DAY 4: 18 OGOS 2016 (KHAMIS)
1. MASJID LUANG KUCHAA ITSAHAK : 9.00 PAGI
Pagi-pagi lagi lebih kurang jam
8.30, kami 'checkout' dari Hotel Royal Palace, kemudian kami terus bertolak ke
Mesjid Luang Kuchaa Itsahak, kerana dimaklumkan kami akan diberi sarapan pagi di sana.
Kami sungguh terharu kerana menunggu kami di sana, ramai kaum keluarga waris
keturunan Luang Kuchaa yang menyambut ketibaan kami. Turut serta Tuan Imam dan
pegawai-pegawai masjid, semuanya turut meramaikan majlis yang sedia diatur
untuk pertemuan pada hari itu. Objektif kajian ialah dialog dengan waris Luang
Kuchaa, melawat rumah Luang Kuchaa, melawat penempatan Somdet, dan meninjau
tempat persinggahan kerabat Diraja Kedah sebelum mengadap Raja Siam.
Selepas semua mengambil tempat, sambil
minum pagi menikmati juadah yang sungguh mewah dan sedap, majlis dimulakan dengan
ucapan aluan wakil Masjid Luang Kuchaa.. Walaupun kami sebangsa dan seagama,
tapi batasan kami ialah bahasa, jadi ucapan kedua-dua pihak mendapat bantuan
juru bahasa Tuan Ramli (Apirat) yang fasih berbahasa Melayu dan bahasa Thai.
Dalam ucapan aluan oleh wakil masjid, beliau mengalu-alukan kehadiran kami, dan
mereka amat terharu dengan kunjungan kami ke Mesjid Luang Kuchaa.
Seterusnya dalam ucapan balas, Dr Kasri menceritakan tujuan kedatangan kami ke Bangkok
ialah untuk melihat sejarah perjalanan hidup Tunku Abdul Rahman dalam kehidupan
remajanya dan alam persekolahannya. Yang kedua ialah untuk mengesan kubur kekandanya
Tengku Yusof yang telah mangkat, dikebumikan di Thailand dan kemudian kuburnya
dipindahkan ke Kedah. Hasrat tersebut telah dipenuhi dalam rangka lawatan dua
hari lepas. Yang terakhir ialah untuk
melihat dan mendengar cerita tentang Luang Kuchaa Itsahak dalam hubungannya
dengan politik Kedah, kerana banyak tercatat dalam sejarah Kedah tentang
peranan besar yang dimainkan oleh Luang Kuchaa. Sebab itulah kami memilih Mesjid
Luang Kuchaa, supaya dapat menemubual ahli keluarga Luang Kucha dan dapat
mendengar cerita-cerita berkaitan dengannya.
Seterusnya sessi dialog iaitu temubual
dengan keturunan Luang Kuchaa telah diserahkan kepada Dr Ibrahim. Sebagai
permulaan diterangkan peranan besar Luang Kucha Itsahak yang sangat penting,
yang pernah dilaksanakan dalam suatu
jangka masa yang agak lama, kepada keluarga diraja Kedah. Beliau bertugas sebagai
Jurubahasa dan juga sebagai Pembantu Somdet,
berkhidmat kepada kerabat Diraja Kedah yang berkunjung ke Bangkok. Bermula dari
keberangkatan Sultan Zainol Rashid (1843 -1850), orang yang menerima dan membantu Sultan ialah Luang Kuchaa.
Kemudian selepas pertabalan Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram (1854-1879), baginda
berangkat ke Bangkok, dan baginda diterima dan diberi perkhidmatan oleh Luang
Kuchaa juga. Pada masa itu ada seorang puteri bernama Wan Jah anak Luang Nik
Abidin dipelihara oleh Somdet, kemudian atas arahan Somdet, Luang Kuchaa telah
menguruskan perkahwinan Sultan Ahmad Tajudin dengan Wan Jah.
