Showing posts with label budaya - cara hidup. Show all posts
Showing posts with label budaya - cara hidup. Show all posts

Tuesday, July 21, 2026

PERJALANAN RAYA KE MOUNT FUJI


Day 7
27 Mac 2026
Jumaat

Jam 9.00 pagi dengan Bismillah .... kami bertolak ke Kawaguci untuk melawat  dan berehat di kaki Mount Fuji. Oleh kerana kami ramai, maka terpaksalah kami pakai dua kereta. Satu kereta Hasrul drive, dan satu kereta lagi along drive bawa budak-budak. Perjalanan akan makan masa lebih kurang tiga jam dari rumah kalau trafik lancar. Sebelum gerak kami singgah di stesen tren Funabashihote ambil Hayyan yang pergi deliver bento yang dipesan custemer. 

Cuaca pagi ini agak mendung, dan trafik juga ramai, jadi perjalanan agak slow. Kami menikmati suasana pagi yang dingin  dan pemandangan yang berubah dari suasana kota ke suasana outskirt Tokyo. Sekitar Tokyo sepanjang jalan dipenuhi bangunan-bangunan, stesen tren, kawasan perumahan dan kawasan perindustrian. Semakin menuju ke luar kota suasana berubah dengan pemandangan menyajikan lebih banyak pokok-pokok menghijau dan kebun-kebun sayuran yang luas. Di samping itu pokok sakura masih belum banyak yang kembang. Ada kawasan kelihatan bunga sakura sudah sepenuhnya berkembang, ada yang putih dan ada yang berwarna ros. Kelihatan sungguh meriah seperti dalam lukisan, sungguh cantik dan meriah. Inilah keistimewaan di musim sakura, rata-rata pemandangan dihiasi sakura kembang gebu di dahannya.

Lebih kurang jam 12.15 tengah hari kami singgah di R&R Shikawa. Ia terletak hampir lebih separuh perjalanan dari Tokyo ke Fuji. Agak luas juga kawasan rehat ni, Banyak kiosk jualan makanan, minuman dan souninir. Ramai sungguh pengunjung ke Fiji singgah untuk minun-minum kopi dan makan tengah hari sambil membeli-belah barang-barang cendermata.

Kami minum kopi sebab nanti kami nak lunch bila sampai di homestay. Sambil tu kami beli jajan makanan ringan untuk budak-budak. Kami juga sempat membeli biskut sugar-tree, untuk buat cendehati bagi kawan-kawan dan sanak saudara. 

Lebih kurang jam 1.30 tengah hari kami mula gerak keluar menuju destinasi. Dalam lebih kurang 10 minit perjalanan, kereta along break-down, jadi kami tunggu along bawa kereta perlahan-lahan ke tempat yang kami berhenti di tepi jalan, tak jauh dari kereta mereka di belakang kami. Kami buat keputusan Angah, Papa, Mama dan budak-budak akan teruskan perjalanan. Hasrul, Hayyan, Along,  Hajar dan Ali akan uruskan tunggu towing kereta di situ. 

Kami terus perjalanan menuju ke R&R terdekat Fijino, untuk tunggu perkembangan seterusnya. Jam 2.30 kami solat jamak zohor asar bergilir-gilir di situ. Sambil menikmati panorama dan menghirup udara dingin segar, kami makan-makan dan bergambar kenangan. Dalam pukul 3.00 petang, towing service dah pickup kereta yang rosak. Kami mula bergerak ke homestay di fujuyama. Lehih kurang jam 5,30 petang kami tiba di Homestay Amber Fuji Trip House, berhampiran Kawaguci Lake Fuji. Matahari dah semakin terbenam masa kami sampai, dan cuaca dah semakin gelap. Kebetulan waktu itu hujan renyai-renyai maka lebih sejuklah kami meredah hujan dari parking ke homestay. 

