Showing posts with label School - staff. Show all posts
Showing posts with label School - staff. Show all posts

Monday, April 1, 2013

JURANG API NERAKA


TAZKIRAH PAGI, 27 MAC 2013
OLEH USTAZAH PAZIAH SAAD

HADITH KESEMBILAN - BETAPA DALAMNYA JURANG API NERAKA
Pengajaran;
  1. Kita tidak dapat menghitung dalamnya jurang api neraka, yang ditempuhi oleh perjalanan kecepatan batu besar yang jatuh dan memakan masa tujuh puluh tahun lamanya untuk sampai jatuh ke dasarnya.
  2. Jurang yang teramat dalam itu, dipenuhi dengan bermacam-macam siksaan.
  3. Sampai saatnya pintu neraka akan ditutup serapat-rapatnya, dan segala penghuninya akan terus menerima siksaan demi siksaan dengan tiada kesudahannya.
Nabi Mohamad saw pernah bersabda, Malaikat Jibril mengatakan. " Demi Allah yang mengutusmu dengan hak, andaikan seorang di hujung barat tersiksa nescaya akan terbakar orang yang berada di hujung timur kerana bersangatan panasnya (tersangat panas api neraka). Neraka jahanam itu sangat dalam dan perhiasannya adalah besi, minumannya adalah air panas campur nanah dan pakaiannya adalah potongan-potongan api."

Rasulullah  saw dalam wasiat baginda menyebut antara penghuni neraka ialah seperti berikut;
  1. Orang yang lemah pemikiran dan tidak suka berfikir, jadi dia gagal bertindak mengikut pertimbangan yang wajar, dan hanya menurut kehendak dan perbuatan orang lain.
  2. Pemalas yang tidak mahu bekerja  bagi mencari nafkah hidup dirinya serta keluarga, suka mengharapkan ihsan orang lain dan mencari jalan mendapat keuntungan dengan mudah.
  3. Pengkhianat yang tamak hingga sanggup menikam sesiapa saja dari belakang, tanpa mengira masa, tempat dan siapa yang menjadi mangsanya, demi keuntungan sendiri.
  4. Tangkai jering atau mereka yang sangat bakhil dengan harta dan kesenangan, seolah-olah diperolehi dengan tanga mereka sendiri.
  5. Orang yang suka melontarkan kata-kata nesta dan makian kepada orang lain.
Marilah kita jauhi golongan yang disebutkan oleh Nabi saw dan sama-samalah kita memohon hidayah Allah, agar kita mendapat pertolonganNya di hari akhirat nanti.

HADITH KESEPULUH, PENGHUNI SYURGA DAN NERAKA
Pengajaran;

Nabi bersabda, "Aku melihat ke dalam syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah daripada kalangan orang-orang yang faqir, dan aku melihat ke dalam neraka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah daripada golongan perempuan"

Mari kita lihat siapakah yang dijanjikan Allah akan syurgaNya, Di antara ciri-ciri wanita syurga adalah seperti berikut;
  1. Bertaqwa
  2. Beriman kepada Allah, Maklaikat, Kitab, Rasul, Hari Qiamat,  qadha dan Qadar ketentuan Tuhan
  3. Bersaksi tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Mohamad saw pesuruhNya, mendirikan solat, menunaikan zakat, puasa dan menunaikan haji
  4. Ihsan iaitu beribadah kpd Allah seolah-olah kita melihatNya, dan mengetahui Allah melihat diri kita
  5. Ikhlas  dan bertawakkal kepada Allah, takut kpd azabNya, mengharap rahmatNya, bertaubat kepadaNya, sabar atas segala taqdirNya,dan mensyukuri nikmatNya
  6. Gemar membaca AlQuran, berusaha memahaminya, berzikir mengingat Allah dan berdoa hanya kepada Allah
  7. Mengamalkan suruhan Allah dan menjauhi larangan Allah dalam keluarga dan masyarakat
  8. Berbuat baik kepada tetangga, anak yatim, fakir miskin serta seluruh makhluk
  9. Menyambung tali persaudaraan dengan orang yang memutuskannya dan memaafkan orang yang menzalimi kita
  10. Adil dalam segala perkara
  11. Berinfak baik ketika lapang mahupun ketika sempit
  12.  Menepati janji dan amanah
  13. Berbakti kepada kedua orang tua
  14. Menyambung silaturrahim dengan kaum kerabat, sahabat handai yang jauh dan dekat
Semoga dengan mengenali ahli syurga, dan penghuni syurga Allah, mudah-mudahan kita akan mendapat manafaat daripadanya. Sama-samalah kita memohon hidayah Allah supaya   kita dijauhi daripada balasan api neraka dan ditempat di syurgaNya kelak.

Tuesday, March 26, 2013

MAHKAMAH RABBUL JALIL


TAZKIRAH PAGI, 26 MAC 2013
OLEH US ABD GHANI AWANG SEMAN

HADITH KETUJUH - MAHKAMAH QADHI RABBUL JALIL
Pengajaran ayat;
  1. Semua orang akan dihadapkan kepada Allah swt pada hari qiamat nanti, seorang demi seorang dan tidak ada seorang pun yang sanggup menolong orang lain pada waktu itu,  walaupun anak isteri yang dikasihi di dunia ini.
  2. Di akhirat nanti kita menjadi sebatang kara, sebatang tubuh yang kerdil, yang akan berdiri tegak di hadapan Allah, Qadhi Rabbul Jalil yang maha mengetahui segala perbuatan dan rahsia hambaNya, mampukah kita mengangkat muka kita, yang berlumuran dengan dosa di hadapan mahkamah Tuhan nanti?
  3. Dalam ketakutan menunggu untuk dihisab itu, bila kita menoleh ke kanan ternampak amalan kebaikan, dan bila menoleh ke kiri ternampak perbuatan maksiat, dan bila mengangkat kepala ternampak di hadapan, kemarakan api neraka, yang terbentang sejauh mata memandang dan syurga masih jauh di sebalik api yang menyala.
  4. Dalam ketakutan itu, kita belum pasti apakah kita  akan mendapat kejayaan untuk sampai ke syurga sana, atau kita akan terjatuh di tengah perjalanan titian siratal mustaqim ke jurang api neraka jahannam.
  5. Oleh itu dari sekarang marilah kita tentukan arah perjalanan kita menyeberangi ke negeri syurga. Buatlah bekalan, dengan melakukan kebaikan sebanyak mungkin, sedikit demi sedikit, akhirnya menjadi bukit, kerana di akhirat sana, kita sangat berhajat kepada pahala kebaikan yang dilakukan sendiri di dunia.
HADITH KELAPAN  - BERENANG DI LAUTAN PELUH
Pengajaran Ayat;
  1. Suasana hari qiamat di Padang Mahsyar, adalah tersangat panas, ketika orang ramai dibangkitkan dari kubur dan berkumpul untuk dihisab dan diperhitungkan.
  2. Keadaan orang ramai pada masa itu, berbeza-beza mengikut keadaan amal perbuatan masing-masing di dunia dan hitungan perbuatannya yang baik atau yang buruk. Oleh kerana terlalu panas, ada yang berpeluh hingga ke tumit, atau sampai ke lutut, atau sampai ke pinggang, atau sampai ke telinga, hingga terpaksa berenang dalam lautan peluh.
  3. Walau bagaimanapun ada tujuh golongan yang dinaungi Allah di bawah naungan ArasyNya yang mulia, iaitu, pemimpin yang adil, pemuda yang rajin beribadat, lelaki yang hatinya terpaut dengan mesjid, lelaki yang digoda berzina tapi dapat menahan diri,orang yang menyembunyikan sedekahnya,dan oran yang mencucurkan air mata semata-mata kerana takut kepada Allah. 
  4. Marilah kita semua, sahabat handai, adik kakak, anak-anak tercinta, dan semua yang ter baca ruangan ini, berusaha dengan bersungguh, mudah-mudahan kita termasuk di kalangan golongan yang bertuah ini insyaa Allah.

