Sunday, November 25, 2012

MENCIPTA SYURGA DUNIA, MENCAPAI SYURGA AKHIRAT


Tazkirah Pagi 25 Nov 2012 - disampaikan oleh Tn Hj Ismail Awang Kechik.

Bolehkah kita mencipta syurga di dunia dan mencapai syurga di akhirat?  Jawapannya boleh. Syurga dunia ialah ketenangan hidup yang dirasai oleh seseorang yang hidup  di dunia ini. Bagaimanakah caranya mencari ketenangan hidup? Tidak lain dan tidak bukan ialah dengan menjadi manusia yang seimbang dan sederhana, dalam semua aspek kehidupan. Contohnya dari segi kelakuan, percakapan dan tutur kata, akhlak, pergaulan, dsb.

Nabi Mohamad saw. pernah bersabda, kita dapat membina ketenangan dengan membahagikan masa kepada beberapa bahagian, iaitu 8 jam untuk tidur, 8 jam untuk kerja dan 8 jama lagi untuk berehat, dan semua yang dilakukan itu boleh jadi ibadat, jika dibuat demi semata-mata kerana Allah. Jadi marilah kita melakukan ibadat sebanyak mungkin supaya kita dapat mengaut keuntungan, mengaut hasil yang kita kerjakan semasa di dunia.

Berikut dikongsikan langkah-langkah yang boleh dibuat di samping membahagikan masa untuk kita mencapai ketenangan:
1. Untuk mendapat ketenangan kita mestilah mempunyai ilmu pengetahuan. Carilah ilmu pengetahuan melalui guru yang dapat memberikan panduan tentang ibadat dan kehidupan bersyariat menuju ke jalan Allah. Carilah ilmu untuk kita mengenal Allah supaya kita tidak tersasar daripada landasan al-Quran dan Sunnah, yang dituntut Allah. Hanya dengan ilmu kita dapat mengenal Allah dan kehidupan sebagai hamba Allah.
2. Selepas berilmu, maka kita perlu beramal dengan semua ilmu yang dipelajari, sama ada ilmu fiqah, tauhid, tafsir ataupun  hadith.
3. Selain itu, untuk mencapai ketenangan kita mesti ada ikhlas. Setiap apa yang kita kerjakan, laksanakan, fikirkan, dan bayangkan, sebaiknya semata-mata dilakukan kerana Allah, tidak lebih dari itu.
4. Tidak kurang pentingnya untuk menjadi tenang kita perlu ada ihsan. Kita mesti selalu dan sentiasa melihat apa yang dibuat akan dipantau oleh Yang |Maha Berkuasa, Yang Maha Adil, dan lagi Maha Pengasih. Dengan cara itu kita tidak perlukan sesiapa lagi untuk mengiktiraf apa-apa perbuatan kita dalam kehidupan kita walau apa yang kita buat dan kepada siapa kita lakukan. Semuanya tidak penting kerana kita hanya mengharapkan ihsan Allah semata-mata.

Mudah-mudahan perkongsian ringkas ini dapat memberikan manafaat dalam menjalani kehidupan kita yang sementara ini insya-Allah....

No comments:

Post a Comment