Monday, August 10, 2015

AHLAN YA RAMADHAN


CERAMAH OLEH
1.Us Fahmi Zam Zam
2.Us Marwazi Dhiyauddin
3.Us Abdul Hadi  Moderator

Soalan 1 kepada Ustaz  Marwazi Dhiyauddin - Apakah persediaan yang perlu untuk menyambut Ramadhan?
Yang pertama, berilah peringatan supaya kaum keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga, banyak melakukan ibadat di bulan Ramadhan yang mulia, kerana sesungguhnya peringatan itu memberi manfat kepada orang yang beriman. Ingatkan  pesanan Nabi yang dicintai, "Siapa yang melakukan ibadat wajib di bulan Ramadhan, seumpama melakukan 70 x ganda ibadat di luar Ramadhan."

Nabi pernah bersabda, dan berkhutbah kepada kami, riwayat daripada Salman, "Di akhir bulan Syakban, wahai manusia akan datang satu bulan yang cukup besar iaitu Ramadhan, iaitu bulan yang  penuh keberkatan, kerana ada satu malam, yang lebih baik daripada 1000 bulan iaitu malam lailatulqadar. Allah jadikan  puasa Ramadhan wajib, bangun malam dituntut, dan barang siapa yang mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan kebaikan walaupun kecil, contohnya angkat kayu yang  merentang jalan atau angkat sampah pun, dikira beriman, apatah lagi dibuat dalam bulan Ramadhan. Gandaan pahalanya amatlah besar. Jadi banyakkanlah beribadat, lipat gandakan ibadat di bulan Ramadhan.

Di samping itu hendaklah banyak  bersabar di bulan Ramadhan, pahalanya besar kerana bulan Ramadhan penuh dengan cabaran, bulan yang ditambah rezeki, siapa yang bagi orang buka puasa ganjarannya Allah mengampunkan dosa dan dilepaskan dari api neraka dan pahalanya tidak   kurang sedikit pun. Seorang sahabat berkata "bukan semua kami ada rezeki  yang lebih", Nabi bersabda, "Allah bagi pahala walaupun memberi makan sebiji tamar, atau minum seteguk air, atau seteguk susu. Itulah rahmat Allah". Ramadhan bulan penuh rahmat dan  maghfirah. Allah mengampunkan dosa, jadi pohonlah keampunan Allah, dan keredhaan, mesti Allah redha, kemaskan shahadah kita dan pohonlah keampunan Allah,  dan pohonlah syurga dan pohon juga perlindungan daripada api neraka. Insyaa Allah dikurniakan.

Soalan 2  kepada Ustaz Fahmi Zam Zam - Bagaimanakah  peresediaan dan amalan-amalan di bulan Ramadhan?
Ikuti amalan Nabi merindui Ramadhan. Nabi sebagai kekasih Allah, orang yang beriman sangat rindu kepada Ramadhan, Baginda sering berdoa, "Allah humma barik lana fi rajaba, wa ba rik na syakban, wablligh na ramadhan"

Nabi bersabda,  "Kalau umatku tahu hakikat Ramadhan mesti mereka mengharapkan setiap bulan itu bulan Ramadhan. Baqrang siapa bergembira sebab datangnya Ramadhan, Allah mengharamkannya daripadanya  api neraka. Diri kita ibarat kereta, pakai tak berhenti, pada bulan Ramadhan kita seumpama masuk bengkel, puasa dan fokus kepada ibadat, terutamanya membaca alQuran. Kalau boleh setiap minggu khatam alQuran, kerana, Ramadhan bulan alQuran. Sambut Ramadhan dengan menghadirkan diri dengan ayat-ayat  alQuran. Setiap amalan kebaikan akan diberi oleh Allah 70x kali ganda pahala.

