Showing posts with label budaya - bomoh. Show all posts
Showing posts with label budaya - bomoh. Show all posts

Thursday, June 18, 2026

KUALA LUMPUR KE HANEDA


Day  2
22  Mac 2026
2  Syawal 1447
(Hari Raya Puasa 2)

Selesai bersiap kami gerak ke KLIA 2 jam 8.00 pagi. Oleh kerana kaunter masih belum buka kami makan pagi di Oriental Coffee: menu pilihan kami nasi lemak ayam 2, kuehteaw goreng 1, kari mee 1, mee rebus 1, dan roti bakar kaya cheese 1. Alhamdulillah selepas kenyang makan dan minum kopi jam 10.30 kami print tag bagasi untuk urusan daftar masuk dan dapatkan borading pass di kaunter tiket dan kami selesaikan urusan drop bagasi.  Selepas semua urusan check-in selesai kami bergerak menuju imigresen untuk untuk pelepasan antarabangsa, semua urusan cepat dan lancar saja, alhamdulillah.

Sambil menunggu waktu solat zohor, Along dan Hajar menyiapkan QR CODE untuk urusan kemasukan di Tokyo. Jam 1,25 tengah hari kami solat jamak zohor asar, kemudian terus ke departure hall. Jam 3 kami terbang dengan selamatnya. Dijangka kami akan tiba di Haneda jam 9.00 malam Malaysia bersamaan janm 10 waktu Jepun insyaAllah. 

Kami lunch nasi beriyani bukhara, panas-panas dan lapar makan memang terasa sangat sedap. Lepas tu mama berehat, papa reading, Ali main game, Along dan Hajar layan movie. Dinner kami makan bekal yang dibawa roti dan ketupat raya untuk lapik perut sudah memadai.

Kami tiba tepat 6 jam masa penerbangan, jam 10.00 malam. Cuaca sudah terasa sejuk dan proses melepasi imigresen agak makan masa sebab ramai penumpang. Kemudian  pergi untuk ambil bagasi juga terpaksa tunggu. Selepas tu melalui kastam kami kena tunggu juga sebab kami declare makanan dari ikan, takut menjadi kesalahan, rupanya makanan dari ikan tiada masalah, alhamdulillah semua lancar tapi agak makan masa.

Hampir jam 12.00 selamatlah kami sampari di arrival Hall. Dari jauh kami dah dengar suara Naema dan Hawa memanggil kami.  Angah dan Hasrul tersengeh senyum gembira melihat kami berlima. Meriah sungguh perjumpaan anak beranak yang lama sudah tidak berjumpa. Kami berpelukan melepas rindu, riuh rendah denga hilai tawa. Orang Jepun pun naik heran melihat suasana yang luar biasa itu. Mereka senyum-senyum melihat karenah kami, sebab mereka budayanya berbeza agak reserve dan malu-malu. 

Di luar cuaca sejuk dan hujan renyai-renyai. Angah kata sekarang cuaca tak menentu kerana nak bertukar summer. Masa 1 jam perjalanan tak terasa berlalu, kerana banyak sangat yang kami ceritakan. Jam 1 pagi kami sampai rumah. Alhamdulillah kami selamat sampai terima kasih ya Allah, syukur ya Allah sampai juga niat kami melawat anakanda dan cucu yang dirindui dengan selamatnya. Syukur alhamdulillah.

Malam yang meriah itu mata kami jadi tak mengantuk. Banyak cerita dan bertanya khabar. Yang paling meriah ialah anak cucu. Mereka seronok sangat menerima bingkisan yang dibawa oleh Hajar. Semuanya mereka pesan sebelum kami terbang. Semua yang dibawa telah dibuka, barulah budak-budak masing-masing dapat melabuhkan diri untuk tidur. Jam dah larut malam ya Allah syukur atas segala pemberianMu.  Alhamdulillah semoga esok semuanya akan kembali bercahaya insyaAllah.




Saturday, April 19, 2014

UBAH NAMA


Zaman dulu-dulu ramai orang dipanggil namanya dengan nama timang-timangan. Selalunya nama ini diberikan kerana keistimewaan atau kekurangan seseorang anak itu. Ada kawan yang dipanggil Teh kerana kulitnya yang putih gebu waktu kecilnya, atau sebaliknya jika berkulit hitam dipanggil juga Tam. Tapi yang lebih menarik ialah apabila seorang anak ditukar namanya kerana kononnya dikatakan tidak serasi. 

