Saturday, November 25, 2017

KE MANA KAN KU BAWA HATI 1


Entah bagaimana mahu ku mulakan. Aku tidak pasti. Barangkali boleh aku mulakan atau aku sebutkan tentang perasaanku sejak sekian lama. Perasaan ku yang aku rasa dan aku tanggung sejak  kebelakangan ini. 


Yang pertama yang dapat aku lahirkan ialah, aku amat terkejut dengan musibah yang Allah hantarkan kepadaku. Rasa terkejut itu amat mencengkam dan menyesakkan dada. Bukan kerana tidak bersangka baik dengan ketentuan Mu Ya Allah, tidak sekali-kali.  Tapi tidak pernah aku menduga bahawa selama ini emak yang sentiasa kelihatan kuat, dan kental semangatnya, rupanya rapuh perasaanya dik memendam rasa sedih yang amat sangat, selepas pemergian abah yang amat dicintainya. Semasa edah emak memang tidak keluar rumah. Selepas edahnya dia terus tidak mahu ke mana-mana, terperuk di rumah. Kawan-kawan rapatnya tak henti datang memujuk, mengajak emak ke kelas mengaji atau kualiah-kuliah. Tapi emak tetap menolak dengan alasan dia sakit lutut dan tidak sampai masa lagi. Jadi kami tidak mendesak emak untuk menikmati kehidupan dengan kawan-kawannya seperti biasa. Emak bukanlah orang yang mudah dipengaruhi, dia mempunyai pendiriannya sendiri dan membuat keputusannya sendiri. Jadi jika emak sudah buat keputusan, kami memang tidak berupaya memujuknya lagi. Hari demi hari tinggallah emak dengan pembantunya, dan diziarahi teman-teman mana yang kelapangan. Kami bergilir-gilir balik menjenguk emak tak henti-henti, untuk menghiburkannya, supaya dia tidak sunyi. Dia nampak ceria dan gembira bersama kami. 

Beginilah suasana gembira balik kampung
Oleh itu, kami kurang risau, kerana kami lihat kehidupan emak berjalan seperti biasa. Emak sihat orangnya, tiada darah tinggi, tiada kencing manis atau sakit jantung.  Cuma dia sakit lutut, dia telah membuat pembedahan lutut dan boleh berjalan seperti biasa . Jadi pada kami dia sihat fizikalnya, dan kuat pemikiran serta semangatnya. Rupanya kami salah, andaian kami langsung tidak benar. Hati dan perasaan emak sebenarnya rapuh. Semangatnya  tidaklah sekental yang kami bayangkan. Kami tidak pernah menduga emak memendam rasa. Emak sembunyikan perasaannya yang sebenarnya. Kesunyiannya yang tak tertanggung. Kerinduannya yang tak berakhir. Tawanya hanya di luar. Dia sibukkan dirinya dengan pokok-pokok bunganya, tanamannya, dan aktiviti kejiranannya. Dia sibuk dengan kelas baca Yaasin, Marhaban dan tahlilan bersama rakan taulan. Kadang-kadang jadi ketua masak di rumah kenduri. Kami tidak pernah terfikirkan bahawa perkara itu menjadi gangguan emosi kepadanya. Akhirnya penanggungan perasaan yang berat dan sekian lama disembunyikan itu tak tertanggung lagi. Begitulah takdir ketentuan Ilahi Ya Muqtadir: Yang Maha Berkuasa, Ya Malikukul Mulk: Yang Maha Menguasai Segala Kerajaan,  terjadilah takdir suratan Ilahi, Kun Fayakun - tanggal 24 April 2016, lebih kurang jam 12,30 tengah hari, emak diserang angin ahmar. Dengan sekelip mata emak sudah tidak boleh berjalan, boleh bangun duduk, dan boleh menggerakkan cuma kaki dan tangan kanannya sahaja.
Inilah rumah kami yang amat emak sayangi sepanjang hayatnya
Alangkah berdosanya kami, Ya Allah ampunilah kami, maafkan kami, terimalah taubat kami Ya Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Lembut PengurusanNya. Sesungguhnya kami amat dhaif, dan kami amat tidak berilmu tentang perkara-perkara yang kurang dapat kami lihat, khususnya perihal yang tersembunyi dan disembunyikan oleh Iradat Mu Ya Alah yang Maha Berkuasa, Maha Mengetahui lagi Maha Luas kekuasaanNya . Hanya padaMu Ilahi yang terserlah semua ketentuan yang tercatat sejak azali. Bantulah kami supaya kuat, dan bantulah kami supaya sabar. Sesungguhnya tiada daya upaya kami untuk berbuat kebaikan dan tiada daya upaya kami untuk mengelak keburukan melainkan dengan kekuasaan Mu jua Ya Allah. Kasihaninilah kami sesungguhnya kami hanya berharap kepada Mu tidak lain hanya kepada Mu. Aamiin Ya Robbal Aalamiin.

No comments:

Post a Comment