Showing posts with label Raising up children. Show all posts
Showing posts with label Raising up children. Show all posts

Saturday, September 13, 2014

AWESOME QUOTES : THINKING AHEAD VERSES THROWBACK 1


Sudah lama tidak menulis, mungkin sibuk dengan schedule yang padat. Sejak jadi orang yang bersara (YB) memang tiada banyak masa terluang. Jadi tidak sempat pula untuk banyak berblogging. Tapi bila terbaca status FB along, THINKING AHEAD, terasa terpanggil pula mencurahkan idea seadanya. Idea ini barangkali sudah sangat lama, barangkali juga ada antaranya anak-anak mama sudah lupa, kerana sudah lama dilaksana, sudah berpuluh tahun dilalui bersama, tidak lain tentunya dalam membesar dan mendidik anak-anak mama yang sangat dicintai adanya.

Kini semuanya sudah besar panjang dan berjaya pula, sudah mempunyai kehidupan sendiri dan baru pula memulakan kehidupan berkeluarga tentunya. Dalam keterujaan anak-anak mama melayari bahtera kehidupan, dengan penuh harapan, maka selalu juga ditinjau-tinjau, langkah-langkah yang cuba dipelajari, untuk menjadi panduan ke arah menghasilkan anak-anak yang cemerlang di dunia dan cemerlang pula di akhirat.

Untuk semua anak mama, marilah kita kenangkan semula saat-saat manis kita,  yang Allah dorongkan kepada kita, yang memungkinkan takdir tertulis seperti adanya. Sesuailah sangat along memberikan  perhatian kepada petikan : Awesome quotes : 20 things mother should tell her son. Mama sungguh gembira kerana inilah yang pernah mama buat  tiga puluh tahun yang lalu, dengan sungguh-sungguh. Dengan izin Allah jualah,  anak-anak mama lelaki dan perempuan, semuanya menjadi seperti adanya sekarang.

Berikut adalah BEBERAPA PETIKAN tentang perkara yang DIPILIH  untuk direnungi, kerana dulu pernah mama beritahu kepada anak-anak mama, sama seperti yang diberikan penulis yang along petik tentang Awesome Quotes ...

PETIKAN 1  -     Main sukan, atau apa juga kegiatan seumpamanya.  
Mama tidak pernah menyuruh anak-anak mama giat dalam sukan di sekolah, tapi mama menggalakkan aktiviti-aktiviti yang sepertinya. Sukan atau apa saja aktiviti mengajar anda bagaimana untuk mencapai kemenangan dan melaluinya mendapat penghormatan, dan jika sebaliknya, dapat mengajar kita menerima kekalahan. Bukan itu saja, tapi melaluinya dapat dipupuk hormat undang-undang, bekerja sama dengan orang lain, menguruskan masa dan menghindari masalah. Kalau anak mama masih ingat, semua terlibat dengan aktiviti kokurikulum. Yang paling klasik, semua masuk pancaragam  sekolah, semua main pianika kecuali along main dram dan trumpet. Mama rasa inilah antara aktiviti yang membentuk anak mama memiliki jati diri yang kental. Di samping itu, kalau masih ingat setiap hujung minggu semua orang pergi belajar  musik, belajar main piano dengan cik gu Musalmah dan terakhir dengan Miss Teoh. Semua orang ada sijil piano, serendah  gred Four hingga setingginya gred Six. 

Masa along dan angah masih kecil, mama masih ada masa menghantar mereka ke kelas lukisan. Mula-mula mereka belajar mewarna, sungguh cantik dan pandai mereka mewarna gambar-gambar yang diberikan, cik gu mereka selalu puji lukisan yang diwarna cantik.  Selepas itu mereka meniru lukisan pula,  tapi bila sudah besar sedikit, masa pun semakin kurang jadi terpaksalah berhenti untuk aktiviti lain kerana kekurangan masa. Jadi alang dan adik tidak berkesempatanlah belajar lukisan, kerana ada aktiviti lain yang dirasakan lebih sesuai untuk kesemuanya. 

Kemudian mereka belajar berenang. Sibuk juga mengikuti kelas berenang kerana semua aktiviti terpaksa diaturkan di hujung minggu ataupun waktu petang dan malam. Barangkali aktiviti ini kurang diingati kerana dilaksanakan waktu along, angah dan alang masih terlalu kecil. Tapi inilah antara aktiviti yang amat digemari dan ditunggu-tunggu. 

Aktiviti lain yang diberikan ialah belajar mental arithmatik dengan menggunakan sempoa. Semua pergi kelas ini, tak taulah hasilnya macam mana, tapi yang dapat dilihat semuanya dapat cepat mengira. 

Kesimpulannya dapat dilihat berlaku perkembangan minda otak kiri dan otak kanan. Juga dapat dilihat pembentukan self esteem yang cukup baik. Tambahan pula melaluinya terbentuk pelbagai kemahiran lain seperti menyanyi dan sebagainya yang membantu perkembangan kemahiran bersosial mereka semasa remaja.
      
PETIKAN 5  -  Tunjuk cara guna  peralatan penting
Oleh kerana mama bekerja maka diajarkan anak-anak menguruskan diri sendiri, jadi diajarkan cara menggunakan mesin basuh, Setiap hujung minggu semua akan membasuh baju sendiri selepas telah siap memberus semua kotoran yang jelas. Juga yang paling kreatif basuh kasut sendiri pun menggunakan mesin basuh juga. Diajarkan juga menggunakan seterika, kerana semua akan sterika baju sendiri pada waktu itu.

Di samping itu setiap orang akan menggunakan vakuum, untuk membersihkan bilik sendiri, dan juga membantu mama untuk membersih ruang tamu, jadi diajarkan juga cara menggunakan vakuum. Dan yang paling penting diajarkan cara menggunakan oven mikrowave untuk memanaskan makanan, supaya dapat makan tengah hari atau minum petang dengan sendiri. Selepas makan, sudah tentulah semua mesti basuh pinggan mangkok sendiri. Jika terdapat makanan yang tertumpah perlu disapu, jadi diajarkan juga cara menggunakan penyapu. 