Homestay yang disewa, sebuah rumah tradsi Jepun, luas sangat. Tapi bila kami pasangkan bidai maka ia transform menjadi 3 bilik untuk kami sekeluarga malam itu. Kami disediakan 11 set tilam-tilam, selimut dan bantal. Selesai uruskan bilik, kami solat jamak maghrib isyak. Sementara menunggu team Hasrul, kami pergi ke Konbi Store untuk beli pisang , biskut dan roti buat sarapan dan bekalan dalam perjalanan di esok hari. Konbi ni ialah singkatan daripada perkataan Convineant. Convi lebih selesa disebut Konbi oleh lidah Jepun. Jadi Konbi store ni  seperti kedai Seven Eleven di Malaysia, semua yang diperlukan oleh orang bermusafir boleh dicari di Konbi Store. Banyak Konbi Store ada di merata tempat, jadi nak caria apa-apa cari Konbi Store, pasti ada apa yang dihajati.

Lebih kurang jam 9.00 malam Hasrul dan Along sampai. Ceritanya selepas towing  kereta yang rosak, ke bandar yang terdekat, mereka sewa kerata lain. Kemudian mereka pergi dinner ayam gerpuk dan bawa balik ayam gerpuk untuk kami makan sama. Kami dinner ayam gerpuk dan bihun goreng yang dibawa bekal dari rumah. 

Malam di kaki Gunung Fuji sungguh dingin, kami lena dengan sungguh nyenyak untuk persediaan perjalanan di hari esok menikmati pemandangan Gunung Fuji yang diidamkan semua pengunjung ke Jepun.  Alhamdulillah syukur padaMu ya Allah. Engkau selamatkan kami sepanjang perjalanan. Engkau mudahkan kami menghadapi masalah yang didatangkan. Hanya padaMu kami berserah diri dan segala urasan perjalanan dan pekerjaan kami.  Aamiin ya Allah.




Friday, December 15, 2017

BUDAYA BARU ZAMAN MODEN


Sekarang musim cuti sekolah. Atok nenek amat seronok dan bahagia dengan kehadiran cucu-cucu yang pulang bercuti di kampung. Zaman sekarang ini anak-anak lazimnya bekerja di bandar, jauh dari kampung halaman. Kalau dulu anak-anak bekerja dekat dengan kampung asal, tak jauh dari rumah emak bapa, jadi bolehlah sering-sering balik ke kampung menjenguk dan bertemu orang tua. Sekararang tunggu cuti sekolah baru semua seisi keluarga baru boleh balik kampung, Kadang-kadang hanya cucu-cucu ditinggalkan di kampung. Jika tidak mereka hanya main gadget di rumah, atau menonton televisyen, atau dibawa keluar main-main di taman, atau jalan-jalan di pasaraya. Itulah antara aktiviti yang biasa. Jika tidak mereka akan berada sepanjang hari berada dengan pembantu rumah atau berada di rumah transit dengan aktiviti rutin. 
 

Tuesday, May 6, 2014

PENDIDIKAN SEBENAR


Semasa kecil-kecil di kampung dalam lingkungan umur tujuh atau lapan tahun, budak-budak dihantar mengaji Quran. Selalunya dalam satu kampung akan ada seorang guru yang mengajar mengaji Quran. Anak muridnya pula adalah antara sepuluh hingga lima belas orang. Kebetulan bila sudah masuk sekolah aku tak sabar untuk dihantar mengaji Quran. Suatu hari emak bawa aku untuk diserahkan mengaji kepada tok guru mengaji. Semua kami panggilnya Kak Om. Hari itu emak bawa pulut kuning dengan gulai ayam. Emak pesan supaya aku mengaji rajin- rajin, dan emak pesan supaya aku  diajar  agar pandai baca quran dan boleh sembahyang.

