Monday, December 14, 2009

TAHUN BARU SEKOLAH BARU


Bulan Disember memang sangat sibuk melayan tetamu yang tidak diundang. Setiap hari ada saja tetamu yang datang mengadap. Ada saja alasan yang diberikan untuk didengar dan dinilai.Paling tidak dapat memberikan harapan kepada mereka, permintaan mereka akan dipertimbangkan. Itu sudah cukup baik, sudah cukup memberi harapan dan bolehlah mereka pulang dengan membawa harapan. Ada yang datang bertanya, ada yang datang merayu, tidak kurang juga datang memaksa. Yang lebih mengesankan ada yang datang membawa masalah, ingin lari dari masalah yang sedia ada; dengan andaian bahawa masalah akan selesai begitu mudah dengan bertukar sekolah, tanpa mengambil kira aspek-aspek lain yang juga menyumbang kepada masalah.

Ini yang masyarakat tidak faham, ini yang masyarakat selalu salah pertimbangan. Masyarakat tidak nampak segalanya datang dari ibu bapa. Kalau ibu bapa dapat menjadi role model yang baik kepada anak-anak semua masalah remaja memang senang dapat diatasi, tidak perlu bergantung kepada sekolah semata-mata. Ini tidak, ibu bapa sibuk pilih sekolah baru pada awal tahun, untuk masuk tingkatan satu terutamanya, atau bertukar sekolah kerana pencapaian akhir tahun tidak seberapa, dengan apa cara sekali pun, tapi tidak menyelami remaja dengan apa cara sekali pun untuk pembentukan jati diri dan sahsiah.

Kalau pemilihan sekolah pun dengan cara yang tidak betul, menggunakan pelbagai saluran, ini sudah mengajar anak-anak bahawa dalam hidup kalau ada kuasa, ada nama, ada wang, semua peraturan sudah tidak lagi terpakai. Jadi tidak hairanlah jika nanti pegawai tinggi terlibat rasuah dan penyelewengan kerana didikan yang sangat berkesan ialah perlakuan ibu bapanya yang dilihat sejak mereka kecil lagi.

No comments:

Post a Comment