     

KERJA ITU IBADAT


TAZKIRAH PAGI, 25 MAC 13
OLEH PN NORLELA MOHD SAHAD

Kerja dikategorikan sebagai ibadah, boleh diertikan sebagai membuat sesuatu tugas atau tanggung jawab yang diamanahkan, untuk mencari pendapatan di samping mendapat keredhaan Allah. Apabila seseorang itu bekerja semata-mata kerana Allah,  ia akan  mendapat keredhaan Allah, seperti yang terdapat dalam Surah AtTaubah ayat 105,
 "Katakanlah (Wahai Mohamad), beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasulnya serta orang yang beriman, akan melihat apa yang kamu kerjakan, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan." 

Manusia sebenarnya bekerja untuk memenuhi tuntutan dan keperluan hidup di dunia yang sementara ini seperti berikut;

1. Memenuhi keperluan diri
Rasulullah saw bersabda, " Jika pergi seseorang daripada kamu pada tengah hari untuk mengambil kayu bakar di belakangnya, sehingga dia dapat bersedekah darinya dan mencegah daripada meminta-minta, maka yang demikian  adalah lebi baik daripada meminta-minta kepada orang lain, sama ada diberi atau tidak, kerana tangan yang di atas, adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah, ....."

2.  Memenuhi keperluan keluarga
Rasulullah saw bersabda, "Sesungguhnya Allah sangat cintakan kepada mukmin yang bekerja...."

3. Memenuhi keperluan masyarakat
Umum mengetahui tidak semua manusia mempunyai kepakaran dalam semua bidang pekerjaan. Untuk itu kemahiran individu dalam pelbagai jenis pekerjaan, yang dilaksanakan dengan ikhlas, dapat menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat yang diklasifikasikan sebagai tuntutan fardhu kifayah, seperti firman Allah yang bermaksud, "bertanyalah kepada orang yang lebih tahu jika kamu tidak mengetahui......"

4. Membantu memakmurkan bumi Allah
 Pekerjaan yang kita lakukan mempunyai hubungan  dan kaitan yang rapat dengan unsur kehidupan manusi di dunia selain memelihara segala nikmat Allah yang dikurniakan di muka bumi ini.

Oleh itu marilah kita mengamalkan amalan kebiasaan, supaya kita dapat melaksanakan pekerjaan kita sebagai ibadah, untuk memenuhi keperluan dan kebaikan dunia dan pada masa yang sama, dihadiahkan ganjaran di akhirat pula. Marilah kita laksanakan amalan-amalan berikut;
1. Melangkahlah keluar ke tempat kerja dengan lafaz bismilla. dan berazam untuk mendapat keredhaan Allah
2.Bekerjalah  dengan amanah, adil dan bertanggung jawab
3. Laksanakan kerja dengan tekun, cekap dan bersungguh-sungguh
4. Berdisiplin dan menghasilkan kerja yang berkualiti dan berprestasi tinggi
5. Carilah kerja, dan sentiasa menjadi orang yang proaktif
6. Elakkan diri daripada sebarang kemungkaran di tempat kerja

Mudah-mudahan setiap pergerakan kita dari mula berdoa keluar rumah hingga kita pulang dikira sebagai ibadah dan amal soleh. Mudah-mudahan dengan cara itu rezeki yang diterima penuh keberkatan dan dapat menghindarkan diri kita dan keluarga kita daripada sebarang musibah, insyaa Allah....


Saturday, March 23, 2013

SIAPAKAH KITA


Tazkirah pagi
24 Mac 2013
Oleh Pn Noor Asyikin Yusof

3 golongan manusia dalam pekerjaan

1. Manusia yang suka bekerja
Golongan ini suka mencari kerja, mereka tidak perlu disuruh melaksanakan sebarang kerja, atau diarah untuk buat sebarang kerja. Mereka tidak pernah mencuri tulang atau membuang masa semasa mereka bekerja.  Golongan ini akan sentiasa seronok dan bersemangat untuk bekerja. Mereka akan mendapat balasan baik drp Allah di dunia mahupun di akhirat.

2. Manusia yang perlu  disuruh untuk bekerja
Golongan ini pada setiap masa tidak berdaya maju atau tiada initiatif untuk melaksanakan tugas. Mereka perlu sentiasa disuruh, diarah dan ditunjuk setiap kali melaksanakan tugas. Sebarang tunjuk ajar yang diberi tidak difahami dan tidak amalkan pada masa yang lain. Jadi pada setiap masa mereka terpaksa disuruh. Mereka ini ibarat hidup segan matu tak mahu, yang sentiasa menyusahkan orang lain dan tidak membawa kecemerlangan kerana membuat kerja-kerja rutin sahaja.

3. Suka tengok orang buat kerja
Golongan memang ini memang tidak suka bekerja, tidak bekerja bersungguh-sungguh walau disuruh melakukan kerja. Mereka lebih suka bekerja seadanya saja, dan seronok melihat orang lain bekerja, dan kadang-kadang mentertawakan orang-orang yang bekerja bersungguh-sungguh. Mereka boleh melemahkan semangat kerja orang lain, dan kadang-kadang menjadi virus di tempat kerja. Golongan ini barangkali selalu mengatakan tidak larat dan tidak sihat, maka 50 peratus daripada tenaga dalaman mereka sudah hilang. Mereka bertenaga dan bergembira melihat orang lain bekerja saja.

Marilah kita sama-sama muhasabah diri kita. Kita tergolong dalam golongan yang mana satu.  Kalau kita bersetuju bahawa kerja itu ibadat,  golongan manakah  kita, yang membolehkan kita berlumba-lumba, mendapatkan pahala yang sebanyak mungkin, sepanjang masa kita bekerja.

Di samping itu, marilah kita bersyukur, setiap hari yg dilalui memang sangat berharga. Hari ini kita masih  hidup dan dapat meneruskan kehidupan dan dapat berada di tempat kerja seperti biasa. Begitu juga hargailah orang-orang yang berada di sekeliling kita, gembirakan hati mereka. Jadilah pekerja yang baik dan cemerlang, jadilah sahabat yang menyenangkan semua orang. Dengan  itu kita dapat menambah pahala dan mendapat redha Allah yang maha esa, dalam kehidupan bekerja dan kehidupan di alam semesta.

Wednesday, December 5, 2012

ATASI RASA RENDAH DIRI


Tazkirah pagi 6 Dis 2012, disampaikan oleh Puan Nor Afiza Salleh.
Berikut dicadangkan cara-cara untuk mengatasi perasaan rendah diri  dalam diri kita untuk dikongsi bersama, yang dipetik daripada majalah Solusi;
  1. Lupakan kekurangan diri kita dan jadikan kekurangan kita sebagai kelebihan, supaya kita tidak merasa tidak selesa dengan segala kekurangan yang ada.
  2. Luaskan pergaulan kita supaya kita dapat belajar berkomunikasi, belajar berhadapan dengan orang yang boleh membantu kita, supaya dapat mengurangkan rasa malu dan rendah diri.
  3. Rajin bertanya, dan ambil inisiatif memulakan perbualan, jangan sekali-kali khuatir orang tidak akan menjawab soalan kita.
  4. Ambil perhatian kepada penampilan diri kita supaya sempurna dan rapi seperti pakaian, aksesori dll.
  5. Sentiasa cuba bersikap tenang, kerana kesalahan utama menyebabkan rasa rendah diri ialah kerana kita kurang dapat mengawal diri.
  6. Singkirkan imaginasi negatif kerana selalunya orang kurang memberikan perhatian kepada perkara-perkara yang remeh temeh.
  7. Cuba sesuatu yang baru dalam kehidupan, kita pasti boleh melakukan apa saja yang kita fikirkan boleh.
Selamat mencuba, supaya dengan berkurangnya rasa rendah diri, kita akan dapat memajukan lagi diri kita, keluarga kita, organisasi kita dan bangsa serta agama kita. Dengan itu kita akan menjadi orang yang berdaya maju insyaa-Allah.