Maka bermulalah suatu kehidupan baru selepas itu. Setiap hari selepas balik sekolah, selesai makan aku terus pergi mengaji. Kami di pesan  siapa  tiba awal, tolong angkut air dari telaga masukkan dalam tempayan di tepi tangga, guna untuk membasuh kaki sebelum kami naik ke rumah untuk mengaji. Seorang setimba sudah cukup  kerana tempayan sederhana besar itu hanya mampu menampung lima timba air sahaja untuk kegunaan kami. Jika ada lagi yang awal, kerja lain pula dibuat seperti menyapu daun dan sampah di halaman. Kemudian kami akan diajar mengaji beramai-ramai. Pelajar baru akan diajar oleh tok guru membaca muqaddam bermula alif, baa, taa. Kemudian kami akan mengaji membaca berulang kali sehingga dapat kenal hurul dan menguasai apa yang diajarkan. Setiap rakan yang mengaji tahapnya tidak sama, ikut tahap kebolehan, dan ikut masa yang diserahkan mengaji. Jika rakan yang yang dah tamat muqaddam dan sudah naik quran, dan sudah melebihi juzuk lima belas, mereka akan menjadi pembantu kepada tok guru. Mereka akan mengajar rakan-rakan lain yang masih baru naik quran atau yang dah banyak baca muqaddam. Akhir sekali barulah tok guru akan ajar rakan pembantu itu, kemudian kami semua akan balik bersama-sama. Kadang-kadang jika kami diminta tolong membasuh pinggan,  yang lelaki akan tolong susun kayu api. Ada yang kuat akan tolong belah kayu api. 

Pada waktu itu kami ikut saja apa yang disuruh. Tapi sebenarnya semua itu telah menjadi sebahagian daripada proses sosialisasi pembentukan jati diri remaja waktu itu. Melaluinya terbentuk sikap dan rasa hormat kepada orang yang lebih tua, terutamanya yang dipanggil guru seorang yang amat dihormati. Juga berperanan membentuk sikap bertanggung jawab melaksanakan tugas yang diberikan. Selain itu memupuk juga kemahiran berkomunikasi atau softskill untuk dapat bersosial  dengan sesama remaja dan orang tua, dengan baik. Dapat juga dilihat satu sikap yang turut terbentuk, iaitu bertolak ansur dalam pergaulan, dan bertolah ansur dalam mengaturkan dan melaksanakan tugas yang diberikan. Dan yang paling berkesan ialah memupuk sifat kepimpinanan dan 'self-confident' dalam diri setiap remaja yang berupaya dan diminta menjadi pembantu tok guru mengajar rakan yang lain mengaji.

Satu hari kami mengaji bukan saja waktu tengah hari tapi juga waktu malam. Sebelum maghrib kami sudah tiba di rumah tok guru siap berwudhuk dan bertelekung. Kami sembahyang maghrib berjumaah kemudian mengaji beramai-ramai dan tamat selepas waktu isyak. Buat penerang jalan untuk balik ke rumah kami pakai jamong. Apinya yang terang dapatlah menyuluh jalan dan kami pulang beramai-ramai, jadi tidaklah kami merasa takut walaupun malam sangat gelap gulita. Begitulah setiap petang dan malam kami tekun mengaji quran, tidak pernah tahu jemu dan bosan, sehinggalah kami khatam, dan akhirnya mengulang buat kali kedua pula. Selalunya bila sudah tamat dua kali khatam, kami kebanyakannya sudah masuk ke sekolah menengah. Jadi kami akan buat majlis khatam quran. Kami baca quran beramai-ramai semasa majlis khatam itu. Rasa sunguh bangga dan terharu dapat tamat mengaji Quran sebanyak dua kali ulang. Yang kami paling ingat ialah kenduri makan pulut kuning dengan gulai ayam. Kemudian tok guru pula dihadiahkan dengan kain batik dan telekung. Selepas itu kami tamat mengaji kerana di sekolah menengah kami bersekolah waktu petang semasa tingkatan satu dan dua.

Demikianlah suatu pendidikan secara tidak formal yang dilalui di kampung, dalam tahun-tahun enam puluhan semasa usia meningkat remaja dahulu. Ia dapat membentuk pelbagai kemahiran membaca Quran, amali solat, dan juga pemupukan nilai murni yang menjadi pegangan juga membantu mengukuhkan jati diri remaja waktu itu. 