Soalan 3 kepada Us Marwazi dan Utaz Fahmi - Bagaimakah  meningkatkan amalan di bulan Ramadhan?
1. Jadilah orang yang pemurah - kerana pahalanya luar biasa - banyakkanlah bersedekah kerana Allah amat suka kepada orang yang 'meminjamkan' hartanya kepada jalan Allah. 
2. Syair Arab, ada menyebut, "yang berhari raya taatnya bertambah, hari raya dosanya diampun".
Nabi bersabda, "Allah pada hari  kiamat  boleh terima permohonan kita, kerana  mati sebelum umur 60 tahun. Tapi kalau kita berusaha di bulan Ramadhan dan mendapat lailatul qadar, kita seolah-olah   beribadat 1000 bulan,  bersamaan 82 tahun. Jadi 10 hari dan 10 malam terakhir di bulan  Ramadhan rebutlah peluang, perbanyakkan usaha, banyakkan beribadat  pada siang dan malamnya.Hari raya  seumpama hari penyampaian hadiah yang berusaha dapatlah hadiahnya, yang sebaliknya rugilah yang teramat sangat. Ada pendapat memberitahu, bagaimana kita mencari lailatulqadar sebagai panduan sahaja. Jika puasa jatuh pada hari-hari seperti berikut, maka tarikh lailatul qadar adalah seperti yang berikut; 
Khamis - malam  23,   Jumaat  - malam  29,    
Sabtu    - malam  21,   Ahad    -  malam  27, 
Isnin     - malam  29,   Selasa   - malam  25,    
Rabu    - malam  29.
Walau bagaimanapun eloklah  jika sepanjang-panjang bulan Ramadhan itu, ditingkatkan usaha untuk melakukan ibadat bagi mendapat redha Allah jua, in sya Allah, walla hu aklam.


Tuesday, August 4, 2015

MUJAHADAH MELAWAN NAFSU


BUKU SOAL HATI
OLEH PAHROL MOHAMAD JUOI
BAB 6: MUJAHADAH MELAWAN NAFSU

Nafsu ialah tempat berkumpulnya sifat baik dan buruk dalam diri manusia. Empat jenis nafsu yang sering bertelagah dalam diri manusia ialah,
1. ammarah (mengajak kepada kejahatan)
2. lawwamah ( rapuh digoda maksiat tapi mudah menyesal)
3. mulhamah (berusaha ke arah kebaikan dan memperbaiki diri)
4. mutmainnah (istiqamah melalukan ketaatan, indah meninggalkan kejahatan) 
Lazimnya jika kesemua empat nafsu dapat diurus, terutamanya nafsu ammarah yang berkaitan dengan mulut dan seks, manusia akan memperoleh kebahagiaan di dunia dan akhirat. 

Seba itulah menurut  Imam Ghazali, nafsu umpama kuda liar, jika tidak terdidik, ia akan mengamuk dan menjatuhkan penunggangnya. Jika berjaya dijinakkan kesemua nafsu dalam diri, ia mudah ditunggang mengikut ke mana jua hala tujuan.

Saturday, August 1, 2015

TAKUT KE SEKOLAH 1




Suatu hari dek kerana ingin bermalas-malas, maka aku sengaja merelakan diri membaca dan mengikuti "whatsapp famili" yang sungguh nostalgik, tapi elok dijadikan pedoman untuk kita semua - ibu bapa, guru dan anak. Topik yang menjadi perbincangan; kenangan yang paling diingati. Salah satu topikya ialah tentang seorang anak yang tidak mahu pergi sekolah. Lima puluh tahun lalu, salah seorang anggota keluarga setiap hari, bangun pagi, menangis dan enggan pergi sekolah. Si bapa dengan penuh harapan untuk anak dapat belajar, mengenakan paksaan  agar anaknya pergi sekolah. Si anak pula mengeraskan badannya tidak mahu berjalan ke sekolah. Akhirnya bapa yang hilang punca dan hilang sabar, mengheret anaknya yang masih kecil yang berusia tujuh tahun, dibawa menuju ke sekolah. Si anak terus menangis kerana diheret di atas rumput melalui pokok-pokok semalu yang berduri tajam. Berdarah-darahlah betis si anak kecil itu, terkena duri-duri semalu. Akhirnya si bapa tewas dan si anak enggan ke sekolah sepanjang-panjang tahun satu itu.  Hilang daya usaha ayah untuk menjadikan anaknya belajar di tahun satu. Terpaksalah si ayah redha dengan tekad anaknya yang tidak mahu pergi belajar di sekolah itu.

