29 Mac 2026
Ahad
Pagi kami masak-masak dan makan tengah hari siap-siap. Selepas itu semua kami solat, kemudian kami gerak ke tren station untuk ke Ueno Garden, tempat terbesar merayakan Sakura Festival, yang dinantikan oleh semua orang Jepun dan juga pengunjung-pengunjung yang nak melancong ke Jepun.
Jam 2.00 petang kami semua sudah ada di tren stesyen Funabashihoten. Lepas satu stesyen di Ishinabashi, kami tukar tren untuk terus ke stesen Ueno. Masa perjalanan lebih kurang 40 minit, akan melalui 11 stesen semuanya. Orang dalam tren semakin dekat untuk sampai ke destinasi, semakin sangat ramai, semua koc tak ada tempat duduk, dan yang berdiri pun ramai penuh sesak.
Tiba di stesen Ueno, didapati penuh dengan lautan manusia. Pergerakan kami sangat perlahan, kami berjalan dalam satu kumpulan supaya tidak terpisah dan mudah segala urusan dalam kesibukan lautan manusia yang semuanya ingin turut serta dalam merasai suasana peryaan musim bunga sakura setahun sekali itu.
Menuruni tangga keluar dari stesyen, sudah kelihatan bunga-bunga sakura menggebu sepanjang jalan masuk ke taman itu, ramai pelancong berjalan-jalan untuk menikmati suasana musim kembang sakura. Di kiri kanan jalan ada ramai pengunjung yang membentangkan tikar duduk-duduk berpiknik, sambil makan-makan dan minum-minum, sambil menikmati suasana dan panorama serta melihat-lihat kuntum kembang sakura berguguran memenuhi jalan bagaikan karpet gebu berwarna putih dan kemerahan.
Ada juga jualan barang cenderamata dan jualan pokok-pokok terutamanya anak-anak benih pokok sakura. Penjaja aiskrim dan air mineral pun ada, untuk pengunjung yang dahagakan air, mereka tak perlu pergi jauh-jauh. Kami mencari tempat yang boleh kami bergambar dengan bunga sakura. Tempat yang tidak sesak dengan pelancong, tempat yang bunga sakurnya lebat, dan tempat yang menghadap matahari supaya gambar kami terang dan cantik, di situlah kami mengabadikan suasana musim sakura yang dibanggai orang Jepun.
Di sekeliling kami ada ramai yang merakam video selain bergambar. Ada pengunjung yang muda-muda mereka buat kontent. Ada juga yang buat photo-shoot. Masing-masing dengan aktiviti sendiri-sendiri tanpa menghiraukan orang keliling. Begitulah Ueno Garden, pada setiap musim ia memang menjadi tumpuan manusia yang cintakan alam semula jadi. Taman ini memang satu taman dalam Bandaraya Tokyo yang menjadi tumpuan ramai poelancong.
Suasana pada hari itu sungguh meriah. Pengunjung dapat menikmati musim sakura kerana cuaca pun cerah dan udara pun agak nyaman. Allah memberikan cuaca cantik, terang dan tiada hujan untuk kami dapat menikmati alam ciptaan Tuhan yang sungguh cantik dan mempesonakan. Alhamdulillah syukur dengan anugerahnNya. Kalau musim sakura pun sudah sangat cantik, bagaimanalah nanti suasana taman bunga di syurga, Ya Allah tiada daya upaya kami Ya Allah, tak dapat untuk digambarkan dengan fikiran kami manusia yang kerdil. Sungguh Engkau maha berkuasa menciptan sesuatu masya Allah tabarokallah. Sesungguhnya untuk melihat kebesaran Allah, lihatlah kepada ciptaanNya, sudah pasti dapat dirasakan keagongan Allah bagi orang-orang yang berfikir.
Kami tak dapat berlama-lama di situ kerana setelah lama berjalan, papa rasa kebas dari paha hingga ke kaki sehingga dia rasa berat untuk berjalan. jadi Angah ambil keputusan, kami bertiga balik dulu meninggalkan Along sekeluarga dan budak-budak untuk terus menikmati suasana musim bunga dan keindahan sakura Tokyo.
Selamat tinggal Ueno Garden, entah bila lagi kami akan kembali ke sini, dulu kami pernah ke sini di musim luruh, aktivitinya berlainan pula. Ya Allah syukur ya Allah Engkau datangkan kami lagi ke sini , sekali ini, untun dapat menikmati musim sakura yang menjadi legenda. Nikmat mana lagi yang kami dustakan, sesungguhnya kami saja yang kurang bersyukur, ampuni kami ya Allah

No comments:
Post a Comment