Showing posts with label HADIS QUDSI. Show all posts
Showing posts with label HADIS QUDSI. Show all posts

Sunday, April 3, 2016

TAK PERLU RAKAN KONGSI


HIMPUNAN HADITH QUDSI: BAB 10  HADITH N0.21, 22, 23, 24
RIWAYAT ABU HURAIRAH DAN MUSLIM

Nabi saw bersabda, "Allah yang maha tinggi lagi maha berkat berfirman, "Aku adalah yang paling kaya, daripada rakan-rakan kongsi, Aku tidak memerlukan rakan kongsi. Barangsiapa yang melakukan suatu amalan, dan amalan itu bukan tulin untuk Aku, Aku akan membiarkannya dan langsung tidak akan menerima amalan-amalan itu, Aku akan membiarkannya kepada rakan kongsi". 
"Aku akan berlepas tangan, Aku tidak ada kena mengena denganya dan tidak akan terima sebarang amalan yang dibuat bukan keranaKu, dan bukan semata-mata ikhlas untukKu".
"Ketahuilah bahawa Aku, Allah, adalah sebaik-baik rakan kongsi, Barangsiapa yang melakukan amalan dan mempersekutukanKu, maka untuk amalan itu, Aku berlepas tangan, Aku tidak akan terima. Sesuatu amalan itu bermula dengan niat, jika diniat keranaKu untuk Allah, Aku terima amalan-amalan soleh itu, iaitu amalan-amalan yang dilakukan hanya untuk mendapat keredhaanKu, dan amalan yang mengikut syarak".
Nabi bersabda lagi, "Orang yang melakukan amalan dengan riyak, mendapat masyhur di dunia, di akhirat Allah akan masyhurkannya dengan keburukan-keburukannya".

Pengajaran:
1. Amalan yang dilakukan  kerana untuk mendapat sanjungan dan  pujian  manusia, dibuat dengan adanya perasaan riyak tidak diterima Allah kerana kita sudah mendapat apa yang kita ingini di dunia ini, jadi tiada lagi balasan Allah di akhirat, kerana Allah sudah berlepas tangan, tidak menerima amalan sebegitu. 
2. Amalan-amalan yang dilakukan dengan ikhlas, semata-mata kerana Allah, seperti bersilaturrahim dan sebagainya, Allah akan beri balasan baik sejak di dunia lagi, seperti murah rezeki dan lain-lain keberkatan yang tidak boleh kita fikirkan.
3. Marilah kita beramal dengan penuh keikhlasan dan semata-mata kerana Allah jua adanya, semoga kita mendapat kebaikan di dunia dan kebaikan akhirat sana.  


YANG PALING BERTUAH


HIMPUNAN HADITH QUDSI: BAB 9  HADITH N0.20
RIWAYAT ABU HURAIRAH

Abu Hurairah bertanya kepada Rasulullah saw, berkali-kali, "Siapakah yang paling gembira mendapat syafaatMu wahai kekasih Allah? Nabi bersabda, "Orang yang paling bertuah ialah orang yang mengucap 'Lailaha Illallah', dari hatinya yang sungguh-sungguh ikhlas, faham maksudnya dan maknanya dengan sebenar-benarnya, kemudian dengan rela hati ikut arahan Allah, dengan melaksanakan tanggungjawabnya kepada Allah iaitu mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya. 

Seterusnya riwayat daripada Bukhari, Nabi pernah bersabda, "Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas api neraka daripada membakar orang-orang yang mengucap kalimah  'Lailaaha Illallah'  dan mencari keredhaan Allah."

Hadith daripada Bukhari lagi, suatu hari, Abu Zhar pernah berjumpa Nabi saw, yang tertidur dengan pakaian putih, Nabi bersabda, "Tidak ada seorang hamba pun yang mengucap 'Lailahaa Illallah', dan mengekalknnya sampai mati bertemu Tuhan, melainkan dia masuk syurga....."

Pengajaran:
Jika kita inginkan balasan syurga Allah jagalah kalimah syahadah kita dan berpeganglah dengan janji kita itu kepada Allah seikhlas mungkin. Sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janji. 