Rupa-rupanya anak malang itu enggan ke sekolah kerana takut pada gurunya. Dia adalah antara beberapa orang murid yang tidak siap kerja rumah dan tidak tahu menjawab latihan-latihan yang diberikan guru. Oleh itu guru mengarahkan mereka supaya makan rumput kerana kononnya mereka "bodoh macam lembu". Anak itu pun dengan takut dan patuhnya, makanlah rumput seperti yang diarahkan gurunya, bersama beberapa rakannya yang lain. Sudah tentulah keesokan harinya tidak lagi dia mahu ke sekolah, kerana  bukan saja takut tapi malu yang teramat kepada rakan yang lain di kelasnya.

Cuba kita renungkan apakah yang patut kita lakukan?  Sebagai bapa apakah tindakan yang sewajarnya? Jika kita guru, apakah wajar tindakan sebegitu? Jika kita anak apa yang boleh dibuat agar dapat dibantu?


Monday, June 1, 2015

GURU RAJIN, PELAJAR ?




Saya selalu mendengar guru-guru mengeluh. Kadang-kadang sambil menikmati makan di kantin, kadang-kadang  sambil  duduk di padang  atau
berehat di bawah Anjung atau kadang-kadang dalam mesyuarat kurikulum, mesyuarat panitia, malah mesyuarat guru juga. Saya selalu mendengar dengan penuh prihatin dan simpati kerana guru yang mengadu dan mengeluh itu bukanlah guru-guru yang malas, bukan juga guru yang mencuri tulang, tapi guru yang sungguh berdedikasi dan rajin-rajin pula.


Mereka selalu mengadu murid tidak berminat belajar, dan tidak peduli untuk membuat kerja rumah yang cikgu  berikan. Mereka sangat  risau  kalau murid malas, tidak minat atau enggan  belajar. Memang wajar,  dan  memang patutlah  guru risau kalau murid tidak belajar, kerana tidaklah dikatakan ada pembelajaran dan pengajaran atau (PdP) dalam kelas, jika murid tidak belajar. Masalah ini sungguh berat dan memeningkan kepala semua orang yang terlibat dengan pendidikan di Malaysia kini, terutamanya golongan guru.

Saya ingin berkongsikan pengalaman (PdP) yang barangkali boleh membantu guru. Ini pernah saya cadangkan kepada seorang guru yang pernah saya cerap. (PdP) yang menarik dan berkesan mesti bercorak ‘hands-on’. Murid akan lebih seronok belajar jika mereka lihat dan terlibat sama dalam pembelajaran.  Contohnya dalam subjek Kemahiran Hidup, banyak topik boleh melibatkan murid seperti jahitan. Guru boleh memberikan aktiviti kumpulan kepada pelajar supaya mereka menjahit beberapa jenis jahitan tangan. Kemudian mereka boleh diberi projek untuk membuat hasil tangan yang mereka pilih seperti lapik gelas atau lapik pinggan, sapu tangan, alas meja, penanda buku, hiasan dinding dan banyak lagi. Hasil itu boleh dibuat pertandingan dan muridlah yang memberi markah dan mencari pemenangnya.  Kemudian hasil kerja itu  dipamerkan atau boleh dijual pula. Dengan terlibat secara langsung pelajar akan belajar dalam kelas dan akan membuat kerja rumah yang diberikan, tanpa dipaksakan.

Sebenarnya (PdP) dengan menjalankan aktiviti berkumpulan sangat menarik dan berkesan tapi mesti dirancang dengan teliti supaya dapat menarik perhatian pelajar secara maksimum. Aktiviti yang dirancang mestilah juga dapat mengaitkan pelajar dengan kehidupannya seharian yang boleh dilihat dan dinikmati. Jika tidak walau serajin mana pun guru, kalau pelajar tidak dapat  merasai dan menikmati apa yang dipelajari,  guru akan terus kecewa kerana pelajar tidak akan berminat belajar dengan apa yang diajar secara tradisional. Pelajar akan lebih menyenangi apa yang dapat dilihatnya, dipegangnya, dirasanya, atau mendengarnya, di alam reality,  bukan bayangan dan teori saja.   

