Tuesday, February 27, 2018

ENTAH KENAPA?


Tak tau di mana nak ku mulakan. Dalam mengadun emak yang sakit, hati ku sentiasa saja merasa sayu, sering terasa sedih, dan mudah sangat tersentuh mengenangkan perjalanan hidup emak, yang sukar namun berjaya membesarkan kami hingga kami berjaya dan menjadi manusia. Banyak juga yang dapat kupelajari tentang perjalanan hidup ini. Banyak yang boleh menjadi panduan dalam aku mengharungi kehidupanku yang masih berbaki.

Sebagai seorang anak yang pernah menjadi ibu, aku sering terbanyangkan saat-saat gembira semasa emak membesarkan kami dulu-dulu. Sudah pasti emak  dan arwah abah sangat bahagia dengan dua orang anak:  seorang perempuan  dan seorang lelaki. Pastinya mereka menjaga kami dengan penuh kasih sayang yang tak terhinggakan. Waktu itu sudah tentu cuma bahagia dengan anak. Semuanya pada waktu itu tentulah terasa amat indah, anak  menangis pun suka, anak sakit pun tak mengapa. Segalanya tertumpu kepada perkembangan dan pembesaran anak hari demi hari. Sebab itu mereka bekerja keras mencari rezeki siang dan malam, pagi dan petang, panas atau hujan, tidak dirasakan terbeban sedikitpun. Semuanya tidak lain kerana kasih sayang yang tidak berbelah bagi.

Kerja mereka rencam: abah berniaga macam-macam - jual buah-buahan, jual manek koran, dan jual apom balik. Ada masa abah ambil upah buat bendang: mengala tanah, mukoi padi dan ayak padi untuk mendapatkan bekalan beras. Ada masa hari  cuti abah ikut Bomba Sukarela pula. Dan bila aku sudah besar abah jadi driver bas sekolah. Pendek kata macam-macamlah abah buat untuk mencari pendapatan dengan sungguh-sungguh  dan tekun untuk menjaga kami. Emak pula motong getah, tanam padi, tanam sayur tepi rumah, ambil upah jahit baju, ambil upah buat kueh, belajar masak dan tolong orang masak kenduri. Masa free emak ayak sekam untuk makan ayam itik yang dibelanya. Semuanya dikerjakan dengan tekun dan istiqamah. Semuanya terlaksana melalui kegigihan yang amat tinggi. Semuanya kerana kasih dan sayang mereka, demi anak-anak yang tercinta, sehingga tidak pernah mereka risaukan susah payah dan pahit  maung yang dirasai. 

Kini terlantar di katil, sudah pasti emak teringatkan anaknya yang seorang lagi. Dia sudah pasti rindukan anaknya yang dahulunya dibelai sejak kecil hingga dewasa. Dia mesti terlintas dalam hatinya untuk mendengar khabar anaknya itu. Aku pun tidak faham tidak ingatkah langsung untuk menjenguk emak yang terlantar sakit ini? Aku pun tidak faham. Kalau anaknya tidak ingat, tidak adakah sedikit ingatan seorang isteri kepada ibu kepada suaminya? Aku pun tidak faham. Besarnya ujian untuk seorang ibu. Besarnya juga ujian untuk seorang anak. Ya Allah aku pohon pertunjukMu. Tunjukkan kami jalan yang  benar. Semoga kami mendapat kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Ya Allah ampunilah dosa kami dan dosa kedua ibu bapa kami. Tempatkan kedua ibu bapa kami setinggi-tinggi darjat di SisiMu ya Allah ya Rahman ya Rahiim ya Robbal Aalamin.


 

No comments:

Post a Comment