Hai ini terjadi kerana zaman duhulu
Sultan Kedah datang ke Bangkok dalam satu jangka masa yang lama, dua atau tiga bulan, sebab itulah berlaku aktiviti seperti perkahwinan dan sebagainya. Kemudian Sultan
Ahmad Tajuddin pada tahun 1865, datang lagi ke Bangkok untuk memberitahu
Maharaja, bahawa Kubang Pasu telah masuk
kembali sebagai wilayah Kedah. Tapi pada masa itu baginda tinggal dalam kapal dan Luang Kuchaa telah menguruskan
baginda juga. Pada tahun 1879 Permaisuri Maheran telah mangkat, Maharaja Thai telah
menghantar Luang Kuchaa pergi ke Kedah. Selepas Sultan Zainal Rashid 2 telah
ditabalkan, baginda datang ke Thailand juga dan duduk dengan Luang Kuchaa lagi.
Seterusnya selepas Sultan Abdul Hamid ditabal menjadi Sultan, baginda dibawa
ke Thailand, untuk mendapat pengesahan
Bangkok, Luang Kuchaa jugalah
yang telah memberi rumah rakitnya untuk
Sultan tinggal di situ. Jadi memandangkan hubungan dua hala yang rapat, kedatangan
kami ialah untuk mendapatkan perkara-perkara penting supaya dapat menulis
peranan besar yang dimainkan itu, di samping melihat aspek-aspek penting lain
yang patut diberi perhatian.
Suatu perkara lagi ialah,
terdapat seorang juru tulis Sultan, Tok
Kerani Mohd Arshad bin Sheikh Abu Bakar Kadhi bin Sheikh Abd Kadir Mufti, pada zaman Sultan Ahmad Tajudin, telah datang ke Bangkok dan tinggal bersama
Luang Kuchaa. Beliau kemudian sakit dan meninggal di sini. Mengikut cacatan
beliau dikuburkan di Masjid Luang Kuchaa. Jadi kalau boleh kami ingin tahu atau
kalau boleh ingin mencari di mana kubur Tok Kerani Mohd. Arshad itu.
Seterusnya, tujuan kami juga ingin mencatat susur galur keturunan Luang Kuchaa atau kalau
ada susur galur yang sudah ditulis kami minta jika tidak keberatan untuk dapat dibuat
salinan bagi memudahkan kerja-kerja penulisan tentang Luang Kuchaa.
Menurut cerita cucu Luang Kuchaa,
Encik Tui Phya Samantarath Burin, Luang
Kuchaa mempunyai 8 orang isteri, dan memperoleh 16 orang anak semuanya. Sessi
temu bual dengan salah seorang cucu Luang Kucha (generasi ke-3) sungguh rancak
dan menarik. Banyak maklumat yang dapat
diperolehi dari responden Encik Tui yang ditemubual. Sementara responden kedua
pula merupakan salah seorang cucu lain yang juga dapat melengkapkan maklumat
yang dicari. Untuk menjimatkan masa dan memudahkan pemahaman kami, mereka
membuat cacatan di papan putih, dan mereka berjanji akan meminjamkan kepada
kami, susur galur keluarga yang disimpan
oleh salah seorang anggota keluarga meraka.
Selepas temubual kami
bertukar-tukar cenderamata. Kemudian kami beredar ke kuburan di kawasan
belakang masjid, untuk mencari kubur Tok Kerani Mohd Arshad. Sayang sekali
tidak dapat dikesan kubur yang kami cari, kerana jarak masa yang terlalu lama.
Walau bagaimanapun AJK masjid berjanji akan mengesan kuburan tersebut bagi
pihak kami. Sebelum beredar pada jam 11.30 pagi, kami dibekalkan dengan kueh pau
berinti daging. Inilah makanan tengah hari kami kerana kami ingin mengejar masa
melawat satu lagi kelompok masyarakat Melayu di Bangkok yang baru diberi
cadangan oleh wakil kami, iaitu di masjid Nurul Mubin.
No comments:
Post a Comment