Thursday, April 30, 2015

KENALI TASAUF


Tazkirah Jumaat 4.1.13
Kitab Penawar Hati

Dalam pendahuluan kitab ini  Nabi  berpesan,  Janganlah kita terpisah  daripada majlis ilmu dalam masa 40 hari,  apabila berlalu 40 hari tiada  dalam  majlis ilmu,  dua kesan tidak baik akan  terjadi kepada  kita, iaitu yang pertama hati akan  menjadi keras, hati  jadi mati, dan semakin malap. Yang kedua kita berani melakukan dosa besar, nauzubillah.

Hal ini akan  menjauhkan kita daripada  rahmat Allah kerana  kriteria  ahli syurga yang Allah  janjikan ialah berilmu pengetahuan yang memberikan manfaat. Berilmu juga akan menjadikan kita rindu kepada  Allah, dan  berilmu juga  akan menjadikan kita sentiasa  insaf, dan jika kita berdosa kepada Allah, kita akan segera  kembali bertaubat  kepada Allah. Jika kita  tersilap melakukan kesalahan dan cepat-cepat kembali bertaubat, kita akan mendapat redha Allah. Insyaa Allah

Kenapa kita berani melakukan kemungkaran? Tidak lain kerana kita tiada ilmu; ilmu  itu cahaya hati yang dapat menyuluh hati kita  supaya tidak sesat. Sebab itulah perlu belajar ilmu tasauf untuk mengenal Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.

Sebenarnya banyak cara untuk mengenal Allah. Sesetengah ulamak seperti  Hassan Al-Basri berpendapat kita dapat mengenal Allah melalui melalui sifat-sifat Allah yang 20. Salah satu cara lagi ialah dengan mempelajari ilmu tasauf. Makna tasauf itu boleh dilihat melalui asal perkataan  Tasawuf  itu sendiri. 
Ta      
taqwa kpd Allah
Sad
sabar , Nabi bersabda antara amalan yg boleh masuk syurga, jangan cepat marah,   
            tahan diri drp keluh kesah, sabar dalam kepala, sabar dalam melakukan
            ketaatan kpd Allah, sabar daripada melakukan maksiat, 
Wau
warak - meninggalkan perkara larangan dan syubhah
Fa   
fakir - sentiasa berhajat kepada Allah, semua yang kita lakukan kerana
             kebesaran Allah, bersihkan hati supaya dapat redha Allah, Allah
             menentukan segalanya,  sekelian manusia yang fakir kepada Allah

Dengan adanya empat sifat yang dirangkumi ilmu tasauf di atas iaitu taqwa, sabar, warak dan fakir, barulah kita boleh dekat dengan Allah, Contohnya Nabi saw sangat merendah diri, dan sangat tawadhuk, contohnya kasut baginda carik dijahitnya sendiri, baju baginda  koyak baginda buat sendiri juga. Melalui ilmu Tasawuf kita tahu kelakuan hati kita, kita dapat belajar apa yang Allah suka, seperti Nabi saw, baginda melaksanakan dengan sungguh-sungguh dengan sukanya apa yang Tuhan  'suka'. Melalui tasauf juga kita dapat tahu kelakuan yg dicela Allah, supaya dapat kita jauhi, seperti perasaan  dengki, dan takabbur, yang sangat  tidak disukai Allah. Mudah-mudahan penjelasan di atas dapat memberi sedikit  manfaat untuk dihayati dan menjadi pendorong untuk kita terus mengenali Allah yang maha besar, insyaaAllah.

Wednesday, April 29, 2015

SIFAT-SIFAT TERPUJI


Dalam Al-Quran banyak disebutkan sifat-sifat terpuji  yang patut menjadi amalan kita untuk mencari redha Allah. Berikut diturunkan ayat-ayat Al-Quran yang menerangkan sifat-sifat terpuji itu,  agar kita dapat menghayatinya dan seterusnya dapat mengamalkannya:

1. Sifat taat
Surah Muhamad  -  ayat 14
Adakah orang-orang  (yang beriman dan taat)  yang  keadaanya  sentiasa berdasarkan  bukti yang nyata dari Tuhannya: sama seperti orang-orang (yang  engkar - derhaka)  yang telah  diperhiaskan  kepadanya (oleh syaitan) akan  kejahatan amalnya ( sehingga dipandangnya  baik),  dan  yang  telah menurut  hawa nafsunya?  ( sudah tentu tidak sama)!