Banyak faktor yang jika diteliti menyebabkan perkara ini berlaku. Kadang-kadang bila seorang anak kecil menangis tidak henti-henti selepas lahirnya, maka ramailah yang berpendapat namanya yang telah diberikan tidak serasi dengannya. Maka ditukarlah nama asal kepada nama panggilan yang baru. Yang menariknya bila bertukar nama anak itu kurang menangis berbanding dulu. Sebab itulah jika seorang anak kecil menangis namanya akan diubah menjadi nama panggilan yang kekal menggantikan nama yang didaftarkan kepadanya. 

Sebab lain barangkali sesesorang anak itu selalu saja diserang pelbagai penyakit tidak henti-henti, sehingga menimbulkan kesukaran kepada keluarganya. Maka ditukarlah dengan nama yang baru dan secara kebetulan pula berkurangan penyakit yang menyerangnya itu. Jadi kaum keluarga sangat yakinlah nama itu tidak sesuai dengan bayi yang baru dilahirkan. Atau barangkali seorang anak kecil susah lena waktu malam, yang menjadikan ibu bapanya mengalami kesukaran dek tidak dapat tidur waktu malamnya. Makanya nama pun ditukar dan masalah itu sedikit reda kepada keluarga yang menanggungnya.

Fenomenon ubah nama anak ini memang banyak berlaku dalam masyarakat Melayu. Sebenarnya ada upacara yang dibuat untuk ubah nama pada zaman dahulu. Selalunya bomohlah yang melakukannya bila diminta berbuat demikian. Papa pernah bercerita dia pernah melihat sendiri, Tok bomoh akan memasukkan biji beras sebiji-sebiji ke dalam gelas berisi air, sambil kaum keluarga yang hadir diminta menyebut nama yang disukai dan dikehendaki. Selagi biji beras tenggelam apabila disebut sesuatu nama, selagi itulah dia terus memasukkan beras sebiji-sebiji ke dalam gelas. Bila nama disebut dan beras tidak tenggelam, maka nama itulah yang diberikan kepada seorang anak yang nak diubah namanya. Nama yang diberikan itu, akan kekal digunakan sehinggalah seorang itu menjadi dewasa dan tua.

Begitulah suatu unsur budaya yang hampir dilupakan dan tidak diamalkan lagi sekarang. Unsur ini dikatakan kolot dan tambahan lagi tok bomoh yang dikatakan mahir dengan ilmu firasat seperti itu sudah berkurangan dalam masyarakat sekarang ini. Jadi ia sudah semakin hilang ditelan zaman. 

Thursday, September 15, 2011

UBAT TANAK


Masih ingat dengan jelas, emak sakit perut senggugut bila setiap bulan dia uzur. Bukan saja dia mengalami kesakitan tapi juga, emak selalu beritahu dia tidak tahan sebab darah turun terlalu banyak. Dia jadi letih tak bermayak .Tapi tak pernah pula emak beritahu dia ke klinik atau jumpa doktor. Yang masih diingat dengan jelas emak minta abah jumpa bomoh. Emak minta abah beri wang pengkeras RM1.25 untuk dapat ubat mengurangkan darah yang terlalu banyak.

Bila balik abah beritahu emak macam-macam jenis daun dan akar kayu. Mak cari sekeliling rumah dan kampung. Entah daun apa yang dikumpulkan, entah akar kayu apa yang dicabut dari halaman, akhirnya mak rebus semua akar kayu yang diberitahu atas dapur tungku. Air rebusan akar kayu menjadi ubat tanak, menjadi ubat untuk apa-apa penyakit yang dihidapi. Memang selepas minum dua tiga kali ubat tanak itu, kelihatan emak sudah pulih, sihat seperti selalu. Mengenang saat itu, patut juga diambil tahu, apa jenis akar kayu itu. Begitulah zaman dahulu, kalau sakit, bomoh dahulu, akar kayu buat pembantu, hospital aku jarang tahu, sehinggalah aku sudah tahu, tahu sendiri tentang hospital yang jarang-jarang orang mahu.