 


Wednesday, March 30, 2016

FADILAT LAILAHA ILLALLAH


HIMPUNAN HADITH QUDSI: BAB 9  HADITH N0. 16, 17, 18, 19
RIWAYAT ANAS

Nabi Mohamad saw pernah bersabda, bahawa Allah berfirman, "Apabila seorang hambaKu menyebut Laailaha Illallah, wahai malaikat hambaKu telah tahu, dan telah mengaku, bahawa tiada Tuhan melainkan Aku Allah,  maka kamu semua wahai malaikat menjadi saksi, bahawa Aku telah mengampunkan dosa-dosa hambaKu itu". 

Allah juga berfirman, "Dekatkan orang-orang yang mengucap dua kalimah syahadah, dengan ArasyKu, sesungguhnya Aku kasih kepada mereka".

Allah berfirman  lagi,  "Ada di kalangan umat Musa yang duduk merata-rata, di tempat tinggi atau di tempat rendah, balasan kepada mereka di sisiKu ialah balasan kepada Nabi-Nabi, kerana mereka sentiasa berzikir Laailaha Illallah".

Allah pernah menyebut dalam firmanNya, "Telah tertulis di pintu syurga kalimah Laailaha Illallah - tiada Tuhan melainkan Allah, oleh itu aku tidak akan siksa sesiapa umatKu yang mengucapkannya". 

Pengajarannya:
1. Oleh itu jagalah diri kita supaya sentiasa mengucap dua kalimah syahadah kerana Allah telah menjanjikan keampunan dan syurga kepada kita insyAllah.  

Tuesday, March 29, 2016

PELIHARALAH KALIMAH SYAHADAH


HIMPUNAN HADITH QUDSI: BAB 8  HADITH N0.15
RIWAYAT ABI SAID ALKHODRI

Nabi Mohamad saw telah bersabda, Nabi Musa pernah membuat permintaan kepada Allah azzawajalla, "Wahai Tuhanku, ajarkanlah kepadaku sesuatu yang boleh saya zikirkan dan boleh saya ingatkan kepada kaumku agar menjadi amalan yang memberi manfaat yang besar kepada mereka". Allah berfirman kepada Musa, "Amalkanlah Laailaha Illallah". Nabi Musa memjawab, "Ya Tuhanku, semua hamba Kamu mengatakan itu, Saya mahukan sesuatu yang menjadi milik aku seorang, yang menjadi amalan umatku untuk kebaikan mereka". Lalu Allah menjawab, "Hai Musa, kalau tujuh langit, dan beserta sekalian malaikat di tujuh langit itu, diletakkan di sebelah timbanganKu, lalu kemudiannya diletakkan di sebelah satu lagi timbanganKu itu, ucapan "Laailaha Illallah", sudah pasti  timbangan itu lebih berat lagi daripada yang sebelahnya. Begitulah besarnya kalimah "Laailaha Illallah" sehingga lebih berat timbangannya, daripada tujuh lapisan langit beserta semua penduduk malaikat di tujuh lapisan langit itu.

Pengajarannya:
1. Allah memberi pahala yang besar kepada orang yang mengucapkan kalimah "Laailha Illallah" sehingga pahala timbangan itu melebihi daripada berat tujuh lapis langit dan segala isi malaikat di dalamnya.
2. Jagalah diri kita, supaya kita manusia tidak tergelincir daripada janji kita, yang telah kita buat iaitu mengucap dua kalimah syahadah, yang menandakan kita telah beriman kepada Allah, dengan mengucap dua kalimah syahadah itu, kita tergolong sebagai orang yang mendapat kebaikan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.
3.   Hendaknya manusia menjauhkan diri daripada anasir yang boleh mengelakkan  kita daripada beramal dengan kalimah syahadah "Laailha Illallah".

Monday, March 21, 2016

MALAIKAT MEMOHON AMPUN


HIMPUNAN HADITH QUDSI: BAB 7  HADITH N0.14
RIWAYAT ABI HURAIRAH

Nabi bersabda, sesungguhnya Allah mempunyai tiang daripada cahaya, yang berada di hadapan arasy. Apabila seseorang menyebut "lailaaha Illallah", tiang cahaya itu bergerak atau bergoncang. Lalu Allah berfirman bertanyakan tiang itu kenapa ia bergoyang? Lalu tiang itu menjawab, mana mungkin aku boleh tenang, sedangkan Engkau Ya Allah, belum mengampuni dosa orang yang mengucapkan dua kalimah syahadah itu. Lalu Allah berfirman, sesungguhnya Aku telah mengampuni dosa mereka itu. Maka selepas itu tiang pun diam.

