Saturday, March 24, 2012

LAMA SUDAH TIDAK MENULIS


Anugerah  Cemerlang PMR 2011
Entah kenapa sudah tidak menulis, di sini buat sekian lama. Barang kali sibuk dengan urusan kenduri kahwin putera sulung ku yang dicintai. Barang kali juga banyak urusan anak cucu dan kenduri kendara yang perlu diuruskan. Atau mungkin juga kerana memang sangat banyak perkara yang perlu diberi perhatian. Apa pun memang sangat terasa kosong dan tiada serinya, jika tidak diserikan blog ini dengan tulisan.


Anugerah Pencapaian Cemerlang SPM 2011
 Sebenarnya bulan Mac ini bulan yang penuh dengan debaran. Untuk waris dan ibu bapa sudah pastilah keputusan peperiksaan SPM dan STPM yang menjadi tumpuan perhatian. Begitu juga seluruh warga guru di sekolah memang tidak lekang daripada membincangkan hal tersebut. Ada yang sangat gembira penuh bangga dan bersyukur jika subjek yang diajar mecapai keputusan yang cemerlang. Sebaliknya jika keputusan tidak mencapai tahap yang diharapkan maka diselubungi kesedihanlah pula, sambil itu merenung-renung pulalah tindakan yang bakal dilaksanakan untuk memperbaiki keputusan sedia ada.

Di samping itu jika guru adalah waris, maka hangatlah lagi perbincangan, jika pencapaian anak tidak seperti yang diharapkan. Maka keluarlah pelbagai sumbangan idea yang dicadangkan, untuk diambil tindakan oleh rakan-rakan yang mengajar mata pelajaran yang dianggap kritikal. Barangkali kerana aku sangat sibuk melayan pelbagai karenah waris, guru, pelajar dan masyarakat, maka kerana itu, menjadikan aku tidak melayari laman blog sendiri dalam jangka masa yang agak lama.


Hari Guru 2012, Anugerah STPM Terbaik Negeri 2011
 Apa pun tahniah kepada pelajar-pelajar yang berjaya dengan cemerlang - STPM terbaik daerah KS dan terbaik buat kali yang ketiga pada peringkat negeri Kedah, SPM tempat keempat daerah KS dengan 9 orang straight A's. Saya sangat bersyukur dan bangga dengan prlajar SMKSB. Tahniah juga kepada semua guru yang sangat kuat bekerja, anda memang pejuang tulen yang menjadi pencinta bangsa. Tidak lupa, syabas yang setinggi-tingginya kepada waris yang telah banyak berkorban masa, tenaga dan segala-galanya. Tanpa anda siapalah kami, tanpa anda kami tentunya tidak dapat menumpang kegembiraan ini.


Syukurlah .... menulis hari ini dapat juga menyatakan rasa syukur kami yang tidak terhingga atas nikmat kurniaan Allah yang tidak ternilai kepada hambanya. Kejayaan bermakna ini dikecapi dan menjadi realiti atas muafakat seluruh warga SMKSB yang tidak berbelah bagi. ......

No comments:

Post a Comment