Friday, October 14, 2011

LEARNING IS FUN BUT ITS NOT EASY 1


Terbaca blog angah tentang mengajar anak-anak membaca, teringat masa muda-muda. Mula-mula mengajar anak kenal huruf, mengajar anak kenal nombor, dan mengajar anak mengaji. Kelihatan sangat mudah tapi ternyata sangat mencabar dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Mengajar anak kenal huruf, bermula sejak anak boleh bercakap. Semuanya dibuat dalam bentuk santai, main-main dan menyanyi, berulan-ulang dan berterusan. Sehinggalah mereka kenal huruf apabila melihat huruf di mana-mana.

Langkah kedua, apabila sudah kenal huruf, barulah diajar membaca huruf mengikut urutan. Ini pun berlaku secara main-main dan seolah-olah tidak dipaksakan, kerana menyanyi berulang-ulang kali, memang disukai kanak-kanak. Masa yang diambil untuk membolehkan anak membaca ABC, tidaklah lama sangat, tetapi untuk memahamkan anak mengeja, agak memakan masa dan perlu lebih banyak sabar. Mula-mula mereka diajak bermain dengan huruf vokal a,e,i,o,u, terlebih dahulu, sehinggalah mereka ingat bunyi setiap huruf vokal. Kemudian mereka diasuh dan dilatih menggabungkan huruf konsonan dengan huruf vokal, ini pun secara bermain dan santai, selalunya semasa di dalam kereta. Akhir sekali barulah mereka belajar membaca, ini pun secara bermain, apabila kami membaca surat khabar atau kami memang bermain untuk memahirkan mereka mebaca.

Proses membaca ini, sangat mencabar, kerana anak-anak perlu duduk dan melihat apa-apa bahan bacaan. Ini perlukan teknik memujuk ibu bapa yang berkesan, dan memerlukan kesabaran ibu bapa yang tinggi. Ini berkaitan dengan pemupukan sikap dan tabiat, dan pemupukan minat dan kebiasaan. Ramai ibu bapa selalunya gagal di peringkat ini, dan selalunya mengalah dengan mengatakan anak mereka tidak minat, sedangkan sebenarnya mereka yang tidak sabar. Tambahan lagi mereka, iaitu ibu bapa, tidak ada budaya membaca, tidak ada suasana membaca dan tiada environmen membaca di rumah, jadi anak-anak tidak boleh melakukan sesuatu yang diarahkan, tapi tidak biasa dilakukan dalam kehidupan seharian mereka. Kadangkala pada waktu ini, semasa anak-anak baru menguasai huruf, mereka sangat agresif meminta kita melayan mereka membaca, sehingga ibu bapa rasa sangat terganggu dengan kerja-kerja harian. Membaca surat khabar pun terganggu, membaca buku pun tak menentu, kerana mereka minta diberi perhatian untuk mereka dapat membaca satu dua perkataan yang baru, atau membimbing mereka membaca perkataan baru untuk menambah keterujaan mereka membaca perkataan baru. Kita akan gagal jika kita minta mereka baca sendiri, kerana kita nak buat kerja kita. Kita akan gagal jika apabila mereka jemu, mereka akan memberontak dan membuat kacau, seperti menangis, dan bergaduh, dan akhirnya kita marahkan kerana mereka buat kacau. Sedangkan mereka memberontak kerana mereka mahu terus dibantu untuk mereka boleh terus membaca perkataan baru. Kalau zone kritikal ini dapat diatasi dengan sabar dan bijaksana, mereka akan melepasi saat kritikal ini dan dapat menguasai atau sekurang-kurangnya memulakan tabiat membaca pada peringkat awal.

Jadi untuk anak-anak mula membaca ibu bapa mesti membaca di hadapan mereka, membaca bersama mereka dan sabar mengajak mereka membaca bersama kita. Di samping itu aktiviti membaca mesti menjadi aktiviti keluarga sepanjang masa, barulah anak akan boleh membaca, rajin membaca dan terus suka membaca, sehingga mereka berjaya.

No comments:

Post a Comment