Pengajaran:
1. Orang yang bersyahadah mendapat perhatian malaikat di langit.
2. Malaikat memohon supaya Allah ampunkan dosa orang yang mengucap dua kalimah syahada.
3. Allah mengampunkan dosa orang yang mengucap syahadah.

Marilah kita rebut janji Allah ini, insyaAllah mendapat kesajahteraan dunia  akhirat. Bagaimana lagi kita dapat menunjukkan cinta kita kepada kekasih Allah Nabi Mohamad saw, kalau kita tidak mengamalkan apa yang disampaikan baginda kepada kita?. Sesungguhnya orang yang mencintai Nabi saw dikasihi Allah dan mendapat syafaat baginda, di saat tiada siapa dapat membantu dan memberi pertolongan kepada kita nanti. Ya Allah ampunilah kami, Amin.   

SYAHADAH


HIMPUNAN HADITH QUDSI: BAB 6  HADITH N0.10
RIWAYAT ALI BIN ABU TALIB

Nabi Mohamad saw bersabda, Allah berfirman, "Sesiapa yang datang kepadaKu nanti dengan membawa amalan ungkapan 'Laailaha Illallah', iaitu mengucap dua kalimah syahadah dengan ikhlas dan jujur, mereka seolah-olah masuk ke dalam kotaKu. Barang siapa masuk kubur, dengan membawa kalimah syahadah, akan dia sudah terjamin terselamat daripada azab". 

Pengajaran:
1. Sesungguhnya Aku (Allah) tiada Tuhan melainkan Aku, maka hendaklah kamu sekalian menyembah Aku.
2. Orang yang mengucap dua kalimah syahadah adalah golongan yang diterima Allah di akhirat nanti.
3. Allah menjanjikan sesiapa mengucap syahadah dia terlepas daripada azab kubur. 
 
Oleh kerana pentingnya dua kalimah syahadah dalam kita mengesakan Allah, maka dalam bab ini, melalui hadith 11, 12, dan 13, Nabi bersabda berulang kali, menegaskan  bahawa baginda telah mendengar Jibril menceritakan bahawa Allah menegaskan barang siapa mengucap dua kalimah syahadah dia telah masuk ke "kubuKu" dan akan terlepas azab  Allah.

Mudah-mudahan kita semua dapat menjaga diri dan keluarga kita supaya sentiasa menjaga kalimah syahadah dan beramal dengannya. Semoga kita berada di landasan yang betul, supaya dapatlah nanti kita termasuk dalam golongan orang yang diterima Allah hendaknya. Amin

KALEBIHAN TAUHID


HIMPUNAN HADITH QUDSI: BAB 5  HADITH N0.9
RIWAYAT ANAS BIN MALIK

Nabi Mohamad saw bersabda, Allah berfirman, "Adakah ada balasan kebaikan melainkan dengan kebaikan?" Nabi bertanya kepada sahabat-sahabat, "Adakah kamu tahu apa yang Tuhan kamu katakan?" Nabi bersabda Allah berfirman, "Tidak ada balasan bagi orang yang telah pilih untuk beriman mentauhidkan Aku, melainkan ia akan dapat syurga."

Pengajaran: 
1.Orang yang memilih untuk beriman dan mentauhidkan Allah, maka dia akan dapat  merasai nikmat iman.
2. Orang yang beriman, balasannya tidak lain melainkan syurga Allah, jadi jagalah iman kita supaya sentiasa yakin akan keesaan Allah.
3. Orang beriman ialah orang yang melaksanakan perintah Allah dengan sungguh-sungguh dan menjauhi larangan Allah dengan sesungguhnya.. 

Wahai anak-anakku yang dikasihi, marilah kita sungguh-sungguh beriman kepada Allah dengan menunaikan Rukun Iman dan Rukun Islam. Melalui Rukun Iman - marilah kita meneguhkan keimanan dengan meletakkan kepercayaan yang tidak berbelah bagi kepada Allah semata-mata, percayakan Rasul, Malaikat, qadhak dan qadar, dan percaya kepada hari kiamat adanya. Dengan bersandarkan Rukun Iman marilah kita terus istiqamah melaksanakan Rukun Islam - mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan sembahyang 5 waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji ke Baitullah.  Semoga dengan ikhlas melaksanakan semua amalan yang dipertanggungjawabkan, kita akan tergolong sebagai umat yang Allah janjikan syurga. Marilah sama-sama kita rindukan syurga Allah dengan menjaga orang-orang di bawah tanggung jawab kita. InsyaAllah teruslah merindui Allah dan Rasul agar kita mendapat redha Allah.

