Thursday, August 6, 2026

REST DAY FUNABASHI HOTEN CHIBA


Day 18
7 April 2026
Selasa

Pagi- pagi lepas sarapan hantar Naema dan Hawa pergi sekolah sampai depan rumah saja, sebab mami dah pergi kerja. Hari ini hari pertama sekolah selepas cuti akhir tahun di musim luruh. Snap foto hantar dekat mami, sebab mami suka ambil gambar depa sebelum pergi sekolah. Lepas itu, pagi jam 8.30 masuk kelas taafsir online, ustaz tafsir surah Al-Ghafir bersama Ustaz Saad. Untuk pagi itu sarapan ialah pulut lemak makan dengan ayam masak merah. Memang sedap dan menyelerakan makan pulut di pagi hari yang dingin itu. Hayyan sangat suka, lepas sarapan bawa bekal untuk makan tengah hari di madrasah,

Sambil rehat-rehat tolong angah basuhkan kain baju dan sidaikan di ampaian. Kemudian suruh Hana lipat dan kemaskan baju-baju yang sudah kering. Nanti angah balik kerja, semua sudah kemas taklah serabut sangat. Sementara ada bolehlah bantu sikit-sikit, nanti kalau dah balik Malaysia boleh tengok dari jauh saja, dah tak boleh nak bantu lagi. 

Jam 10.30 Hawa dah balik dari sekolah. Hari pertama di tahun persekolahan baru Hawa masuk darjah 3. Aktiviti hari ini, pagi ada perhimpunan  umum semua pelajar. Selepas itu pelajar bergerak ke kelas masing-masing, ada perjumpaan dengan guru kelas, ambil tempat duduk dan ambil buku-buku yang sekolah sediakan. Kemudian terus balik dan esok Hawa ddan pelajar lain dicutikan keran sekolah nak menyambut pelajar-pelajar baru darjah Satu.

Jam 11.30 Naema pula sampai balik dari sekolah. Naemah pun sama aktiviti pagi macam Hawa. Tapi selepas ambil buku, mereka pergi tolong cikgu bersih bilik-bilik dan sediakan bilik-bilik untuk pelajar darjah Satu. Naema sapu sampah, lap lantai dan susun meja bersama rakan-rakannya. Kelas Naema pelajar pelajar darjah 6 dah cuci sebab tu mereka pergi tolong cuci kelas darjah satu. 

Alangkah bersyukunya dapat tahu, Naema telah berubah ke kelas nombor satu daripada kelas nombor dua pada tahun lepas, bermakna ada peningkatan yang positif, alhamdulillah. Tersenyum simpul Naemah bagi tahu tok berita gembira itu. Barangkali dia rasa agak sukar belajar dalam bahasa Jepun, kerana bermula di darjah 3. Semoga Allah membantu Naemah dan memudahkan segala urusan pelajaran dia, in sya Allsh, biiznillahh.

Jam 1.00 tengah hari Hawa pergi main-main di rumah kawan. Dia pergi jalan kaki sebab tak jauh sangat dengan rumah. Hawa cakap mula main-main dekat rumah, lepas tu dah petang sikit pergi main dekat taman pula. Ramai-ramai depa pi main dekat taman tak jauh dari rumah. 
Pukul berapa nak balik? Tok minta kepastian.
Lepas bunyi loceng baliklah, Hawa bagi tau tok. 
Dekat taman ada loceng ke, tok terkejut.
La dekat sini memang pukul 4.00 petang loceng bunyi dekat semua taman, semua orang yang main kat taman kena balik rumah. Lepas pukul 4 semua budak dah dekat rumah.  Kalau nak keluar mesti keluar dengan mami atau dedi je.
Oh macam tu ke kat sini tok mana tau.

Alangkah baiknya penjagaan anak-anak di Jepun ni. Mereka diatur oleh kerajaan supaya selamat bermain di tempat awam dan mengikut masa berada di tempat awam. Anak-anak tidak terbiar bermain ikut suka hati pada masa yang tidak sesuai. Jadi anak-anak selamat dan ibu bapa pun tak perlu risau anak tak balik dari taman permainan. Alhamdulillah semoga mereka belajar menjadi manusia berdisiplin dan menjadi anak-anak soleh dan soleha di negeri matahari terbit ni insyaAllah. Rasa terharu pula dengar cerita Hawa ni. Tok doakan semuga  mereka akan berjaya dan belajar benda-benda baik sebagai bekalan di masa akan datang untuk berjaya duniia dan akhirat insyaAllah

Ya Allah aku sangat kasihkan mereka tapi aku sangat yakin Engkau lebih kasihkan  mereka. Aku serahkan anak-anakku dan cucu-cucuku kepadaMu, tolonglah berikan mereka kehidupan yang baik di dunia dan kehidupan yang baik juga di akhirat aamiin ya Robbal aalamiin.