Tuesday, December 4, 2012

IBADAH AHLI SYURGA


Tazkirah pagi 5 Dis. 2012, oleh Puan Yunizah Muda.

Terdapat suatu kisah sahabat yang boleh memberikan panduan dan pengajaran kepada kita, supaya  menjadi amalan untuk bekalan kita yang dapat dibawa pulang mengadap Allah azzawajalla nanti. Anas radhiallahuanhu, pernah bercerita bahawa Nabi saw. pernah bersabda, 
" Sebentar lagi akan muncul seorang lelaki penghuni syurga."
Anas mendengar Nabi mengulang sabda Baginda selama tiga hari berturut-turut. Jadi dia telah mencari helah untuk dapat bersama dengan lelaki tersebut di rumahnya. Setelah tiga hari Anas dapati lelaki itu beribadat seperti biasa dan tiada pun  ibadat yang sangat istimewa dan amalan yang berbeza daripada yang dikerjakan oleh sahabat yang lain, sehingga Nabi menjanjikan syurga kepadanya.

Setelah didapati tiada sebarang keistimewaan, Anas memberitahu perkara sebenarnya, bahawa dia menumpang di rumah lelaki itu untuk melihat apa ibadatnya yang istimewa, sehingga Nabi menjanjikan syurga kepadanya.  Lelaki itu memberitahu Anas,
"Demi Allah, sebenarnya amalku tidaklah sehebat mana, tapi apa yang aku pasti, aku tidak pernah simpan niat buruk terhadap sesama Islam. Dan aku tidak pernah simpan rasa dengki, dan rasa syak wasangka terhadap kebaikan yang diberikan oleh mereka."

Jadi kesimpulannya marilah kita turut sama menjaga ibadat kita dan menjaga hati kita supaya bersih daripada perasaan buruk dan perasaan hasad dengki, yang boleh menghakis pahala ibadat yang kita kerjakan setiap hati. Dengan itu  mudah-mudahan Allah akan memberikan pahala   untuk keberkatan hidup di dunia dan kehidupan di akhirat sana, insyaa-Allah.

Monday, December 3, 2012

INSYAA-ALLAH....


Tazkirah pagi 4 Dis 2012, dipetik daripada Muqaddimah TV 9

Kita selalu menyebut perkataan insyaa-Allah dalam kehidupan  seharian. Ungkapan ini membawa maksud 'jika Allah berkehendak' atau jika Allah izin atau dengan izin Allah. Ulamak-ulamak berpendapat, ungkapan inilah yang membezakan seorang mukmin atau pun tidak. Sebagai seorang mukmin kita sentiasa faham, bahawa apa yang kita fikir, apa yang kita mahu, apa yang kita berkehendak, apa yang kita rangcang, dan apa saja yang kita akan lakukan, tidak akan dapat dilaksanakan, kalau tidak dengan izin dari Allah. Segalanya kita sandarkan kepada Allah semata-mata, kerana kita yakin Allah maha mengetahui segala sesuatu, sama ada yang zahir ataupun yang tersembunyi.

Di zaman silam banyak kisah Nabi-nabi seperti Nabi Sulaiman, Nabi Ismail, Nabi Musa dan Nabi Mohamad saw. yang telah menunjukkan kepada kita, tentang kepentingan menyebut ungkapan insyaa-Allah ini. Sebagai salah satu contoh, Nabi Mohamad saw. pernah suatu ketika tidak menyebut ungkapan ini. Baginda pernah berjanji kepada seorang Yahudi, akan menerangkan tentang  kisah pemuda ashabulkahfi, tanpa menyebut insyaa-Allah. Keesokanya Allah tidak turunkan wahyu sehingga beberapa ketika tentang perkara itu. Selepas itu Allah menegur Nabi Mohamad saw. dalam wahyuNya, supaya Nabi menyebut insyaa-Allah dalam sebarang pecakapan Baginda. Begitulah pentingnya ungkapan insyaa-Allah dalam kehidupan kita. 

Tetapi dalam kehidupan masyarakat kita hari ini kadang-kadang ungkapan ini disalahgunakan. Kadang-kadang kita menyebut insya-Allah untuk tidak tepati janji, atau untuk mengelak daripada melakukan sesuatu. Jika kita sudah pasti sesuatu perkara itu tidak dapat kita lakukan, atau tidak dapat kita penuhi, janganlah kita menyebut insyaa-Allah, kerana Allah tidak suka, kalau berjanji kita tidak tepati. Itu bermakna kita tidak menyandarkan percakapan kita kepada Allah, dan bukanlah dengan izin Allah namanya, perbuatan sebegitu.

Jadi kesimpulannya, Nabi mengajar kita  sentiasa menyebut insyaa-Allah, maka marilah kita sebagai bapa, sebagai ibu, sebagai anak dan sebagai siapa saja, sentiasa membasahkan lidah kita dengan ungkapan insyaa-Allah. Marilah kita berazam untuk menyandarkan segala apa yang kita lakukan seharian kepada Allah, dengan sentiasa menyebut  insyaa-Allah. Semoga dengan ini kita dapat amalkan akhlak Rasullullah dalam kehidupan kita. Semoga dengan ini juga, kita akan sentiasa sedar, dan sentiasa yakin, bahawa segala sesuatu dalam kehidupan kita sebenarnya dalam kehendak dan izin Allah.




Sunday, December 2, 2012

MATI SEBELUM AJAL


Tazkirah pagi 3 Dis 2012, disampaikan oleh Yunizah Muda, dipetik daripada majalah Anis.

Menurut Imam Ghazali, “Jika didapati  hati yang hilang, apabila ia hilang, maka carilah hati itu di tiga tempat; iaitu apabila bangun pagi bacalah quran, atau apabila bangun pagi kerjakan solat, jika tidak, cari hati dengan duduk tafakur dan mengingat mati. Jika tidak ditemui juga, berdoalah kepada Allah minta hati yang baru, minta dihidupkan hati kita semula,  kerana hati kita telah pun mati.”

Marilah kita semak semula adakah  hati kita hidup, dengan merenung tujuh tanda hati yang hidup?
  1. Lapang hati menerima ilmu atau berada di majlis ilmu. Nabi saw. bersabda, “Apabila cahaya masuk ke dalam hati seseorang itu, maka ia rasa lapang hatinya, orang-orang itu ialah mereka yang beramal untuk kembali ke akhirat, jauh daripada fitnah dunia dan bersedia untuk mati.”
  2. Hati sentiasa berzikir dan mengingat Allah. Nabi saw. pernah bersabda kepada puteri baginda Fatimah, “Mahukah engkau aku berikan pembantu, pada setiap masa, yang boleh membantu melapangkan kamu? Jika mahu bacalah ’subhanallah, walhamdulillah, walaailaa, haillallah, allahuakbar’ pada setiap masa. Kamu pasti akan merasa sangat lapang.”
  3. Hati khusyuk yang sentiasa mengingat Tuhan, dan hati yang sentiasa suka untuk berbuat kebaikan.
  4. Hati yang merasa kemanisan iman, iaitu apa yang dibuat  demi kerana Allah terasa amat manis, hati yang redha kepada Allah sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya, dan Nabi saw. Sebagai Rasulnya. Hati ini akan sentiasa terdorong untuk melakukan ibadat kepada Allah semata-mata.
  5. Hati yang sentiasa menerima nasihat dengan rendah hati dan lapang  dada.
  6. Hati yang berasa sangat dekat dengan Tuhan – buat apa saja, susah atau senang akan sentiasa mengingat Allah. Kalau ditakdirkan senang maka bersyukur kepada Allah, dan jika ditakdirkan susah maka bersabarlah dengan ujian yang ditakdirkan kepada kita.
  7. Hati sentiasa kembali kepada Allah, berserah kepada Allah dalam apa saja keadaan, lapang, sempit, disanjung, dihina dan apa saja yang terjadi kepada kita dan diberikan kepada kita, kita tidak pernah lupa bahawa semuanya datang dari Allah jua, dan dengan izinNya jua.

