Showing posts with label KAJISELIDIK BANGKOK 2016. Show all posts
Showing posts with label KAJISELIDIK BANGKOK 2016. Show all posts

Tuesday, October 4, 2016

DAY 6 : 20 OGOS 2016 (SABTU)


PERJALANAN PULANG KE TANAH AIR DARI BANGKOK

Rumah Luang Kucha Itsahak yang didiami oleh cucunya kini
Bersama responden kaum keluarga keturunan Luang Kuchaa
Pengkalan Luang Kuchaa, di Menam Chao Phraya bersetentang dengan istana

Pagi ini kumpulan kami berpecah kepada dua kumpulan. Satu kumpulan diketuai oleh Tuan Ramli bersama Dr Ibrahim, Zulkhiberi, dan Hairol. Sejak  awal pagi lagi, mereka telah pergi menjejaki rumah Luang Kucha Itsahak yang tidak sempat kami kunjungi pada hari itu. Banyak perkara yang masih tertunggak yang memerlukan penjelasan dan pencerahan. Kumpulan kami juga perlu melihat rumah dan perkampungan Luang Kuchaa untuk melengkapkan kajian lapangan. Mereka akan membuat pemetaan dan menangkap sebanyak mungkin gambar untuk melengkapkan dapatan dan laporan. Jadi jam 8.00 pagi mereka sudah bergerak ke destinasi, dan akan berjumpa semula di tempat makan tengah hari nanti.
Sedia berkumpul untuk 'chekout'
Sementara yang lain pula, semuanya membuat persiapan terakhir, untuk check-out dari hotel bagi perjalanan pulang. Jam 9.00 pagi kami berjalan ke sebuah Restoren Arab tidak jauh dari hotel, untuk sarapan. Menu kami pagi ini ialah  capati panas, dan kuah dal bersama kopi panas.  Dalam cuaca yang baik dan kota Bangkok masih sunyi, kami menikmati juadah dengan sungguh berselera sekali. Mula-mula kami nampak capati yang dihidangkan seperti agak besar, dan seolah-olah mungkin kami tidak mampu menghabiskannya, tapi dek rasanya yang sungguh sedap, capati di pinggan masing-masing semuanya habis licin. 


Selepas selesai sarapan kami menyerahkan kunci bilik masing-masing. Van kami yang padat mula bergerak ke pusat membeli belah MBK. Kami diberikan masa dua jam bermula jam 11.00 pagi hingga pukul 1.00 tengah hari untuk acara  membeli belah dan makan tengah hari. Kami beli apa yang patut dengan pantas kemudian makan nasi ayam di gerai halal dengan menggunakan kupon. Kami juga siap belikan bekal untuk lapik perut semasa dalam perjalanan. Tepat jam 1.30 tengah hari kami semua berkumpul menaiki van dan terus ke lapangan terbang Bangkok.


Seterusnya perjalanan kami ke airport lancar, dan dalam pukul 3 petang,  kami sudah tiba di sana. Selesai urusan bagasi, kami buat upacara perpisahan dan pemberian cenderamata di situ. Perasaan sayu terasa juga untuk berpisah dengan Tuan Ramli dan En Farid di saat akhir itu. Pada pukul 4.30 petang kami sudah berada di balai berlepas. Kemudian kami terbang ke Hatyai jam 5.00 petang  menaiki pesawat Nok Air. Kami sampai di Hatyai Airport jam 6.10 petang. Kemudian kami naik van, dan sekitar jam 7.00 petang kami sampai ke Bukit kayu Hitam. Selesai urusan imigresen kami singgah makan nasi kandar di Changlun dan akhirnya sampai di rumah lebih kurang jam 10.00 malam dengan selamatnya. Alhamdulillah selamatlah segala perjalanan menelusuri keturunan Melayu di Bangkok, yang menimbulkan pelbagai kesan dan pengalaman.  


