HARI KEDUA 7 JANUARI 2016
(KHAMIS)
PELABUHAN TEMALANG, SETUL, LENGU
Dalam suasana nyaman pagi, dengan badan yang segar selepas
puas berehat semalaman, lebih kurang
pada jam 8.30 pagi, kami meninggalkan Starinn Resort. Semua peserta lawatan dengan tepatnya, sudah
bersedia berada di dalam van, untuk pergi bersarapan pagi. Pagi ini kami dibawa
ke Gerai Tiga Beradik (Sam Pi Non) di Bandar Setul. Menu pagi ini, nasi campur,
pulut ikan kering dan roti canai.
Selesai sarapan kami meneruskan perjalanan. Mula-mula kami singgah di rumah keluarga keturunan keluarga Ku Jiwa dari susur galur Ku Din
Ku Meh, seorang pembesar yang penah
memerintah Setul. Salah seorang ahli
keluarga itu Ku Rahimah binti Ku Jiwa(adik Ku Othman) dapat ditemubual oleh
ahli rombongan untuk mendapatkan susur galur keluarga dengan lebih tepat.
Seterusnya kami bergerak ke Pelabuhan Temalang dan tiba di sana
lebih kurang jam 9.40 pagi. Oleh kerana kawasan ini terkenal dengan ketam, jadi
di pelabuhan itu dibina sebuah replika ketam gergasi untuk tarikan pelancong.
Terdapat juga replika ikan nemo gergasi dan replika pokok-pokok bakau menghiasi lakaran lanskap
di tepi pelabuhan itu. Suasana di pelabuhan ini tidak begitu sibuk kerana feri
untuk ke Kuala Perlis, dan Pulau Langkawi,
mengikut jadual perjalanan yang tidak begitu kerap. Kami sempat juga
berkenalan dengan beberapa orang penjaja makanan dan minuman di tepi pelabuhan.
Mereka sungguh gembira melayan karenah kami yang berbagai-bagai lagi melucukan
barangkali. Melihat suasana itu seolah-olah tiada batasan sempadan pemisah
antara kedua-dua Negara Malaysia dan Thailand. Mereka menuturkan bahasa yang
sama Bahasa Melayu, memakai pakaian yang sama baju pendek berkain batik, dan siap dengan tudungnya sekali. Selepas
membasahkan tekak kami meninggalkan mereka dan pelabuhan yang nyaman itu.
Seterusny,a selepas meninjau dan menikmati suasana di
pelabuhan, kami bergerak ke Muzeum Ku Din Ku Meh. Di sepanjang jalan didapati pokok-pokok bakau yang tumbuh subur merimbun. Kami sempat singgah sebentar
di Jambatan Sungai Pulau Burung (Khlong Kok Nuk) untuk menikmati pemandangan
indah di situ. Lebih kurang pukul 10.20 kami memasuki pekan Setul (dahulunya disebut
Mambang Segara). Kami ditunjukkan mesjid
Mambang atau dikenali Mesjid Akibi yang
dibina 0leh Wan Omar. Mengikut Pak Mus kononnya di Pekan Setul ini, di Jalan
Puriwanid, yang kami lalui itu, terdapat sepohon pokok asam yang berusia lebih
100 tahun. Tak lama selepas itu kami
sudah tiba di Muzeum yang kami tujui.
Nampaknya kunjungan kami ke Muzeum Ku Din KuMeh mendapat sambutan meriah.
Rombongan disambut oleh Pengarahnya Puan Achima yang telah memberikan ucapan
aluan yang diterjemahkan oleh Fatimah. Seterusnya kami mendengar taklimat berkenaan
Muzeum secara sepintas lalu. Sebenarnya museum ini ialah sebuah rumah yang telah dibina oleh Ku Din untuk
menyambut kedatangan Raja Chulalongkhorn suatu ketika dahulu. Oleh kerana lawatan itu
dibatalkan maka rumah rehat ini
dijadikan rumah Ku Din dan kemudiannya bertukar menjadi pejabat pusat
pentadbiran pula. Jadi semua barangan
yang dipamerkan amat berkaitan dengan urusan
pentadbiran Negeri Setul dan juga menceritakan tentang masyarakat Melayu Setul
sejak dari zaman silam lagi.
