Showing posts with label Dairi Emak. Show all posts
Showing posts with label Dairi Emak. Show all posts

Saturday, May 2, 2026

TIADA LAGI YANG DIPANGGIL MAK

 

TANGGAL 14 APRIL 2026 - JAM 11.37 MALAM, emak kembali ke rahmatullah, dijemput Allah dengan lembut, halus dan tenang sekali. Mengenang kembali tarikh kejadian, masih terbayang dengan jelas, apa yang telah berlaku malam itu. Jam 10 malam seperti biasa, aku akan menjenguk emak selepas emak minum dan telah ditukarkan lampin baru. Tidak seperti malam-malam lain bila aku menyapa mak, dia sudah lain tidak lagi memberi respon dan aku tahu masa mak sudah hampir tiba. Aku tahu emak akan meninggalkan aku. Aku panggil papa datang melihat mak. 

Papa terus ambil yasin. Dia membacakan yasin. Aku terus memeluk emak, menyebut kalimah syahadah, dan terus menerus menyebut nama Allah di telingannya. Dada emak berombak kelihatan seperti orang sedang penat, aku mengurut-urut dada mak yang beralun itu, sambil menyebut kalimah Allah tanpa henti, sambil itu juga, memperingatkan mak supaya jangan lupa menyebutnya. 

Papa sudah tamat bacaan yasin buat kali keduanya. Dia terus membaca yasin lagi. Aku masih memeluk mak, nampak mata mak semakin layu, alunan dada mak semakin kurang, akhirnya mak menutup mata dan menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan lembut dan tenang. Papa masih membaca yasin, dia berhenti bila dimaklumkan mak dah pergi. Papa mengesahkan, ya dia dah tak ada, dah pergi meninggalkan kita. Aku melihat jam di telefon tepat jam 11.37 malam hari Rabu, aku dah jadi yatim piatu, tiada lagi ibu, dan tiada lagi tempat mengadu. Sekarang dan selepas ini yang ada hanyalah rindu...

Ya Allah ampuni segala dosanya ya Allah, berilah balasan syurgaMu tanpa hisap atas segala penanggungan sakit yang selama ini ditanggungnya dengan sabar dan redha. Bermula tanggal 26 April 2016, emak di serang stroke, selepas itu emak tidak lagi boleh menguruskan dirinya sendiri lagi. Dia diuruskan beberapa orang pembantu untuk makan minum dan urus diri. Bermula dengan Tilla, kemudian Wati, diikuti Kak Ani dan akhir sekal Kak Put. Hampir 10 tahun terbaring di katil, emak tidak pernah merungut. Kami sungguh terharu melihatnya saban hari menjadi semakin lemah hinggalah dia menghembuskan nafasnya di depan mataku yang telah sekian lama bersamanya.

Aku menutup mata mak rapat-rapat, menciumnya dan mengucapkan selamat tinggal padanya, kemudian menutup wajahnya. Aku melihat wajah mak sepuas-puasnya, kerana esok jasadnya dan dia tidak akan lagi bersama kami. Pulanglah mak kepada Allah Pencipta Yang Maha Penyayang, nanti insyAllah kita akan jumpa di Syurga. Emak orang yang baik, banyak berjasa kepada kami, membesar dan menjaga kami sehingga kami  pandai baca Quran, pandai sembahyang, puasa dan berbuat kebajikan dan kebaikan. Semoga semua jasa itu menjadi ibadat dan menjadi asbab untuk diberi balasan syurga, untuk mak yang kami kasihi sampai bila-bila,

Ya Allah kasihani mak ya Allah, ampuni dosa mak ya Allah, berilah syurgaMu tanpa hisap kepadanya ya Allah, lapangkan kuburnya ya Allah, jadikan kuburnya taman-taman syurgaMu ya Allah dan tempatkan dia bersama para solihin. Aaamiim ya Robbal aalamiin.

Sunday, May 19, 2024

SEMAKIN MEROSOT


26 April 2016, tarikh yang tidak pernah dapat dilupakan. Sejak tarikh itu, sehingga kini sudah hampir 8 tahun, mak tidak lagi boleh berjalan. Depan mata dan sekelip mata mak berubah menjadi bed-ridden. Subhanallah, maha suci Allah yang menentukan segalanya ikut ketentuan yang telah tercatat sejak aazali, tersimpan kemas di Luh Mahfuz, dan terjadi pabila sampai masanya. 