Saturday, April 19, 2014

MENDIDIK JIWA YANG KENTAL


Masih jelas terbayang dalam ingatan antara aktiviti yang pernah diajarkan semasa kecil dulu. Aktiviti ini berkait rapat dengan sosio-ekonomi dan kehidupan masyarakat  kampung pada zaman tahun 70an. Pada zaman di tahun 70an dahulu, boleh dikatakan setiap rumah di kampung ada memelihara ayam, kononnya dapat juga ayam-ayam peliharaan makan nasi yang berbaki setiap hari, supaya tidak terbuang dan membazir, kerana umum percaya kepada semangat padi.  Jadi aku masih sangat ingat terdapat banyak ekor ayam yang dipelihara. Oleh kerana jumlah ayam yang dipelihara banyak juga, maka nasi lebihan, sudah tidak cukup untuk diberi makan.  Maka emak mengajak aku dan adik pergi mengayak sekam padi. 

Barangkali ramai orang tidak tahu, bagaimana aktiviti mengayak sekam ini. Dulu-dulu dekat dengan rumah ada sebuah kilang padi milik seorang cina namanya Tong Seng. Kilang ini akan menyembur keluar sekam atau kulit padi yang dimesin semasa menghasilkan beras. Jadi bersama sekam padi terdapat juga biji-biji beras yang hancur. Maka emak selalu mengajak aku memanjat timbunan sekam seperti bukit, setinggi dua tingkat bangunan itu, untuk mendapatkan beras-beras hancur yang disembur keluar bersama sekam padi dari kilang tersebut.

Aku masih ingat kami akan memanjat bukit sekam di belakang kilang, pada waktu tengah hari sebelum zohor. Aku bawa nyiru yang jarang, guni plastik dan tali rafia. Adik hanya bawa guni, jarum dan tali. Kadang-kadang aku rasa sangat tidak selesa kerana waktu itu cuaca sangat panas. Tapi emak selalu beritahu, 'kalau waktu tengah hari kita tidak perlu mengayak lama-lama, sekejap saja kita sudah dapat seguni beras hancur. Lepas tu kita balik makan dan rehat.' Seperti biasa aku akur dan lama-lama sudah biasa kami pergi mengayak waktu tengah hari. Lama-lama barulah aku sedar, waktu tengah hari waktu rehat, jadi sudah tentulah mesin pengisar padi kurang diawasi. Petugas yang menjaga mesin pengisar padi itu juga 'berehat' barangkali.  Jadi keluarlah banyak beras hancur pada waktu tengah hari yang sungguh panas itu.

Aku masih ingat dengan jelas kadang-kadang nasib kami baik, bila banyak beras hancur dilepaskan kami tak perlu menyayak lagi. Emak akan menyedok beras hancur yang mencurah-curah keluar dari serombong dengan cepat. Aku cuma perlu menahan guni, sekejap saja guni kami penuh berisi beras hancur, dan adik akan menjahit guni dan mengikatnya kejap-kejap. Dan lagi waktu tengah hari tiada orang lain yang sanggup berpanas, jadi tidak perlulah kami bersaing dan berebut-rebut untuk mendapatkan beras hancur  buat makanan ayam.

Bila dikenang semula aktiviti mengayak sekam itu, aku sungguh rasa bersyukur dan berterima kasih kepada emak. Dia telah berjaya mencorakkan jati diri yang kental kepada kami. Dia mendidik kami supaya kuat dan tegar untuk melakukan sesuatu walaupun payah, akhirnya yang payah akan menjadikan kita senang. Paling hebat dia mengajarkan kepada kami, suatu falsafah kehidupan, untuk berjaya kita mesti ada strategi dalam apa jua yang mahu dilakukan dalam kehidupan ini.

Ya Allah ampunilah segala dosa kedua ibu bapaku dan kasihanilah mereka seperti mana mereka mengasihi kami dengan penuh kasih sayang. Amin
   
  

Monday, October 8, 2012

YANG LAMA ITU BURUK........