ANDERSON THEME PARK DAN GINZA

 

Day 17
6 April 2026
Isnin

Pagi seperti biasa jam 8.30 kami mengaji online dengan Ustaz Saad, hadis tentang kelebihan sifat nabi Mohamad saw. Pagi ini angah pergi kerja, dedi work from home dan anak cucu cuti sekolah semuanya. Jadi selepas makan tengah hari dan solat kami, jam 1.30 tengah hari, kami  keluar untuk melawat Anderson Theme Park.

Dalam perjalanan cuaca  cerah  dan dingin lebih kurang 23*C. Kelihatan di jalan ramai orang berjalan kaki, ada yang  naik basikal dan ada ibu-ibu yang membawa anak-anak naik basikal berdindingkan plastik untuk menghalang angin. Semua mereka keluar untuk menikmati cuaca yang terang dan nyaman. Di Jepun memang satu budaya bila cuaca cerah dan tidak hujan, orang akan keluar menikmati cuaca yang elok itu. 

Cuaca terang di musim cuti sekolah ini, kanak-kanak pun keluar berbondong-bondong berjalan kaki dan berbasikal, untuk pergi ke taman permainan. Kadang-kadang dalam satu kumpulan ada yang berbasikal dan ada yang berjalan kaki, semuanya sama-sama menuju ke taman, untuk bermain bersama-sama. Hawa kata dia pun berjalan dan berlari-lari anak bersama-sama kawannya pergi ke taman, sebab ada orang yang ada basikal dan ada orang yang tak ada basikal. Hawa tunjuk taman tempat dia bermain tak jauh dari rumah, cantik sangat dikelilingi pohon-pohon sakura yang berbunga lebat. 

Di sepanjang perjalanan kami menikmati sakura yang cantik, gebu dan indah, maha suci Allah. Di sepanjag jalan kelihatan bunga sakura memang ditanam di kawasan rumah sebagai hiasan rumah. Ada yang ditanam di kawasan taman permainan, ada yang ditanam di kawasan taman bunga dengan banyak dan tersusun rapi. Sakura yang ditanam di Park atau taman bunga siap ada katelog pokoknya, ditanam dengan perancangan, dijaga dirawat dan ditata dengan rapi, sehingga terhasil bungan yang lebat dan gebu. Dan juga banyak juga sakura ditanam di sepanjang jalan-jalan raya. Jadi bila musim sakura berbunga-bungaanlah di mana-mana kita pergi kita akan melihat sakura di Jepun, masha Allah tabarokallah, manusia di dunia ini mengikut apa yang dia kerjakan. Sepanjang jalan ke Anderson Theme Park pun kami melihat keindahan sakura di mana-mana.

Sampai di Anderson Theme Park cuaca mendung dan udara agak sejuk. Tiket masuk untuk dewasa JY 900, kanak-kanak JY 200 dan untuk warga emas melebihi 60 tahun masuk percuma, tapi mesti tunjukkan passport sebagai bukti, jadi tok wan dan tok sangat gembira dapat masuk ke Park dengan percuma, alhamdulillah rezeki yang tidak diduga.

Dalam Park di padang-padang yang hijau kelihatan ramai keluarga membentangkan tikar duduk-duduk berkelah, menikmati makanan dalam cuaca dingin yang indah, dihiasi bunga-bunga yang pelbagai jenis. Kebanyakan mereka datang dari pagi-pagi lagi dan duduk berkelah sepanjang hari di situ, kerana mereka sangat dahagakan suasana luar rumah, taman-taman terutamanya, untuk melengkapkan kehidupan mereka yang sepanjang minggu bekerja dan tinggal di rumah yang tiada kawasan hijau. Anderson Park ini dinamakan sempena sebuah bandar di Denmark dan diisytiharkan sebagai bandar kembar di Denmark. 

Anderson Park ini didesignkan dengan taman-taman seperti di Denmark dan ditanam pokok-pokok bunga seperti bunga-bunga yang terdapat  di Denmark. Banyak pokok tulip, warnanya berbagai-bagai dan daripada perbagai jenis spesis pula yang menghiasi perlbagai sudut taman ini. Bunga-bunga tulip yang terang warnanya digabungkan dengan bunga sakura yang gebu-gebu, serta pelbagai jenis bunga-bungaan lain menjadikan Anderson Park sebuah taman tema istimewa dengan bunga-bungaan, sungguh menarik, istimewa,  anggun dan mempesonakan sekali.

