Saya selalu mendengar guru-guru mengeluh. Kadang-kadang
sambil menikmati makan di kantin, kadang-kadang sambil duduk di padang atau
berehat di bawah Anjung atau kadang-kadang dalam mesyuarat kurikulum,
mesyuarat panitia, malah mesyuarat guru juga. Saya selalu mendengar dengan
penuh prihatin dan simpati kerana guru yang mengadu dan mengeluh itu bukanlah
guru-guru yang malas, bukan juga guru yang mencuri tulang, tapi guru yang
sungguh berdedikasi dan rajin-rajin pula.
Mereka selalu mengadu murid tidak berminat belajar, dan tidak
peduli untuk membuat kerja rumah yang cikgu berikan. Mereka sangat risau kalau murid malas, tidak minat atau enggan
belajar. Memang wajar, dan memang patutlah guru risau kalau murid tidak belajar, kerana tidaklah
dikatakan ada pembelajaran dan pengajaran atau (PdP) dalam kelas, jika murid
tidak belajar. Masalah ini sungguh berat dan memeningkan kepala semua orang
yang terlibat dengan pendidikan di Malaysia kini, terutamanya golongan guru.
Saya ingin berkongsikan pengalaman (PdP) yang barangkali boleh
membantu guru. Ini pernah saya cadangkan kepada seorang guru yang pernah saya cerap.
(PdP) yang menarik dan berkesan mesti bercorak ‘hands-on’. Murid akan lebih
seronok belajar jika mereka lihat dan terlibat sama dalam pembelajaran. Contohnya dalam subjek Kemahiran Hidup, banyak
topik boleh melibatkan murid seperti jahitan. Guru boleh memberikan aktiviti
kumpulan kepada pelajar supaya mereka menjahit beberapa jenis jahitan tangan.
Kemudian mereka boleh diberi projek untuk membuat hasil tangan yang mereka
pilih seperti lapik gelas atau lapik pinggan, sapu tangan, alas meja, penanda
buku, hiasan dinding dan banyak lagi. Hasil itu boleh dibuat pertandingan dan
muridlah yang memberi markah dan mencari pemenangnya. Kemudian hasil kerja itu dipamerkan atau boleh dijual pula. Dengan
terlibat secara langsung pelajar akan belajar dalam kelas dan akan membuat
kerja rumah yang diberikan, tanpa dipaksakan.
Sebenarnya (PdP) dengan menjalankan aktiviti berkumpulan
sangat menarik dan berkesan tapi mesti dirancang dengan teliti supaya dapat
menarik perhatian pelajar secara maksimum. Aktiviti yang dirancang mestilah
juga dapat mengaitkan pelajar dengan kehidupannya seharian yang boleh dilihat
dan dinikmati. Jika tidak walau serajin mana pun guru, kalau pelajar tidak
dapat merasai dan menikmati apa yang
dipelajari, guru akan terus kecewa
kerana pelajar tidak akan berminat belajar dengan apa yang diajar secara
tradisional. Pelajar akan lebih menyenangi apa yang dapat dilihatnya, dipegangnya,
dirasanya, atau mendengarnya, di alam reality, bukan bayangan dan teori saja.
No comments:
Post a Comment