Tuesday, May 4, 2010

DATANG LEWAT

Selalu sangat mendengar rungutan guru bertugas tentang pelajar datang lewat dalam mesyuarat. PK HEM selalu membangkitkan isu yang sama. Yang paling tidak disukainya ialah muka-muka yang sama saja yang masih datang lewat, walaupun sudah diberi amaran berkali-kali. Satu hari semasa meninjau-ninjau kedatangan pelajar waktu pagi, memang ada juga beberapa orang, masih datang selepas loceng berbunyi, ada yang bas rosak, bapa sakit, emak baru balik kerja malam dan lain-lain yang masih boleh diberi pertimbangan dan diberi teguran, nasihat dan amaran.

'Kenapa lewat?'
Dia diam tunduk membisu, kerana dia memang tahu dia sebenarnya salah. Dia tak berdaya untuk berkata walau sepatah kata pun. Dia memang tahu, dia sepatutnya datang lebih awal.Dan dia pun memang tahu dia telah berulangkali melakukan kesalahan itu. Sejak akhir-akhir ini selepas gempur datang lewat, memang sudah tidak ramai pelajar yang datang lewat lagi.

'Awak bangun lewat ya?'
Dia hanya mampu menggelengkan kepalanya yang masih tunduk.
'Pukul berapa bangun?'
'Pukul lima cik gu.'
'Kalau bangun awal kenapa tak datang awal?'
Dia terus diam kaku. Dapat dilihat bajunya basah dek peluh. Peluh di dahinya juga merenek seperti orang baru lepas berjoging. Tapi dia datang bermotosikal. Pelik betul budak ni.

'Awak buat apa pagi tadi?'
'Cuba cakap betul-betul dengan saya.'
Bahunya yang basah dek peluh dipegang memberi keyakinan. Ditepuk perlahan memberi harapan, supaya dia dapat menyatakan sesuatu. Barang kali dia perlu dibantu. Barangkali dia sudah lama menanggung sesuatu.
'Saya tolong mak tolak kereta sorong, pi goreng mee di pasar borong. Pukul tujuh baru balik rumah, siap datang sekolah'
'Bapa pergi mana?'
'Bapa sudah mati.'
Tersentak aku mendengar jawapannya. Aduhai anak yang malang. Rupanya amat berat penanggungan, besarnya pengorbanan, dan besarnya kesusahan yang ditanggung oleh anak semuda kamu.

'Kamu anak yang baik, kamu tolong mak kamu, dan bantu mak cari duit. Kamu memang sangat baik.'
'Tapi sekarang kamu sekolah. Kamu mesti ikut peraturan. Datang sekolah mesti sebelum 7.30. Boleh tak datang 5 minit lebih awal? Cuba boleh tak?'
'Dan yang lebih penting kamu perlu sekolah rajin-rajin. Kalau kamu berjaya kamu boleh ubah hidup kamu. Kamu boleh bantu mak kamu bila kamu dapat kerja yang baik.'
'Saya cuba cik gu.'

No comments:

Post a Comment