Showing posts with label Cerita Bibik. Show all posts
Showing posts with label Cerita Bibik. Show all posts

Saturday, September 24, 2022

MEMBANTU

 

Banyak kali berurusan mendapatkan bibik pembantu,  untuk menguruskan emak yang terlantar sudah 6 tahun, inilah kali pertama pengurusannya dipermudahkan Allah. Segalanya berjalan lancar, terasa lurus tidak terasa diperbodoh atau ditipu. Terasa keikhlasan bibik yang datang ingin membantu, terasa seperti ingin bekerja seadanya, bukan mengambil kesempatan atas kesusahan yang kita sedang alami. Orang yang menguruskan pun kelihatan mahu membantu, tidak terlihat 'hanky-panky' seperti selalunya sebelum ini. Alhamdulillah ada juga orang Indon yang tidak banyak akal, tidak kelihatan menipu, tidak terlihat seperti ambil kesempatan, tidak kelihatan seperti orang yang telunjuk lurus kelingking berkait macam  selalu yang ku alami. Mudah-mudahan apa yang ku rasakan ini betul, Allah saja yang tahu. Ya Allah tolong uruskan aku dan pembantu ku ini, agar dia dapat membantu aku, membantu menguruskan emak yang sudah tidak bermaya lagi, yang setiap masa perlu diurus, dan tidak boleh ditinggalkan sendirian. Dia sudah tidak berdaya lagi seperti yang dijanjikan Allah dalam kitab suci, 'manusia dilahirkan, membesar, ramaja, tua, dan kemudian kembali tidak bermaya, memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan sebelum kembali menemui pencipataNya. Ya Allah aku sangat tidak berdaya menguruskan diriku, dan menguruskan nasibku, janganlah engkau biarkan aku sendirian mengendalikan nasib kehidupanku walaupun sekelip mata. Bantulah aku ya Allah ya Rahman ya Rahim ya Zaljalaa liwalikroom.

Maka 18 Ogos 2022, bermulalah seorang bibik yang datang membantu, Puteri Marito, Kami panggil dia Kak Put, dia pun sangat senang dengan panggilan itu, dan kami pun senang dengannya. Semoga dia dapat terus membantu, dengan bantuan yang Allah takdirkan kepada ku insyAllah. Syukur ya Allah hanya aku saya yang kurang bersyukur, jadi ampunilah aku dan aku mohon pertunjuk dan hidayahMu, agar aku sentiasa dibantu dalam apa jua keadaan hidupku ini, aamiim.

Sunday, May 8, 2022

BIBIK OH BIBIK

 

Sebelum raya tahun lepas Mei 2011, dalam bulan puasa aku mengambil bibik baru untuk membantu menjaga emak yang dah lama terlantar sejak 2006 lagi. Aku bayar Rm 7000 untuk mendapat bibik dari ejen. Memang amat perit, mahalnya, tapi aku terpaksa kerana mak perlu seorang pembantu yang menguruskan penjagaannya setiap hari. Kononnya dia pandai jaga orang tua sakit dan mau duduk lama. Oklah aku setuju dengan harapan dia akan duduk lamalah barulah bayaran yang tinggi itu balik modal. Kalau dia duduk setahun bermakna aku bayar Rm 580 sebulan. Gaji bibik mesti bayar Rm 1300 bersih. Makan, api, air semua aku tanggung, anggaran Rm 400. Jadi kalau dihitung gaji bibik ni   jumlahnya lebih kurang RM 2280 sebulan (580+1300+400). Aku  sangat-sangat  tidak berpuas hati.  Tapi aku tidak ada pilihan. Kalaulah ada orang kita yang bekerja alangkah baiknya tapi, puas dicari memang takada orang yang mau menjadi orang gaji, tambahan lagi menjaga orang tua sakit terlantar macam mak. Jadi aku terpaksalah menerima bibik seadanya.

Pertama yang aku kurang puas hati dia tua rasanya umur dalam 50 tahun lebih, jadi pengurusan mak banyak yang tidak kemas. Dia tidak mampu mengangkat dan membetulkan mak jadi urusan berat itu selalunya aku yang buat.  Selain itu pergerakannya lambat sangat, buka pintu lambat, ambil barang lambat, suruh buat apa pun lambat. Buat kerja rumah berkira sungguh, dia nak jaga orang sakit saja, yang lain macam pahat dengan pemukul sekali ketuk sekali jalan. Lepas kerja jam 11 pagi rehat, jam 1 tengah hari hingga 2.30 petang tidur, kadang-kadang lajak sampai jam 3 tak bangun-bangun lagi. Lepas tu jam 7. 30 malam duduk tunggu mak, dok saja, dok main wasap, dok video call, dok cakap telefon, dok tengok tv dan kadang-kadang tidur saja,  sampailah  jam 10 malam dia masuk tidur. Ish mudah sungguh kerja dia, gaji lebih dari orang graduate. Tak tahan tak sabar tapi telan jugalah, nak buat macam mana.