Selain taman-taman bunga, tema lain yang diketengahkan identiti ikonik Denmark. Dibinakan juga sebuah bangunan kincir air yang besar berhampirang sebuah tasik dan aliran sungai yang deras. Terdapat juga suatu kawasan perkampungan kecil yang mempamerkan corak kehidupan sebuah  kampung tradisi di Denmark. Ia mempamerkan sebuah rumah cottage, dengan rupa bentuk, perabut dan peralatan seperti kehidupan orang kampung.  

Kemudian kami melintasi jambatan yang merentangi sungai yang luas untuk ke kawasan taman permainan kanak-kanak yang lebih berfokus kepada out-door activities. Bentuk alat-alat permainan  seperti tempat aktivi panjat-panjat, diperbuat dengan kayu-kayu balak yang  besar, tempat aktiviti bergayut menggunakan tali besar menghubungkan antara  tiang menjadikan kanak-kanak bermain dengan penuh cabaran. Selain itu ada aktiviti permainan berdayung dalam air dan aktiviti main di pancutan air di dalan kolam yang besar. Nampak kanak-kanak bermain dengan seronok, kerana ini satu pengalaman baru yang tiada di tempat lain. Naema dan Hawa main air pancut dalam kolam, dalam cuaca sejuk pun dia sangat teruja berlari-lari terjun kolam. Begitulah seronoknya budak-budak main dan merasakan suatu yang baru, walaupun mereka sudah pernah ke seni sebelum ini.

Malam di Ginza

Pukul 5 kami gerak ke EON untuk beli barangan sekolah Naema dan Hawa. Lama juga kami di situ memberi peluang mereka memilih barang yang diperlukan. Kami gerak ke Ginza kawasan shopping eksklusif di Tokyo, untuk ambil mami pergi makan malam di Restoran Rasa Malaysia. Kami jumpa Angah di kedai Otsuka, dia sedang beratur untuk beli kasut adik. Di kedai Otsuka pelanggan memang mesti  mesti beratur untuk masuk kerana bila ada jualan murah kedai tak mahu orang berkerumun dengan sesak sehingga tak selesa untuk memilih dan membeli barang. Mereka menjaga supaya shopping menjadi suatu yang eksklusif di situ. 

Selepas jumpa mami kami berjalan ke surau di Roof Top sebuah Pasaraya untuk solat maghrib. Surat cantik walaupun kecil, mama dan papa nak solat jamak di rumah untuk menjimatkan masa. Ramai juga kami lihat orang Malaysia yang singgh solat, silih berganti, alhamdulillah mereka tak Lupa sang pencipta walaupun di negara orang, dalam hati kami bersyukur yang amat sangat ada juga tempat untuk solat. 

Kemudian kami berjalan pula ke Restoran Rasa Malaysia yang telah ditempah. Kalau tak tempah tak boleh walk-in kerana tempat yang terhad, lebih kurang 10 meja saja yang ada. Kami tiba di tingkat 1, meja sudah tersedia untuk 8 orang. Di Jepun keluarga kami dikira keluarga besar, jarang orang Jepun ada anak lebih daripada 2 orang. Alhamdulillah kami makan nasi, kueteau teng, kueteau goreng, dan kari laksa. Alhamdulillah semuanya sedap-sedap, terasa seperti makan di Malaysia tapi harganya ya Allah. Syukur pada Allah kami dapat menjamu selera anak beranak. 

Makan malam hari ini, terasa seperti jamuan perpisahan kerana  dua hari lagi kami akan balik ke Malaysia meninggalkan semua anak menantu dan cucu-cucu yang dikasihi. Allah takdirkan kita berjauhan, kita sabar saja, barangkali Allah menjanjikan yang lebih baik untuk kami, berharaplah dan redhalah. Ya Allah Engkau ya Fattah, ya Mujib, ya Zaljalali walikrom, tiada tempat kami memohon, kembalikan kami semoga kami dapat bersatu semula insya Allah. Apa saja takdirMu ya Allah kami kami terima dengan senang hati, tidak ada daya upaya kami untuk melakukan apa pun melainkan hanya dengan keizinanMu. Berikan kami dan  semua anak beranak kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Aamin. ya Robbal aalamiin.