2. BAN SOMDET: 11.30 PAGI (SEBERANG SOMDET) – MASJID NURUL MUBIN
Kami tiba di Ban Somdet, di kawasan
letak kereta berhampiran dengan kuburan, disambut oleh imam, seorang wakil
tentera, dan beberapa orang wakil masjid Nurul Mubin. Kami berjalan melalui
lorong yang di kiri kanannya gerai makanan, lebih kurang 300 meter untuk ke
kawasan Masjid Nurul Mubin di Ban Somdet. Menunggu kami di pintu masuk masjid,
anak-anak sekolah tadika yang berbaris berselawat bersama Imam dan AJK masjid.
Sungguh terharu melihat anak-anak kecil keturunan Melayu berbaju kurung lengkap
bertudung, masih mengamalkan ajaran Islam dan berselawat menyambut kami,
walaupun sudah tidak boleh berbahasa Melayu, tapi masih merasakan ukhwah
persaudaraan sesama Islam.
Kami terus dibawa ke bilik
mesyuarat masjid, untuk taklimat dan sessi dialog, bermula pada jam 12.00
tengah hari. Majlis terus berkisar kepada dialog dengan keturunan Melayu. Ada
antara mereka berasal dari Wilayah Selatan iaitu Pattani dan Setul. Dan ada
juga yang berasal dari Kedah. Tapi malangnya, kami tidak dapat menemu bual
orang yang pasti yang berasal dari Kedah, kerana kunjungan kami diaturkan dalam
masa yang singkat, jadi mereka tidak dapat membuat persediaan terlebih dahulu
secara khusus. Dalam majlis dialog yang singkat dapat dirasakan seperti ada
ikatan persaudaraan seagama dan sebangsa, seolah-olah kami sudah lama kenal. Sambil
berdialog kami dihidangkan minuman, kueh dan buah-buahan, sebagai pengalas
perut.
Walaupun perbicaraan amat
terbatas, dengan penggunaan bahasa Melayu yang minimum dan selebihnya
menggunakan bahasa isyarat dan khidmat juru bahasa Tuan Ramli, kami masih boleh
berkomunikasi dan berdialog dalam satu majlis yang sempurna. Suasana pertemuan kelihatan amat segar, santai
dan mesra. Dalam ucapan aluan Imam, beliau menyampaikan rasa gembira menyambut
kedatangan rombongan kami. Mesjid ini sudah berusia 150 tahun dibangunkan oleh
masyarakat Melayu agak ramai yang menduduki daerah itu sejak dahulu. Sekarang
kawasan ini merupakan kawasan komuniti Islam terbesar di Bangkok. Menurutnya
ada 14 organisasi yang bergabung tenaga dengan masjid itu dan 180 masjid lain
di Bangkok, untuk mengadakan sebarang upacara dan keramaian di kalangan
masyarakat Melayu Thailand. Walaupun bangsa Melayu merupakan golongan minoriti
tapi mereka saling hidup bersefahaman dan tolong menolong dengan orang
berbangsa Thai. Kerajaan Thai telah mendirikan Watt-watt budha bersebelahan
masjid, bertujuan untuk menggalakkan perhubungan dan kerjasama bagi keharmonian
rakyat Thai.
Seterusnya dalam ucapan balas Dr
Kasri, beliau menyampaikan rasa seronok dan bersyukur dapat sampai di Ban
Somdet, untuk melihat hubungan Kedah Siam yang telah terjalin sejak sekian
lama. Di Malaysia tidak banyak catatan yang menceritakan tentang sejarah
hubungan kedua negara, dan juga sumber sejarah Kedah didapati kurang liputan
tentang tempat-tempat yang berlakunya periswa-peristiwa penting dalam sejarah
Kedah-Thai. Jadi kunjungan kaji selidik kami ini, telah dapat mengumpulkan
banyak data untuk ditulis bagi menyemarakkan lagi sejarah tentang hubungan
Kedah-Siam. Akhir sekali Dr Kasri memperkenalkan ahli rombongan kepada AJK
masjid serta semua hadirin yang hadir.