Yang paling tak tahan dia tipu kata dia sakit, ghenggah batuk macam nak keluar urat perut. Buat covid test negatif. Suruh makan kata dia tak boleh makan nanti dia muntah. Dari pagi sampai petang tak makan-makan, kita naik risau. Rupanya dia buat tektik nak bagi dia nampak sakit,  bagi dia nampak lemah, dia pun gheyau suruh panggil ejen habak dia nak balik sebab sakit tak boleh kerja dah. Oh macam tu. Suruh dia call ejen dia kata ejen tak angkat. tapi dia kata dia nak balik ejen nak mai ambik. Bila selidik, rupanya dia buat komplot dengan kawan-kawan dia nak balik sekali untuk berpuasa dan beraya. Nasib baik Tuhan bagi ilham snatch telepon dia, banyaklah rahsia terbongkar dalam wasap dia, tu pun dah banyak dia delete dah. 

Payah sunguh ada pekerja yang kita tak kenai dalam rumah. Tak bagi main telefon rasa macam tak patut, bagi main telefon rupanya lagi tak patut, macam-macam karenah dia. Ya Allah tolonglah aku, aku serahkan segala kesusahanku kepadaMu ya Allah, kerana Engkaulah maha melihat, bantulah aku, tiada daya upaya ku untuk berbuat apapun kebaikan ataupun kejahatan melainkan dengan keizinanMu jua ya Allah ya Rahman ya Rahim ya Robbal aalamiin. Bantulah aku, ya Allah bagilah aku seorang bibik yang baik dan boleh memberi kebaikan kepada agamaMU ya Allah

Sunday, August 29, 2021

SEMUA SAMA CERITA

Mulai bulan Mei 2021, ada bibik baru pula membantu menjaga emak yang tidak sihat. Ini bibik yang ketiga. Aku sudah tak kuasa lagi, memang terpaksa menyimpan bibik untuk bantu urus orang sakit. Lemas memang lemas. Rimas pun ada dan terganggu lagi ada. Apa kan daya sudah suratan takdir relakan saja. Allahu Robbi, Allah maha mengetahui akan segalanya. Waufawwi dhu amri ilallah, innallahha basiirul bil ibaad.  

Setiap hari dengar cerita yang sama, banyak hutang, orang minta hutang, orang tak bayar hutang, dan hampir selalu orang telefon tanyakan kot-kot boleh diberi sedikit hutang. Tak faham betul masyarakat depa ni. Manusia macam mana kehidupan mereka, sehingga semuanya nak berhutang. Dulu pun bibik yang sebelum ini juga bawa cerita yang sama. Setiap bulan kirimkan wang gaji untuk bayar hutang, hampir setiap bulan. Kerja dapat gaji bayar hutang, bayar hutang dan bayar hutang. Setahun kerja bayar hutang saja setiap bulan. 

Kemudian adik kakak di Indon bila tak ada nak makan, pergi pinjam duit, bibik pula kena bayar hutangnya. Kakak nak kahwin pinjam duit buat kenduri kahwin bibik juga yang kena bayar. Suami kakak tak kerja, hutang lagi, telefon minta bibik bayarkan. Kakak nak beranak bibik juga bayarkan hutang yang kakak ambil dari jiran dan saudara. Bapa mati buat kenduri tujuh hari, pinjam wang saudara, bibik hantar lagi duit untuk bayar hutang. Kononnya bapa berhutang semasa hidupnya, bibik juga sediakan duit buat bayar hutang bapa kononnya.

Yang sekarang pula, anak nak sekolah hutang beli baju, dan hutang beli segala persediaan masuk pesanteren. Lepas tu bayar hutang yuran persekolahan pula. Aduh hutang apa ni macam-macam hutang. Pening dengar cerita hutang. Lepas tu hutang pula nak beli motor buat anak yang tengah, guna untuk berulang alik ke kedai dan tengok adik di sekolah. Aduh anaknya tak ada kerja, tapi nak pakai motor juga, betul-betul  menghabiskan duit bibik. Anak yang sulung pula hutang nak beli kebun pinang, bibik juga yang bayarkan. Bekas suami nak raya tak ada duit minta hutang dengan bibik juga. 