Friday, September 9, 2011

MENGUBAT PENYAKIT MISTERI


Suatu hari (sekitar tahun 71 - masa aku tingkatan 2) aku tidak pergi sekolah kerana seorang saudara terdekat abah, sepupunya sakit kuat. Aku dibawa bersama ke rumah orang sakit untuk menemani keluarga bagi berkongsi kesusahan yang menimpa mereka. Ramai sanak saudara berkumpul menemani emak saudara abah kerana anaknya sakit kuat. Konon cerita dari malam lagi sisakit tidak dapat tidur ditemani sanak saudara terdekat dan jiran-jiran sekampung untuk memberi sokongan moral kepada sisakit dan keluarganya. Kononnya malam tadi bomoh sudah berubat sepanjang malam itu, tapi sakit masih belum berkurang, dan sisakit masih meraung menangis kesakitan sejak malam hingga ke pagi - tidak tidur, tidak makan dan tidak juga sembuh-sembuh.

Oleh kerana aku masih kecil jadi aku tidak boleh masuk campur urusan orang tua, jadi aku sekadar duduk diam dan mendengar perbincangan orang tua-tua. Kononnya cerita sasakit terkena buatan orang yang sangat serius. Dia diserang dalam perut sebab tu, dia mengadu sakit di perut, dan perutnya seolah-olah pelik, kerana bila disentuh saja, dia sangat sakit. Yang lagi sedihnya, dia turun darah tak henti-henti. Habis kain batik yang dilapik untuk tidur basah dengan darah yang mengalir. Semua orang kelihatan sangat risau, kasihan, runsing dan takut juga barangkali, mengenangkan sisakit yang masih tidak sembuh-sembuh.

Walaupun sudah berubat, entah berapa orang bomoh telah dijemput silih berganti, untuk berubat, tapi tidak menunjukkan pesakit ada tanda-tanda akan sembuh dan berkurang sakitnya, malah dia menjadi semakin lemah kononnya. Pagi itu sudah berganjak ke tengah hari, lepas semua orang makan seadanya untuk jamuan tengah hari, sisakit masih lagi tidak berkurang laungan teriak tangisnya menahan kesakitan. Si bomoh meneruskan kerjanya berubat dengan pelbagai cara, tabur beras, pukul lantai, pukul keliling rumah, jampi air dan entah apa-apa lagi yang aku tidak dapat liahat, berusah menyembuhkan penyakit misteri itu. Semua orang jadi bingung, semakin hari berganjak ke petang semakin lemah tangisannya, walaupun bomoh semakin rancak berusaha sekeras-kerasnya.

Selepas itu, aku dapat dengar hampir ke petang bomoh beritahu dia sudah tak berdaya membantu. Akhirnya selepas waktu asar hampir ke senja, tangisannya menjadi semakin lemah longlai dan hampir tidak kedengaran. Semua orang berkumpul di sekelilingnya. Aku dengar ada tangisan, ada yang menahan tangisan juga, dan aku juga dengar ada orang ajar sisakit mengucap dua kalimah syahadah. Aku sangat sedih kerana aku sedar ajalnya sudah tiba. Memang benar seketika selepas itu aku dengar laungan tangisan ibu sisakit, diikuti tangisan orang lain dan kemudian semua orang dalam tangisan, beredar dari mengelilingi si sakit. Aku memejam mata turut merasakan kesedihan, mengalir juga air mataku, mengenangkan sisakit pergi meninggalkan kami dalam usianya yang masih muda sekitar tiga puluhan saja.

Aku tidak faham waktu itu apa penyakit yang menimpanya sehingga sangat perit kesakitan yang ditanggung. Dan aku juga tidak faham kenapa dia tidak dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan. Tapi itulah cara hidup waktu itu, kalau sakit, pilihan pertama ialah menjemput bomoh.


Sunday, February 13, 2011

MENURUN


Aku masih ingat dengan jelas, satu hari mak dikatakan sakit perut. Kemudian ramailah adik beradik datang berkunjung, menziarah mak yang sakit. Aku masih kurang faham kenapa ramai sangat sanak saudara dan jiran tetangga yang hadir waktu itu. Kemudian aku dapat rasakan ada sesuatu akan dibuat, sedang mak masih terlantar di atas tilam kerana kesakitan. Kemudiannya aku nampak Tok Wan Pin, seorang bomoh, dibawakan sebuah bekas perasap ke hadapannya. Dia membacakan jampi, yang entah apa, kerana hanya dapat dilihat mulutnya saja yang berkumat kamit. Dia nampak seperti lupa diri sebentar. Kemudian aku nampak lagi dia ambil sebiji telur. Telur itu kemudiannya diperasapkan dan kemudiannya digolekkan di atas perut mak yang dikatakan sakit yang tidak terhingga. Selepas itu telur itu diperasapkan lagi di bekas yang asapnya kerkelun-kelun, sehingga melemaskan aku yang masih kecil waktu itu. Selesai semua itu tok wan meletakkan telur itu, di atas pinggan, dan ssemua orang sangat teruja melihat telur yang sudah berubah warna daripada putih kepada warna kelabu kehitaman. Tak apa dia cuma sakit barah, dah dibuang dah, nanti baiklah dia.
,

