guru yang mencuri tulang, tapi guru yang sungguh berdedikasi dan rajin-rajin pula.


Mereka selalu mengadu murid tidak berminat belajar, dan tidak peduli untuk membuat kerja rumah yang cikgu  berikan. Mereka sangat  risau  kalau murid malas, tidak minat atau enggan  belajar. Memang wajar,  dan  memang patutlah  guru risau kalau murid tidak belajar, kerana tidaklah dikatakan ada pembelajaran dan pengajaran atau (PdP) dalam kelas, jika murid tidak belajar. Masalah ini sungguh berat dan memeningkan kepala semua orang yang terlibat dengan pendidikan di Malaysia kini, terutamanya golongan guru.

Saya ingin berkongsikan pengalaman (PdP) yang barangkali boleh membantu guru. Ini pernah saya cadangkan kepada seorang guru yang pernah saya cerap. (PdP) yang menarik dan berkesan mesti bercorak ‘hands-on’. Murid akan lebih seronok belajar jika mereka lihat dan terlibat sama dalam pembelajaran.  Contohnya dalam subjek Kemahiran Hidup, banyak topik boleh melibatkan murid seperti jahitan. Guru boleh memberikan aktiviti kumpulan kepada pelajar supaya mereka menjahit beberapa jenis jahitan tangan. Kemudian mereka boleh diberi projek untuk membuat hasil tangan yang mereka pilih seperti lapik gelas atau lapik pinggan, sapu tangan, alas meja, penanda buku, hiasan dinding dan banyak lagi. Hasil itu boleh dibuat pertandingan dan muridlah yang memberi markah dan mencari pemenangnya.  Kemudian hasil kerja itu  dipamerkan atau boleh dijual pula. Dengan terlibat secara langsung pelajar akan belajar dalam kelas dan akan membuat kerja rumah yang diberikan, tanpa dipaksakan.

Sebenarnya (PdP) dengan menjalankan aktiviti berkumpulan sangat menarik dan berkesan tapi mesti dirancang dengan teliti supaya dapat menarik perhatian pelajar secara maksimum. Aktiviti yang dirancang mestilah juga dapat mengaitkan pelajar dengan kehidupannya seharian yang boleh dilihat dan dinikmati. Jika tidak walau serajin mana pun guru, kalau pelajar tidak dapat  merasai dan menikmati apa yang dipelajari,  guru akan terus kecewa kerana pelajar tidak akan berminat belajar dengan apa yang diajar secara tradisional. Pelajar akan lebih menyenangi apa yang dapat dilihatnya, dipegangnya, dirasanya, atau mendengarnya, di alam reality,  bukan bayangan dan teori saja.   

No comments:

Post a Comment