TUNKU PUTERI INTAN SAFINAZ
PEMANGKIN
KEMAJUAN PENDIDIKAN KEDAH
Oleh: Hajah Rahinun Mohd Noor
DITERBITKAN OLEH BULETIN LINDUNGAN BULAN 2015
DITERBITKAN OLEH BULETIN LINDUNGAN BULAN 2015
Siapa yang tidak kenal Tunku Puteri Intan
Shafinaz atau
lebih mesra dipanggil Tunku Puteri? Sebenarnya, Tunku Panglima Besar Dato' Seri Diraja
Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz binti Tuanku Haji Abdul Halim Mu'adzam
Shah, adalah Puteri Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah, bersama Almarhumah DYMM Tuanku Sultanah
Hajah Bahiyah, dan merupakan
Puteri kesayangan rakyat negeri Kedah Darul Aman. Seluruh rakyat negeri Kedah amat
bergembira dan berbangga apabila Tunku Puteri diputerikan pada 22 Julai 1966. Tunku
Puteri mendapat pendidikan awalnya di Sekolah St Nicholas Convent, Alor setar, kemudian meneruskan pendidikan menengahnya di Kolej Tunku Kursiah (KTK) dan selepas itu, meneruskan
pengajian pendidikan tinggi dalam bidang Politik di Chethelmen Ladies College,
England.
Yang Teramat Mulia Tunku Puteri sangat menggemari
aktiviti sukan lasak seperti berkayak, bermain jetski, paintball, dan memanjat gunung. Oleh kerana
kecintaannya kepada aktiviti berkaitan
alam sekitar, Tunku Puteri dilantik sebagai Felo Diraja Institut Alam
Sekitar dan Pembangunan (Lestari). Di samping itu, dengan semangat semula jadinya
yang kental, telah mendorongnya menyertai Pasukan Askar Wataniah, sehingga
dilantik sebagai Brigader Jeneral. Penglibatan ketenteraannya itu telah membawa
kepada perlantikannya sebagai Pro Canselor Universiti Pertahanan Nasional
Malaysia (UPNM) pada 10 Oktober 2010. Perlantikan ini menunjukkan keyakinan yang
tinggi Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, atas kebolehan Tunku Puteri untuk memberi khidmat dan memberi sumbangan,
terutamanya dalam bidang pertahanan negara.
Sebenarnya, negeri Kedah ini amat
bertuah kerana memiliki seorang Puteri Raja yang sangat memberikan perhatian
kepada kemajuan pendidikan negeri Kedah
dan pembangunan pendidikan negara amnya. Sebagai salah seorang pencetus idea
penubuhan Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) dan salah seorang pemegang amanah
seumur hidup YSB, serta Pengerusi
Yayasan Sultanah Bahiyah, Tunku Puteri sangat menumpukan masanya dan fokusnya
kepada bidang pendidikan. Tunku puteri memenuhi jadualnya setiap tahun, sebagai
VVIP, hadir ke Majlis Hari Anugerah
Cemerlang sekolah-sekolah di negeri Kedah seperti, Sekolah Sains Pokok Sena,
SMK Sultanah Bahiyah, SMK Tunku Sofiah, SMK Dato’ Syed Omar, dan banyak lagi.
Kehadirannya itu membolehkan Tunku Puteri melihat dari dekat akan pencapaian
pelajar dan kemajuan pendidikan sekolah-sekolah di negeri Kedah, di samping
dapat mengikuti isu-isu dalam pendidikan dengan lebih dekat. Sejak tahun 2004,
Tunku Puteri telah memberikan perhatian khusus kepada SMK Sultanah Bahiyah
(SMKSB), yang menjunjung nama Almarhumah bondanya. Banyak dana yang disalurkan
untuk kemajuan pendidikan SMKSB. Sebagai contohnya, Tunku Puteri telah
memperuntukkan sejumlah wang sebagai pemberian untuk Anugerah Pelajar-Pelajar
Cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang mencapai semua
A, sejak tahun 2004 hingga sekarang. Penganugerahan ini, sesungguhnya telah menyuntik semangat kepada
pelajar-pelajar untuk terus meningkat maju dan berjaya dalam pendidikan, yang
kemudiannya dapat mengharumkan nama negeri Kedah.
Di samping itu, Tunku Puteri juga amat
meminati dan bersungguh-sungguh berusaha memelihara unsur seni budaya warisan Melayu
seperti permainan angklong. Setiap kali menghadiri majlis Hari Anugerah Cemerlang
di SMKSB Tunku Puteri sangat teruja dan berulang kali mengucapkan tahniah
kepada pencapaian pasukan angklong sekolah. Tunku Puteri sanggup turun padang
bercemar duli melawat ke asrama untuk meninjau keperluan pasukan angklong
sekolah. Atas kemurahan hati Tunku Puteri memberikan dana untuk pelbagai
keperluan, maka kemantapan pasukan angklong telah membantu sekolah memenangi
Anugerah Seri Asrama Terbilang Kebangsaan tahun 2007. Bagi menyemarakkan lagi
semangat pelajar, pasukan angklong juga sering dijemput mengadakan persembahan
semasa Hari Penyayang YSB. Selain itu, Tunku Puteri juga meminati seni muzik, dan turut menyumbang ke arah pembangunan
pasukan Mini Orkestra SMKSB. Keperihatinan dan kesungguhan Tunku Puteri
menyalurkan pelbagai sumbangan, telah mencemerlangkan pasukan orkestra sehingga
membantu SMKSB memenangi Anugerah Sekolah Cemerlang peringkat kebangsaan tahun
2008.
Sesungguhnya Tunku Puteri amat mudah
didekati, dan tidak memiliki sifat tinggi diri. Namun Tunku Puteri tetap
dihormati dan disegani kerana berjiwa rakyat, perihatin, pemurah dan penyayang.
Golongan yang memerlukan tidak pernah dilupainya. Setiap tahun pelajar-pelajar
miskin akan menerima sumbangan baju raya, telekung dan duit raya. Dan yang
paling manis semua pelajar asrama dapat menikmati kek hari keputeraaan DYMM
Sultan Kedah, dihantar oleh Tunku Puteri setiap tahun. Semua hasil usahanya ke
arah pembangunan pendidikan menggungguli
peribadi Tunku Puteri sebagai pemangkin ke arah kecemerlangan pendidikan. Sebab
itu, sangat sesuailah Tunku Puteri Intan Shafinaz telah dimasyhurkan menjadi Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) yang
baru pada 8 Nov 2014, dan juga menjadi Pro Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pelantikan
Tunku Puteri Intan Shafinaz sebagai Canselor,
amat menjadi kebanggaaan rakyat Kedah dan telah mencipta sejarah kerana menjadi
wanita pertama menyandang jawatan itu di
UUM.
Ketika
makalah ini ditulis, Tunku Puteri adalah salah seorang daripada Jemaah
Pemangku Raja yang dilantik pada 13
Disember 2011, bersempena Tuanku Sultan Kedah melaksanakan tugas sebagai DYTM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.
No comments:
Post a Comment