Kesimpulannya selepas diajar cara penggunaan,  minta mereka buat sendiri:  basuh baju sendiri, berus dulu sebelum masuk mesin, seterika baju sendiri, basuh pinggan masing-masing sendiri, sapu sampah, vakuum bilik sendiri dan bantu vakuum ruang tamu, juga panaskan makanan dalam oven mikrowave untuk makan sendiri. Alhamdulillah mereka memang pandai melaksanakannya dengan baik. 

PETIKAN 6  -     Hafal doa dan latih menjadi pemimpin 
imam sembahyang, ajar adik  mengaji. 

AWESOME QOUTES: 20 THINGS MOTHERS SHOULD TELL HER SON
1.   Main sukan, atau apa juga kegiatan seumpamanya. 
2.  Jaga batasan pergaulan dengan perempuan. Jangan buat sesuatu yang awak tidak suka orang lain buat kepada adik perempuan awak. Jangan terlanjur tiada gunanya berdosa. 
3.       Beringat bila hendak buang air, pastikan sempat ke tandas jika tidak, kita terpaksa membersihkannya, jadi lebih leceh.
4.       Jimat wang apabila anda masih muda kerana anda akan memerlukannya suatu hari nanti. 
5.       Tunjuk cara guna mesin basuh, seterika, vakuum, oven, pinggan mangkok, dan penyapu. Kemudian minta mereka buat sendiri:  basuh baju sendiri, berus dulu sebelum masuk mesin, seterika baju sendiri, basuh pinggan masing-masing, sapu sampah, vakuum bilik dan ruang tamu, dan panaskan makanan dalam oven mikrowave. Mereka memang pandai melaksanakannya dengan baik. 
6.       Hafal doa dan latih menjadi pemimpin – imam sembahyang, ajar adik  mengaji.
7.       Jangan buli orang dan jangan bergaduh, kalau orang kacau pertahankan diri.
8.       Belajar supaya pandai, ingat ilmu pengetahuan amat berharga, tiada siapa boleh mengambilnya daripada kamu, sangat rugi jika anugerah Allah iaitu otak yang pandai tidak digunakan untuk  mendapat kecemerlangan dalam pengetahuan dan pendidikan yang Allah kurniakan. 
9.       Hormati wanita atau orang perempuan.  Anda tidak boleh menghindarkan diri daripada wanita, sepanjang  hidup, elakkan membenci mereka.   
10.   Beri keutamaan kepada  penampilan anda supaya sentiasa kelihatan kemas dan bergaya. 
11.   Mesti sentiasa kuat tetapi bersifat lemah lembut pada masa yang sama. 
12.   Seorang wanita boleh melakukan apa sahaja yang boleh anda lakukan. Ini termasuk  mempunyai kerjaya yang berjaya dan menukar lampin pada jam 03:00 pagi. Jadi perasaan  saling menghormati adalah kunci kepada hubungan yang baik. 
13.   Sifat hormat "ya mama" dan "ya papa" mesti dipegang kuat sepanjang hayat. 
14.   Sebab anggota badan dipanggil bahagian sulit, adalah kerana ia tidak boleh ditunjuk kepada khalayak ramai atau khalayak ramai tidak boleh melihat anggota tersebut, apatah lagi orang lain memegangnya sangat memalukan. 
15.   Jangan ikut pengaruh rakan sebaya yang buruk ia satu perkara yang menakutkan. Jadilah kawan yang baik kepada rakan sebaya, pasti mereka akan mengikut dan mengiktiraf kamu. 
16.   Berilah  bunga kepada yang dikasihi walaupun tanpa sebab, ia adalah perlakuan dan idea yang baik untuk diamalkan. 
17.   Adalah lebih baik untuk kita sentiasa berbuat baik daripada  sentiasa menunjukkan kita betul. 
18.   Suka bergurau dan berjenaka boleh menghiburkan dan menyebabkan kita sentiasa disenangi dan diingati. 
19.   Sila pilih pasangan anda dengan bijak. Menantu  perempuan mertua akan menjadi pengawal kepada saya menghabiskan masa dengan anda dan cucu saya.
 20.   Sentiasa ingat untuk menelefon ibu anda kerana anda mungkin kehilangannya pada bila-bila masa

Tuesday, May 6, 2014

AKTIVITI HUJUNG MINGGU


Setiap hujung minggu hari Jumaat, masa anak-anak masih di sekolah rendah, dipenuhi dengan aktiviti keluarga. Selalunya pagi Jumaat kami makan-makan di luar - roti canai, atau nasi lemak. Masih segar dalam ingatan, along kalau roti canai mesti dua biji, kalau tidak semua termasuk angah dan alang, akan minta roti canai telur. Selepas itu setiba di rumah bermulalah tugas rutin setiap hujung minggu.

Mula-mula semua akan rendam baju putih. Kemudian mereka beruslah kolar baju putih masing-masing, dan lepas itu mereka berus stokin putih pula, sebelum dimasukkan ke mesin. Seperti biasa naluri anak-anak akan bermain-main air sambil buat kerja. Tapi kerja tetap siap. Akhir sekali basuh kasut sekolah dan letak kapur kasut, supaya putih bersih. Siap tugas hujung minggu hari Jumaat.

Rutin ini kadang kala kurang disenangi anak-anak. Apatah lagi apabila mereka membandingkannya dengan rakan mereka di sebelah rumah. Dia tidak pernah sekalipun kelihatan menguruskan dan membersihkan baju sendiri. Aku selalu beritahu mereka, 'tak apa nanti bila besar, bila hidup sendiri jauh dari mama, mesti semua anak mama sudah biasa mengurus diri'. Masa itu mesti dirasakan mudahnya semua kerja yang pernah dibuat, dan sudah tentu tidak akan menimbulkan stress, dan susah bila sudah biasa buat kerja sendiri. Selalu juga aku ingatkan 'orang perempuan kerja apa pun akan jadi isteri dan tidak boleh lari dari mengurus rumah, dan salah satunya mengurus baju-baju yang dipakai setiap hari', kalau sudah biasa mesti nanti tak jadi masalah'.