Surah al-Ahzab - ayat 35 - Sifat taat
Sesungguhnya lelaki / perempuan yang Islam,  yang beriman, yang taat, yang benar,  yang sabar, merendah diri kepada Allah, yang bersedekah,  yang berpuasa, yang memelihara kehormatan, yang menyebut nama Allah banyak- banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.


2, Amanah - Surah Al-Anfal  -  ayat 27
Wahai orang-orang  yang beriman! Janganlah  kamu  mengkhianati  (amanah) Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).
- mengkhianati  amanah Allah dan  RasulNya ialah dengan  meninggalkan  suruhanNya  dan melanggar laranganNya. Mengkhianati  amanah 'kamu' pula ialah amanah  kepada diri sendiri dan  amanah  orang, sama ada yang berupa harta benda, rahsia, dll.

2. Sambil lewa - Surah Muhamad  - ayat 16
Dan di antara mereka yang hadir di majlismu wahai Muhamad ialah orang yang munafik, yang mendengar ajaranmu dengan sambil lewa, sehingga apabila mereka keluar dari sisimu, berkatalah mereka (secara mengejek- ngejek, kepada orang yang diberi ilmu (dari kalangan sahabat-sahabatmu yang setia): Apa yang dikatakan oleh Muhamad tadi? Mereka (yang munafik) itu ialah orang- orang yang dimeteraikan Allah atas hati mereka, dan itulah org yang menurut hawa nafsunya.

3. Mementingkan diri sendiri - Surah Al -Munafiquun - ayat 9
Wahai orang- orang yang beriman, janganlah kamu dilalaikan dengan (urusan) harta benda kamu dan anak pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan ( ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang - orang yang rugi.
- Oleh kerana tabiat orang-orang munafik yang hanya mementingkan dirinya dan harta bendanya semata-mata, maka dengan ayat ini dan ayat-ayat berikutnya, Allah Taala mengingatkan orang-orang yang beriman supaya jangan berlaku demikian.

Surah At-Taghaabun - ayat 14 - Mementingkan diri
Wahai orang2 yang beriman, sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu. Oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka dan kalau memaafkan dan tidak marahkan mereka serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha pengasihani.
- Kerana ada di antara isteri dan anak-anak menyebabkan suami dan bapa masing-masing terdorong melakukan sesuatu yang dilarang Allah, atau terhalang daripada melakukan sesuatu yang baik atau amalan yang dituntut.

Surah At- Taghaabun - Ayat 15 - Mementingkan diri
Sesungguhnya harta benda kamu dan anak kamu itu hanyalah menjadi ujian,  dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.

Sura al-Anfal ayat 28 - Mementingkan diri
Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian,  dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.
- Oleh itu janganlah kamu,  kerana kamu sayangkan harta benda dan kasihkan  anak-pinak lalu kamu terdorong melanggar perintah-perintah Allah, kerana Allah menyediakan pahala yang besar bagi orang-orang yang mematuhi perintah-perintahNya dan mengutamakan keredhaanNya lebih daripada harta benda dan anak-pinak  yang dikasihi.

Al Kahfi ayat 46 - Mementingkan diri sendiri
Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.

4. Berbuat baik - Surah Al Waqiah - ayat  10
Dan (puak yang ketiga pula ialah) orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik- baiknya di akhirat kelak).
- ayat 11  -  mereka itulah orang- orang yang didampingkan di sisi Allah.

Al- Maaidah - ayat  100 - Berbuat baik
Katakanlan wahai muhammad, tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk iru menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.

Surah Yaasin - Ayat 68 - mengharap balasan Allah
Dan hendaklah diingat bahawa sesiapa yang kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kejadiannya (kepada keadaan yang serba lemah;  hakikat ini memang jelas)  maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?


Muda-mudahan dapatlah dimanfaatkan dan menjadi panduan untuk kita mengejar keredhaan Allah untuk kesejahteraan di akhirat nanti, insyaaAllah. Janganlah hendaknya kita tergolong dalam golongan orang yang tidak taat, tidak amanah, mementingkan diri sendiri dan tidak baik pekerti, kerana semua sifat itu akan menjauhkan kita daripada nikmat Allah subhanahu wataala.

HINDARI SYAITAN