TANGGAL 14 APRIL 2026 - JAM 11.37 MALAM, emak kembali ke rahmatullah, dijemput Allah dengan lembut, halus dan tenang sekali. Mengenang kembali tarikh kejadian, masih terbayang dengan jelas, apa yang telah berlaku malam itu. Jam 10 malam seperti biasa, aku akan menjenguk emak selepas emak minum dan telah ditukarkan lampin baru. Tidak seperti malam-malam lain bila aku menyapa mak, dia sudah lain tidak lagi memberi respon dan aku tahu masa mak sudah hampir tiba. Aku tahu emak akan meninggalkan aku. Aku panggil papa datang melihat mak.
Papa terus ambil yasin. Dia membacakan yasin. Aku terus memeluk emak, menyebut kalimah syahadah, dan terus menerus menyebut nama Allah di telingannya. Dada emak berombak kelihatan seperti orang sedang penat, aku mengurut-urut dada mak yang beralun itu, sambil menyebut kalimah Allah tanpa henti, sambil itu juga, memperingatkan mak supaya jangan lupa menyebutnya.
Papa sudah tamat bacaan yasin buat kali keduanya. Dia terus membaca yasin lagi. Aku masih memeluk mak, nampak mata mak semakin layu, alunan dada mak semakin kurang, akhirnya mak menutup mata dan menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan lembut dan tenang. Papa masih membaca yasin, dia berhenti bila dimaklumkan mak dah pergi. Papa mengesahkan, ya dia dah tak ada, dah pergi meninggalkan kita. Aku melihat jam di telefon tepat jam 11.37 malam hari Rabu, aku dah jadi yatim piatu, tiada lagi ibu, dan tiada lagi tempat mengadu. Sekarang dan selepas ini yang ada hanyalah rindu...
Ya Allah ampuni segala dosanya ya Allah, berilah balasan syurgaMu tanpa hisap atas segala penanggungan sakit yang selama ini ditanggungnya dengan sabar dan redha. Bermula tanggal 26 April 2016, emak di serang stroke, selepas itu emak tidak lagi boleh menguruskan dirinya sendiri lagi. Dia diuruskan beberapa orang pembantu untuk makan minum dan urus diri. Bermula dengan Tilla, kemudian Wati, diikuti Kak Ani dan akhir sekal Kak Put. Hampir 10 tahun terbaring di katil, emak tiak pernah merungut. Kami sungguh terharu melihatnya saban hari menjadi semakin lemah hinggalah dia menghembuskan nafasnya di depan mataku yang telah sekian lama bersamanya.
Aku menutup mata mak rapat-rapat, menciumnya dan mengucapkan selamat tinggal padanya, kemudian menutup wajahnya. Aku melihat wajah mak sepuas-puasnya, kerana esok jasadnya dan dia tidak akan lagi bersama kami. Pulanglah mak kepada Allah pencipta yang maha penyayang, nanti insyAllah kita akan jumpa di Syurga. Emak orang yang baik, banyak berjasa kepada kami, membesar dan menjaga kami sehingga kami pandai baca Quran, pandai sembahyang, puasa dan berbuat kebajikan dan kebaikan. Semoga semua jasa itu menjadi ibadat dan menjadi asbab untuk diberi balasan syurga, untuk mak yang kami kasihi sampai bila-bila,
Ya Allah kasihani mak ya Allah, ampuni dosa mak ya Allah, berilah syurgaMu tanpa hisap kepadanya ya Allah, lapangkan kuburnya ya Allah, jadikan kuburnya taman-taman syurgaMu ya Allah dan tempatkan dia bersama para solihin. Aaamiim ya Robbal aalamiin.