Semoga dengan mengetahui tentang tanda-tanda hati yang hidup, kita akan dapat memujuk, membelai dan menjadikan hati kita sentiasa hidup, untuk memperbaiki kehidupan kita, sebelum kita dijemput mengadapNya nanti.

Saturday, December 1, 2012

MARI MENGHAYATI KE MANA KITA ....


Tazkirah pagi,  2 Dis 2012. (Surah Attakaathur)

Surah ini bermaksud memperbanyak yakni berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya harta benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh. Allah telah menegur manusia yang telah dilalaikan dengan nikmat kehidupan yang tersebut di atas, sehingga kurang mengerjakan amal bakti, sepanjang meniti kehidupan di dunia yang sementarai ini. Allah telah menegaskan, supaya manusia jangan sekali-kali bersikap demikain, kerana nanti kamu akan mengetahui kelak akibat yang buruk semasa hendak mati dan selepas kita dimatikan. 

Kita diingatkan lagi, demi sesungguhnya kalau kita mengetahui apa yang akan kita hadapi nanti, tentulah kita akan mengerjakan perkara- perkara yang baik-baik belaka, yang dituntut oleh Allah dan Rasul, dan yang memberi kebaikan sesama manusia; sudah tentulah kita akan mengerjakan perkara-perkara yang akan menjadi bekalan kita di akhirat nanti.

Allah menegaskan lagi, orang mukmin akan ditanya tentang nikmat-nikmat di dunia, kerana Allah akan memberikan kemuliaan kepada mereka, disebabkan mereka telah bersyukur, dengan menggunakan segala nikmat yang dikurniakan untuk perkara-perkara yang diredhai Allah.

Sebaliknya orang-orang kafir juga tidak terlepas akan ditanya tentang nikmat-nikmat itu, kerana Allah akan memberikan balasan untuk segala kejahatan dan kehinaan yang dilakukan, kerana mereka telah menyalahgunakan nikmat pemberian Allah kepada perkar-perkara yang dimurkai, kerana menidakkan suruhan Allah.

Mudah-mudahan kita akan mengambil iktibar untuk memperbanyakkan amalan dalam kehidupan kita. Sesungguhnya terlalu banyak nikmat yang diberikan kepada kita semasa hidup. Marilah kita sama-sama menggunakan semua nikmat itu ke jalan Allah, dalam apa saja yang kita lakukan, walau siapa pun kita dan di mana kita berada. Mudah-mudahan ia akan menjadikan kita memperoleh keberkatan di dunia, lebib-lebih lagi di akhirat sana.

Wednesday, November 28, 2012

MENUJU MUSLIM SEJATI MELALUI IBADAH SUNAT


Tazkirah pagi 29 Nov 2012, disampaikan oleh Ustazah Hamidah Abdul Aziz.

Dalam kehidupan kita, sebenarnya banyak idadah sunat yang boleh dilakukan untuk menjadikan kita dekat dengan Allah. Antaranya ialah dengan menunaikan solat sunat rawatib, iaitu sembahyang sunat sebelum dan selepas kita menunaikan sembahyang fardhu setiap hari. Banyak solat rawatib yang dikerjakan oleh Rasulullah semasa hayat Baginda saw. Antara solat sunat rawatib yang muakkad yang dituntut kita mengerjakannya iala;
  1. Solat 4 rakaat sebelum dan selepas solat fardhu zohor
  2. Solat sunat selepas sembahyang fardhu maghrib
  3. Solat sunat selepas  sembahyang fardhu isyak
Sesungguhnya banyak sekali diterangkan tentang faedah kepada orang yang rajin menunaikan sembahyang sunat ini. Kelebihan sembahyang  sunat banyak disebut dalam  hadis-hadis Nabi saw, anataranya ialah,
  1. "Barang siapa yang solat empat rakaat sebelum zohor dan empat rakaat selepas zohor, Allah haramkan tubuh badannya daripada api neraka."
  2. "Orang yang sentiasa solat sunat, Allah sentiasa merahmati kehidupannya"
  3. "Sesungguhnya Allah akan menjadikan rumah orang-orang yang sentiasa solat sunat itu, rumah yang sentiasa mendapat kebaikan."
  4. "Dengan solat sunat yang didirikan, Allah akan jadikannya  cahaya di rumah itu, maka Allah akan tanamkan cahaya keimanan dalam rumah tersebut."
  5. "Dengan sembahyang sunat yang didirikan, Allah akan mengangkat satu darjat bagi orang itu, dan akan diampunkan satu dosanya pula."
  6. "Rasulullah sangat suka solat fajar, sesungguhnya solat dua rakaat sunat fajar itu, lebih baik daripada dunia dan seluruh isinya, dan Allah ampunkan dosanya walaupun sebesar buih.  
Dengan segala kelebihan yang dimaklumkan kepada kita melalui hadis Nabi saw, marilah kita sama-sama merebut peluang keemasan itu. Mudah-mudahan akan memberi manafaat di dunia dan di akhirat sana, insya-Allah

Tuesday, November 27, 2012

UKHWAH ISLAMIAH


Tazkirah pagi 28 Nov.2012, disampaikan oleh Ustazah Hamidah Abdul Aziz

Makan tengah hari di rumah PK, salah satu aktiviti ukhwah.....
 Maksudnya cukup mudah, mewujudkan persahabatan yang baik sesama umat Islam, walau di mana kita berada. Dalam kata lain ukhwah Islamiah ialah sikap baik yang menghasilkan persahabatan yang baik, yang dapat menimbulkan keselesaan dan keharmonian dalam kehidupan seharian. Jika diluaskan lagi ialah mewujudkan persahabatan sesama teman dan anggota sesebuah organisasi di tempat kerja. Atau lebih luas lagi, mewujudkan persahabatan yang baik di kawasan kediaman kita, dan seterunya dalam sebuah negara yang aman dan merdeka, demi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Persahabatan dan persefahaman

Berikut diberikan saranan berdasarkan alQuran dan Hadis Rasulullah saw, tentang cara-cara  untuk mengukuhkan ukhwah Islamiah untuk dijadikan iktibar dan dicontohi, serta diamalkan untuk kecemerlangan organisasi, dan juga untuk kesejahteraan umat seluruhnya:





  1. Sesungguhnya senyuman yang diberikan adalah suatu sedekah dan mencetuskan kedamaian sesama kita.
  2. Perkataan yang baik sesama kamu, merupakan suatu sedekah dan dapat mengeratkan hubungan antara sesama kamu.
  3. Tolong menolonglah kamu ke arah perkara-perkara kebaikan, bukan ke arah perkara-perkara keburukan.
  4. Berilah pertolongan sekadar yang termampu oleh kamu, dan berilah pertolongan dengan penuh rasa ikhlas.
  5. Digalakkan kamu memberi pandangan dan cuba menyelesaikan masalah dengan baik.
  6. Adalah amat baik jika kamu dapat meringankan beban saudara kamu, dan berdoalah untuk kesejahteraan mereka.
  7. Jika dapat dielakkan, janganlah kamu memberatkan saudara kamu dengan apa cara sekali pun.
Kasimpulannya, ukhwah Islamiah dapat melahirkan masyarakat yang aman, harmonis, bermuafakat, berkasih sayang dan mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat. Marilah kita sama-sama mengamalkannya untuk kebaikan bersama.

HATI ITU RAJA......


Tazkirah pagi 27 Nov 2012, disampaikan oleh Ustzah Nor Azlin Mohd Nasir

Hati manusia ialah suatu organ dalaman, yang juga disebut roh atau qalbu. Hatilah tempat untuk tentukan perasaan kita, dan tempat untuk menghazam ilmu, sama ada boleh memberi manafaat atau pun tidak kepada pemiliknya. Hati dikatakan raja dalam diri kita. Sebab hati amat berkuasa, dan anggota badan adalah rakyatnya. Kerana itulah segala permintaan hati, tidak pernah ditolak oleh anggota lahir kita, yang sangat patuh kepada 'raja'nya. 

