SABTU 9 JANUARI 2016
TAPAK KOMUNIS KHAW NANG KANG
Seawal jam 9.00 pagi kami sudah
bersedia di lobby Hotel Central untuk menikmati sarapan di Hatyai. Pagi itu
kami makan di sebuah kedai seorang Ustaz berasal dari Pattani. Pilihan menu
yang disajikan kepada kami di kedai itu pelbagai. Kami boleh pilih untuk makan
nasi lemak, nasi berlauk, atau meehoon goreng. Minuman pula kami boleh buat
pilihan sendiri ikut cita rasa masing-masing. Lama juga kami menikmati makanan
secara santai di situ, kerana kami hanya akan mengunjungi satu lagi tempat yang
telah diaturkan dalam jadual lawatan kajiselidik.
Selepas itu kami ada acara
membeli-belah di bazaar. Masa sejam yang diberikan agak suntuk tapi kami
dapatlah membeli sedikit sebanyak apa yang boleh dibawa balik sebagai buah
tangan kepada yang ditinggalkan. Ada yang membeli biji janggus, buah-buahan
seperti limau, dokong, mangga, jambu dan juga nanas. Ada juga buah-buahan
kering yang turut dibeli untuk dibawa pulang. Tidak ketinggalan, ada juga yang
membeli pakaian yang cantik-cantik untuk isteri dan anak cucu. Selesai
membeli-belah di bazaar, kami kemudiannya dibawa ke kedai cenderamata. Banyak
sungguh barangan yang boleh dipilih, baju kemeja, baju-T, pakaian kanak-kanak,
bag, seluar dan juga hiasan dinding. Cendermata kecil untuk kenang-kenangan
seperti rantai kunci juga banyak dan semuanya cantik dan menarik untuk dibawa
pulang. Sejam di situ terasa poket menjadi kosong kerana membeli pelbagai
barangan yang menarik perhatian ikut citarasa dan keperluan masing-masing.
Sebelum meneruskan perjalanan
kami makan tengah hari di Maroc Restoran. Pak Mus memang aturkan restoran ini
istimewa untuk rombongan, suasananya kondusif makanannya pula eksklusif. Menunya
seperti biasa tomyam, ayam gajus, sayur campur dan telur dadar. Memang diakui
istimewa sebab sajian makanannya sungguh enak dan menyelerakan. Selepas solat
jamak zohor kami meneruskan perjalanan. Kami akan ke tapak kubu komunis Khaw Nang Kang. Kawasan ini terletak di suatu kawasan
yang sangat luas dalam hutan tebal yang berada di sempadan antara Malaysia dan
Thailand. Kononnya di sinilah di tempatkan Pasukan Regimen ke-9 Parti Komunis
Malaya yang beroperasi untuk menentang kerajaan Tanah Melayu dan Malaysia,
sejak mula mencapai kemerdekaan sehinggalah perjanjian damai Chin Peng dan YM Tunku
Abdul Rahman. Menurut propaganda mereka, sekarang ini mereka dalam proses ‘berehat’.
Boleh dikatakan hampir seluruh
anggota rombongan melihat museum dan kawasan operasi dengan perasaan jengkel
dan tidak puas hati. Boleh dikatakan
semua urusan mereka, baik kehidupan, mesyuarat, aktiviti ketenteraan, dan aktiviti
riadah, semuanya dilaksanakan di bawah tanah dalam terowong yang dibina dengan rapi
dan lengkap. Di dalam terowong itulah
disediakan bilik-bilik tidur, lengkap dengan tandas, bilik mesyuarat, bilik
radio dan hubungan luar, lapang sasar menembak, gelanggang motorsikal, dapur,
tempat simpan barang makanan mentah dan tempat rehat. Semuanya lengkap sebagai suatu
tempat operasi yang sangat sukar dan tidak berjaya dikesan, jika mereka tidak
menzahirkannya kepada kita seperti yang dilihat itu. Oleh kerana ideologi mereka
tidak dapat diterima jadi operasi mereka pun terpaksa disembunyikan dengan
rapat daripada pengetahuan umum. Pihak kerajaan Thailand telah mengeksploit
kawasan itu sehingga dijadikan suatu tempat tarikan pelancong yang
menjengkelkan kita rakyat Malaysia. Mereka telah banyak menyusahkan negara kita,
membunuh banyak anggota tentera kita dan mengganggu ketenteraman dan keselamatan
rakyat seluruhnya. Sekarang kita datang melawat dan memberi duit pula kepada
mereka kerana dikenakan bayaran masuk sebanyak RM 15.00. Sungguh tidak puas
hati, tapi mengenangkan kita perlu tahu bagaimana keadaan musuh kita maka, kita
kunjungi bekas tapak itu semata-mata bagi melihat bagaimana jahatnya mereka
dengan ideologi mereka. Dan kita juga
dapat lihat bagaimana tidak jujurnya Thailand kepada Negara kita, kerana mereka
seolah-olah menyokong ideologi jahat komunis, kerana di tanahnyalah pergerakan
komunis bergerak dan beroperasi.
Kami meninggalkan Khaw Nam Kang dengan
berbagai-bagai perasaan marah, jengkel dan benci. Tapi semua perasaan itu cair
dalam lena semasa perjalanan menuju Sadao dan Bukit Kayu Hitam untuk pulang ke kampung
halaman di tanah air yang dicintai. Lebih kurang jam 5.30 petang semua urusan kastam
dan Imegresen di sempadan selesai. Semua anggota rombongan berpisah dan
bersalaman di tempat letak kereta di Balai Polis Bukit Kayu Hitam. Dr Kasri selaku
ketua rombongan kajiselidik mengucapkan setinggi ucapan penghargaan terima
kasih kepada semua ahli rombongan, terutamanya Pak Mus dan dua orang pilot van
yang telah membantu melancarkan perjalanan dan program kajiselidik itu.
Alhamdulillah kajiselidik yang dirancang telah berjaya, dan berjalan lancar seperti
yang diaturkan. Dr Kasri berharap semua anggota akan menyiapkan laporan
masing-masing, melengkapkan data-data yang diperolehi, menghimpunkan
gambar-gambar dan menyiapkan audio visual yang telah diusahakan sepanjang
perjalanan kajiselidik selama empat hari itu.
No comments:
Post a Comment