Wednesday, August 7, 2024

BETONG, YALA, PATTANI

DAY I 
31 Julai 24 (Rabu)
Alor Setar Betong

Sudah lama besan kami cikgu Yusof mengajak kami untuk jalan-jalan ke Siam. Dia memang suka pergi ke sebelah sana, jalan-jalan dan makan-makan. Jadi kami buat keputusan mengikut rombongannya ke Thailand. Tujuan ke sana membuat lawatan balas kepada lawatan Tok Imam Yala Haji Ahmad Tunjung. Dia menjemputkami makan durian di dusunnya. Selainnya jalan-jalan  berukhuwah ke Sekolah Pondok dan beriadhah sambil menikmati keindahan alam ciptaan Allah yang maha kuasa, dan menikmati makanan dan kelainana budaya yang Allah sediakan untuk diambil iktibar bagi meningkatkan lagi keimanan kami semua.

Seawal jam 7.00 pagi semua  38 orang ahli rombongan telah sedia mengambil tempat dalam bas hawa dingin yang cantik dan selesa milik Farhan Travel and Tours. Mudah perjalanan orang tua-tua pencen sebab semuanya sangat patuh masa dan arahan. Perjalanan ke Siam akan melalui pintu sempadan Pengkalan Hulu, dan terus merentas sempadan ke Betong. Bas mula bergerak kami diberi taklimat aturcara perjalanan. Kami berhenti sekejap di Gurun, kemudian di masjid Pengkalan Hulu, dan lebih kurang jam 10.00 pagi rombongan kami tiba di check-point Pengkalan Hulu. Urusan pasport dan semakan bagasi cepat sebab tidak ramai pelancong pada hari-hari bekerja.

Alhamdulillah kami berada di atas bas semula lebih kurang jam 10.30 pagi, memulakan jalan-jalan  di tanah Betong. Dulunya Betong ini kawasan hutan tempat sarang komunis yang mengganggu di Tanah Melayu. Sehingga sekarang terowong yang menjadi markas mereka masih kekal utuh dan menjadi tempat pelancongan, tapi kami tak berminat untuk melihat kesan sejarah hitam itu. Sangat menjengkelkan. Selepas perjanjian damai mereka membuka tanah dan membuat pekan sehingga berkembang majuseperti sekarang