Sunday, May 19, 2024

SEMAKIN MEROSOT


26 April 2016, tarikh yang tidak pernah dapat dilupakan. Sejak tarikh itu, sehingga kini sudah hampir 8 tahun, mak tidak lagi boleh berjalan. Depan mata dan sekelip mata mak berubah menjadi bed-ridden. Subhanallah, maha suci Allah yang menentukan segalanya ikut ketentuan yang telah tercatat sejak aazali, tersimpan kemas di Luh Mahfuz, dan terjadi pabila sampai masanya. 

Sejak hari itu emak perlukan bantuan untuk semua pergerakannya kecuali anggota tangan dan kaki sebelah kanan. Mak hanya boleh suap makan dan angkat kaki kanan. Mandi, pakai pampers, bangun duduk dari tidurnya, dan pusing ke kanan, semuanya dibantu. Alangkah sangat sedihnya ketika itu melihat keadaan mak yang sudah menjadi orang lain, bukan dirinya yang dulu lagi. Tapi lama kelamaan keadaan itu dapat diterima seadanya. Maka kehidupan kami berubah sesuai dengan keadaanya yang perlu dirawat setiap hari. 

Hari terus berlalu, lama kelamaan mak kurang selera makan, badannya semakin susut. Macam-macam masakan dimasak, atau dibeli supaya mak lebih selera makan namun takdir Allah tidak siapa dapat mengubahnya. Mak terus terusan tak lalu makan, makan sesuap dua dia dah tak mau makan lagi, walaupun disuap mak tetap mengelak untuk makan. Alangkah sedihnya waktu itu Allah saja yang tahu. Laailaaha illa anta subha naka inni kuntu minadhoo limiin. 

Kemudian mak diserang stroke buat kali kedua, dia masih boleh makan sikit-sikit dan minum sedikit air. Akhirnya mak tak boleh minum lagi apatah lagi makan, langsung tak boleh. Dia akan tersedak jika makan atau minum kerana makanan dah tak boleh masuk lagi sebab lama tak diguna pakai. Selepas itu, untuk bantu mak, dia mula minum pakai tiub dan tidak boleh lagi makan apa-apa lagi. Kaki dan tangan kananya yang masih boleh bergerak, semakin mengeras kerana dia enggan bergerak langsung. Aku sangat sedih tapi takdir Allah tiada yang dapat menghalang, aku belajar menerima seadanya. 

Selepas itu keadaan mak semakin merosot. Emak sering terganggu tidurnya di malam hari. Maka siangnya emak tidur setidur-tidurnya. Kadang-kadang bermalam-malam mak tidak tidur. Maka mak mula bercakap banyak, bercakap seperti orang yang kurang sihat fikirannya. Maka kami berikan ubat membantu emosi mak agar lebih tenang dan dapat tidur malam. Selepas itu mak kembali stabil emosinya bila dapat tidur malam seperti biasa. Namun sejak itu mak dah semakin kurang bercakap, sepatah ditanya, sepatah dijawab. Bersabarlah aku dengan apa saja seadanya. Alhamdulillah syukur dengan segala yang ditakdirkan.

Sekarang mak banyak tidur siang dan malam pun dia tidur juga. Dia langsung tidak bercakap. Ditanya apa-apa dia senyum saja, dan merenung kami. Berat badan pun nampak semakin susut. Aku sedih tapi apa yang boleh aku buat, hanya memohon ampun kepada Allah dan menerima takdir Allah dan berdoa agar terus redha dengan segala pemberianNya. Aku terus belajar bersabar, terus belajar memujuk hati agar redha dan terus berserah pada Allah semata-mata, terus berdoa agar diberikan kekuatan untuk mengaharungi ujian yang Allah berikan. 

Aku yakin segalanya atas kehendak dan ketentuan Allah untuk kami. Ya Allah semoga Engkau bantu kami untuk terus dapat berlapang dada. Ya Allah bantu kami untuk sabar, bantu kami ya Allah untuk terus berharap dengan rahmat dan rahim Mu. Cukuplah Engkau bagi kami ya Allah, tiada daya upaya kami untuk berbuat kebaikan melainkan dengan keizinanMu jua dan tiada daya upaya kami untuk berbuat keburukan melainkan hanya dengan keizinanaMu jua ya Allah. Bantulah kami, kasihanilah kami, dan redhalah ke atas kami. Sesungguhnya tiada apa pun milik kami, melainkan milikMu segalanya, ya Allah ya zaljala liwal ikram. 







No comments:

Post a Comment