Showing posts with label budaya - perkahwinan. Show all posts
Showing posts with label budaya - perkahwinan. Show all posts

Friday, April 4, 2014

ISTIADAT KENDURI KAHWIN 1920an DI KEDAH


Dipetik daripada Buletin Lindungan Bulan (Suara PSMCK- Bil. 25/2013)
SECEBIS MEMOIR:
ISTIADAT KENDURI KAHWIN (1920-an)
Oleh: Dato’ Hj Shaarani Hj Hassan.

            Apa yang saya ceritakan di bawah ini adalah berkaitan amalan kehidupan penduduk di kampung saya, iaitu Kampung Siputih, sejak tahun 1920-an hingga tahun 1950-an. Kampung ini adalah sebuah kampung yang tua dan pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Kedah selama lebih 300 tahun, antara abad ke-14 hingga 17 Masihi. Apa yang saya ceritakan ini boleh jadi mewakili salah satu ragam budaya masyarakat Kedah keseluruhannya.

            Selepas menuai padi, yang ketika itu hanya ditanam setahun sekali, ibu bapa yang mempunyai anak yang akan berkahwin, yang rata-rata ketika itu dikahwinkan ketika umur sekitar 18 tahun bagi lelaki dan sekitar 15 tahun bagi perempuan, mulalah bersiap sedia mengadakan ‘kenduri kahwin’. Persediaan sebegini diadakan oleh kedua-dua belah pihak.

            Mulanya, tuan kenduri akan mengajak kawan-kawan ke hutan bukit mencari kayu, buluh dan rotan untuk mendirikan ‘balai kenduri’, iaitu tempat makan untuk tetamu. Apabila keperluan sudah tersedia maka balai pun didirikan, iaitu 3 atau 4 hari sebelum tarikh kenduri. Balai itu panjangnya rata-rata antara 20 hingga 40 kaki, lebarnya kira-kira 20 kaki, tinggi lantai daripada tanah kira-kira 3 kaki atau 4 kaki. Untuk lantai digunakan papan yang lebarnya antara 8-10 inci. Tempat duduk di atas balai boleh muat 3 ‘nirai’ atau saf tetamu, duduk makan yang dihidangkan, boleh jadi satu hidang 3 atau 4 orang, diatur mengikut kehendak dan kemampuan tuan kenduri. Balai tersebut dihias cantik-cantik dengan daun kelapa yang telah dipotong dan dilengkungkan menjadi seperti pintu gerbang.

            Pada hari kenduri, bermula lebih kurang pada pukul 11.00 pagi, semua tetamu dipersilakan naik ke balai. Di hujung balai diletakkan ‘ahli-ahli marhaban’, ‘ahli-ahli berzanji’ dan ‘tukang membaca doa selamat’. Apabila selesai berdoa maka petugas-petugas yang jadi mentara pun mulalah mengangkat hidangan. Kerja mengangkat hidangan ini sangat teratur dan tertib. Setelah semua hidangan telah tersedia, barulah dimulai makan. Selepas makan, tetamu semua turun dari balai dan digantikan pula dengan tetamu yang baru, begitulah bertukar ganti hingga semua tetamu dapat makan.

            Dalam waktu yang sama ada pula pasukan ‘silat gayung’ menunjukkan seni silatnya yang diiringi dengan pukulan gendang, tiupan serunai dan paluan gong.berkenaan silat gayung ini, ada dipersembahkan oleh kumpulan gayung di kampung itu sendiri, tetapi kalau di kampung itu tidak ada, tuan kenduri boleh membawa masuk dari kampung lain. Pada waktu malam pula, selepas waktu Isya’, lebih kurang pukul 9.00 malam, di halaman dan di atas balai disediakan pula berbagai-bagai jenis permainan; antaranya hadrah, makyong, wayang kulit dan jikey. Permainan itu dipersembahkan di suatu bangsal yang telah disediakan. Untuk permainan joget, ronggeng atau canggung, digunakan laman terbuka yang lapang untuk tetamu menari. Permainan ‘Gendang Keling’ dan ‘beduan’ ditempatkan di atas balai tempat makan siang tadi.