Di samping itu, Dato Wan juga
menyampaikan rasa gembiranya dengan sambutan yang diberikan kepada semua
anggota rombongan. Beliau juga ingin berkongsi rasa gembira kerana telah dapat
berdialog dengan keluarga Luang Kuchaa pada hari kelmarin. Melalui majlis
kemarin juga pihak kami telah dapat menambah maklumat tentang Luang Kuchaa yang
dikatatakan mempunyai 16 orang anak. Melalui sessi dialog yang diadakan
didapati bukan sahaja dapat menambahkan maklumat tetapi juga dapat mengeratkan
hubungan dua hala antara masyarakat Melayu Kedah dan masyarakat Melayu Thai.
Seterusnya dalam sessi dialog, Dr
Ibrahim telah mengemukakan soalan-soalan
seperti berikut:
1. Adakah
tempat ini, Ban Somdet tempat yang Sultan selalu datang? Jawapannya: Mereka kurang pasti. Tetapi ada
maklumat yang biasa didengari, semasa pemerintahan King Mongkut, telah
diarahkan Keluarga Bonnag untuk ke Tanah Melayu hingga ke Singapura. Dalam
perjalanan pulang Bonnag singgah di Pattani, beliau berkenan dengan keindahan
masjid Pattani, kemudian beliau membawa tukang buat masjid ke Bangkok dan membawa
Imam sekali. Sehingga kini ada kubur Imam Tua di Ban Somdet. Selain itu ada
juga cerita tentang tawanan perang yang dibawa ke Bangkok dan mereka dikerah
tenaga untuk mengorek sungai, sehingga sekarang menjadi sejarah sungai korek
yang terpanjang terdapat di Bangkok.
2. Adakah tempat ini milik Somdet? J: Tempat ini sejak dahulu didiami oleh keturunan orang Melayu iaitu tukang-tukang yang dibawa dari Pattani dan orang-orang alim dari Pattani. Sehingga sekarang Imam yang ke-7 berasal dari keturunan Melayu Pattani yang berhijrah ke Bangkok.
3. Adakah mereka tahu cerita Somdet kahwinkan Wan Jah anak pembesar Pattani dengan Sultan Kedah di sini? J: Mereka tidak pernah mendengar cerita itu.
Rumusan Dr Kasri
1. Sultan masuk ke Teluk Siam dan mendarat di Klong Din. Kemudian Sultan disambut oleh Luang Kuchaa Itsahak dan dibawa menginap di rumahnya.
2. Kawasan Rumah Luang Kuchaa dulunya sudah membangun kerana dekat dengan istana. Anggota rombongan Sultan dibawa tinggal di Rumah Luang Kuchaa kerana lebih selesa disebabkan bahasa yang sama, cara hidup dan makanan yang lebih kurang sama.
3. Satu cara untuk melihat penempatan masyarakat Melayu ialah melalui penelitian geran tanah tahun1900, yang pada masa itu pemilikan tanah ialah untuk orang-orang kaya dan tanah yang dimiliki pula luas bagi setiap pemilik.
4. Kami telah lama mencari maklumat tentang Luang Kucha dan Somdet. Hari ini terasa agak berjaya kerana bukan sahaja dapat bertemu keluarga Luang Kuchaa tapi juga dapat melihat bagaimana pergerakan Sultan Kedah apabila sampai di Bangkok.
Selepas minum, sebelum beredar
meninggalkan masyarakat Melayu di Ban Somdet di sekitar kawasan masjid Nurul
Mubin, kami sempat ziarah jenazah dan membacakan doa di perkarangan masjid.
Akhir sekali kami sempat bergambar kenangan dengan orang Melayu di situ,
kemudian pada jam 1.30 tengah hari kami bergegas meneruskan perjalanan ke Masjid
Tongson pula.
No comments:
Post a Comment