Tuesday, May 7, 2013

MALAM SONGOM DERAMPUN


Songom derampun  berasal dari perkataan suku kaum Bajau, bermaksud berkumpul dan bersatu, jadi malam songom derampun bermaksud  malam berkumpul Pengetua  beramai-ramai dari seluruh Malaysia, yang dapat  mengeratkan lagi perpaduan. Sesungguhnya  berkumpulnya pengetua-pengetua seluruh Malaysia,  pada malam ini sebagai tanda kukuhnya perpaduan barisan peneraju sekolah, menyokong kuat program-program KPM, demi kemajuan dan kecemerlanag pendidikan negara. Memang sangat tepat, tema persidanagan, " Kepimpinan berprestasi tinggi menjana kepimpinan berkualiti". Yang manisnya jamuan pada mAlam ini  ditaja oleh Kerajaan Negeri Sabah bagi mengalu-ngalukan dan meraikan semua Pengetua yang hadir bermesyuarat.

Sungguh tidak dapat disangkal, besarnya peranan Pengetua, bersama guru-guru, sbg pemangkin kecemerlangan pendidikan. Sesungguhnya, Pengetua mahupun guru, mesti melihat semua keperluan untuk menjayakan KPI yang ditetapkan.  Sesungguhnya kepimpinan warga guru yang berkualiti akan dapat menjana kualiti sekolah, terutamanya kpd pelajar. Semuanya perlu dilaksanakan dgn penuh bijaksana. Sesungguhnya bukanlah mudah menjana kecemerlangan anak bangsa, semuanya memerlukan komitmen, kesungguhan, ketelitian, kesabaran dan akal budi yang amat tinggi.

Begitulah ucapan tetamu utama Pengarah Pelajaran Negeri Sabah mewakili Ketua Menteri yang sangat sibuk dengan urusan pilihan raya yang sudah sangat hampir. Tambah syahdu lagi, kami berkongsi cerita sebuah kisah benar yang dilalui sendiri oleh Pengarah semasa menjadi Pengetua.  Kisah itu menunjukkan betapa besarnya peranan guru, betapa keramatnya sentuhan seorang yang bernama guru, dan impaknya kepada anak bangsa. Apalah ada kepada guru, kerana pada guru, tiada lain melainkan melihat kpd persepsi seorang murid semata-mata. 

Suatu waktu dahulu di  sabah, Seorg guru perempuan selalu mengadu, tentang pelajarnya, nakal, tidak buat kerja sekolah, tidak beri perhatian pada guru, tidak kemas, dan ada saja masalah, yang kurang menyenangkan. Guru yang bersemangat mengajar selalu merungut tentang muridya itu, dia dikatakan malas, dan bodoh.

Suatu hari Sabtu, guru itu berkunjung ke rumah pelajarnya. Alangkah, alangkah sayu dan tersentuhnya hati seorang guru. Pelajar yang sering dimarahinya, telah menyambutnya dengan sopan, disambut oleh emak dan adiknya juga, di tepi tangga yang usang. Rupanya bapanya telah lama meninggal,  lama sudah. Rumahnya beratap rumbia, berlantai buluh, juga tangganya buluh, tiada bekalan elektrik, mandi diperigi, tiada bilik tidur, cuma ada ruang kosong  sebagai ruang tamu dan dapur untuk memasak.  Tiada juga tempat untuk belajar, waima meja untuk membuat kerja sekolah pun tiada juga.  Alangkah tersentuhnya hati, alangkah sangat malangnya anak ini. Ubi rebus dan air kopi yang dihidang rasa tak dapat nak ditelan walaupun kelihatan sangat menyelerakan.

Sungguh terharu, sungguh amat sayu, Budak itu melakukan kesalahan tidak hadir ke sekolah, bukan kerana nakalnya, tapi kerana sukarnya perjalanan ke sekolah yang jauh. Budak itu sangat comot dan kotornya bajunya. Masakan tidak, baju dan kasut dipinjam drp jirannya. Aduhai anak nan malang, sungguh sayu, sungguh sangat terharu. Yg amat menyedihkan lagi, semasa guru turun tangga untuk pulangnya, budak itu berdiri di tangga dan berkata, "maafkan saya cik  gu, rumah saya buruk dan jauh, makanan pun tiada, cuma makanan kampung". Bagai hancur luluh hatinya, melihat dan merenung mata  anak yang kerdil dan tubuhnya yang tak bermaya itu.

Terasa luluh hati hatinya lagi, sebelum pulang, dia dibekalkan pisang, jagung, dan ubi kayu sbg buah tangan. "ini saja yang saya ada cik gu, maafkan saya.'  Guru itu sangat terharu dan hatinya sungguh sayu tak terhingga. Akhirnya, anak yang malang itu nasibnya terbela. Guru yang prihatin itu mengambil anak itu menjadi anak angkatnya, tinggal di rumahnya, belajar bersamanya, dan ditanggung sepenuhnya. Dengan izin Allah anak malang itu akhirnya  berjaya dalam peperiksaannya, dan berjaya ke menara gading.

Maha suci Allah besarnya perhatian guru, dengan sedikit sentuhan rasa, telah mengubah persepsi seorang anak malang, menjadi anak yang berjaya mengharungi ranjau menuju kejayaan dalam hidupnya. Semasa bercerita itu berkali-kali Tuan Pengarah menyebut 'aramaite'  untuk mengurangkan sebak di dadanya dan juga sebak di dada kami. (Bahasa kadazan dusun  - bermaksud berkumpul beramai-ramai untuk bergembira). Begitulah terharunya malam songom derampun yang kami lalui.

No comments:

Post a Comment