            Permainan-permainan ini selalunya ditamatkan kira-kira pada pukul 1.00 atau 2.00 pagi. Tetapi, wayang kulit lazim dimainkan hingga pukul 4.00 atau 5.00 pagi. Sungguh pandai Tok Dalang wayang kulit menarik penonton, pada hal Tok Dalang ini tidak pun melihat berapa ramai penontonnya, tetapi dia yakin ramai penontonnya dari awal hingga akhir, melalui ketawa penonton bila melihat dan mendengar kelakarnya semasa bermain.

            Tujuan diadakan permainan waktu malam kerana hendak menghiburkan tetamu dan pekerja-pekerja sukarela kenduri yang bertungkus lumus menjayakan kenduri siang tadi. Selain dari itu bertujuan juga untuk menarik tetamu dan penonton supaya jangan pulang kerana hendak disuruh melihat ‘pengantin bersanding’ di atas pelamin. Waktu bersanding selalunya pada pukul 4.00 hingga 5.00 pagi. Selepas waktu subuh barulah tamat acara kenduri.

            Satu lagi perkara menarik ialah upacara mengarak sejenis alat usungan yang dibuat oleh penduduk kampung disebut ‘perusung’. Apabila ada seseorang hendak kenduri kahwin, kawan-kawan di kampung itu atau di kampung yang berdekatan berpakat menghantar dan menghadiahkan berjenis-jenis kuih kepada tuan kenduri supaya kuih-kuih itu boleh dihidangkan kepada tetamu di waktu petang atau malam. Antara jenis kuih yang selalu dikumpulkan untuk dijadikan hantaran ialah kekaras, baulu, cucur peniram, kiambang atau loyang, pulut kacau, tepung bungkus, lepat liat, puteri mandi, termasuk juga ketupat dan lain-lain lagi. Semua kuih ini dimuatkan ke dalam ‘perusung’.

Bentuk ‘perusung’ selalunya dibuat menyerupai sebuah kapal layar, hampir 10 meter panjang dan lebarnya 2 hingga 3 meter. Dinding perusung itu selalunya dibuat daripada tikar mengkuang, lantainya papan, kemudian dibalut dan dihiaskan dengan kertas berwarna-warni, diadakan juga layar dan bendera-bendera. Di atas ‘kapal’ itu dipasangkan juga meriam buluh atau meriam karbaid. Apabila tiba masanya, kapal itu diusung oleh 20 atau 25 orang, yang di atasnya terdapat 4 atau 5 orang petugas, sambil menembak meriam karbaid dan menjaga kuih-muih tadi. Kapal ini juga diiringi oleh kumpulan gendang keling, kadang-kadang kumpulan hadhrah.

Bila hampir-hampir sampai ke rumah kenduri meriam buluh pun ditembak bertalu-talu, menandakan ‘perusung’ akan sampai, dan pihak tuan kenduri pun hantar beberapa orang wakil menyambutnya. Ada yang menggunakan guni padi dipakai oleh beberapa orang penyambut. Guni itu telah diubah bentuknya, apabila dipakaikan ke badan, kita akan nampak orang-orang itu seperti beberapa ekor beruang, yang sedang menari-nari. Di samping itu, apabila perusung itu sampai maka pendekar-pendekar pun mulalah bersilat, ada pasangan orang muda dan ada pasangan orang tua. Pasangan orang tua selalunya membuat kelakar dalam permainan silat mereka untuk hiburan.

Itulah satu-satunya hiburan yang sangat menyeronokkan kanak-kanak dan orang-orang dewasa, lelaki dan perempuan seluruh kampung. Pada masa itu saya dan kawan-kawan masih budak-budak lagi. Kami juga tumpang seronok, hinggalah cerita ini melekat dalam ingatan kami sampai sekarang.