Kita orang Melayu, bila ada sesuatu yang lama dikatakan itu benda buruk. Benda buruk biasanya kurang dijaga, kurang diberi perhatian, dan dan dianggap kurang berharga pula. Boleh dikatakan hampir semua benda dalam masyarakat kita menerima nasib yang sama. Sebab itulah jarang orang-orang kita menyimpan benda-benda milik sendiri pun, yang lama kerana barang lama memerlukan penjagaan, dan ramai pula menganggap barang yang  lama akan menyusahkan kita. Barang lama perlu disimpan, dan terkadang memerlukan ruang pula. Bukan barang sahaja tapi bangunan lama juga, dirasakan sebagai membebankan kita, kerana memerlukan belanja yang besar untuk diselenggarera. Sebab itulah banyak bangunan lama kita tidak terjaga dan tidak terpelihara.

City Campus Universiti Liverpool
Berbeza sekali dengan masyarakat di barat, barangan lama akan dijual, paling tidak di pasar lambak "car boot sale" atau dihantar ke "charity shop" untuk dijadikan sumbangan kepada yang memerlukan. Di Jepun pula, barangan lama tidak dibuang, sebaliknya akan di masukkan ke dalam kotak dengan elok-elok dan kemas, kemudian diletakkan di tempat buangan khas dan ditulis "sila ambil" untuk diberikan kepada yang memerlukan secara percuma, misalnya kipas angain, peti sejuk dan lain-lain lagi barang keperluan yang tidak diguna pakai lagi.

Di barat, bangunan lama berusia beratus tahun sekali pun masih tampak cantik, kuat dan unggul. Masih teringat, Banguanan Merah Viktoria di Liverpool yang berusia 120 tahun, masih kekal tersergam, sejak tahun1895 lagi dan kini menjadi mercu tanda kebanggaan Kota Budaya itu. Bangunan itu menjadi sebahagian daripada bangunan utama Universiti Liverpool, yang kini menjadi Galeri dan Museum sejak tahun 2008. Berjalan di hadapan bangunan setua itu, sangat terasa keagongannya, sangat terasa kemegahannya, dan kita rasa sangat kagum kerana ia dijaga dengan sebaiknya sehingga dapat kita nikmati sejarahnya sehingga kini.



Tuesday, September 25, 2012

ZIARAH KEMATIAN


Berada di kuburan yang hening dan sayu itu, terkenang aku realiti kehidupan masa kini berbanding dahulu. Dulu-dulu  masa masih kecil, masa kemajuan masih belum terasa bahang kesibukan, pernah aku mengikut emak berjaga orang sakit bermalam-malam. Setiap lepas solat maghrib, kami cepat-cepat makan, kemudian dengan menggunakan lampu suluh, kami berjalan meredah kampung ke rumah saudara yang sedang sakit tenat. Selalunya emak akan bawa makanan, bengkang atau apa-apa saja, buat hidangan kepada sanak saudara dan jiran tetangga yang turut serta meringankan beban atau memberi sokongan moral kepada keluarga yang ditimpa musibah.

Masih segar dalam ingatan sanak saudara  memenuhi ruang anjung rumah, membincangkan tentang penyakit dan juga sisakit. Kadang-kadang tok bomoh hadir untuk membuat rawatan pula. Kami yang masih kecil seolah-olah tidak memahami satu apa pun, bermain-main atau kadang-kadang baring saja di ribaan orang tua sementara masih mampu berjaga. Kini kalau ada yang sakit tempatnya di hospital, ditemani sanak saudara terdekat saja seorang dua. Itupun sekadar sebelum jam dua belas tengah malam, kerana esoknya semua orang terpaksa ke tempat kerja dan menguruskan anak-anak ke sekolah.