DAY 5: 19 OGOS 2016 (JUMAAT) (3)



3.       KAMPUNG ORANG KEDAH (KAMPUNG PASIR ATAS TANAH) – MASJID   KAMALUL ISLAM : 1.30 TENGAH HARI


Lebih kurang sejam perjalanan kami tiba di Masjid Kamalul Islam Kampung Kedah. Jam menunjukkan  lebih kurang pukul 1.30 tengah hari, dan kami disambut oleh Imam Haji Marwan Samaun, bersama pegawai-pegawai masjid lain. Kami melihat-lihat kawasan sekitar masjid yang menjadi masjid contoh kerana pengurusannya yang cemerlang mendapat Anugerah Masjid Contoh di Bangkok. Di hadapan masjid terdapat sebatang sungai yang dahulunya dikorek oleh tawanan perang orang Melayu dari negeri Kedah. Di sungai itu banyak dipelihara ikan patin, dan kerajaan Thai tidak membenarkan aktiviti menangkap ikan atau mengail ikan sekitar 2 kilometer. Jadi sungai di hadapan Masjid Kamalul juga termasuk dalam kawasan larangan menangkap ikan. Ikan-ikan di situ seolah-olah dipelihara, kerana untuk setiap pengunjung ke masjid, digalakkan membeli roti yang dibuat oleh kilang yang diusahakan oleh masjid. 

Pelantar untuk tetamu memberi makan ikan patin
Kolam renang dalam sungai
Kemudian kami dianjurkan untuk memberi  makan ikan itu. Jadi dapat dilihat di situ ikan patin yang besar dan sihat-sihat. Di situ juga dibuat kolam renang untuk budak-budak berlatih berenang dan menikmati suasana mandi sungai dalam keadaan yang selamat kerana dibina sebuah kolam renang di sungai itu. Kolam itu dibina untuk pelajar-pelajar sekolah  yang ditadbirkan oleh Masjid Kamalul Islam juga.



Taklimat Masjid
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan pengerusi majlis yang memperkenalkan Tuan Iman dan AJK Masjid semuamya, serta mengalu-alukan kehadiran kami ke situ. Acara kedua ialah Pengenalan masjid yang disampaikan oleh Guru Besar Sekolah Rendah Kamalul Islam Puan Sofiah. Menurutnya pada masa pemerintahan King Rama III, tawanan perang berjumlah lebih kurang 6000, orang telah dibawa ke Bangkok dan ditempatkan di kawasan  ini, dan mereka membuka ladang sawah padi untuk menyara kehidupan mereka. Suatu hari Raja naik perahu di Sungai San Sep itu, dia singgah di situ sebab perahunya rosak. Dia nampak timbunan pasir atas tanah, dan baginda diberitahu pasir itu bertujuan untuk dibina masjid. Kemudian dia telah menghantar tenteranya untuk membina masjid di situ.

Selepas itu setiap tahun Puteri Raja datang melawat masjid yang dibina Raja sebagai acara tahunan. Oleh sebab itu semua Jabatan Kerajaan telah turun padang untuk membersihkan sungai sebelum kedatangan Puteri. Jadi oleh kerana kawasan itu telah dibersihkan, selepas kepulangan Puteri, pihak masjid mengambil inisiatif untuk menjaganya pada setiap masa supaya cantik, bersih dan mesra alam, sehingga menjadi masjid contoh yang mendapat Anugerah.
Empat responden keturunan Melayu berasal dari Kedah
Empat orang penduduk di situ mengaku mereka adalah keturunan dari Kedah iaitu, Tok Imam Haji Marwan, Puan Sofiah, Haji Hashim, dan Hajah Habibah. Dapatan daripada  sessi dialog ialah seperti berikut:

1.       Di kampong mereka ada terdapat tok haji dan ada juga orang yang digelar tok keramat yang pernah didengar oleh mereka daripada orang tua-tua mereka.