Sunday, December 16, 2012

UPACARA BERTUNANG


Sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan, akan diadakan dahulu majlis pertunangan. Majlis ini dengan rasminya merupakan  pertemuan keluarga pengantin lelaki dengan keluarga pengantin perempuan, sebagai tanda persetujuan kedua belah pihak. Zaman dulu-dulu, dalam tahun-tahun enam puluhan majlis pertungangan sangat ringkas. Selalunya ibu bapa lelaki akan berkunjung pada waktu malam selepas Isyak, untuk tujuan tersebut, ditemani orang-orang tua yang dihormati.

Kemudian dalam tahun-tahun tujuh puluhan pula, majlis pertunangan juga masih sangat ringkas. Keluarga pihak lelaki akan berkunjung ke rumah keluarga pihak perempuan, sekadar lima enam  orang. Selalunya ibu bapa sebelah lelaki akan mewakilkan kepada keluarga terdekat untuk mengepalai majlis pertunangan itu. Majlis serba ringkas itu hanya akan dihadiri oleh sanak saudara dan jiran-jiran tetangga..  

Pelbagai hadiah hantaran yang indah
Tapi dalam abad kedua puluh satu, majlis pertunangan sudah semakin meriah dan berwarna warni. Kalau dulu yang datang bertandang cuma membawa sekadar buah tangan seperti buah-buahan dan makanan saja. Sekarang datang bertunang diserikan dengan bekas hantaran pertunangan yang indah-indah. Dulu datang bertunang mesti lengkap dengan tepak sirihnya, kini cuma sebagai hiasan cuma.

Pelamin bertunang
Kalau dulu selepas perbincangan kedua belah pihak lelaki dan perempuan, maka akan disarungkan cincin pertunangan seadanya. Kini upacara menyarung cincin siap dengan pelaminnya pula. Kini bukan saja kaum keluarga turut hadir menyerikan majlis, tapi sahabat handai juga turut serta meramaikan. Begitulah masa telah berubah, budaya juga turut sama berubah.

Wednesday, November 21, 2012

SAMBUT MENANTU DI LANGKAWI


Pertama kali menjenguk Langkawi, bercuti di rumah seorang teman, bukan saja teruja dengan keindahan laut dan pantai, tapi juga dengan pengalaman pertama menaiki bot penumpang, Masa itu tahun 70an bot ke Langkawi masih lagi bot yang kecil dan makan masa sejam dari Kuala Perlis ke Pulau  Langkawi. Tidak diduga waktu itu kami dapat melihat sepasang pengantin turut sama menaiki bot, lengkap berpakaian pengantin, siap dengan keris dan tengkolok, siap dengan segala bekas hantaran pula. Kami tidak melepaskan peluang melihat-lihat sepasang raja sehari, menunggu bot bersama kami. 

"Ishh...  apala orang Langkawi pakai  baju pengantin siap-siap, malula semua orang asyik  tengok kita ja,' Aku pernah terlempar cakap pada seorang teman yang berasal dari Langkawi. 'Tak pa nanti aku nak tengok hang esok-esok nak pakai macam mana.

Bila tiba saat menyambut pengantin, aku masih ingat kenagan silam itu. Jadi langkah pertama, aku tidak pakai baju pengantin songket sepersalinan, begitu juga papa, dia hanya pakai baju kemeja biasa saja. Tapi barangan hantaran masih dibawa dalam dulangnya yang asal untuk dihadiahkan kepada keluarga di Langkawi. Waktu itu bulan Disember, musim cuti sekolah, orang memang ramai berkunjung ke langkawi. Melihatkan bekas hantaran maka orang ramai tercari-cari manakah pengatinnya. Oleh kerana aku berpakaian biasa maka orang ramai meneka-neka saja salah seorang daripada rombongan kami, dan mereka silap kerana yang diteka itu adalah pengapit atau pengiring penganti perempuan.