Oleh itu tiadalah lagi berjaga untuk  sama-sama "menjaga" saudara. Kalau yang sakit tiba masa dijemput  pulang, barulah terpaksa ambil cuti untuk ziarah kematian. Makna sebenarnya ialah menziarahi keluarga yang menghadapi kematian. Sangat suntuknya masa kita sehingga kita hanya mampu pulang bersama keluarga apabila sudah berlaku kematian. Kadang-kadang kita sempat jumpa saudara yang meninggal, tapi selalunya kita cuma sempat memberi pernghormatan terakhir sebelum dikuburkan. Alangkah..... alangkah baiknya jika kita masih mampu mempunyai sedikit masa untuk sama-sama memberi perhatian, dan sama memberi sokongan moral, semasa anggota keluarga masih belum kembali ke rahmatullah, seperti dulu-dulu.......

Thursday, September 13, 2012

KURUNG AYAM


Lama sudah tidak makan di luar. Sejak akhir-akhir ini memang sangat ketat jadual harian dari pagi hinggalah  ke petang. Oleh kerana alang tidak 'on-call' malam ini, maka kami makan di luar kerana meraikannya yang selalu juga sibuk.Restoran D'dapor Ibu sungguh nyaman dalam keadaan hujan turun tidak henti-henti sejak dari pagi. Kami pesan makanan, ikan siakap goreng halia, sup tulang, udang celup tepung dan sayur cendawan, sungguh menyelerakan kerana cuaca yang sejuk nyaman menjadikan kita terasa lapar dan teringin hendak makan.  Seperti biasa sejak akhir-akhir ini, alang memang banyak benda yang nak diceritakan, sambil kami menuggu makanan siap masak dihidang.

Tiba-tiba perhatian kami berubah sebentar. Papa tanya kami, nama  bagi benda yang menjadi hiasan di dinding restoran itu. Alang bagi tau papa benda itu bubu. Mama pun kata bubu, dan papa ketawa, sebelum papa beritahu kami, benda itu sebenarnya bukan bubu, tapi kurung ayam zaman dulu-dulu. Memang betul, baru teringat, masa kecik-kecil dulu, boleh dikatakan  setiap rumah akan ada kurung ayam di bawah rumah setiap orang, barang sebiji atau dua. Ia dibuat daripada batang buluh, dibelah-belah menjadi sebesar jari di bahagian atasnya, dan dianyam jari-jari belahan buluh, dengan bilah-bilah buluh yang diraut nipis.Bentuknya selepas siap dianyam seperti gelas berkaki.


Biasanya kurung ayam akan dipacak di sebatang kayu supaya tingginya menjadi lebih kurang setinggi dada, kemudian ia diikat di tiang rumah supaya kuat dan tidak tumbang. Di dalamnya akan diletakkan rumput-rumput kering, kemudian dilapiskan dengan jerami kering pula. Kegunaannya ialah menjadi tempat atau sarang untuk ayam bertelur, dan seterusnya menjadi tempat untuk ayam mengeramkan telur pula.Kurung ayam ini sebenarnya disediakan pada zaman dahulu, untuk mengelakkan ayam bertelur merata-rata dan juga untuk  membiakkan ayam jika telur tidak dijual atau dimakan. Di samping itu, kadang-kadang ayam digunakan juga untuk mengeramkan telur-telur itik juga. Maka jadilah ayam sebagai ibu tumpang anak-anak itik sehingga mereka, pandai berenang di air.

Begitulah unsur budaya lama dalam arus pemodenan ini menjadi semakin pupus dan ditinggalkan. Ini terjadi bukan saja dalam dunia melayu tetapi bangsa lain mengalami proses yang sama. Bezanya unsur budaya bangsa lain yang lebih maju, walau mengalami kepupusan, akan kekal dan diabadikan untuk tatapan generasi muda kerana didokumenkan, atau ditulis dan dibukukan atau dipamerkan di muzium-muzium budaya. Sama-samalah kita terus mengekalkan warisan budaya kita untuk tatapan anak-anak zaman ini.