2.       Mereka tahu mereka berketurunan Kedah daripada bapa saudara mereka, yang memberitahu  bahawa datuk mereka berasal dari Kedah. Ada saudara mereka yang datang dari Alor Setar Kedah  sudah datang berkunjung melawat mereka di sini. Mereka telah mengadakan hari keluarga di sini yang dihadiri oleh kaum keluarga dari Kedah dan Thailand. (Tok Imam/Puan Sofiah)

3.       Ada yang datuk mereka ditawan di Kedah dibawa datang tinggal di Bangkok ini selepas perang. Nenek mereka pernah menjadi ketua di sini dan dia melatih anaknya untuk jadi penghulu. (Hajah Habibah)

4.       Orang tua mereka bercakap Melayu, dan ada saudara mara mereka yang datang dari Kedah memberikan gambar moyang mereka di Kedah.

5.       Masa kecil dulu lagu yang selalu didendangkan untuk anak kecil ialah “laaila haillallah, Mohammadar rasulullah,  tok lebai sampai haji, sampai Mekah dan Madinah”

Cenderamata kenangan kepada Tuan Imam dari PSMCK
Bergambar kenangan: berbeza bangsa tapi dari rumpun yang sama
Selesai sessi dialog majlis diteruskan dengan ucapan penutup, pertukaran cenderamata, dan sessi bergambar. Kemudian kami disajikan juadah makan malam, nasi beriyani ikan yang menjadi kebanggaan penduduk di situ. Hari hampir senja, kami telah meninggalkan Kampung Kedah itu dalam kegelapan malam menuju ke hotel penginapan di tengah kota Bangkok (Hotel Atlas) dengan penuh kenangan yang amat mengesankan. Kami tiba di hotel dan dapat berehat melepaskan lelah lebih kurang jam 9.00 malam.




DAY 5: 19 OGOS 2016 (JUMAAT) (2)



2.       FEDERAL ISLAMIC CENTRE OF THAILAND (FICT) : 10.30 PAGI

Bangunan utama FICT
FICT sebenarnya lebih kurang sama fungsi seperti Pusat Islam di Malaysian. Setibanya kami di situ,  kelihatan orang sudah ramai  hadir untuk ke masjid bagi solat Jumaat. Dalam  kawasan FICT terdapat masjid yang besar dan tersergam indah, terdapat sebuah kedai buku yang agak besar, sebuah restoran yang sangat ramai pengunjugnya yang sedang makan, beberapa buah pejabat pelbagai urusan, dan sebuah dewan mesyuarat yang cantik dan luas. Di perkarangan masjid ramai juga fakir miskin yang duduk menunggu rezeki mendapatkan sedekah daripada dermawan-dermawan yang berkunjung ke masjid pada hari Jumaat yang mulia itu. 

Ucapan Dt Wan (atas) Haji Samad Maduri (bawah)
Apabila sampai di Dewan, telah sedia ada di sana menyambut kami Hajah Fatimah, Hajah Habibah, Haji Niti dan dan beberapa orang petugas-petugas FICT yang tidak kami kenali. Peramusaji kelihatan sedang tekun menyiapkan hidangan untuk makan tengah hari, bagi memastikan majlis selesai sebelum solat Jumaat. Majlis kemudiannya dimulakan dengan ucapan Pengarah FICT Haji Samad Maduri (Bekas Wakil Rakyat) yang mengalu-alukan kehadiran kami dan menerangkan secara ringkas peranan FICT di Bangkok. Beliau sangat gembira dapat berjumpa kembali dengan Pak Wan, kerana semasa beliau berkunjung ke Kedah dahulu, beliau masih teringatkan layanan baik Pak Wan kepada ahli rombongan mereka. Menurut beliau kedatangan Pak Wan ke FICT merupakan suatu penghormatan kepada mereka semua. Menurutnya lagi kini ramai saudara muslim dari Pattani dan Kedah yang tinggal di Bangkok. Jadi beliau berharap kunjungan ini akan berulang lagi, dan mereka sangat-sangat mengalu-alukan kehadiran dan berharap sangat akan kedatangan untuk kesekian kalinya nanti.