Hari Sabtu juga hari cuti hujung minggu. Selalunya anak-anak akan membantu membersih bilik air. Ada yang berus lantai, berus dinding, bersih sink dan mangkok tandas, semuanya dibuat bersama, dan sekejap saja bilik air sudah bersih berseri. Kemudian mereka akan bermain dalam 'bath tub'  sehingga puas. Aktiviti ini dirasakan amat penting sebagai sebahagian daripada sosialisasi pembentukan sifat dan sikap anak-anak. Sebenarnya membiasakan anak-anak menjaga kebersihan bilik air memang amat penting dalam pemupukan sifat pentingkan kebersihan. Bukan itu saja, melaksanakan tugas bersama-sama menggalakkan toleransi dan sifat kasih sayang yang berpanjangan antara anak-anak insyaa Allah.

Begitulah yang pernah dibuat bersama anak-anak semasa mereka masih kecil dan awal  remaja. Dan bila mereka sudah dewasa dapat dilihat perkara yang dipupuk sejak kecil, menjadi amalan dalam kehidupan seharian mereka. Alhamdulillah......




Saturday, September 14, 2013

PESAN SEORANG TEMAN


Apa yang ditulis hari ini ditujukan khusus untuk anak-anak tercinta yang sangat mama sayangi pada setiapa masa dan ketika. Walaupun jauh adanya dari kalian tapi mama akan terus mengajar dan membimbing, semoga kalian semua akan terus menjadi anak yang soleh dan solehah. Kutujukan juga untuk sahabat handai yang menjadi penggemar blog ini mudah-mudahan memberi manafaat, jika inilah sumbangan terakhir yang boleh diberikan. Selamat membaca.....

Berbua-bual dengan seorang teman untuk memperbaiki diri sendiri, memberikan sentuhan yang bukan kepalang. Dengan tenang dan hati-hati, dia memberitahu. Kita manusia, semakin meningkat usia dewasa,  seeloknya semakin dekat kita dengan Allah. Sepatutnya kita berusaha bersungguh-sungguh untuk 'taqarrub'. Maknanya taqarrub itu ialah, kita berusaha bersungguh-sungguh untuk  mendekatkan diri dengan Allah Rabbul Jalil, Allah Yang Maha Berkuasa dan lagi Maha  Penyayang. Bila kita dekat dengan Allah, Allah akan sentiasa dekat dengan kita. Sudah pasti orang yang Allah dekat Allah akan sayang. Bagaimanakah kita boleh mendekatkan diri kita dengan Allah? Bagaimanakah perlakuan mendekatkan diri dengan Allah supaya Allah akan sayang kepada kita dan kita kembali kepadanya, sebagai orang yang disayangiNya. Berikut dicadangkan langkah-langkah menuju 'taqarrub' atau mendekatkan diri kepada Allah:
1. Apabila kita mengerjakan solat, selalulah bayangkan bahawa  solat ini, solat yang terakhir yang boleh kita kerjakan. Maka solatlah dengan sekhusyuk yang boleh, rasakan nikmat bersolat terakhir itu dan mohonlah kemaafan daripada Allah agar diampunkan semua dosa, dan mohonlah supaya diterima solat yang terakhir itu, dengan sebaik-baik balasan. Cubalah laksanakan anda akan dapat rasakan kenikmatan bersolat dan akan dapat dirasakan dekatnya kita dengan Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.
2.  Setiap kali kita membuat kabaikan dan kebajikan cuba bayangkan bahawa inilah perbuatan yang terakhir yang boleh kita kerjakan. Bayangkan kita sudah tidak ada masa  lagi dan tiada ada peluang lagi untuk berbuat kebajikan kerana ajal kita akan sampai pada bila-bila masa sekejap lagi. Sudah tentu kita akan mengharapkan hanya kepada Allah supaya menerima kebaikan ini, dan memberikan balasan sebaiknya kepada kita kerana kita akan menghadapa Allah sebentar saja lagi. Sudah terntu kita akan berbuat baik tanpa mengharapkan siapa-siapa dan tidak akan ada apa-apa perasaaan lain selain berharap hanya kepada Allah semata-mata. Bayangkan betapa dekatnya kita dengan Allah pada ketika itu, sudah pasti kita dapat merasakan nikmatnya mengharapkan harapan hanya kepada Allah jua. Alangkah indahnya..
3.  Pada setiap hari dan setiap masa, seeloknya  fikiran kita, hati kita dan bibir kita dibasahi dengan zikirullah. Bayangkan kita akan dijemput bila-bila masa saja, jadi sudah terntulah kita akan berzikir sebanyak yang termampu. Kita akan menyebut saja apa yang termampu supaya bila kita dijemput pergi, pasti banyaklah zikirullah yang sempat kita ucapkan. Bayangkan setiap hari kita membayangkan kita akan dijemput Allah pada bila-bila masa jadi sudah tentulah kita akan tidak lupa menyebut nama Allah dan akan berzikir kepada Allah, untuk menjadikan kita kembali kepada Allah sebagai orang yang hampir dengan Allah. Tidak ada lain yang kita harapkan selain Allah  jua adanya.
 
4.  Jika masih ada ibu dan bapa berbuat baiklah kepada mereka. Berilah apa saja yang mereka minta. walaupun kepuasan ibu bapa bukan menerima pemberian dari anak-anak, tetapi berilah kepada mereka untuk mendapat keberkatan kepada diri kita sebagai anak. Berilah sedikit wang gaji kita, walaupun sedikit tapi berterusan supaya berkat hidup kita. Jangan tunggu kita ada duit baru bagi, tapi bagi duit yang sedikit supaya kita akan ada duit, hasil berkatnya rezeki kerana berbakti kepada ibu bapa. Yang penting bukan duit itu kepada ibu bapa tapi ingatan dan sayang kita kepada orang tua kita yang dilihat oleh Allah.

5.Akhir sekali pada setiap hari sepatutnya kita berusaha menuntut ilmu, dan menambah ilmu walaupun sedikit. Bayangkan kita berada di taman-taman syurga, dan kita cuba menimba sebanyak mungkin pahala dengan menuntut ilmu, kerana berada di majlis ilmu selalu dikatakan berada di taman-taman  syurga. Bayangkan ajal kita sudah sampai dan kita pula berada di taman syurga yang Allah suka. Betapa nikmatnya kita merasakan dekat diri kita dengan Allah pencipa yang mencintai kita. Dan jika itu hari terakhir kita alangkah bahagianya kita dijemput pergi dengan mendapat pahala daripada menuntut ilmu di taman-taman syurga.