Friday, February 4, 2011

LENGGANG PERUT


Balik kampung menjenguk emak pada hari ini penuh dengan cerita-cerita yang pelbagai; menyentuh peristiwa, atau menyentuh sanak saudara dan rakan taulan di kampung. Seperti biasa emak akan bercerita tentang macam-macam hal untuk menghidupkan suasana, kerana dia rasa sangat gembira dan bertenaga bila kami balik menjenguknya.

Aku sangat teruja dengan cerita seorang saudara nak buat kenduri untuk upacara lenggang perut anaknya yang mengandung tujuh bulan. Teringat masa aku mengandung sulung dulu, emak pun, seperti orang-orang tua lain, buat kenduri lenggang perut untuk aku. Tapi oleh kerana kami tak begitu berminat sangat dengan upacara itu, kami kurang memberikan perhatian.

Tapi pada hari ini, teringat balik amalan-amalan budaya lama yang pernah menjadi amalan masyarakat dulu-dulu. Zaman aku masih kanak-kanak dulu, amalan melenggang perut memang suatu yang mesti, bila mengandung tujuh bulan anak pertama. Selalunya kenduri kesyukuran akan mengiringi upacara lenggang perut. Barang-barang yang disediakan untuk upacara tersebut, seperti buah kelapa tiga biji dikupas dan dilicinkan kulitnya, diletakkan ke dalam dulang besar, kain batik baru tidak berjahit tiga helai, tepung dadar bersama bertih dan kelapa parut bergaul garam dan sedikit gula dalam satu bekas yang lain pula. Di samping itu pulut kuning dan kari ayam juga disediakan.

Upacara ini akan disempurnakan oleh mak bidan. Perempuan mengandung akan baring di atas tilam. Dimulakan dengan meletakkan kain batik batik 3 helai di bawah pinggangnya, kemudian akan ditarik sehelai demi sehelai. Selepas itu mak bidan akan mengurut dan 'menetapkan' kedudukan perut, supaya nanti mudah bersalin dan tiada masalah berbangkit. Selesai itu, mak bidan akan menggulingkan kelapa licin di atas perut sebji demi sebiji sehingga selesai tiga biji yang disediakan dan diletakkan di hujung kaki wanita bersalin. Kelapa itu kemudiannya dibelah oleh mak bidan. Jika bahagian kepala kelapa lebih besar, maka itu tandanya akan dapat anak lelaki dan jika bahagian kepala lebih kecil, maka dijangkakan akan mendapat anak perempuan pula. Dan amat aneh juga, selalunya ramalan ini kebanyakannya tepat.

Kelapa tiga biji yang telah dibelah, akan diparut dan ditanak minyak bersama ibu kunyit untuk kegunaan semasa berada dalam pantang kelak - sama ada untuk mengurut atau untuk kesegaran badan. Kain batik dihadiahkan kepada mak bidan sebagai hadiah melaksanakan upacara tersebut. Dadar tepung akan dipotong-potong dadu digaulkan dengan kelapa dan disajikan kepada tetamu yang hadir sebagai pemanis atau pencuci mulut. Begitu juga pulut kuning akan dinikmati bersama oleh tetamu dan sanak saudara yang turut meraikan kegembiraan, untuk menyambut cucu sulung dalam keluarga.

Begitulah masa berlalu, amalan budaya ini tidak lagi diamalkan dalam masyarakat hari ini yang dikatakan moden. Kita sudah tidak merasakan kepentingan unsur budaya yang diamalkan zaman berzaman. Kita juga tidak lagi menurunkan unsur budaya itu kepada generasi muda. Maka hilanglah suatu unsur budaya yang telah mendarah daging dalam kehidupan kita, kerana kita tidak begitu ambil peduli. Jika nanti ada orang luar yang menulis untuk mengingatkan kita, barangkali waktu itu, barulah kita akan terasa kepentingan untuk mengingat semula khazanah budaya bangsa kita, yang telah terabai.