Wednesday, August 26, 2020

DUSUN DURIAN

 

Siapa yang tidak suka buah durian? Jarang kita jumpa orang tidak suka raja buah ini. Begitulah jugalah kami, memang penggemar durian, khususnya papa dia memang hantu durian. Papa memang sangat nostalgik dengan durian. Sejak kecil dia memang sudah banyak menghabiskan masanya di dusun sewaktu musim buah. Apatah lagi bila musim durian gugur dia memang tak lepas peluang mengutip buah durian, setiap awal pagi. Sekarang kami tidak boleh lagi menunggu buah durian gugur. Masa yang kurang dan kesibukan yang dialami menghalang kami untuk untuk menikmati suasana mengutip durian di dusun kami di Langkawi. Tambah-tambah lagi sekarang buah durian sangat mahal di pasaran, nak balik kampung masa tak mengizinkan, jadi kami teruja untuk menanam pokok durian di kampung di Tunjang.

Ini kerana musim sekarang buah durian sangat meriah dengan pelbagai jenis specis buah baru yang berada di pasaran. Kalau zaman dulu-dulu dalam tahun-tahun 80-an di kampung, antara buah yang sedap seperti ganja, kucing tidur, jantung dan kahwin. Kemudian diikuti pula dalam abad ke-21 dengan kehadiran jenis specis baru seperti D24, tangkai panjang dan pelbagai jenis durian Siam pula.  Jadi kami ambil peluang ini untuk memilih jenis specis durian yang popular sekarang antaranya duri hitam, musang king, dan monthon untuk kami tanam.

Jadi bermulalah aktiviti menanam durian. Mula bersihkan tanah sebab kebun kami yang kecil itu sudah semak dengan pokok-pokok belukar. Kemudian cari benih durian dan balik korek lubang dan tanam pokok-pokok durian pilihan hati kami. Lepas tu buat sistem paip untuk bagi air pada pokok durian agar tidak kering waktu tiada hujan turun. Lepas tu letak baja dan racun anai-anai agar pokok dapat hidup dan membesar dengan cepat. Kalau ikut kebiasaan dalam 5 tahun pokok durian sudah mula mengeluarkan buah insyaAllah. Jadi harapan kami Allah akan mengurniakan kami hasil untuk dinikmati bersama sebagai nikmat Tuhan kepada hambanya. Dulu-dulu pun orang tua kami walaupun sudah tidak boleh berjalan, pak masih tak putus asa. Dia semai biji durian, jaga anak durian sampai besar dan akhirnya tanam pokok durian. Dia buat semua itu walaupun dia sangat sedar masa untuk dia menikmati durian barangkali tidak sempat, mengenangkan usia dan keadaan kesihatannya. Begitulah juga kami, barangkali sempat barangkali tidak sempat, tapi kami tidak kisah, kerana kalau kami tak sempat makan, tentu anak cucu kami sempat makan. Tentu ia memberi manfaat kepada anak cucu kami insyaAllah.

Ya Allah kami sangat yakin apa saja yang diusahakan akan membuahkan hasil. Ya Allah semoga usaha kami yang sedikit ini dapat memberi sumbangan kepada zuriat keturuan kami. Dan kalau ada sedikit pahala insyaAllah, Engkau limpahkanlah kepada kami sebagai pahala sedekah jariah, yang akan mengalirkan kebaikan kepada kami di sana nanti insyaAllah. Aamiin.

No comments:

Post a Comment