Friday, December 21, 2012

MENANGANI SINDROM ADIK


Teh yang pernah disayangi sepenuh jiwa raga.......
Mengenang anak bongsu masa kecil-kecil, banyak yang boleh dipelajari dan dikongsi bersama. Adik dilahirkan enam tahun lebih muda dari kakaknya. Jadi ada jurang generasi, antara adik dan alang. Selalunya alang akan bermain dan membuat apa saja bersama angah. Adik akan tersisih kerana pemikirannya tidak sama disebabkan umur yang jauh berbeza. Jadi, adik seolah-olah membawa diri, dia sendiri-sendiri, kalau tidak dengan mama. Dia selalu main seorang, dan buat kerja pun  sorang-sorang, kalau mama sibuk.

Tapi adik ada satu hobi yang semua orang tahu. Dia sangat gemar dan sukakan kucing. Kebetulan masa itu tok wan pun sangat sukakan kucing. Jadi mereka berdua serupa, suka kucing dan bela kucing dan manjakan kucing. Adik ada kucing kesayangannya yang selalu menemaninya setiap masa. Mula-mula Tubee, kemudian Chak, Teh Gebu dan Teh Kampung. Adik akan bagi kucing makan, bagi kucing mandi, dan main-main dengan kucingnya itu, satu  lepas satu.

Sudah remaja........
 Kami selalu mainkan adik dan usik-usik adik dengan kucingnya itu. Tapi adik terus akrab dengan kucing-kucingnya satu lepas satu. Mula-mula tidak pernah aku sedar bahawa, binatang peliharaan, binatang kesayangannya itu, rupanya sangat besar sumbangannya untuk perkembangan emosi adik. Bukan itu saja, dengan belaian kasih sayang dan jalinan perasaan yang indah itu, adik menjadi semakin berdikari. 


Boleh bantu mengasuh.......




















Selalu juga aku mengintai-intai adik. Adik bawa bukunya, duduk di belakang sambil menunggu aku masak atau mengemas-ngemas di dapur. Sesekali aku dengar adik berbual-bual. Rupanya adik berbual-bual dengan Tubi dan danChak. Tubi di sebelah kanan dan Chak di sebelah kiri. Sambil memberi arahan,  tangannya membelai-belai kucing-kucing itu,
' Duduk elok-elok kakak nak baca buku ni.'
Dia membelek-belek bukunya yang masih belum dapat dibacanya lagi, sekadar melihat-lihat gambar saja. Dengan Chak dan Tubee, adik rasa sangat stabil perasaannya. Dia rasa ditemani, dan dia rasa sangat 'besar', kerana selalu membahasakan dirinya sebagai kakak, walaupun sebenarnya dia adik. Dengan ditemani kucing kesayanganya, adik tidak stress, adik tidak kesepian, dan adik tidak rasa tersisih. Dengan ditemani 'sahabatnya' itu, adik dapat berkembang menjadi seorang yang prihatin, seorang yang mudah berkomunikasi,
 matang dan sangat berdikari.

Bersemangat waja.......
Syukurlah, dengan tidak disengajakan, rupanya binatang peliharaan dapat membantu proses perkembangan emosi dan kekentalan mental seorang anak bongsu bernama adik. Untuk ibu-ibu yang sibuk berilah hadiah binatang peliharaan supada anak dapat membesar dengan emosi dan mental yang hebat, insyaa-Allah.

Sekadar hiasan saja.....







Wednesday, November 14, 2012

MENGAJI QURAN



Belajar mengaji di awal kehidupan anak-anak kami, memang suatu yang mesti, tidak boleh tidak. Kami boleh dikirakan bertuah kerana mendapat khidmat seorang ustaz yang sudi mengajar anak-anak di rumah. Setiap hari bermula jam dua hingga tiga petang kelas mengaji bermula, Along, angah dan alang semuanya mengaji bergilir-gilir, bermula dengan membaca muqaddam, sehingga tamat dan naik alQuaran pula. Dan bila adik besar dia pula mula mengaji. 

Untungnya   mereka juga diajar hukum tajwid dengan sempurna. Jadi mereka bukan saja kenal jawi tetapi juga kenal tajwid, dan boleh mengaplikasinya. Setiap kali habis mengaji mereka akan jawab kuiz hukum tajwid  dari ayat-ayat yang mereka baca. Mereka seolah-olah bermain dengan ustaz itu, dan berlumba-lumba menjawab soalan. Jadi mereka sangat kenal tajwid dengan cara yang cukup santai.

Aktiviti membaca alQuran bukan hanya 'dipaksakan' kepada anak-anak. Tapi aktiviti ini diamalkan bersama-sama selepas sembahyang maghrib setiap hari. Semua akan duduk baca Quran. Seperti biasa aku akan menegur bacaan yang tidak betul. Kadang-kadang along juga boleh tegur alang yang masih baru baca muqaddam. Begitu juga adik akan ditegur oleh kakak-kakaknya. 

Waktu maghrib memang tiada aktiviti lain. Waktu mengaji saja, dan semua seperti sudah tahu, akan ambil muqaddam dan quran masing-masing, duduk dalam bulatan dan mulalah mengaji. Pembentukan tabiat anak-anak, untuk belajar memang sangat memerlukan disiplin yang berterusan, tapi tidak dipaksakan. Jika tidak diberi perhatian dan tidak istiqamah, tanggung jawab besar ini, barang kali sukar untuk dipupuk. 

Untuk pengukuhan pembelajaran itu, kita perlu turut sama terlibat. Kita perlu duduk sama membaca quran. Kita perlu tunjukkan kesungguhan dengan sentiasa memulakan dan mengingatkan masa untuk duduk membaca quran. Kita juga perlu pastikan tiada aktiviti lain seperti televisyen pada waktu membaca quran itu, kerana televisyen sudah tentulah akan menghalang minat untuk mengaji. Lama-lama apabila sudah menjadi satu rutin maka tabiat membaca quran itu tidak perlu 'dipaksakan' lagi. Anak-anak pun akan boleh membaca quran dan mengamalkannya dalam kehidupan.