Begitulah cerita bibik dengan hutang mereka, memang tak faham. Budaya tak sama cara hidup tak sama, tapi berhutang itu tidak baik, berhutang itu menyusahkan, memang suatu nilai yang sama. Ada telinga dengarkan saja jangan masuk dalam kepala. Ya Allah Engkau maha mengetahui apa sebenarnya cerita mereka. Semua mereka datang dari negeri yang sama dan membawa cerita yang sama saja, Barang kali itu satu retorik meraih simpati, aku pun tidak tahu. Ya Allah bantulah mereka, tunjukki mereka  jalan yang benar, beri hidayah kepada mereka.

 

Friday, June 11, 2021

BIBIK OH BIBIK

 

Tanggal 7 jun 2021 genaplah sebulan bibik baru Musnaini  namanya, dari Acheh duduk di rumah aku. Dia asal dari Lok Semawe Acheh . Katanya umur 48 tahun, lahir 14 Febrauari 1973, ada anak tiga orang, dua perempuan seorang lelaki: Milda, Lisda dan Rizqi. Milda sudah berkahwin belum tamat belajar, punya anak satu, Redza. 

Katanya ini kali kedua berhijrah kerja di Malaysia. Kali pertama datang pada tahun 2003 dan balik pada tahun 2008. Katanya masa tu anaknya masih kecil dan dia diperlukan untuk keselamatan anak-anak yang sedang membesar. Selepas itu anak dah besar dia tekad lagi untuk datang mencari rezeki di sini dalam tahun 2018. Kali pertama dia kerja jaga baby.  Datang kali kedua, dia kerja jaga orang tua yang sakit. Dua tahun dia menjaga orang tua sakit yang sering berubah-rubah tempat, ikut giliran anak-anak yang menjaganya. Dia pernah di Langkawi, pernah di bawa  ke Pahang, kemudian lama juga berada di Kulim dan akhir sekali dia menamatkan perkhidmatannya di Sungai Petani. Tamat tempoh dua tahun dia tak mau sambung lagi sebab katanya teruk dibawa ke sana kemari. Lagi pun katanya dia terpaksa buat semua kerja di rumah yang  dia dibawa pergi bersama orang tua yang dijaganya.

Dia balik ke rumah agen kerana PKP sekarang ini dia tidak boleh balik ke Indon. Sementara menunggu majikan baru dia menumpang di rumah emak agent. Kemudian rezekinya ada orang cari pembantu untuk menjaga emak yang sakit teruk tak boleh bergerak. Dia pun bertukar majikan tapi kerjanya di Sungai Petani juga. Dua bulan di situ, oleh kerana emak mereka semakin tenat dia dibawa balik ke Changlun, tinggal di rumah emak mereka di kampung. Cuma dia dan orang tua yang tenat itu di rumahnya di kampung itu. Amat malang baginya, selepas sebulan orang tua itu meninggal. Dia terpaksa balik ke agent semula, sebab majikan dah tak mau dia bekerja kerana emak mereka sudah meninggal.

Pada waktu itu aku sangat-sangat mengharapkan ada seorang bibik buat membantu menjaga emak yang sudah 6 tahun tidak boleh bergerak. Agent meminta bayaran sebanyak RM 7000. Alangkah mahalnya, kenapa mahal sangat?. Dia bukan perlu pergi ke Indon pun untuk cari bibik. Tapi begitulah keadaannya, bila kita terdesak orang mengmbil kesempatan ke atas kita. Selepas persetujuan dan mendapat kata sepakat, bibik di hantar kepadaku. Aku perlu bayar RM 7000 kepada agent, dan aku akan membayar gaji kepada bibik sebanyak rm 1300 sebulan. Papa nampak macam kurang setuju, tapi oleh kerana mama meminta sungguh-sungguh, papa terpaksa  akur saja. Maka bermulalah era baru membela bibik di rumah.