Di samping itu terdapat juga
gambar-gambar yang merakamkan peristiwa-peristiwa penting yang menjadi bukti
dan sejarah negeri Setul . Banyak juga artifek-artifek yang menggambarkan budaya
masyarakat tempatan seperti barang kemas, pakaian, dan peralatan yang turut
dipamerkan. Terdapat juga pameran asal
usul masyarakat Melayu Setul yang terdiri daripada dua golongan iaitu orang
asli dan orang laut. Kononnya masyarakat ini asalnya mengamalkan ugama
anemisme, sebelum berkembang menganut agama Islam seperti sekarang. Lama juga
kami anggota rombongan meninjau-ninjau maklumat di dalam muzeum ini. Selesai lawatan di sekitar muzeum, kami menikmati
minuman pagi, disajikan kopi dan roti kapai; sama seperti hidangan masyarakat
Melayu zaman dahulu. Selepas bertukar cenderamata dan bergambar kenangan kami
meninggalkan muzeum untuk meneruskan
misi lawatan ke destinasi berikutnya
.
Seterusnya kami singgah di bekas tapak Istana Tengku Bisnu di tengah-tengah
Bandar Setul. Ia terletak di suatu kawasan tanah lapang, yang agak luas dan masih
tiada sebarang binaan di atasnya buat
masa ini. Di sebelahnya kelihatan kedai serbaguna Seven-11, yang menjadi mercu tanda tapak istana. Melihatkan tanah lapang yang agak luas itu
sudah tentulah dapat dibayangkan istana itu dahulunya dibina daripada kayu, yang
struktur bangunannya, tidak dapat bertahan lama pastinya. Selepas meninjau-ninjau dan bergambar
kenangan, kami bergerak untuk singgah ke rumah waris keluarga Abdullah Lang Puteh, seorang penulis terkenal
yang menulis banyak buku tentang sejarah Setul dan yang berkaitan dengannya.
Sebenarnya Pak Mus telah aturkan
pertemuan ini, jadi kami disambut oleh cucu
Abdullah Lang Puteh, Datin Noraini di
rumahnya beserta ahli keluarga yang lain, termasuklah ibunya
Puan Nor Habibah. Dalam ucapan aluannya Datin mengucapkan setinggi-tinggi
ucapan terima kasih kepada PSMCK kerana sudi berkunjung menjejak keluarga
mereka. Beliau dan keluarga berasa sungguh gembira dan terharu kerana PSMCK masih
teringat kepada Abdullah Lang Puteh. Menurut Datin Noraini, Abdullah Lang Puteh
lahir pada tahun 1890, berasal dari Kampung Guar Setul. Jurai keturunannya dari
Wan Jamil dan Wan Musa. Abdullah pernah menjadi menteri kabinet di Bangkok. Dia
banyak menulis buku dan Datin akan usahakan untuk mendapatkan mana-mana buku
yang ada dalam simpanannya, untuk
dikongsikan isinya dengan PSMCK khususnya Pak Wan. Datin berharap hubungan dua
hala akan terus erat dan mengalu-alukan kedatangan orang Kedah ke rumah mereka
pada bila-bila masa. Menurut Datin, terdapat seorang keturunan Lang Puteh iaitu
anak saudara Datin Noraini di Bangkok,
yang menjadi Imam di Mesjid Tungsun, beliau berkirim salam kepada anggota
rombongan PSMCK. Tuan Imam Faizal berharap PSMCK akan mengunjungi beliau di
Bangkok suatu hari nanti.
Sementara itu dalam ucapan balas
PSMCK, Dato Wan mengimbas kembali,
beliau pernah hadir ke suatu majlis perkahwinan seorang anak Raja Setul. Beliau
telah dihadiahkan warkah pemingangan dan perkahwinan yang ditulis oleh Abdullah
Lang Puteh, yang masih disimpannya hingga sekarang. Beliau juga pernah
mengimbas buku tulisan Abdullah yang bertajuk Dua Badan Satu Jiwa, sebuah buku
lebih kurang ceritanya, seperti Buku Di Bawah Lindungan Kaabah. Buku tulisan
tangan itu sempat dibaca sedikit dan sempat
dipetik beberapa petikan menarik kerana kesuntukan masa. Semua itu masih
menjadi kenangan abadi kepada Pak Wan hingga ke hari ini. Selesai minum ringan
kami mohon beredar meninggalkan keluarga Datin yang mesra itu untuk meneruskan
misi lawatan.