Saturday, January 23, 2010

AIR SUNGAI YANG JERNIH


Papa selalu usik mama, ‘ tu air sungai jernih, sampai hijau,’ dan aku selalu ketawa. Dulu-dulu memang air sungai kelihatan sangat jernih kehijauan. Air sungai itulah pada musim kemarau, kami mandi, kami guna untuk memasak, dan membasuh . Di tepi sungai telah dibina satu pelantar tempat mandi dan membasuh. Kalau tidak kami mandi dan membasuh di simen kok laluan air. Tapi yang hairannya kami tidak minum air sungai yang dikatakan jernih tu. Kami angkut air dari telaga batu di kaki bukit yang sangat jernih. Satu hari kami ambil setong air pagi dan setong waktu petang pula. Itu sudah cukup untuk bekalan air minuman sekeluarga bagi sehari. Waktu itu tiada peti ais untuk menjadikan air minum sejuk. Tapi kami masih boleh minum air yang hampir sejuk seperti air peti ais sekarang. Air minuman dari telaga batu rasanya seperti air mineral sekarang. Kami simpan air di dalam buyung tanah – rasanya memang agak sejuk.

Bukan itu saja yang aku ingat, yang lebih ingat kami kena basuh baju sekolah warna putih di telaga batu juga. Jika baju putih sekolah dibasuh di sungai warnanya tidak kelihatan putih berseri, tapi agak putih kemerahan. Masa tu aku sangat malas ke telaga batu di tepi bukit kerana agak jauh. Mengikut arahan mak aku pergi juga. Alangkah sangat mudahnya kehidupan sekarang, semuanya ada di rumah, ada dihujung jari pula tu. Alangkah nikmatnya hidup di zaman moden ini, tapi berapa orang yang mampu bersyukur?

40 TAHUN YANG LALU - SUNGAI DAN KAMI


Balik kampung menjenguk orang tua memang sangat nostalgik. Sungai masih mengalir tenang. Sawah padi tetap menghijau. Jauh berbalam-balam kelihatan bukit yang batunya kelabu dibarisi pokok-pokok yang menghijau. Masih segar dalam ingatan kehidupan remajaku dulu, sangat hampir dengan alam. Sungai menjadi tempat mandian yang sangat nyaman dan menyeronokkan. Sungai juga tempat riadhah yang sangat mengesankan. Tanpa perlu ada juru latih kami pandai berenang. Yang senior mengajar yang junior, sedikit demi sedikit, lama-lama semuanya sama-sama berpesta berenang dengan pelbagai gaya yang mengasyikkan. Jika terlalu lama berenang, akan ada orang tua yang menyuraikan semua, supaya masing-masing pulang ke rumah. Walau pun bukan anak sendiri, tapi semua akur dan tidak pernah marah, memberontak atau tidak senang hati, dan tiada pula perselisihan antara orang tua yang anak mereka ditegur. Masing-masing faham, semua orang tua perlu dihormati dan tiada siapapun, dalam apa bentukpun melawan orang tua-tua yang memberi teguran. Begitulah cantiknya norma masyarakat waktu itu, sosialisasi anak-anak menjadi tanggung jawab masyarakat, dan kami membesar dengan sihat dan penuh jati diri.

Di samping sungai, sawah juga menjadi unsur alam yang sangat mengasyikkan. Kecil-kecil diajak ke sawah membawa air untuk orang tua yang haus. Setiap musim jika orang tua ke sawah kami diberikan tanggung jawab menjadi pembawa minuman bila matahari sudah agak tinggi. Ini dilakukan dengan penuh keseronokan kerana apabila ke sawah, kanak-kanak bukan hanya membawa air minuman tapi boleh bermain serunai pada musim menuai, atau menangkap belalang pada musim menanam. Bila sudah besar, kami tidak lagi menjadi pembawa air tapi sudah boleh turun ke bendang mengatur anak semai untuk orang tua menanam. Kami bermandi selut tanpa sedikit pun berasa kotor, dan orang tua pun membiarkan saja, walaupun kami lebih banyak main daripada bekerja. Musim menuai kami memotong padi pula. Dan kadang-kadang membakar jerami kering juga. Begitulah sangat indahnya rasa tanggung jawab dan kasih sayang dipupuk di hati kami. Tidak pernah dipaksakan, ia menyemarak dan mendarah daging sehingga kami sangat menghargai jasa dan pengorbanan orang tua yang sangat kami cintai.