Hari pertama aku ajarkan bagaimana membersih emak dan bagaimana bagi makan minum kepada emak. Bolehlah asal jangan tiada. Hari demi hari dia makin lebih baik. Mula-mula mak tak mau bagi kerjasama, susah juga hati. Kadang-kadang terfikir dia kah tak mau jaga mak, sebab aku nampak macam dia buat sambil lewa saja. Setiap hari aku pujuk mak supaya bagi bibik basuh dan lap mak setiap pagi. Aku bagi mak faham dan bibik faham, kalau tak jaga mak, bibik tak boleh kerjalah sebab aku nak dia jaga mak. Kerja lain hanya bolehn dibuat selepas urusan emak semua sudah selesai. Lepas seminggu nampak lebih baik. Mak dah tak revenge, dan bibik pun cuba sesuaikan dengan mood mak. Alhamdulillah.

Pada saat ini sudah lebih sebulan, bibik dah boleh uruskan mak dengan agak baik dan tunggu mak waktu maghrib hingga mak tidur jam 10 malam. Bilik dah bantu buat kerja rumah, sapu sampah, mop lantai, lap-lap habuk di mana yang perlu. Dia juga bantu siram pokok, jaga pokok-pokok bunga dan juga basuh lantai dan basuh kereta. Dia suka masak, sebab dia takut masakan aku dia tak boleh makan konon. Aku nampak macam dia nak makan sedap-sedap saja. Kadang-kadang aku makan lauk yang diperhangat lebihan kelmarin. Dia masak lauk masak lemak daging. Aduh specchless. Aku tengok dulu.

Bila aku masak aku pelawa bagi dia rasa. Selalu aku ingatkan supaya dia rasa dulu kalau dia lalu makan baru ambil. Aku selalu kata dia tak lalu aku masak. Jadi bila aku masak sedap-sedap dan special, aku  kata kamu tak nak, kamu tak lalu kan? Dia cepat-cepat bagi tau dia nak cuba rasa. Dia teruja tengok masakan aku. Aku tau dia suka makan masakan aku, nampak sedap dan dia selalu minta nak rasa. Biar dia tahu langit tinggi rendah. Selepas sebulan bila aku masak dia dah tak masak lagi, sebab dia rasa masakan aku lebih mengancam.


 

 

Wednesday, March 3, 2021

BIBIK WATI

Ya Allah segala puji bagiMu, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Yang Maha Mengetahui lagi Maha Menentukan, Yang maha adil  lagi maha menguruskan; sesungguhnya tiada daya upaya untuk aku melakukan sebarang kebaikan melainkan dengan keizinanMu, dan tiada daya upaya untuk aku melakukan sebarang kejahatan melainkan dengan keizinanMu jua. 

1 Mac 2021, bermulalah era baru untukku. Bibik yang menjaga emak akan pulang ke rumahnya di Bandung. Aku sudah tidak tahan lagi setiap hari minta balik, setiap hari buat cerita ajar aku macam mana nak buat untuk dia dapat balik. Nampak macam bodoh tapi untuk bersedia nak balik, dia ajar aku itu ini, macamlah aku bodoh. Aku biarkan dia, aku buat-buat bodoh. Patutlah kerja banyak tak buat, rupanya dok keja wasap geng dia cari maklumat, nak bagi tau aku, suruh buat itu ini, apa kawan dia buat, bagi dia boleh balik. Dasar tak sedar diri, kaduk naik junjung, aku pun dah mula menyampah dengan karenah dia. Lama-lama aku pun tak tahan. 

Aku uruskan tiket balik Garuda Air. Kemudian buat permohonan hantar balik pembantu rumah dari Imigresen, sekejap saja telah diluluskan. Kemudian buat temu janji dengan Lab Gribbles, untuk buat test covid 19, supaya tidak melebihi 72 jam  pada hari penerbangan. Kemudian beli tiket Malindo ke Kuala Lumpur. Aturkan agar anak- anak dapat menjemput kami di airport. Dapatkan surat rentas negeri dari pejabat Polis dan terbang hantar bibik ke KL. 

Dan 2 Mac hantar bibik ke KLIA untuk dia terbang balik ke rumah dia. Senang hati tak dak lagi orang desak-desak, dah tak tahan dengan karenah orang tak reti-reti bahasa, pergilah balik, kami Allah ada, pasti kami akan ditolongNya. Ya Allah kami serahkan diri kami dengan segala masalah kami kepadaMu, kerana Engkaulah yang maha mengetahui tentang keadaan sebenar kami, dan  bagaimana keadaan kesusahan sebenar  kami. Ya Allah ya baari', kami ini hamba yang banyak dosa, ampuni dosa kami dan redhalah ke atas kami. Lindungi kami dari sebarang mara bahaya dan tolonglah uruskan kami supaya berada dalam pertolongan, rahmat dan hidayahMu in sya Allah. Aamiin.