Seterusnya tepat jam 12.30 tengah
hari kami bergegas ke Kuburan iaitu Langgar yang menepatkan Makam Keluarga Diraja Tengku Bisnu dan
ahli keluarganya. Kami telah ditunggu oleh Ku Othman suami isteri, bersama Puan
Azizah dan beberapa orang sanak saudara remaja yang tidak boleh berbahasa
Melayu lagi. Kawasan Langgar itu dipagari kota di sekelilingnya. Terdapat lima
makam yang binaannya setinggi dada dengan batu nesannya yang masih teguh
berdiri. Sebaris dengan Makam Dato Mohd Akid, terdapat di kiri kananya makam
berbatu nesan perempuan, barangkali isterinya. Di kanannya pula terdapat sebuah makam yang binaannya serupa, namun tulisan jawi di batu nesan itu, kurang jelas
dan kurang dapat dibaca. Kami lihat di barisan belakang pula terdapat satu lagi
makam besar yang serupa bentuk binaannya juga.Sambil melihat-lihat makam, Ku
Othman menunjukkan salasilah keluarga jurai keturunan mereka. Malangnya
semuanya dalam tulisan Thai. Pihak PSMCK telah cuba mendapatkan penjelasan
mana-mana ahli keluarga yang mereka masih ingat. Yang lain akan cuba
diterjemahkan apabila pulang ke Malaysia nanti.
Seterusnya dalam cuaca yang panas
itu, kami terus bergegas ke satu lagi kawasan kuburan yang menempatkan Makam Ku Din Ku Meh, tak jauh dari
situ. Kawasan kuburan ini luas dan kami terus menuju makam Ku Din yang sudah
dapat dilihat dari jauh, kerana binaan makam yang tinggi dan batu nesan yang
besar dibuat daripada batu marmar dari Itali. Di sekelilingnya terdapat
beberapa kuburan lagi yang semua batu nesannya besar dan tinggi daripada marmar
juga. Semua batu nesan di situ tertulis
dengan tulisan jawi yang indah khatnya, dengan jelas tertulis nama-nama
pembesar dan kaum keluarganya yang telah kembali ke rahmatullah dan bersemadi
di situ. Selepas meneliti kuburan satu persatu dan mendapat maklumat tentangnya
kami meninggalkan kuburan untuk makan tengah hari.
Oleh kerana sudah lewat, lebih
kurang pukul 2.30 petang dan kami perlu menjimatkan masa untuk meneruskan
perjalanan ke Pak Bara, Pak Mus membawa kami singgah makan tengah hari di
sebuah gerai Melayu di pertengahan jalan. Gerai Bushra di Kampung China Setul itu, menyajikan kami nasi campur, lauknya gulai
ikan, gulai ayam, kensom dan ulaman ala kadarnya. Selesai makan jam 3.00
petang, kami mula meneruskan perjalanan
ke Lengu. Kami melintasi Sungai Mambang yang mengalir ke Sungai Temalang. Kemudian
kami singgah di Kedai Minyak Al Ameen untuk solat zohor kerana perjalanan ke
Lengu jaraknya lebih kurang 40 kilometer lagi. Lebih kurang jam 4.00 petang
kami akan sampai ke Pekan Lengu, dan terus ke Perkuburan Abdullah Lang Puteh. Kami sungguh
terkejut kerana Datin Noraini dan anak saudaranya Abdul Azit, Timbalan Dato’
Bandar Lengu beserta orang-orang Mesjid, telah sedia menunggu ketibaan kami ke
kuburan itu.
Di situ diadakan tahlil untuk
arwah-arwah kaum keluarga Datin yang telah kembali kerahmatullah. Selepas itu
Timbalan Dato Bandar berucap dalam bahasa Thai dan diterjemahkan oleh Pak Mus.
Beliau mengalu-alukan kedatangan rombongan PSMCK. Beliau berasa sungguh terharu
atas kunjungan kami. Beliau berasa sungguh malu kerana beliau dari keturunan
Melayu tapi tidak dapat berbahasa Melayu dan tidak faham Bahasa Melayu lagi.
Namun sekarang sudah ada usaha dari pihak Majlis Bandaraya untuk mempromosikan dan
menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu di
kalangan masyarakat Melayu di Lengu. Majlis diakhiri dengan jamuan petang di perkarangan sebuah rumah dan kampung asal Abdullah Lang
Puteh. Sambil minum diadakan temu bual dengan Datin, En Arfan dan lain-lain
lagi anggota keluarga untuk mendapatkan maklumat bagi melengkapkan susur galur keluarga dalam kajiselidik
kami.