Berikutnya, diikuti pula ucapan balas Ketua Rombongan iaitu Dato Wan Shamsuddin. Beliau pun menyatakan rasa gembira dapat bertemu semula dengan rakan-rakan dari Bangkok yang telah mengunjungi Kedah sebelum ini. Pak Wan menerangkan bahawa pihak PSMCK banyak membuat lawatan mengkaji hubungan orang-orang Kedah dan orang Siam, contohnya melawat ke Songkhla, Setul, Narathiwat, Phuket, Pulau Pingai hinggalah ke Bangkok. Beliau sangat terhutang budi kerana rakan dari Bangkok sangat berbesar hati menerima kunjungan kami, memberi jamuan makan malam, jamuan tengah hari, memberikan sokongan moral dan mengaturkan pelbagai aktiviti yang ada kaitan dengan hubungan Kedah Siam dan juga yang berkaitan dengan orang Kedah di Bangkok. Atas segala khidmat bakti itu, Allah sajalah yang layak membalasnya.
Ucapan Dr Kasri
Menikmati jamuan
Seterusnya ialah ucapan dari Ketua Biro Kaji selidik Dr Kasri, yang telah memperkenalkan ahli-ahli rombongan dan mengucapkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas layanan yang diberikan kepada pihak kami dari negeri Kedah. Seterusnya Dr Kasri menerangkan hasrat lawatan kami ke Bangkok dan menyatakan rasa terharu dan gembira kerana objektif lawatan telah pun tercapai dan berjaya. Banyak maklumat yang telah diperolehi dan pihak kami akan membuat penulisan bagi melengkapkan maklumat dapatan supaya dapat tercatat sebagai bahan rujukan sejarah yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua pihak di negeri kedah dan juga Thailand.
Cenderamata kepada Pengarah FICT dari PSMCK
Cenderamata kepada En Imran
 
Bergambar Kenangan
Seterusnya kami sama-sama menikmati jamuan tengah hari yang sungguh menyelerakan. Menunya Tomyam, sayur campur, ikan goreng tiga rasa dan buah-buahan.
Acara diteruskan dengan penyampaian cenderamata kepada tuan rumah iaitu kepada Pengarah FICT, dan kepada wakil-wakil FICT yang telah memberikan sumbangan dalam menjayakan lawatan kajiselidik kami. Selesai makan,  majlis diakhiri dengan sessi bergambar kenangan. Selepas itu Alhamdulillah kami dapat solat Jumaat di masjid FICT. Kami rasa sungguh dihargai kerana selepas solat, Tuan Imam Masjid FICT telah sudi bertanya khabar datang berjumpa Pak Wan. 
 
Selepas itu kami dikejutkan dengan aturcara luar jangka yang sengaja diaturkan untuk kami. Kami diberitahu akan di bawa ke sebuah kampung orang Melayu yang yang berasal dari Kedah. Kami  bertolak ke Kampung Kedah, sebuah kampung contoh yang menjadi kebanggaan masyarakat Melayu di Bangkok dengan kejayaan dan pencapaian mereka dalam pelbagai bidang. Perjalanan memakan masa tiadak begitu lama dalam lebih kurang sejam, kami tiba di situ. 
 
Kami diberitahu masyarakat Melayu di situ, mereka berjaya menguruskan mesjid, sekolah rendah, kilang roti, pusat pelancongan dan menjadi masyarakat contoh di Bangkok dengan pelbagai kejayaan itu. Di kampung itu  dibina sebuah  mesjid yang tersergam indah iaitu Masjid Kamalul Islam. Bukan saja mesjid itu cantik dan bersih tapi pengurusannya juga cemerlang, sehingga dapat memajukan masayarakat Melayu Islam di Bangkok menjadi maju dan disegani dalam pelbagai bidang iaitu perniagaan, pendidikan, kemasyarakatan dan pelancongan. Kunjungan yang mengejut itu,  dicadangkan oleh Haji Niti, kerana beliau ingin membuat kejutan kepada kami ahli rombongan. Memang kami sungguh merasa terkejut dengan kewujudan masyaraka Melayu di tengah-tengah masyarakat Thai di Bangkok.