Sejak hari itu emak perlukan bantuan untuk semua pergerakannya kecuali anggota tangan dan kaki sebelah kanan. Mak hanya boleh suap makan dan angkat kaki kanan. Mandi, pakai pampers, bangun duduk dari tidurnya, dan pusing ke kanan, semuanya dibantu. Alangkah sangat sedihnya ketika itu melihat keadaan mak yang sudah menjadi orang lain, bukan dirinya yang dulu lagi. Tapi lama kelamaan keadaan itu dapat diterima seadanya. Maka kehidupan kami berubah sesuai dengan keadaanya yang perlu dirawat setiap hari. 

Hari terus berlalu, lama kelamaan mak kurang selera makan, badannya semakin susut. Macam-macam masakan dimasak, atau dibeli supaya mak lebih selera makan namun takdir Allah tidak siapa dapat mengubahnya. Mak terus terusan tak lalu makan, makan sesuap dua dia dah tak mau makan lagi, walaupun disuap mak tetap mengelak untuk makan. Alangkah sedihnya waktu itu Allah saja yang tahu. Laailaaha illa anta subha naka inni kuntu minadhoo limiin. 

Kemudian mak diserang stroke buat kali kedua, dia masih boleh makan sikit-sikit dan minum sedikit air. Akhirnya mak tak boleh minum lagi apatah lagi makan, langsung tak boleh. Dia akan tersedak jika makan atau minum kerana makanan dah tak boleh masuk lagi sebab lama tak diguna pakai. Selepas itu, untuk bantu mak, dia mula minum pakai tiub dan tidak boleh lagi makan apa-apa lagi. Kaki dan tangan kananya yang masih boleh bergerak, semakin mengeras kerana dia enggan bergerak langsung. Aku sangat sedih tapi takdir Allah tiada yang dapat menghalang, aku belajar menerima seadanya. 

Selepas itu keadaan mak semakin merosot. Emak sering terganggu tidurnya di malam hari. Maka siangnya emak tidur setidur-tidurnya. Kadang-kadang bermalam-malam mak tidak tidur. Maka mak mula bercakap banyak, bercakap seperti orang yang kurang sihat fikirannya. Maka kami berikan ubat membantu emosi mak agar lebih tenang dan dapat tidur malam. Selepas itu mak kembali stabil emosinya bila dapat tidur malam seperti biasa. Namun sejak itu mak dah semakin kurang bercakap, sepatah ditanya, sepatah dijawab. Bersabarlah aku dengan apa saja seadanya. Alhamdulillah syukur dengan segala yang ditakdirkan.

Sekarang mak banyak tidur siang dan malam pun dia tidur juga. Dia langsung tidak bercakap. Ditanya apa-apa dia senyum saja, dan merenung kami. Berat badan pun nampak semakin susut. Aku sedih tapi apa yang boleh aku buat, hanya memohon ampun kepada Allah dan menerima takdir Allah dan berdoa agar terus redha dengan segala pemberianNya. Aku terus belajar bersabar, terus belajar memujuk hati agar redha dan terus berserah pada Allah semata-mata, terus berdoa agar diberikan kekuatan untuk mengaharungi ujian yang Allah berikan. 

Aku yakin segalanya atas kehendak dan ketentuan Allah untuk kami. Ya Allah semoga Engkau bantu kami untuk terus dapat berlapang dada. Ya Allah bantu kami untuk sabar, bantu kami ya Allah untuk terus berharap dengan rahmat dan rahim Mu. Cukuplah Engkau bagi kami ya Allah, tiada daya upaya kami untuk berbuat kebaikan melainkan dengan keizinanMu jua dan tiada daya upaya kami untuk berbuat keburukan melainkan hanya dengan keizinanaMu jua ya Allah. Bantulah kami, kasihanilah kami, dan redhalah ke atas kami. Sesungguhnya tiada apa pun milik kami, melainkan milikMu segalanya, ya Allah ya zaljala liwal ikram. 







Monday, August 30, 2021

KAMI MOHON SYURGAMU

Jam 6.30 pagi emak diberi susu sarapannya. Kadang-kadang dia biasa saja bila digerak untuk bangun, dibersihkan muka disikatkan rambut dan terus minum. Kemudian dibukakan tv, Quran Time sedang bersiaran, dia pasrah dan tenang menikmatinya sambil diberikan minum. Alhamdulillah. Itu tandanya dia cukup tidur dan emosinya stabil. 

