DYTM Tuanku Raja Muda Kedah
Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan
Badlishah
Oleh: Hajah Rahinun binti Mohd Noor,
Diterbitkan oleh Buletin Lindungan Bulan 2016
Diterbitkan oleh Buletin Lindungan Bulan 2016
Tanggal 29 November 2015,
rakyat negeri Kedah telah dikejutkan dengan berita sedih kemangkatan DYTM
Tuanku Raja Muda Kedah. Berita sedih
dan dukacita itu telah dimaklumkan bahawa Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda
Kedah Darul Aman, Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah, telah
mangkat di Hospital Sultanah Bahiyah, kira-kira pukul 1 pagi, pada usia 86
tahun. Baginda mangkat akibat kegeringan dan sakit tua, lebih kurang 2 bulan
selepas kemangkatan isteri baginda Almarhum Tengku Hajah Raudzah.
Mengenang kembali riwayat hidup baginda, Tunku Abdul
Malik diputerakan pada 24 Sptember 1929 di Istana Anak Bukit, Kedah. Tunku
Abdul Malik merupakan adinda kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong
Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. Baginda merupakan putera kepada pasangan Ke
Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid
Halim Shah dan Yang Amat Mulia Tunku Sofiah Binti Almarhum Tunku Mahmud.
Tunku
Abdul Malik mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Titi Gajah. Di sinilah
baginda berpeluang dapat bergaul dengan rakan-rakan yang menjadikannya lebih
memahami akan kehidupan dan keadaan hidup rakyat. Selepas itu baginda menyambung pelajaran
menengah ke Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar. Kemudian baginda melanjutkan
pendidikan ke peringkat tinggi di Wadham College, Oxford, United Kingdom, dalam
bidang Ilmu Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam.
Tunku
Abdul Malik menamatkan zaman bujangnya apabila bertemu jodoh dengan puteri
Sultan Selangor iaitu Yang Amat Mulia Tengku Raudzah Binti Sultan Hisamuddin
Alam Shah AlHaj. Baginda berkahwin pada 16 Julai 1956 di Istana Bukit Kota,
Alor Star.
Apabila Ayahanda
baginda mangkat pada 13 Julai 1958 dan kekanda baginda Tunku Abdul Halim
dilantik sebagai Sultan Kedah, baginda telah berkenan untuk mengurniakan
gelaran Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah kepada Tunku Abdul Malik pada
23 Februari 1959. Akhirnya Tuanku Sultan telah berkenan melantik Tunku Abdul
Malik sebagai Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah berkuatkuasa 28 November
1981.
Oleh
kerana baginda menceburi bidang pendidikan
dalam Ilmu Kemasyarakatan,
maka tidak hairanlah baginda telah
berkenan menjadi Penaung kepada Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah
(PSMCK), sejak persatuan ini diasaskan
pada tahun 1956, sehingalah kemangkatan baginda. Di bawah naungan baginda
persatuan ini bergerak semakin hari semakin maju. Sehingga kini PSMCK sudah
genap mencecah usia 60 tahun, sehingga dapat memantapkan budaya dan jati diri
masyarakat Kedah, melalui kecintaan terhadap sejarah. PSMCK bergerak aktif
dalam memasyarakatkan ilmu sejarah, melalui pelbagai aktiviti yang direncanakan
saban tahun. Sehubungan itu, Baginda DYTM Raja Muda Tunku Abd Malik, telah
memberikan sokongan yang kuat kepada PSMCK dalam setiap aktiviti yang
dilaksanakan pada setiap masa. PSMCK amat merasakan kehilangan baginda kerana
sepanjang penglibatan Baginda, boleh dikatakan setiap agenda besar PSMCK akan
mendapat sentuhan baginda. Setiap majlis besar juga akan diserikan jua. Semoga
Allah mencucuri rahmat ke atas roh baginda dan dimasukkan di kalangan
orang-orang yang beriman. Amin.
No comments:
Post a Comment