Setibanya di jeti Pulau Langkawi,  orang-orang kampung sudah penuh sesak datang menyambut mempelai. Oleh kerana air surut, maka sukarlah kami untuk naik ke jeti, tangganya sangat tinggi dan curam. Maka aku terpaksa merelakan diri dicempung naik ke atas jeti. Melihatkan jari jemari di tangan dan kaki, yang penuh dengan inai, maka semua yang melihat serentak berkata, ' tu dia anak dara, bukan yang tadi......'

Sungguh meriah sambut menantu waktu itu, disambut di jeti, diiring dengan puluhan motorsikal, bersama beberapa buah kereta, sambil itu mereka membunyikan hon sepanjang perjalanan ke rumah. Setiba di rumah disandingkan, serba ringkas dan sederhana, kemudian kami semua menjamu selera. Waktu itu orang tidak begitu gemar upacara bersanding, jadi tiadalah pelamin seperti sekarang. Kami sekadar duduk di kerusi makan biasa, untuk dilihat oleh semua yang berkunjung. Kemudian kami dibawa berkenalan dengan semua adik beradik yang ada, di balai, di 'gedehok', di tempat basuh pinggan, dan juga di tempat sajian makanan. Kemudian barulah dibawa naik ke atas rumah, pergi ke dapur, ke ruang tengah dan kemudian ke anjung untuk menjamu selera.

Lepas makan semua adik beradik, dan sahabat handai yang berkujung, bergilir-gilir bersalaman dengan pengantin baru. Semuanya tidak melepaskan peluang untuk mungucapkan tahniah dan mengucapkan selamat datang dan selamat menjadi ahli keluaraga yang baru. Begitulah sambut menantu yang baru, tiga puluh tahun yang lalu. di pulau yang bersejarah itu...

Friday, September 9, 2011

BELARAK PENGANTIN SEKITAR 60AN



Selalunya kenduri kahwin dan sambut menantu dilaksanakan pada bulan Disember. Ini musim kering, musim selepas menuai padi, jadi bendang semuanya kontang, boleh berjalan dan menjadi jalan pintas kepada masyarakat sekiling. Begitulah yang terjadi kepada pasangan pengantin di kampung Bayas Langkawi sekitar tahun-tahun 60an. Menurut cerita papa, sudah terjadi sedikit perubahan bagi pasangan yang berkahwin sekitar tahun 60an. Kali in pengantin diarak naik basikal pula.

Berkunjung ke rumah pengantin perempuanan, pengantin lelaki dibawa naik basikal meredah bendang yang kering, kerana lebih dekat jaraknya. Suasana masih tetap meriah, berbasikal ramai-ramai dengan paluan gendang mengiringi perarakan. Disamping tu, sekumpulan anak muda beramai-ramai naik basikal mengiring pengantin, semasa bertandang dan menjemput pengantin perempuan pulang juga,

Begitulah masa berlalu membawa perubahan nyata dalam budaya.

Tuesday, September 6, 2011

BELARAK PENGANTIN TAHUN 50AN



Papa pernah bercerita, dia sangat teringat kenduri kahwin kakaknya yang sangat unik dan penuh peristiwa. Zaman dahulu perkahwinan ditentukan dan diatur oleh orang tua-tua. Dia masih ingat dengan jelas, kakaknya dipinang orang dari kampung berdekatan, dari kaum keluarga yang ada pertalian darah juga, tapi sudah bau bancang.

Tiba hari perkahwinan, pengantin lelaki diarak diusung di atas tandu, merentasi bendang yang kering kontang selepas musim menuai. Paluan gendang berkumandang meramaikan perarakan pengantin yang diiringi sanak saudara serta sahabat handai terdekat. Kanak-kanaklah yang paling seronok, berjalan sambil menikmati paluan gendang yang gamat dan menhidupkan suasana - sungguh amat meriah, sungguh amat menggembirakan semua yang turut serta dalam rombongan pengantin lelaki menuju ke rumah pengantin perempuan. Ibarat panglima berarak menuju ke medan perang - sungguh gah dan mengasyikkan.