Hati yang raja itu, penasihatnya ialah akal dan nafsu.  Kalau hati  menerima nasihat daripada penasihat yang pertama iaitu akal, maka baiklah hati. Sebaliknya jika penasihat kedua iaitu nafsu memberikan nasihat, dan diterima pula oleh hati yang raja itu, maka jahatlah hati. Jadi bagaimanakah boleh diselesaikan pertelingkahan penasihat hati yang sangat berkuasa itu? Bagaimanakah dapat dielakkan supaya hati yang raja itu tidak menjadi rosak kerana mendengar nasihat daripada penasihat yang salah? Tidak lain dan tidak bukan, urusan hati boleh diselesaikan dengan mencari pelbagai jenis ilmu, belajar macam-macam ilmu, dan mengenali ilmu tentang hati. Tiga kategori hati yang patut kita tahu ialah;

1.  Hati yang hidup, iaitu hati yang baik, positif, lembut dan terbuka. Hati jenis ini mudah melakukan perkara-perkara baik. Hati ini sentiasa mahu manuntut ilmu, sentiasa mahu mencari kebaikan dan akan sentiasa terdorong untuk perkara-perkara di  jalan Allah, dan perkara-perkara yang disukai oleh Rasul kekasih Allah. Maka berbahagialah orang yang memiliki hati jenis ini
2. Hati yang sakit, iaitu hati yang kurang kualitinya kerana kurang sihat. Dengan hati jenis ini kita mudah melakukan perkara-perkara tidak baik, perkara-perkara yang boleh membawa kemusnahan, yang memporakporandakan dan selalunya yang perkara-perkara yang dusta, yang bukan di jalan  Allah dan Rasul. Semoga kita diberi pertunjuk  oleh Allah untuk dapat menyedari dan menghindari hati jenis ini.
3.  Hati yang mati, iaitu hati keras, hati yang busuk seperti 'bangkai'. Maka segala perkara yang baik semuanya tidak boleh diterima. Pemilik hati ini tidak pernah terlintas untuk berbuat kebaikan, dan tidak langsung berkeinginan ke arah perkara kebaikan. Dan malang sekali, hati tidak melihat kebaikan langsung, walau pun orang di sekelilingnya,  orang baik-baik, walau pun di sekelilingnya telah disampaikan suruhan Allah dan Rasul sebagai peringatan. Maka amat rugilah pemilik hati jenis ini, dan semoga dijauhilah dari kita hati yang begitu.

Jadi cadangan untuk mengelakkan hati daripada menjadi keras, sakit dan mati, banyakkanlah berdoa kepada Allah. Dicadangkan Surah Taha ayat 1 hingga 5, boleh diamalkan supaya hati kita lembut dan menyukai perkara-perkara kebaikan. Saranan kedua ialah dengan menghayati sebuah Hadis Nabi saw. yang bermaksud, 
"Kurangkan bercakap selain berzikir, kerana orang yang banyak bercakap hatinya keras, bahawa orang yang paling jauh dari Allah adalah orang yang hatinya keras."

Kesimpulannya jadikan percakapan kita , percakapan yang mengingati Allah, percakapan yang boleh jadi zikir, dan percakapan yang ada kaitan dengan Allah, supaya kita sentiasa dekat dengan Allah. Semoga tazkirah ini dapat menjadikan kita orang yang lebih baik di sisi Allah dan orang yang sentiasa memberi manafaat dalam organisasi yang merupakan sebahagian daripada ibadat kita setiap hari.

Sunday, November 25, 2012

MENJANA TRANSFORMASI KE ARAH KECEMERLANGAN


Tazkirah pagi 26 Nov 2012 oleh Tn Hj Ismail Awang Kechik

Untuk menghayati tajuk ini marilah kita renung kisah Nabi Mohamad saw. semasa zaman awal sebelum berhijrah, dan  dalam peristiwa peperangan Uhud. Semasa mula-mula Nabi menyebarkan Islam, Nabi mengumpulkan saudara mara dan sahabat handai terdekat untuk mendapat sokongan. Sokongan ini menjadikan Islam semakin berkembang, dan pengikutnya semakin bertambah dari sehari ke sehari. Dengan wahyu yang diturunkan, baginda menyusun strategi  untuk pengikut-pengikutnya berhijrah ke Madinah secara beransur-ansur. Kemudian sehinggalah tiba  masanya  Baginda mendapat wahyu untuk Baginda sendiri berpindah, barulah baginda berbuat demikian dengan sahabat Baginda yang sangat dicintai. Ini bermakna Nabi Mohamad saw. sangat berpegang kuat kepada ilmu dari Allah untuk sebarang tindakan sama ada yang kecil atau besar. Jadi kesimpulannya, untuk berubah dan boleh berlaku transformasi, dalam kehidupan,  atau dalam oraganisasi,  mestilah  dengan bersandarkan ilmu.  

Di samping mempunyai ilmu, untuk berubah kita mesti mempunyai sokongan yang kuat dan padu daripada orang-orang terdekat kita. Penyokong kuat kita adalah orang yang mempunyai satu wawasan, berkongsi satu cita-cita, sanggup berkorban harta benda, tenaga dan wang ringgit untuk turut sama jatuh dan bangun bersama-sama. Ini terbukti dan jelas dapat dilihat pada Saidina Abu Bakar. Beliau sudah bersiap sedia untuk berhijrah dengan semua perancangan yang rapi. Apabila tiba diajak berpindah oleh Rasullullah, beliau tanpa ada sebarang alasan, berhijrah bersama-sama Nabi pada saat beliau diajak, tanpa sebarang alasan lagi. Jadi sokongan dan pengorbanan Abu Bakar memang menjadi pemangkin kepada penghijrahan Nabi yang merupakan transformasi yang berjaya. Transformasi inilah yang merubah dunia Islam menjadi kuasa besar selepas itu.

Tn Hj, IsmaiI sedang berceramah .....
Tidak kita lupa pula, kejayaan penghijrahan Nabi, tidak lain kerana Baginda berdua tidak berharap, selain pertolongan dari Allah semata-mata, Allah yang maha berkuasa dan maha mengasihani lagi maha mengetahui segala sesuatu. Dengan kepercayaan itu, walaupun seratus pemuda Quraish mengepung, Baginda sedikit pun tidak merasa gentar kerana sangat yakin Tuhan bersama mereka. Dengan pegangan itulah, Abu Bakar mengiringi Nabi dengan sedikit pun tidak merasa takut kepada orang-orang Quraish yang berazam untuk menangkap mereka, mengharungi malam yang gelap gulita.

Kesimpulanya untuk menjana  transformasi atau untuk berubah ke arah kecemerlangan, kita perlu mempunyai ilmu pengetahuan, dan mengamalkan ilmu pengetahuan yang dipelajari dalam kehidupan. Kedua untuk berubah dengan jayanya, kita tidak boleh bersendirian. Perubahan memerlukan kekuatan sepasukan yang jitu, barulah berlaku perubahan yang bermakna dan mengesankan dan boleh merubah sesuatu ke arah kebaikan.  Akhir sekali sebarang perubahan yang mahu dilakukan mestilah dengan mengikut  jalan Allah dan mendapat redha dan izin Allah. Dengan semua ciri-ciri di atas, maka sesuatu bentuk transformasi ataupun sebarang perubahan akan dapat dijana ke arah kecemerlang di dunia dan kecemerlangan akhirat jua.


MENCIPTA SYURGA DUNIA, MENCAPAI SYURGA AKHIRAT


Tazkirah Pagi 25 Nov 2012 - disampaikan oleh Tn Hj Ismail Awang Kechik.