Tuesday, November 13, 2012

LATIH TUBI MEMASUKKAN MEMORI KE OTAK ANAK-ANAK

 
 
Suatu hari semasa kami pusing-pusing di Pasaraya Peladang sebelum membeli barang keperluan, kami tertarik dengan tawaran seorang juru jual buku untuk pembelajaran anak-anak. Seperti ibu bapa lain, yang sedang membesarkan anak-anak yang masih kecil, kami memang sangat tertarik untuk mendengar cerita tentang baiknya dan hebatnya buku yang ingin dijual kepada kami dari Syarikat Grolier itu.


Konon cerita ’package’ yang ditawarkan yang terdiri dari flashcards (kad imbas), set buku, dan kaset,  memang terbukti amat berkesan untuk pembelararan anak-anak dalam lingkungan umur tiga tahun ke atas. Dengan kad imbas kononnya kita dapat mengajar anak menguasai bahasa inggeris dengan sangat santai dan berkesan. Kemudian pembelajaran itu dikukuhkan lagi dengan mendengar kaset dan merujuk buku sambil bermain-main.  Jadi mereka  dengan sangat yakinnya memujuk kami membeli set buku itu untuk dua orang anak kami, along dan angah yang sedang membesar waktu itu.

Papa belikan semua yang ditawarkan, dengan harga yang boleh tahan mahalnya. Maka bermulalah permainan baru dengan anak-anak. Semasa mereka main-main, atau sedang lari-lari,  tunjukkan satu dua flashcards, bacakan berkali-kali dan tunjukkan gambarnya sekali, kemudian main lagi dan tanya lagi. Sedang menonton tv tunjuk lagi, sedang dalam kereta, tunjuk lagi, sehinggalah mereka boleh berikan jawapan, atau boleh baca,  tanpa dibantu dengan gambar.

Selepas dah kenal  dan boleh baca flashcards, bila ada masa, mama akan buka kaset, ambil buku dan flashcards. Sambil dengar kaset mama akan ajar anak-anak membaca buku. Begitulah yang dibuat setiap hari, digunakan masa lebih kurang lima minit setiap kali tunjuk flashcards sambil bermain, sehinggalah anak boleh membaca buku A sehingga buku Z dengan jayanya. Sebelum anak masuk sekolah mereka sudah boleh membaca, membaca buku Bahasa Inggeris dengan lancar.





   

EMAK BUAT KERJA SEKOLAH, ANAK BUAT KERJA SEKOLAH


Sebagai guru Bahasa Melayu Tingkatan Enam, memang banyaklah kerja yang dibawa balik ke rumah setiap hari. Kadang-kadang memeriksa karangan, latihan tata bahasa, ataupun alih bahasa. Semua itu tidak sempat dibuat di sekolah. Di rumah, memeriksa buku latihan, atau membuat soalan semuanya dibuat bersama anak-anak. 

Selalunya selepas balik sekolah semua kami akan rehat dulu sebelum buat kerja sekolah. Jam tiga setengah semua akan ke bilik Liabrary, duduk Di tempat masing-masing dan mulalah masa buat kerja sekolah. Mula-mula semua anak akan buat homework yang cik gu bagi. Masing-masing sangat tekun, buat kerja dengan teliti. Selalunya angah akan tanya along, kalau tak terjawab, mama akan bantu. Alang masih kecil, belum sekolah, tapi sudah ada buku kerjanya, dia pun buat 'kerja sekolah' juga. Sesekali dia akan minta perhatian, kacau kakak atau abang, jadi mama perlu tarik perhatiannya pula.

Selesai kerja sekolah mereka baca buku pula. Cukup jam 5.00 petang, siapa dah siap kerja boleh tengok tv, yang belum siap akan teruskan hingga jam 5.30 petang. Lepas tu semua tunggu papa untuk minum bersama bila dia balik dari kliniknya. Kalau masih ada kerja rumah yang belum siap, akan diteruskan selepas sembahyang Maghrib nanti. Selepas sembahyang, sekali lagi kami duduk sama-sama di liabrary untuk menyiapkan semua kerja sekolah atau membuat ulangkaji, sehinggalah jam 10.30 malam.

Begitulah rutin hidup, setiap hari kami bersama lebih kurang empat jam, untuk buat kerja sekolah bersama-sama selama bertahun-tahun. Sudah menjadi kebiasaan semua anak bila cukup masa akan terus ke liabrary iaitu tempat study. Syukurlah........  dengan amalan yang sudah dibiasakan, anak-anak tanpa disuruh, tanpa dimarah, tanpa dipaksa, dengan rela dan  suka, setiap hari membuat kerja sekolah dan mengulang kaji, sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian mereka yang biasa.

Selalu juga teman-teman bertanya, macam mana anak semua pandai-pandai. Sangat bersyukurlah aku, semua anak selalu berjaya dalam periksa dan ujian, selalu dalam rangking top ten. Barangkali masa yang dihabiskan bersama telah membantu pembentukan sikap anak-anak, dapat mengurus masa untuk belajar. Di samping itu, barangkali juga dapat memupuk konsentrasi untuk duduk dan belajar dalam masa yang ditetapkan.

Bila dapat duduk bersama anak, sebarang kekeliruan akan dapat dibantu, dan anak akan terlebih dahulu bersedia dan mempunyai pengetahuan tentang topik yang akan dipelajari pada setiap hari. Kemudian anak akan mengukuhkan kefahaman dengan membaca semula apa yang telah dipelajari. Jadi apa yang diajar akan lebih berkesan dan diingati dan dapat pula diaplikasi. Jadilah mereka orang yang pintar dan cerdas. Semuanya bermula dengan sedikit masa berkualiti, yang dihabiskan bersama setiap hari tanpa jemu-jemu dan penuh dilimpahi dengan perhatian dan kasih sayang yang melimpah ruah.

Monday, November 12, 2012

HARI CUTI HARI MEMBACA


Dulu-dulu hari Jumaat, hari cuti umum, memang suatu hari yang dikhaskan untuk keluarga. Pagi-pagi selepas sarapan kami sekeluarga akan ke Pasaraya Peladang (seperti Giant @ Tesco) untuk membeli barang keperluan dapur, termasuklah barangan basah seperti ikan dan sayuran. Antara barang lain yang akan dibeli juga ialah buku - setiap orang sebuah buku. 