Tiba di rumah pengantin perempuan pengantin lelaki diletakkan di atas balai, duduk bersanding bagai merpati dua sejoli, tidak langsung dibenarkan memijak tanah sebelum disandingkan. Di atas pelamin dua mempelai dihiburkan dengan silat pengantin pula. Selepas makan,maka tibalah masa membawa pengatin perempuan ke rumah pengantin lelaki. Pengantin perempuan diusung di atas tandu pula, diiringi pula paluan gendang yang rancak itu. Seperti biasa kaum keluarga kedua belah pihak akan turut mengiringi perarakan yang ramai dan meriah itu.

Kali ini pengantin lelaki akan turut berjalan bersama sanak saudara, bagi memberi peluang kepada pengantin perempuan pula diraikan, di atas usungan. Sementara kanak-kanak akan mengikut perarakan dengan penuh emosi. Zaman itu, perkawinan bagai suatu pesta hiburan. Satu kampung berhimpun dan semua sanak saudara mengambil peluang menghantar pengantin. Perjalanan jauh menempuh bendang di tengah terik matahari, tidak dihiraukan, malah semua merasa amat gembira, turut dapat bergembira menjadi pengiring pengantin, yang sangat diraikan pada hari istimewa itu.


Saturday, February 5, 2011

UPACARA BERSANDING


Musim cuti perayaan hari raya cina, ramai orang ambil kesempatan buat kenduri kahwin. Dulu-dulu tahun 60an, orang tunggu musim menuai, kemudian tahun-tahun 70, orang tunggu musim cuti sekolah panjang, bulan Jun atau Disember, tahun 80an pula, mana-mana cuti sekolah, kemudian terakhir mana-mana cuti umum sudah memadai untuk mengatur majlis. Sekarang orang buat kenduri tidak kira masa, asal ada cuti, dirancangkan kenduri kahwin, waima cuti hujung minggu hari Ahad dan Sabtu pun, dilangsungkan kenduri kahwin. Maka jadilah longgokan kenduri, satu hari lebih daripada satu kenduri. Maka berkejar-kejarlah kita yang mendapat jemputan lebih dari satu, ke majlis kenduri. Kalau sudah dua tiga kenduri, sudah tentulah tak termakan hidangan yang disajikan. Makan nasi di rumah pertama, makan bubur di rumah kedua, makan rojak buah di rumah ketiga, minum air di rumah keempat dan akhirnya makan malam di rumah kelima.

Kalau kenduri kahwin, sudah tentulah ada upacara bersanding. Kalau tak bersanding rasa tak sempurna pula majlis yang diaturkan, rasa kurang meriah dan kurang berseri. Sekarang upacara bersanding diaturkan supaya kedua mempelai didudukan di atas pelamin yang disewa khas daripada butik pengantin. Diikuti dengan upacara merenjis kedua pengantin, upacara bergambar, potong kek, dan makan pengantin, maka sempurnalah majlis persandingan pengantin.

Masih jelas dalam ingatanku upacara bersanding pada masa aku masih remaja sekitar tahun-tahun akhir 70an di kampung. Waktu itu orang bersanding malam, ketika sanak saudara dan jiran terdekat masih berkumpul selepas hari kenduri pada siangnya. Sebelum itu lagi, sekitar awal 70an, masa aku masih kanak-kanak, pernah sekali aku hadir di rumah kenduri seorang saudara terdekat. Aku masih ingat selepas siangnya makan kenduri, malamnya kami kanak-kanak disuruh tidur awal kerana nanti nak bangun semula untuk melihat pengantin bersanding. Maka kami pun tidurlah beramai-ramai. Sedang kami nyenyak tidur kami dikejutkan supaya bangun kerana pengantin dah sedia untuk bersanding. Masa tu jam lebih kurang pukul tiga pagi. Aneh sungguh semua kanak-kanak yang berhimpun di rumah kenduri bangun terpinga-pinga, duduk di depan pelamin, dan menyaksikan persandingan waktu dini hari. Semua sanak saudara dan jiran tetangga pun turut serta. Satu kampung meraikan persandingan itu walaupun jam sekitar 3 pagi, tiada siapa yang peduli atau mengelakkan diri untuk hadir. Upacara bersanding itu sungguh meriah, berlangsung hinggalah ayam berkokok hari nak siang.