Bolehkah kita mencipta syurga di dunia dan mencapai syurga di akhirat?  Jawapannya boleh. Syurga dunia ialah ketenangan hidup yang dirasai oleh seseorang yang hidup  di dunia ini. Bagaimanakah caranya mencari ketenangan hidup? Tidak lain dan tidak bukan ialah dengan menjadi manusia yang seimbang dan sederhana, dalam semua aspek kehidupan. Contohnya dari segi kelakuan, percakapan dan tutur kata, akhlak, pergaulan, dsb.

Nabi Mohamad saw. pernah bersabda, kita dapat membina ketenangan dengan membahagikan masa kepada beberapa bahagian, iaitu 8 jam untuk tidur, 8 jam untuk kerja dan 8 jama lagi untuk berehat, dan semua yang dilakukan itu boleh jadi ibadat, jika dibuat demi semata-mata kerana Allah. Jadi marilah kita melakukan ibadat sebanyak mungkin supaya kita dapat mengaut keuntungan, mengaut hasil yang kita kerjakan semasa di dunia.

Berikut dikongsikan langkah-langkah yang boleh dibuat di samping membahagikan masa untuk kita mencapai ketenangan:
1. Untuk mendapat ketenangan kita mestilah mempunyai ilmu pengetahuan. Carilah ilmu pengetahuan melalui guru yang dapat memberikan panduan tentang ibadat dan kehidupan bersyariat menuju ke jalan Allah. Carilah ilmu untuk kita mengenal Allah supaya kita tidak tersasar daripada landasan al-Quran dan Sunnah, yang dituntut Allah. Hanya dengan ilmu kita dapat mengenal Allah dan kehidupan sebagai hamba Allah.
2. Selepas berilmu, maka kita perlu beramal dengan semua ilmu yang dipelajari, sama ada ilmu fiqah, tauhid, tafsir ataupun  hadith.
3. Selain itu, untuk mencapai ketenangan kita mesti ada ikhlas. Setiap apa yang kita kerjakan, laksanakan, fikirkan, dan bayangkan, sebaiknya semata-mata dilakukan kerana Allah, tidak lebih dari itu.
4. Tidak kurang pentingnya untuk menjadi tenang kita perlu ada ihsan. Kita mesti selalu dan sentiasa melihat apa yang dibuat akan dipantau oleh Yang |Maha Berkuasa, Yang Maha Adil, dan lagi Maha Pengasih. Dengan cara itu kita tidak perlukan sesiapa lagi untuk mengiktiraf apa-apa perbuatan kita dalam kehidupan kita walau apa yang kita buat dan kepada siapa kita lakukan. Semuanya tidak penting kerana kita hanya mengharapkan ihsan Allah semata-mata.

Mudah-mudahan perkongsian ringkas ini dapat memberikan manafaat dalam menjalani kehidupan kita yang sementara ini insya-Allah....

Sunday, November 11, 2012

MENGAWAL NAFSU


Tazkirah pagi 12 Nov 2012...

Nafsu adalah salah satu nikmat yang Allah beri kepada manusia, tapi ia perlu dididik, dan kita perlu berusaha mendidiknya, dan mesti beri perhatian yang sepenuhnya, supaya kita jadi insan yang beriman. Kita mesti cari jalan supaya dapat tundukkan nafsu supaya nafsu dapat tunduk kepada  Allah. Untuk itu kita perlulah mengenal tiga jenis nafsu: ammarah, lawwamah dan mutmainnah.

Perlu kita tahu, nafsu ammarah ialah nafsu yang sama sekali tidak suka kepada perkara-perkara yang diredhai Allah. Ia akan mendorong dan mengajak kita untuk melakukan perkara yang tidak diizinkan Allah. Jadi sebagai manusia marilah kita sama-sama berjihad untuk melawan nafsu ammarah ini supaya kita dijauhi dari kemungkaran Allah. Apatah lagi apabila kita bekerja dalam satu pasukan kita patut sedar perkara-perkara larangan di tempat kerja, supaya dapat bekerja dengan sungguh-sungguh badan kemajuan di tempat kerja. 

Di samping itu nafsu yang kedua pula ialah nafsu lawwamah. Nafsu ini serba boleh, ia mendorong kita melakukan kebaikan dan ia juga tidak menghalang kita daripada melakukan kejahatan. Maknanya Yang Allah suka pun dia buat dan yang Allah tidak suka pun dia buat juga. Inilah cabaran kepada kita kerana kalau kita tidak bersungguh-sungguh melawan nafsu lawwamah ini maka kita akan terjerumus melakukan perkara mungkar tanpa kita sedari, kerana kita akan sentiasa mencari alasan untuk menghalalkan perkara yang dilarang. Tambah-tambah lagi di tempat kerja, kalau kita tidak menegur perkara-perkara buruk,  sudah tentulah sebuah oraganisasi tidak akan berjaya,  kerana ada unsur-unsur negatif, timbul dari nafsu lawwamah, yang tidak kita sedari. Untuk kemajuan sesebuah oraganisasi maka semua anggotanya mesti bersatu menentang keburukan, kerana kita sudah pun berjaya melakuakan kebaikan dengan melaksanakan tugas sebaik mungkin.

Akhir sekali jika kita berjaya menentang kedua-dua nafsu di atas, barulah kita akan berjaya memiliki nafsu yang ketiga iaitu nafsu Mutmainnah. Nafsu ini ialah nafsu yang tenang, nafsu yang baik, dan nafsu yang sentiasa mengharapkan redha Allah. Ia tidak langsung berminat kepada perkara-perkara keburukan, dan benci dengan perkara yang dimurkai Allah. Semoga kita semua berjihad untuk memupuk nafsu mutmainnah. Dan jika di tempat kerja semua orang berjihad ke arah nafsu ini, maka akan wujudlah kekuatan dan kejayaan sesebuah oraganisasi yang akhirnya akan membawa kemajuan kepada negara yang tercinta ini.



INDAHNYA ETIKA


Tazkiarah pagi 11 November 2013

Ramai orang bercakap pasal etika. Tapi sejauh manakah kefahamannya? Dalam bahasa yang mudah etika kerja maknanya tingkah laku atau peranagai di tempat kerja. Kenapakah Etika Kerja diadakan? Tidak lain objektifnya ialah untuk: 
  1. menanamkan sifat positif dan menghapuskan sifat negatif untuk mempertingkatkan kualiti kerja penjawat awam
  2. meningkatkan disiplin diri untuk memberikan perkhidmatan cemerlang kepada pelanggan
  3. memberikan sumbangan positif kepada negara

Bagaimanakah objektif itu dapat dicapai dalam sebuah organisasi? Maka terasnya atau landasannya ialah:

  1. berazam meninggikan perkhidmatan dan mengikis sifat mementingkan diri sendiri
  2. berkhidmat dengan penuh muhibbah dan  kemesraaan
  3. bekerja ke arah memajukan pemikiran rakyat
  4. bekerjasam membanteras kelemahan
  5. berpegang teguh kepada agama

Jika semua orang memahami bagaimana mewujudkan  tingkah laku di tempat kerja, maka sudah pastilah masyarakat akan lebih hormat kepada orang kerja kerajaan. Sekarang ini menurut CEUPACS lebih kurang 18,000 penjawat awam malas bekerja. Sebenarnya sifat malas, ponteng, curi tulang, buat kerja sambilan, dan hilang waktu pejabat adalah ceminan kepada kejahilan. 

Ramai masih belum faham kerja itu adalah ibadah, maka kenapa perlu dirosakkan ibadah kita dengan perkara yang tidak dibenarkan sehingga menjadikan ibadah tidak diterima Allah? Sepatutnya kita berlumba-lumba membuat kerja sebaik mungkin, seperti kita berlumba-lumba mengerjakan ibadah untuk mendapat pahala sebanyak mungkin. Jadi marilah kita hayati objektif Etika Kerja . Marilah kita sama-sama  mengamalkan sifat positif dan menghapukan sifat negatif. Marilah kita sama-sama meningkatkan disiplin diri dan bekerja dengan sungguh-sungguh, Semoga dengan bekerja keras kita dapat memberikan sumbangan untuk memajukan negara kita sebaiknya. 