DAY 5: 19 OGOS 2016 (JUMAAT) (1)



     
 1. MASJID HAROON: 9.00 PAGI

Di hadapan lorong menuju ke Masjid Haroon, kelihatan di belakang Bangunan Yayasan Harun
Asnaf fakir miskin di hadapan jalan ke Masjid Haroon.
Pagi ini,  kami sarapan di kedai mamak, makan capati dan roti canai, kemudian kami bertolak ke Masjid Haroon. Pagi Jumaat yang mulia ini didapati  ramai golongan fakir berkumpul di perkarangan Yayasan Haroon di hadapan Masjid Haroon. Menurut satu versi seorang penduduk yang kami soal: Nama masjid ini, mengambil sempena pengasasnya Encik Haroon yang kononnya datang bersama ayah mereka yang berasal dari Surabaya atau Acheh. Enchik Haroon ialah abang sulung kepada Ishak dan Osman. Kononnya mereka telah membangunkan tempat itu dan membina sebuah masjid, dinamakan masjid Haroon. Salah seorang daripada mereka iaitu adik bongsu Osman, kononnya telah berhijrah ke negeri Kedah.

Sessi temubual dengan responden Haji Daud Malik
Konon cerita masjid Haroon ditelah naik taraf oleh seorang dermawan Arab yang pernah tinggal di Hotel Oriental dan terdengar azan. Kemudian dia suruh ‘bell boy’ pergi cari di mana orang azan, dan dia datang sembahyang subuh di mesjid ini yang dulunya buruk dan bangunan daripada kayu. Hamba Allah yang dermawan itu kemudiannya telah menyumbangkan wang untuk membina masjid dan mewujudkan Yayasan Haroon. Yayasan ini mempunyai hostel dan rumah tumpangan dan wang perolehan digunakan untuk kebajikan  dan berfungsi untuk kerja-kerja dakwah dan kesejahteraan umat Islam di kawasan sekitar. Wakil kami Tuan Ramli telah mengaturkan sessi dialog dengan seorang Melayu bernama Haji Daud bin Malik bin Wahab Hongche yang bertugas sebagai Tuan Bilal di Masjid Haroon. Beliau tidak boleh berbahasa Melayu lagi jadi perbualannya diterjemahkan oleh Tuan Ramli sepanjang sessi dialog dengan pihak kami. 


 Sessi Dialog dengan Responden (Soalan dan Jawapan):

Mendengar temubual
1.       Kenapa Dato Seri Zahid Hamidi datang ke Masjid ini? – (Jawapan) Kawasan ini dekat dengan kawasan Kedutaan jadi Dato Zahid tinggal di Hotel, berdekatan dan dia datang sembahyang Jumaat di masjid ini, dan makan di sini. Pihak masjid telah menyediakan jamuan kerana berbesar hati Pembesar luar datang, tapi dia tidak makan sebab sudah kenyang. Turut serta datang ke sini ialah Dato Nazirah Duta Malaysia di Thailand, yang selalu melawat kampung-kampung Melayu di Bangkok dan turut sembahyang di Masjid yang ada di situ. Ramai orang suka sembahyang Jumaat di Masjid Haroon ini kerana khutbah disampaikan dalam tiga bahasa: Thai, Inggeris dan Melayu.

