3. KAMPUNG ORANG KEDAH (KAMPUNG PASIR ATAS
TANAH) – MASJID KAMALUL ISLAM : 1.30 TENGAH HARI
Lebih kurang sejam perjalanan
kami tiba di Masjid Kamalul Islam Kampung Kedah. Jam menunjukkan lebih kurang pukul 1.30 tengah hari, dan kami
disambut oleh Imam Haji Marwan Samaun, bersama pegawai-pegawai masjid lain.
Kami melihat-lihat kawasan sekitar masjid yang menjadi masjid contoh kerana
pengurusannya yang cemerlang mendapat Anugerah Masjid Contoh di Bangkok. Di
hadapan masjid terdapat sebatang sungai yang dahulunya dikorek oleh tawanan
perang orang Melayu dari negeri Kedah. Di sungai itu banyak dipelihara ikan
patin, dan kerajaan Thai tidak membenarkan aktiviti menangkap ikan atau mengail
ikan sekitar 2 kilometer. Jadi sungai di hadapan Masjid Kamalul juga termasuk
dalam kawasan larangan menangkap ikan. Ikan-ikan di situ seolah-olah
dipelihara, kerana untuk setiap pengunjung ke masjid, digalakkan membeli roti
yang dibuat oleh kilang yang diusahakan oleh masjid.
|
Pelantar untuk tetamu memberi makan ikan patin |
|
Kolam renang dalam sungai |
Kemudian kami dianjurkan
untuk memberi makan ikan itu. Jadi dapat
dilihat di situ ikan patin yang besar dan sihat-sihat. Di situ juga dibuat
kolam renang untuk budak-budak berlatih berenang dan menikmati suasana mandi
sungai dalam keadaan yang selamat kerana dibina sebuah kolam renang di sungai
itu. Kolam itu dibina untuk pelajar-pelajar sekolah yang ditadbirkan oleh Masjid Kamalul Islam
juga.
|
Taklimat Masjid |
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan pengerusi majlis yang
memperkenalkan Tuan Iman dan AJK Masjid semuamya, serta mengalu-alukan
kehadiran kami ke situ. Acara kedua ialah Pengenalan
masjid yang disampaikan oleh Guru Besar Sekolah Rendah Kamalul Islam Puan
Sofiah. Menurutnya pada masa pemerintahan King Rama III, tawanan perang
berjumlah lebih kurang 6000, orang telah dibawa ke Bangkok dan ditempatkan di
kawasan ini, dan mereka membuka ladang
sawah padi untuk menyara kehidupan mereka. Suatu hari Raja naik perahu di
Sungai San Sep itu, dia singgah di situ sebab perahunya rosak. Dia nampak
timbunan pasir atas tanah, dan baginda diberitahu pasir itu bertujuan untuk
dibina masjid. Kemudian dia telah menghantar tenteranya untuk membina masjid di
situ.
Selepas itu setiap tahun Puteri
Raja datang melawat masjid yang dibina Raja sebagai acara tahunan. Oleh sebab
itu semua Jabatan Kerajaan telah turun padang untuk membersihkan sungai sebelum
kedatangan Puteri. Jadi oleh kerana kawasan itu telah dibersihkan, selepas
kepulangan Puteri, pihak masjid mengambil inisiatif untuk menjaganya pada
setiap masa supaya cantik, bersih dan mesra alam, sehingga menjadi masjid
contoh yang mendapat Anugerah.
|
Empat responden keturunan Melayu berasal dari Kedah |
Empat orang penduduk di situ
mengaku mereka adalah keturunan dari Kedah iaitu, Tok Imam Haji Marwan, Puan
Sofiah, Haji Hashim, dan Hajah Habibah. Dapatan daripada sessi dialog ialah seperti berikut:
1. Di
kampong mereka ada terdapat tok haji dan ada juga orang yang digelar tok
keramat yang pernah didengar oleh mereka daripada orang tua-tua mereka.
2. Mereka
tahu mereka berketurunan Kedah daripada bapa saudara mereka, yang
memberitahu bahawa datuk mereka berasal
dari Kedah. Ada saudara mereka yang datang dari Alor Setar Kedah sudah datang berkunjung melawat mereka di
sini. Mereka telah mengadakan hari keluarga di sini yang dihadiri oleh kaum
keluarga dari Kedah dan Thailand. (Tok Imam/Puan Sofiah)
3. Ada
yang datuk mereka ditawan di Kedah dibawa datang tinggal di Bangkok ini selepas
perang. Nenek mereka pernah menjadi ketua di sini dan dia melatih anaknya untuk
jadi penghulu. (Hajah Habibah)
4. Orang
tua mereka bercakap Melayu, dan ada saudara mara mereka yang datang dari Kedah
memberikan gambar moyang mereka di Kedah.
5. Masa
kecil dulu lagu yang selalu didendangkan untuk anak kecil ialah “laaila
haillallah, Mohammadar rasulullah, tok
lebai sampai haji, sampai Mekah dan Madinah”
|
Cenderamata kenangan kepada Tuan Imam dari PSMCK |
|
Bergambar kenangan: berbeza bangsa tapi dari rumpun yang sama |
Selesai sessi dialog majlis
diteruskan dengan ucapan penutup, pertukaran cenderamata, dan sessi bergambar.
Kemudian kami disajikan juadah makan malam, nasi beriyani ikan yang menjadi kebanggaan
penduduk di situ. Hari hampir senja, kami telah meninggalkan Kampung Kedah itu dalam
kegelapan malam menuju ke hotel penginapan di tengah kota Bangkok (Hotel Atlas)
dengan penuh kenangan yang amat mengesankan. Kami tiba di hotel dan dapat
berehat melepaskan lelah lebih kurang jam 9.00 malam.
No comments:
Post a Comment