Selesai membeli-belah sambil aku siapkan hidangan tengah hari, papa seperti biasa akan membaca surat khabar bersama anak-anak. Biasanya papa akan beli Utusan Malaysia, Berita Harian dan New Straits Time. Sambil baca kadang-kadang papa akan bercerita kepada anak-anak; contohnya cerita kartun dalam akhbar, atau kisah-kisah teladan. Masa bercerita mereka akan memberikan perhatian, semua berebut-rebut di keliling papa, bertolak-tolakan supaya dapat menikmati apa yang akan papa ceritakan. Selesai bercerita mereka akan duduk-duduk, dan selalunya along akan ambil kartun itu semula untuk dilihatnya. Sementara adik-adik akan meneruskan aktiviti dengan buku masing-masing.  Selesai masak ala kadarnya,  selalunya mama akan turut serta membaca surat khabar. Kadang-kadang membantu anak-anak dengan melukis atau membaca buku yang telah dibelikan.

Begitulah saban minggu berlakunya aktiviti membaca keluarga sejak dari anak-anak masih bayi, sehingga mereka masuk sekolah rendah dan sekolah menengah rendah. Kami akan duduk lepak-lepak membaca surat khabar bersama. Kami menikmati berita, cerita, gambar, kartun dan apa saja dalam surat khabar. Ada masa semua diam membaca, ada masa pula mereka bertanya apa-apa yang tidak difahami. Ada masa papa akan buka cerita. Semuanya membaca surat khabar, di tempat yang sama, pada masa yang sama, dan berkongsi pengalaman yang sama.

Jika orang bertanya bagaimana dan kenapa anak saya rajin membaca, jawapannya tidak lain ialah, kami membaca bersama-sama mereka sejak dari mereka masih bayi, sehinggalah mereka boleh membaca sendiri. Tidak pernah dipaksakan, tabiaat membaca itu berkembang dengan sendiri, kerana dilihat oleh anak-anak, kemudiannya ditiru dengan sengaja. Mereka melihat kita membaca dan tanpa rasa terpaksa mereka juga turut membaca. Jadi saya sangat percaya tabiaat membaca datangnya dari kita jua. Kitalah yang mencorakkan sama ada anak suka membaca atau sebaliknya.

MAIN-MAIN BERSAMA


Masih segar dalam ingatan masa anak kecil-kecil, tidak banyak sangat aku belikan mainan untuk mereka. Bukan kerana tidak mampu, tapi bila dibelikan mainan, kelihatan seperti mereka tidak begitu ghairah bermain. Jadi aku cuma belikan mainan yang mereka gemar antaranya seperti lego. Seingat aku mereka tidak jemu-jemu main lego. Kadang-kadang main seorang dan kadang-kadang main antara mereka bertiga. Sesekali kau juga turut bermain memeriahkan lagi suasana. Main lego memang amat berkesan mencungkil kreativiti anak-anak. Apatah lagi kalau dibimbing oleh kita ibu bapa. Macam-macam boleh dibina, kadang-kadang layan saja imaginasi mereka. Dan mereka sangat suka, dan kelihatan mereka sangat berasa bangga dengan kerja mereka, yang kononnya idea mereka yang hebat tak terhingga.

Tanpa aku sedari bermain lego bersama, memupuk rasa persefahaman dan rasa kekitaan yang tinggi. Bukan itu saja, jika kita yang bermain bersama mereka, akan pula memupuk rasa hormat menghormati dan juga memupuk soft-skill dalam pergaulan sekeluarga. Si adik akan bertanya abangnya, dan si kakak pula akan membimbing adik yang lebih kecil. Dapat kita lihat bagaimana mereka belajar berinteraksi sesama mereka dengan cukup baik semasa bermain lego. Yang lebih menyeronokkan ialah apabila kita mengajak mereka berlawan mencipta sesuatu, jadi akan terbentuk dan terlahirlah bibit-bibit semangat juang yang sihat. Dari sini kita dapat lihat pembentukan jati diri yang memberangsangkan.

Jadi untuk pembentukan jati diri anak-anak, kita perlulah memilih mainan yang sesuai. Sebarang permainan yang kita beri eloklah jika kita luangkan masa untuk bersama mereka, kerana masa berkualiti itu juga, membantu pembentukan sikap, perkembangan emosi dan pembentukan sahsiah terpuji anak-anak yang kita sayangi.  

Saturday, November 10, 2012

BACALAH......


Masa mengandungkan bayi, tabiat ibu sangat penting. Ada ibu mengandung yang mengalami alahan, dan ada yang tidak. Di samping itu, ibu mengandung memang selalu berasa kurang selesa, dengan perubahan bentuk badan yang berlaku. Tapi syukurlah semasa mengandungkan Danial, mama kurang mengalami alahan, dan rutin kehidupan harian pun tidak banyak berubah. Sebagai guru, mama saban hari tetap aktif dan bertenaga mendidik dan mengajar. Saban hari mama panjat tangga ke tingkat tiga untuk kelas tingkatan 6. Banyak berjalan dan panjat tangga rupanya, satu senaman yang sangat baik untuk mama semasa mengandung. Mama rasa sihat saja sepanjang sembilan bulan itu. Jadi untuk sihat bertenaga eloklah ibu yang mengandung banyakkan berjalan.

Di samping aktiviti sihat seperti berjalan, tabiat, kegemaran, sebarang tindakan dan amalan ibu, memang amat berkesan dan terkadang membentuk perkembangan anak-anak. Ramai orang berkata apa yang ibu buat, akan juga nanti menjadi tabiat atau sifat anak yang dikandung. Amatlah bertuah mama rasa kerana tugas seharian, memaksa mama menghabiskan banyak masa dengan buku. Membaca untuk persediaan mengajar, membaca untuk memeriksa latihan pelajar, dan membaca untuk memenuhi masa lapang, semuanya sangat merangsang pertumbuhan Danial yang kami tunggu rupanya.