2.       Bagaimana wujud Masjid Haroon? – (J) Pedagang dari Indonesia bernama Haroon Bafadil datang ke Ayuthia, dan berulang alik ke Bangkok ini. Sebelum Tok Harun datang sudah ada komuniti Islam di sini tapi tidak ada masjid, kemudian dia nampak kawasan ini elok, tenang, sunyi dan damai, jadi dia seorang pedagang kaya, dia bina masjid 130 tahun yang lalu, semasa pemerintahan King Rama III. Menurut Tuan Bilal dulu-dulu masjid Haroon terletak betul-betul di tepi laut. Kemudian kerajaan Thai minta tukar tanah itu, kerana hendak dibina Pejabat Kastam dan jeti kutipan cukai. Jadi masjid dibina di tanah belakang pejabat Kastam seperti yang ada sekarang. Berhadapan masjid pula terletak tanah perkuburan yang agak luas sejak sekian lama telah ada di situ.

3.       Ada tak keturunan Melayu Kedah tinggal di sini? – (J) Masyarakat yang tinggal di sini ada yang berasal dari Palembang, ada juga dari Wilayah Selatan Thai dan ada juga dari Kedah. Ikut cerita yang pernah diceritakan oleh datuk Tuan Bilal, datuknya bernama Abdul Wahab, berasal dari Kedah atau Perak dia kurang pasti. Datuknya dia mungkin tawanan atau datang bersama dengan tawanan perang Kedah naik kapal belayar datang ke sini sekitar 1821 bersama abangnya. Datuknya tinggal di sini dan abangnya tinggal di Maha Nak. Datuknya bertukang emas, dan ayahnya oleh kerana pergi ke sekolah belajar, sudah tidak minat lagi bertukang emas dan tukang kayu. Datuknya kahwin dengan orang Trang. Bilal tidak ada menyimpan apa-apa barang daripada datuknya dan datuknya

4.       Apa pekerjaan orang di sini? – (J) Kebanyakannya berniaga, dan datuknya berniaga batu permata

5.       Kawasan orang Islam di sini agak-agak berapa luas? (J) Lebih kurang 3 ekar. Menurut Bilal lagi,  keluarga bonda Tunku Abd Rahman cik Manjalara pun ada tinggal di sekitar Masjid Haroon. Mereka itu beragama Islam, tapi mereka tidak tinggal lama di situ, kerana telah berpindah ke Maha Nak. Menurut Dr Kasri kita boleh buat kesimpulan bahawa saudara dan adik beradi Cik Majalara sudah ada yang masuk Islam,  jadi dia masuk Islam bukanlah suatu perkara yang pelik.

Kesimpulannya perjalanan orang Melayu datang ke Bangkok, mereka singgah dan tingggal di sekitar Masjid Haroon. Kemudian Raja akan melantik tukang-tukang yang dikehendaki dan mereka dibawa tingggal di Maha Nak kerana berhampiran dengan istana. Mereka tinggal di sana dan berkhidmat kepada Raja sebagai tukang-tukang Raja.

Bergambar kenangan
Penyampaian cenderamata kepada responden
Bangunan Kastam yang telah ditinggalkan
Pengkalan di hadapan Bangunan Pejabat Kastam 
Akhir sekali selepas penyampaian cenderamata kepada responden dan pengurusan masjid Haroon, kami pergi meninjau ke kawasan bekas Pejabat Kastam di tepi laut. Bangunan dua blok itu sudah lama ditinggalkan. Ia sekarang kelihatan dhaif dan kotor, kerana catnya sudah luntur dan tidak dipelihara serta terdapat pohok-pokok dedalu kelihatan tumbuh liar di sana sini. Dan tingkap-tingkap kaca kelihatannya banyak yang sudah pecah, juga banyak yang lompong. Sementara jetinya pula sudah banyak yang reput di bahagian pelantarnya yang dibuat dengan kayu. Selepas merakamkan beberapa keping gambar untuk kegunaan dokumentasi,  kami bergerak ke FICT untuk majlis meraikan ahli rombongan yang telah diaturkan