Sunday, March 20, 2016

KEAGUNGAN ALLAH


HIMPUNAN HADITH QUDSI: BAB 4  HADITH N0.7
RIWAYAT ABDU BIN HUMAID ALHARITH

Nabi Mohamad saw bersabda, Allah berfirman, "Sesungguhnya dalam tanganKu, (yakni Allah) yang maha pengasih, ada suatu kitab yang tertulis di dalamnya 315 syariat, iaitu jenis-jenis akhlak dan tingkah laku yang baik seperti benar, amanah, tunai janji, muliakan jiran dan lain-lain lagi. Allah bersumpah demi keagungan Ku, seorang hamba yang menemui Ku di akhirat dalam keadaan dia tidak syirik atau mempersekutukan Aku dan dia telah mentauhidkan Aku, dan ada salah satu daripada 315 akhlak mulia diamalkannya, dengan keagunganKu ia masuk syurga".
Pengajaran:
1. Allah berkuasa memberikan balasan syurga kepada apa saja perlakuan baik yang dilakukan manusia walaupun sedikit di akhirat nanti.
2. Manusia yang mentauhidkan Allah dengan sentiasa mengucapkan ucapan "laaialaha Illallah..." dengan ikhlas, Allah ampunkan dosanya
3. Jauhi perbuatan mensyirikkan Allah kerana Allah bersumpah, orang yang syirik kepada Allah, menjauhkan manusia itu daripada  Syurga Allah. 

Semoga dengan hadis ini, kita akan sentiasa berwaspada agar menjauhi perbuatan yang boleh membawa kita kepada murka Allah iaitu syirik. Perbuatan syirik ini seolah-olah kita menidakkan keagungan Allah swt, dengan itu ia menghalang kita daripada mendapat rahmat Allah yang maha agung, iaitu syurgaNya yang sangat-sangat kita harapkan, yang menjadi destinasi kita dalam kehidupan dunia yang sementara ini.   

ALLAH LAYAK DITAKUTI


HIMPUNAN HADITH QUDSI: BAB 3  HADITH N0.6
RIWAYAT ANAS BIN MALIK


Nabi saw bersabda maksudnya, Allah berfirman "Aku"lah yang layak ditakuti, dengan bertaqwa, iaitu mematuhi segala perintahKu, dan menjauhi segala laranganKu. Barangsiapa taqwa kepadaKu, tidak akan mempersekutukan Aku, atau berlaku syirik. Sesungguhnya "Aku"  layak mengampuni dosa-dosa manusia selain dosa syirik.

Pengajaran:
1.Allahlah yang berkuasa menciptakan manusia daripada tiada apa-apa sehingga manusia dapat hidup di dunia ini.
2. Dialah Allah yang menjamin kelangsungan hidup dan kehidupan di dunia dengan segala nikmat yang disediakan tanpa kita sedari. 
3. Oleh itu wajarlah manusia ikut akan perintah Allah dan takutkan Allah azzawajalla  kerana Dialah yang berkuasa sepenuhnya terhadap perjalanan hidup dan perjalanan dunia yang dinikmati manusia.
4. Orang lain tidak berkuasa mengampuni dosa mana-mana manusia sekalipun.
5. Orang yang melakukan dosa dan  bertaubat,  Allah berfirman "HambaKu tahu dia ada Tuhan yakni Allah dan takut kepadaKu , maka Aku ampuni dosa hamba itu". 

Ku tuliskan terjemahan hadis yang ku pelajari dari Ustaz Saad seorang tenaga pengajar INSANIAH yang berasal dari Mesir, untuk tatapan anak-anakku yang kukasihi, yang aku tahu kamu semua kurang masa untuk mendalami sunnah Nabi secara istiqamah.  Mudah-mudahan tulisan ini dapat membimbing anak-anak tercinta untuk membimbing cucu-cucuku sebagai penyambung warisan menjadi orang yang beriman dan bertaqwa, agar mendapat kesejahteraan di dunia dan akhirat. Mudah-mudahan kegembiraan di dunia menjadi amalan untuk sama-sama kita mendapat redha Allah menuju nKe syurgaNya insyaAllah....Amin