Semasa kita bekerja pula, hendaklah kita berazam meninggikan perkhidmatan kita dan janganlah kita mementingkan diri sendiri. Untuk itu marilah kita bekerja dengan penuh kemesraan  dan melaksanakan  semua tugas  dengan membanteras kelemahan untuk memajukan pemikiran rakyat, kerana kita berpegang teguh kepada agama yang menyeru kita melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Hanya dengan matlamat yang betul dan berada di  landasan yang betul, barulah mutu kerja kita berkualiti dan barulah kerja kita menjadi ibadat yang boleh membawa keberkatan di dunia dan di akhirat

Friday, November 9, 2012

TUKANG KEBUN OH TUKANG KEBUN.....



Bila cuci kawasan diswastakan, tukang kebun mendapat memo ke sekolah lain. Susahnya menyelenggara orang yang tiada komitmen bekerja. Suka-suka datang kerja, tak suka tak datang. Buat kerja sambil lewa, lambat-lambat dan ikut suka masa sendiri. Mandor sesekali nampak muka, pekerja tidak cukup, pekerja tua-tua, dan kalau yang muda terlalu muda. Yang paling sakit, bekerja tidak seberapa. Susahlah macam ni, kawasan 21 ekar dengan pokok bunga yang berkembang di sana sini, janganlah sampai terbiar tak terbela, janganlah kering dek tak bersiram, janganlah tenggelam dek rumput bermaharaja lela.

Dulu masa baru aku bertugas masalah juga. Masing-masing tak satu kepala, ada yang besar kepala, ada yang tak ketahuan hala. Ada yang bekerja sangat rajin dan peka, ada yang bekerja sambil lewa ikut suka. Buat kursus teambuilding tak tentu masa, asal ada masa panggil ustaz bercakap soal hati – bekerja dengan ikhlas, sungguh-sungguh, tekun dan rajin. Bekerja untuk cari rezeki yang halal, jangan curi tulang, supaya berkat dan bermanafaat. Bekerja jangan berpuak-puak, tidak akan menjadi kerja tanpa muafakat. Lama-lama sempadan semakin menipis dan sesudah itu semangat bekerjasama semakin tebal. Semua kerja dibuat bersama. Sebagai ganjaran dibawa lawatan penanda aras, semuanya dibiaya. Nampaknya hati sudah bertaut, tiada lagi syak wasangka. 

Sekian lama mereka sudah faham tugas mereka dan kehendak ketua. Kawasan mesti kemas, bersh dan lawa. Bekerja di kawasan masing-masing pada setiap masa – mesti kelihatan di mata Pengetua, mesti boleh dihubungi dengan serta merta. Keluar untuk kerja peribadi kalau boleh dielakkan masa kerja. Apatah lagi keluar tak bagi tau Pengetua, jangan bagi ada. Buat kerja jangan curi tulang sebab nak bagi makan anak isteri, nak bagi diberkati, supaya senang hati. Seboleh-bolehnya jangan ada iri hati, kerja seikhlas hati, sama-sama turut berbakti mencari rezeki. Kerjalah satu pasukan dengan muafakat, tolong menolong kepada kebaikan. Yang buruk kalau ada jangan diikut, abaikan saja kalau nasihat pun tak masuk di hati, minta doa semoga diberikan pertunjuk, semoga mudah bekerja sepasukan, semoga terpancar kebenaran.

Jadilah sekolah bersih, cantik dan mengasyikkan. Semua rasa sangat penting dan berperanan. Semua rasa sayangkan kawasan, pokok-pokok dibelai, dijaga dan diuruskan. Semua yang datang berkunjung, turut merasakan keindahan hasil titik peluh yang ditaburkan. Sekian lama sudah selesa dengan tukang kebun yang sayang kawasan, tukang kebun yang menjadi kebanggaan dan tukang kebun yang memahami tugasan, tiba-tiba mereka di tarik ke sekolah lain kerana cuci kawasan di swastakan.

Tibalah saat getir semula. Pekerja swasta tidak tahu kerja, tidak bermotivasi, kerja sambil lewa, suka datang, tak suka tak datang. Mandor ada enam sekolah untuk dipantau, ketua pekerja tak tau kerusi. Tujuan swasta untuk memudahkan sekolah boleh tumpu kerja lain kerana ramai tukang kebun menjadi masalah besar kepada Pengetua untuk mengurus kebersihan. Ini sudah terbalik bila swasta, kita pula jadi mandur kalau tidak rumput tak terbela, pokok tak terjaga, kawasan tak tau nak kata, penuh dengan sampah sarapnya. Aduh susahnya tiada tukang kebun. Sangat luar biasa. Orang lain akan kata, seronoknya tiada tukang kebun, biarlah swata, lagi senang kira. Aku pun sedang berkira-kira supaya swasta jadikan senang segalanya.

SAYA DEMAM



Mula-mula bertugas di sekolah baru banyak cabarannya. Pagi-pagi ronda kawasan, ternyata sangat luas kawasannya - 21 ekar. Jumpa pekerja yang menjaga taman-taman sungguh meragukan. Mereka kelihatan seolah-olah cuba melarikan diri, cuba mengelak dan kadang-kadang kelihatan seperti mencurigakan. Bila diberi salam, terbeliak biji mata mereka, tergagap-gagap nak jawab salam pun. Hairan akau, tak kan bagi salam pun susah nak jawab. Cuma ketua pekerja saja yang akan memberi maklumat bila didekati, yang lain kalau boleh nampak macam nak cabut lari.

Lepas beberapa bulan dan sudah banyak kali mesyuarat, keadaan sudah sedikit berubah. mereka sudah boleh menjawab salam dengan spontan, sudah boleh senyum mengangguk kepala dan terus bekerja. Tapi melalui pemerhatian, masih ada seorang yang masih agak 'liar' dariku. Selalu bila ronda pekerja lain akan kelihatan di kawasan masing-masing, yang seorang ini tidak kelihatan. Masa ronda diubah setiap hari, kawasan ronda juga ditukar haluan. Satu hari ronda tepat jam 1.00 tengah hari. Masih ada pekerja yang membersih kawasan, trim pokok bunga, membaja dan lain-lain lagi. Aku terus menuju ke setor pekerja. Nah hari ini aku jumpa pekerja yang seorang ini tengah nyenyak tidur atas bangku panjang. Bayangkan betapa marahnya aku kerana dia tidur waktu orang lain bekerja. Sudah banyak kali aku pesan kerja mesti jujur, bersungguh-bersungguh, tekun dan tidak curi tulang. Kita bekerja untuk beri makan anak isteri kita - jadi mestilah kerja sebagai ibadat dan kerja dengan amanah, dan bekerjalah kerana Allah, barulah berkat hasil titik peluh kita. Ini tidur waktu bekerja - apa sudah jadi dengan nasihat yang diberi? Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Selepas dikejutkan aku suruh pekerja itu jumpa aku di pejabat. Sejuklah sikit hati yang panas mendidih apabila duduk di hawa dingin. Tiba masa dia datang dengan muka selamba. Menggigil tangan aku menahan marah - mujurlah bingkai meja kuat , jika tidak boleh pecah kerana kuatnya genggaman aku menahan marah.

'Kenapa tidur tadi?' tanyaku.
'Saya demam cik gu, tadi makan ubat selesema, mengantuk sangat' jawabnya selamba.

Ya Allah, aku rasa nak ketawa besar. Aku selalu diusik papa, kalau jumpa pekerja tidur mesti kata dia demam, itulah jawapan yang selalu diberi papa dalam lakonannya sebagai pekerja.