Pada masa yang lain pula, bila buka mata saja dia suruh tutup lampu. Jangan ganggu dia, dia nak tidur. Tv yang bersiaran walaupun sedang mengaji Quran disuruhnya tutup kerana bising. Dia rasa ketat dada. Mukanya pun tak manis, muka kita pun dia tak mau tengok, dia hanya ingin bersendiri. Arahannya suruh tutup lampu kami dengar saja, dia terus diberikan sarapan susu seperti biasa. Kemudian kami tinggalkan dia sekejap supaya dia tenang. Jika dia berseorangan dia akan cepat tenang berbanding jika kita bertingkah bercakap dengannya. Jika dia begini hati terasa amat sayu, amat sedih tak tetahankan. Mengalir air mata tanpa disedari, Allah saja yang tahu.

Kalau begitu karenahnya bermakna emak fikirannya terganggu. Dia tidak boleh tidur, dia berjaga semalaman. Alahai ya Allah ya Rahman kasihannya dia. Aku lena berehat dia berjaga semalaman. Dulu masa dia jaga aku masih kecil, kalau aku tak lena pasti dia juga tidak lena tidur. Dia akan pastikan aku tidur baru dia boleh tidur, besarnya pengorbanan mak membesarkan aku dengan susah payahnya. Terasa amatlah bersalah dan berdosa. Alangkah sedihnya  dia tidak pernah gerak atau kejutkan aku kalau dia tidak lena. Enam tahun teman mak tidur masa dia sakit, tidak pernah dia bertindak luar biasa, sampai aku tak boleh lena. Namun aku tahu dia tidak lena kerana bila aku tersedar untuk ke bilik air aku nampak kelibat mak bergerak tangan atau kaki kanannya. Barangkali dia lenguh dan kurang selesa kerana terlalu lama dalam posisi  tidur tapi tidak lena. Dan dia pun tidak dapat mengalihkan badannya kecuali tangan dan kaki kanannya sahaja. Kerana itu dia juga sentiasa naik turun emosinya yang mesti kami berikan perhatian. Kalau dia tidak lena tidur kami berikan sedikit ubat penenang. Dengan itu dapatlah membantunya supaya dapat tidur malam. Bila dia lena emosinya akan kembali stabil dan dia akan lebih selesa dan tenang.

Waufawwi dhu amri ilaalah, innallaha basiirul bil ibadd. Ya Allah aku serahkan kesusahan yang kami alami kepadaMu kerana Engkau ya Allah, maha melihat dan maha mengetahui keadaan sebenar kami. Dalam kegelapan malam aku panjatkan doa itu bila mana aku terjaga dan melihat mak tak lena tidur. Tak henti-henti aku panjatkan doa itu, hanya Allah saja yang tahu. Aku pun sudah pasrah menerima ketentuan takdir Tuhan kepada kami. Saban hari masa berlalu, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, dan tahun berganti tahun.

Sudah enam tahun keadaannya sama saja tiada yang berubah. Mak masih tetap tidak bergerak dari pinggan ke bawah. Dia tak boleh uruskan dirinya. Dia sudah tidak dapat mengenal masa, pagi atau petang, siang atau malam. Pada mak semuanya sama saja. Diajar mengucap dia ikut, berzikir dia ikut, bila disuruh banyakakan zikir dia dia seolah anak kecil diam membisu. Aku tak paksa cuma lihat saja dengan penuh rasa sayu dan terharu. Ajak baca qulhu dia ikut, tapi baca Quran ayat yang lain dia diam bagai anak kecil lagi. Sedangkan dulu setiap pagi setiap petang kerja dia baca Quran. Ada ayat-ayat yang dihafalnya tapi kini bila dicuba-cuba bawa bacaan itu, dia seperti tidak ingat sangat. Aku sedih lagi rasa sangat sedih. Ya Allah penyakit ini Engkau yang berikan. Tidak ada daya upaya kami berbuat kebaikan melainkan dengan keizinanMu jua dan tiadak ada daya upaya kami berbuat keburukan melainkan juga dengan keizinanMu jua.

Ya Allah jika segala penyakit Engkau berikan kepada mak untuk menghapuskan dosanya berilah dia syurga Firdaus Mu. Jika segala masalah, kesulitan dan kepayahan mengurus mak Engkau berikan kepada kami untuk menghapuskan dosa kami, kami redha ya Allah. Bantulah kami supaya dapat bersabar, bantulah kami supaya ikhlas, bantulah kami supaya dapat redha dan  redhalah ke atas kami. Mudahkanlah segalanya kepada kami. Hanya kami mengharapkan redhaMu. Kami berlapang dada dengan mengharapakan redhaMu. Ya Allah jika semua yang Kau berikan ini untuk Kau gugurkan dosa-dosa kami, kami mohon syurga FirdausMu ya Allah. Aamiinn ya Allah ya Robbal aa lamiin.