Masa bulan-bulan terakhir mengandung, memang mama terlalu banyak membaca. Kebetulan waktu itu mam menjadi Ketua Kumpulan memeriksa kertas BM 1 STPM. Jadi memang sangat tekunlah mama membaca untuk menyiapkan semakan kertas pelajar pada bulan November dan Disember itu. Kebetulan pada tahun itu (1993), Kertas soalan BM 1 STPM telah bocor. Jadi mama terpaksa terus memeriksa kertas jawapan pada bulan Januari pula. Waktu itu mama sudah cukup sarat membawa perut, tapi  mama juga memang sangat tekun memeriksa kertas calon-calon STPM Ulangan, supaya dapat disiapkan tepat pada masanya. Pada masa yang sama mama juga membuat kerja sekolah kerana kebetulan sekolah baru dibuka semula. Jadi mama perlukan konsentrasi yang sangat tinggi, semangat yang cukup kuat, dan kesabaran yang tiada tandingannya, supaya mama dapat memberikan markah yang seadil dan sewajarnya kepada calon-calon periksa itu.

Alhamdulillah, semua sifat baik itu rupanya tertumpah kepada anak kesayangan kami. Memang tidak dapat dinafikan Danial memang seorang yang sangat suka membaca. Sejak berumur empat tahun lagi dia sudah mula membaca buku-buku Ladybird yang simple, tapi dia sangat suka dan tekun. Kemudian dia membesar menjadi anak yang sangat tinggi konsentrasinya, dan membaca buku tanpa mengira masa dan waktu, serta menjadi kebanggaan guru Tadikanya pula. Jadi jika mahukan anak yang rajin membaca, ibu mengandung eloklah rajin membaca sepanjang masa mengandungkan anak yang kita kasihi dan teruskan membaca sebagai satu amalan hidup keluarga kita. Insya Allah anak kita akan rajin membaca.

Thursday, November 8, 2012

THE START.....


Permulaan catatan ini dipetik daripada nota yang ditulis oleh papa dalam Diari Anak Pertama pada tahun 1984:
 
"Papa menikahi mama pada 13 Disember 1982. Semenjak itu papa dan mama sentiasa berdoa agar mendapat anak-anak yang yang baik, soleh dan berguna pada masyarakat serta agama. Papa dan mama menunggu dengan sabar, sehinggalah pada bulan Jun 1983, bila bulan mama terhenti. Tarikh terakhir datang bulan ialah pada 25.5.1983. Ini bererti Danial telah merupakan zygot pada pertengahan bulan Jun 1983.

Awal Julai papa membawa urine mama untuk diperiksa dan keputusannya; confirm mama mengandung. Maka tarikh jangkaan bersalin ialah 1.3.84. Alhamdulillah, mama tidak mengalami  muntah-muntah yang teruk. Pada masa itu papa bekerja di Unit Perbidanan dan Sakit Puan (O&G) HBAS. Maka segala urusan boleh dikatakan mudah, dan mama mengambil keputusan untuk bersalin di Hospital Besar Alor Setar. Pada ketika kandungan berumur 21 minggu, mama pun dibawa berjumpa Dr Yeoh Hock Lye (Pakar O&G) untuk booking bersalin.

Danial membesar dalam keadaan normal dalam uterus mama. Lawatan rutin berjumpa doktor setiap bulan dan minggu dipatuhi, dan semuanya normal. Berat badan mama pun  bertambah dari 53 kilo menjadi 64 kilo. Makan, memang tiada masalah langsung, makanan kegemaran, antaranya ayam goreng Mc Dota, yang satu-satunya di Alor Setar."

Mama sangat bertuah kerana dikelilingi teman-teman yang berpengalaman semasa awal mengandung. Menurut mereka masa tiga bulan pertama mengandung, eloklah banyak membaca al-Quran surah Yusuf, supaya anak yang dilahirkan nanti cantik dan segak. Mama tidak banyak soal, sangat patuh dan tekun setiap hari, membaca Surah Yusuf, sambil berdoa supaya mendapat anak yang comel. Tiga bulan berikutnya disarankan mama membaca Surah Luqman pula, dengan harapan Allah kurniakan anak yang otaknya cergas dan pintar. Jadi mama pun terus membacanya dengan berterusan tanpa jemu, dengan harapan Allah izinkan niat yang dihajati. Dan tiga bulan terakhir mereka cadangkan mama baca Surah Maryam, supaya mama mudah bersalin. Begitulah sepanjang sembilan bulan mengandungkan Danial, amalan yang sangat dilazimi ialah membaca al-Quran tanpa jemu setiap hari.

Mama sangat bersyukur teman-teman baik; Kak Siti, Kak Bashah, dan Kak Fuziah memang banyak membimbing dan memberi sokongan sejak mula mengandung sehinggalah ke akhirnya. Syukurlah, amalan ini memang sangat membantu, memang dari awal hingga akhir, masa mengandung sulung ini, alhamdulillah, tiada sebarang masalah.

Monday, October 15, 2012

DOKTOR MUDA



Meraikan kejayaan yang diimpikan
 Alangkah gembira dan bersyukur kami bila alang sudah lulus periksa, dan berjaya menjadi doktor seperti papa. Tambah gembira lagi apabila alang ditempatkan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, cuma sepuluh minit perjalanan dari rumah kami. Posting pertamanya di Unit Surgical, nampaknya sangat mencabar. Setiap pagi jam 5.30 pagi dia sudah siap sedia menuju ke hospital mengharungi kelam malam di awal pagi, tujuh hari seminggu. Hampir setiap hari selama dua minggu pertama, aku jarang bertemu muka dengannya, kerana perginya di awal pagi dan pulangnya lebih kurang jam 12.00 tengah malam. Kasihan anak mudaku ini, sangat tekun, sabar dan tabah. Kadang-kadang papa dengan senyum berkata, 'Kasihan anak papa.... Teruk juga kerja doktor ni? Tapi pasai pa semua orang nak jadi doktor?  Emak bapa kalau boleh, nak,  biarlah seorang anak mereka jadi doktor, seorang pun jadilah."