'Bolehkah tidur waktu kerja?' tanyaku mengawal keadaan.
'Tak boleh ,' jawabnya pendek.
'Lain kali kalau demam, jumpa doktor, dia akan bagi cuti sakit, tak payah datang kerja, boleh rehat betul-betul dekat rumah. Kalau MC dah banyak, datang jumpa saya, saya akan suruh balik rehat di rumah, habis cerita, awak akan cepat sembuh bila berehat betul-betul.'

Dia mengangguk lesu, mungkin kerana rasa bersalah. Selepas minta maaf dan janji tidak buat lagi dia beredar. Beberapa bulan selepas itu, dia tidak tidur lagi, dia sering kelihatan di tempat kerja, dan kawasannya cantik dan terurus cantik, ceria dan kemas. Alhamdulillah, barang kali kerana dia tidak dimarahi, dia tidak disergah, dan dia terasa seperti dihargai, dia dengan sendirinya telah menunjukkan perubahan sedikit demi sedikit. Perubahan yang positif itu sungguh bermakna, sekurang-kurangnya dapat membantu dia menjadi seorang pekerja yang rajin dan dedikated.



Wednesday, September 26, 2012

TAZKIRAH PAGI 28 MEI 2012


Sudah menjadi amalan waktu cuti sekolah, akan diadakan perjumpaan pagi, untuk memberi peluang semua staff berjumpa, bertemu muka dan menyelaraskan tugas-tugas pada musim cuti. Pagi ini staf diperingatkan tentang sifat amanah dalam melaksanakan tugas. Dalam melaksanakan amanah, maka kita perlu memaksimumkan kerja pada setiap masa dan setiap hari. Elakkan membuang masa dengan keluar membeli makanan di luar sekolah. Untuk itu seeloknya kita membawa bekal ke pejabat atau atau memesan makanan kepada kawan yang boleh dibeli semasa dalam perjalanan datang pejabat waktu awal pagi. Dengan cara ini kita juga boleh menjimatkan masa, wang dan juga tenaga, supaya dapat menumpukan perhatian sepenuhnya di tempat kerja.

Perkara kedua yang dikongsi bersama ialah sifat saling hormat menghormati, dan mempunyai persefahaman dan ikatan yang erat antara satu sama lain. Salah satu cara mengeratkan hubungan sesama satff di pejabat ialah sentiasa memberi senyuman antara satu sama lain. Dengan senyuman, selain mendapat pahala kerana senyum itu satu sedekah, akan dapat menjadikan seseorang itu rasa disenangi dan dihargai. Jadi apabila semua orang merasa senang dan selesa di tempat kerja,  ini akan dapat meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi.

Seterusnya, dikongsikan juga sebuah hadith Nabi ke arah mengeratkan hubungan di tempat kerja melalui penghayatan  sifat-sifat ahli syurga seperti berikut;
  1. Apadila berkuasa untuk bersedekah, sukalah bersedekah, ada kuasa untuk adil, akan berlaku adil, apabila berkuasa untuk melakukan kebenaran, akan berusaha ke arah melaksanakan kebenaran dan memastikan mengikut jalan kebenaran
  2. Mempunyai hati yang penyayang, dan hati yang lembut terutamanya kepada sanak saudara dan sesama manusia di tempat kerja
  3. Sentiasa menjaga, memastikan dan berusaha supaya rezeki yang dicari dalam keadaan yang halal.

Sebaliknya marilah kita sama-sama menjauhi sifat-sifat ahli neraka seperti berikut;
  1. Orang yang mengikut orang lain tanpa berfikir
  2. Orang yang suka khianat
  3. Orang yang suka berbohong dan menipu
  4. Orang yang bakhil dan kedekut
  5. Orang yang buruk perangai


Mudah-mudahan dengan berkongsi sedikit maklumat setiap pagi akan dapat mengeratkan silaturrahim sesama staff. Semoga semua staff akan terus cemerlang dan dapat meneruskan kegemilangan SMKSB sebagai sebuah organisani sesuai dengan motto Centre of Excellent, insya Allah.




Thursday, June 17, 2010

SUSAHNYA TIADA TUKANG KEBUN

Bila cuci kawasan diswastakan, tukang kebun mendapat memo ke sekolah lain. Susahnya menyelenggara orang yang tiada komitmen bekerja. Suka-suka datang kerja, tak suka tak datang. Buat kerja sambil lewa, lambat-lambat dan ikut suka masa sendiri. Mandor sesekali nampak muka, pekerja tidak cukup, pekerja tua-tua, dan kalau yang muda terlalu muda. Yang paling sakit bekerja tidak seberapa. Susahlah macam ni, kawasan 21 ekar dengan pokok bunga yang berkembang di sana sini, janganlah sampai terbiar tak terbela, janganlah kering dek tak bersiram, janganlah tenggelam dek rumput bermaharaja lela.

Dulu masa baru aku bertugas masalah juga. Masing-masing tak satu kepala, ada yang besar kepala, ada yang tak ketahuan hala. Ada yang bekerja sangat rajin dan peka, ada yang bekerja sambil lewa ikut suka. Buat kursus teambuilding tak tentu masa, asal ada masa panggil ustaz bercakap soal hati – bekerja dengan ikhlas, sungguh-sungguh, tekun dan rajin. Bekerja untuk cari rezeki yang halal, jangan curi tulang, supaya berkat dan bermanafaat. Bekerja jangan berpuak-puak, tidak akan menjadi kerja tanpa muafakat. Lama-lama sempadan semakin menipis dan sudah semangat bekerjasama semakin tebal. Semua kerja dibuat bersama. Sebagai ganjaran dibawa lawatan penanda aras, semuanya dibiaya. Nampaknya hati sudah bertaut, tiada lagi syak wasangka.

Sekian lama mereka sudah faham tugas mereka dan kehendak ketua. Kawasan mesti kemas, bersh dan lawa. Bekerja di kawasan masing-masing pada setiap masa – mesti kelihatan di mata Pengetua, mesti boleh dihubungi dengan serta merta. Keluar untuk kerja peribadi kalau boleh dielakkan masa kerja. Apatah lagi keluar tak bagi tau Pengetua, jangan bagi ada. Buat kerja jangan curi tulang sebab nak bagi makan anak isteri, nak bagi diberkati, supaya senang hati. Seboleh-bolehnya jangan ada iri hati, kerja seikhlas hati, sama-sama turut berbakti mencari rezeki. Kerjalah satu pasukan dengan muafakat, tolong menolong kepada kebaikan. Yang buruk kalau ada jangan diikut, abaikan saja kalau nasihat pun tak masuk di hati, minta doa semoga diberikan pertunjuk, semoga mudah bekerja sepasukan, semoga terpancar kebenaran.

Jadilah sekolah bersih, cantik dan mengasyikkan. Semua rasa sangat penting dan berperanan. Semua rasa sayangkan kawasan, pokok-pokok dibelai, dijaga dan diuruskan. Semua yang datang berkunjung, turut merasakan keindahan hasil titik peluh yang ditaburkan. Sekian lama sudah selesa dengan tukang kebun yang sayang kawasan, tukang kebun yang menjadi kebanggaan dan tukang kebun yang memahami tugasan, tiba-tiba mereka di tarik ke sekolah lain kerana cuci kawasan di swastakan.

Tibalah saat getir semula. Pekerja swasta tidak tahu kerja, tidak bermotivasi, kerja sambil lewa, suka datang, tak suka tak datang. Mandor ada enam sekolah untuk dipantau, ketua pekerja tak tau kerusi. Tujuan swasta untuk memudahkan sekolah boleh tumpu kerja lain kerana ramai tukang kebun menjadi masalah besar kepada Pengetua untuk mengurus. Ini sudah terbalik bila swasta, kita pula jadi mandur kalau tidak rumput tak terbela, pokok tak terjaga, kawasan tak tau nak kata, penuh dengan sampah sarapnya. Aduh susahnya tiada tukang kebun. Sangat luar biasa. Orang lain akan kata, seronoknya tiada tukang kebun, biarlah swata, lagi senang kira. Aku pun sedang berkira-kira supaya swasta jadi senang segala.