Seterusnya kami sungguh tidak
menyangka, kami dijemput untuk melawat Muzeum
Folklore Lengu pada jam 5.40 petang. Ketika semua kakitangan sudah pulang, Timbalan
Dato’ Bandar mengiringi kami bersama beberapa orang polis yang meng’escort’ van yang kami
naiki ke Muzeum itu. Siap siaga mununggu kami dua tiga orang petugas yang
barangkali diarahkan untuk menerima kunjungan kami. Perkara ini tidak mungkin
sama sekali boleh berlaku di negeri Kedah, alangkah terharunya kami. Timbalan
Dato Bandar turut memberi penerangan tentang Muzeum itu, yang mempamerkan pelbagai artifek yang menunjukkan
budaya masyarakat Melayu Lengu seperti pakaian, perhiasan, pinggan mangkok,
peralatan tembaga, alat hiburan dan lain-lain lagi. Tidak lama di situ kami mengucapkan selamat tinggal kepada Timbalan Dato Bandar untuk meneruskna perjalanan.
Selepas itu, akhirnya kami dibawa ke tempat penginapan di Lengu, Best House Resort. Jam 6.30 petang semua kami sudah berada di kamar
masing-masing, yang sungguh unik kerana
berada di kawasan paya, dikelilingi pokok-pokok nipah, dan semua biliknya berhadapan
sebuah tasik dipenuhi ikan-ikan peliharaan. Berada di sekeliling pokok nipah,
dapat dirasakan banyaknya nyamuk berterbangan. Tidak hairanlah bilik kami
dilengkapi kelambu yang sungguh kelihatan klasik, kerana di Malaysia
jarang-jarang dijumpai resort yang memberikan kelambu kepada penginapnya. Oleh sebab terlalu padat acara pada hari itu,
maka kami berehat menghilangkan lelah dan tidak ada rasa untuk melihat-lihat keadaan di
sekeliling lagi.
Sambil berehat kedengaran bunyi
burung tuwu bertalu-talu, kedengarannya seperti berada di waktu petang di kampung
halaman sendiri di negeri Kedah. Tidak lama kemudian kedengaran pula bunyi azan
berkumandang di beberapa buah masjid sekitar tempat penginapan kami itu. Terasa
seperti berada di rumah sendiri. Ternyatanya tidak, kami berada di Kuala Bara,
atau sudah ditukar kepada Pak Bara Thailand. Dapat dirasakan masih kuat syiar
Islam di sini, walaupun dalam pemerintahan Thai. Patutlah Ustaz Amin Menjamin
di Setul, mengatakan mereka orang Melayu masih kuat mengamalkan ajaran agama
Islam. Cuma mereka sudah kehilangan identiti bahasa Melayu akibat penghapusan jati diri
oleh pihak kerajaan Thai dengan sungguh licik.
Malam di Kuala Bara tenang, tiada
kesibukan, dan tiada kehidupan malam. Dalam suasana damai itu kami dibawa
menikmati makan malam di sebuah kedai makanan laut Rimlee Kitchen. Sesekali kedengaran bunyi ombak memukul pantai.
Tetapi dek kegelapan malam kami tidak pun dapat melihat dan menikmati suasana laut, dan juga tidak dapat melihat pemandangan
di tepi pantai. Menu yang disajikan, tomyam, ikan tiga rasa, kerabu kacang botol, telor dadar, kensom
dan ulam-ulaman. Barangkali kedai ini antara yang terbaik, jadi kami menikmati
hidangan yang sungguh enak, sesuai dengan selera. Dalam perjalanan pulang kami
dibawa melawat pelabuhan, dan jeti penumpang yang agak sunyi, tidak beroperasi pada waktu
malam. Di jeti kargo kelihatan terang benderang dan ramai pekerja sedang
menyusun barangan untuk memuatkannya ke feri dan bot , bagi penghantaran
melalui bot keesokan hari. Didapati kebanyakan kedai sudah ditutup
kecuali ‘Seven-11’ masih kelihatan ramai
pengunjungnya, termasuklah kami, yang berjalan kaki, ingin menikmati suasana
keheningan malam di Kuala Bara. Di hadapannya seorang peniaga roti canai, sibuk
melayan pelanggan yang beratur menunggu giliran masing-masing. Bersebelahannya
pula seorang peniaga sotong bakar, juga
masih dikerumuni beberapa orang
pelanggan yang sabar menahan liur untuk menikmati sotong yang dimesin kemudian
dibakar garing. Dalam kegelapan malam kami pulang untuk untuk berehat, kerana kami sudah tidak
terdaya meneruskan langkah lagi.
No comments:
Post a Comment