Ready to work..........
"Tu la teruk juga, tapi ok ja. Kawan alang dah ada yang jumpa Psychiatrist, tak tahan tensyen."  Kami terkedu, diam-diam kami rasa sungguh bersyukur. Syukur ya Allah, Engkau berikan kami seorang anak yang kuat jati dirinya. Engkau kurniakan kami seorang anak, seorang doktor muda, yang sedar diri, sedar tanggung jawab dan boleh mengharungi cabaran dengan baik. Semoga segala tugasmu. segala pengorbananmu mendapat balasan dari Allah dan mendapat keberkatan juga dari Allah. Begitu jugalah pengorbanan yang dilalui oleh papa suatu waktu dahulu, tiga puluh tahun yang lalu. Pendek kata hampir semua orang seronok melihat doktor, seronok kalau boleh kerja doktor, tapi kita yang hampir dengan doktor dapat merasai bagaimana kehidupan dan pengorbanan seorang manusia kerdil bernama doktor.

Thursday, May 24, 2012

NOSTALGIA MEMBESARKAN ANAK



Auntie Ya mengasuh .....
Mengenang kembali saat-saat aku membesarkan anak-anak di tahun-tahun lapan puluhan dan sembilan puluhan, terasa amat jauh bezanya. Di kala itu masih terdapat ramai remaja melayu, dalam lingkungan belasan tahun, yang menjadi pembantu rumah untuk menjaga bayi. Paling tidak pun masih ada lagi sanak saudara belasan tahun yang main peranan menjaga bayi semasa ibu ke tempat kerja untuk mencari rezeki.


Tok Wan pun mengasuh juga ....

Auntie Lang pun enjoy mengasuh .......
 Kadang kala ada juga ibu-ibu tunggal yang sanggup menjadi pembantu rumah, atau ada juga suri rumah yang mengambil tugas menjaga bayi di rumahnya, sebagai sumber mencari sesuap nasi. Dengan itu dapatlah ibu-ibu muda yang bekerja menjalani kehidupan berkerjaya, dan kehidupan berkeluarga, dengan agak selesa. Masa itu pusat jagaan bayi pun masih kurang popular,  dan masih murah tapi  tidak menjadi pilihan utama. Kalau tidak pun akan ada sanak saudara, yang masih sanggup membantu menjaga bayi, selepas tamat sekolah. Pilihan lain anak-anak kecil ditinggalkan di kampung kepada ibu bapa yang tidak bekerja, sementara anak-anak masih kecil dan belum bersekolah.  Apa pun caranya anak-anak masih kecil berada dalam keadaan yang selamat semasa ibu bapanya berada di tempat kerja. 


Friday, October 14, 2011

LEARNING IS FUN BUT ITS NOT EASY 1


Terbaca blog angah tentang mengajar anak-anak membaca, teringat masa muda-muda. Mula-mula mengajar anak kenal huruf, mengajar anak kenal nombor, dan mengajar anak mengaji. Kelihatan sangat mudah tapi ternyata sangat mencabar dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Mengajar anak kenal huruf, bermula sejak anak boleh bercakap. Semuanya dibuat dalam bentuk santai, main-main dan menyanyi, berulan-ulang dan berterusan. Sehinggalah mereka kenal huruf apabila melihat huruf di mana-mana.

Langkah kedua, apabila sudah kenal huruf, barulah diajar membaca huruf mengikut urutan. Ini pun berlaku secara main-main dan seolah-olah tidak dipaksakan, kerana menyanyi berulang-ulang kali, memang disukai kanak-kanak. Masa yang diambil untuk membolehkan anak membaca ABC, tidaklah lama sangat, tetapi untuk memahamkan anak mengeja, agak memakan masa dan perlu lebih banyak sabar. Mula-mula mereka diajak bermain dengan huruf vokal a,e,i,o,u, terlebih dahulu, sehinggalah mereka ingat bunyi setiap huruf vokal. Kemudian mereka diasuh dan dilatih menggabungkan huruf konsonan dengan huruf vokal, ini pun secara bermain dan santai, selalunya semasa di dalam kereta. Akhir sekali barulah mereka belajar membaca, ini pun secara bermain, apabila kami membaca surat khabar atau kami memang bermain untuk memahirkan mereka mebaca.

Proses membaca ini, sangat mencabar, kerana anak-anak perlu duduk dan melihat apa-apa bahan bacaan. Ini perlukan teknik memujuk ibu bapa yang berkesan, dan memerlukan kesabaran ibu bapa yang tinggi. Ini berkaitan dengan pemupukan sikap dan tabiat, dan pemupukan minat dan kebiasaan. Ramai ibu bapa selalunya gagal di peringkat ini, dan selalunya mengalah dengan mengatakan anak mereka tidak minat, sedangkan sebenarnya mereka yang tidak sabar. Tambahan lagi mereka, iaitu ibu bapa, tidak ada budaya membaca, tidak ada suasana membaca dan tiada environmen membaca di rumah, jadi anak-anak tidak boleh melakukan sesuatu yang diarahkan, tapi tidak biasa dilakukan dalam kehidupan seharian mereka. Kadangkala pada waktu ini, semasa anak-anak baru menguasai huruf, mereka sangat agresif meminta kita melayan mereka membaca, sehingga ibu bapa rasa sangat terganggu dengan kerja-kerja harian. Membaca surat khabar pun terganggu, membaca buku pun tak menentu, kerana mereka minta diberi perhatian untuk mereka dapat membaca satu dua perkataan yang baru, atau membimbing mereka membaca perkataan baru untuk menambah keterujaan mereka membaca perkataan baru. Kita akan gagal jika kita minta mereka baca sendiri, kerana kita nak buat kerja kita. Kita akan gagal jika apabila mereka jemu, mereka akan memberontak dan membuat kacau, seperti menangis, dan bergaduh, dan akhirnya kita marahkan kerana mereka buat kacau. Sedangkan mereka memberontak kerana mereka mahu terus dibantu untuk mereka boleh terus membaca perkataan baru. Kalau zone kritikal ini dapat diatasi dengan sabar dan bijaksana, mereka akan melepasi saat kritikal ini dan dapat menguasai atau sekurang-kurangnya memulakan tabiat membaca pada peringkat awal.

Jadi untuk anak-anak mula membaca ibu bapa mesti membaca di hadapan mereka, membaca bersama mereka dan sabar mengajak mereka membaca bersama kita. Di samping itu aktiviti membaca mesti menjadi aktiviti keluarga sepanjang masa, barulah anak akan boleh membaca, rajin membaca dan terus suka membaca, sehingga mereka berjaya.