Sekarang tiada lagi upacara bersanding pada waktu malam selepas kenduri pada waktu siangnya. Apatah lagi bersanding pukul tiga pagi waktu dini hari sudah tidak pernah didengar lagi. Selesai bersanding semua sembahyang subuh dan kemudiannya sarapan pagi beramai-ramai. Paginya selesai bersarapan, beramai-ramai pula bergotong royong menyimpan dan mengemaskan rumah kenduri semula, sebelum sanak saudara berangkat pulang ke rumah masing-masing.



Friday, February 4, 2011

KENDURI KAHWIN


Menghadiri majlis kahwin anak seorang sahabat, amat dirasakan kemeriahannya. Kelihatangnya sungguh sempurna; persandingan yang berwarna warni, khemah yang hebat, pelbagai jenis makanan yang disajikan, sambutan rombongan pengantin, jamuan kedua mempelai beserta VIPnya MB pula tu, dan tetamu orang besar-besar, semuanya amat dirasakan meriah dan tiada cacat celanya lagi.

Makan kenduri kahwin sekarang, sudah jadi satu aktiviti rutin yang monotenous. Hadir di majlis, makan-makan, jumpa tuan rumah, tengok-tengok pengantin, lepas tu balik - kadang sempat cakap dengan tuan rumah, kadang-kadang, jumpa tuan rumah pun tidak kerana pelbagai keperluan yang tidak mengizinkan. Semuanya serba pantas, kerana masing-masing mengejar masa.

Mengimbau zaman aku kanak-kanak dahulu, selalu juga hadir ke majlis perkahwinan sanak saudara terdekat, dibawa oleh emak. Zaman dahulu kenduri kahwin dibuat masa musim cuti sekolah, tertamanya selepas musim menuai padi. Berkumpul di rumah kenduri, paling tidak seminggu, siang dan malam. Jadi dapatlah sanak saudara berkumpul merapatkan silaturrahim, di samping turut sama terlibat, dalam pelbagai persediaan untuk kenduri - diri balai tempat menghidangkan makanan, tampi beras, kopek kelapa, sedia kerisik, buat kueh mueh, buat bunga telur, bunga pelamin, jahit langsir dan segala macam kerja yang dibuat sama-sama untuk memeriahkan majlis kenduri kahwin keluarga.

Kalau boleh semua kerja nak ditolong, dan dibuat bersama-sama. Masa itulah adik beradik berkenalan dan bermesra antara satu dengan yang lain. Yang remaja berkumpul sama-sama remaja membuat tugasan yang diarahkan oleh yang dewasa. Yang dewasa ambil peluang bertemu muka sambil-sambil membuat pelbagai kerja. Begitulah zaman dahulu bila buat kenduri, semua ahli keluarga dapat sama-sama membantu, sama-sama menyumbang tenaga, dan masa, kerana dahulu yang sangat penting bukanlah wang ringgit tetapi kesepakatan dan kebersamaan - bergotong royong, muafakat, dan berderau untuk menjayakan majlis kenduri kahwin keluarga. Amat berbeza dengan sekarang, kenduri kahwin ramai yang hadir tapi, tak sempat langsung bermesraan antara sahabat handai mahupun kaum keluarga, kerana zaman sudah berubah, masing-masing sibuk dan mengejar masa.