HARI KETIGA JUMAAT - SONGKHLA HATYAI
8 JANUARI 2016
Tepat jam 8.00 pagi kami sudah
‘checked-out’ dari Hotel Best House
Resort. Selepas taklimat pagi kami dibawa ke Gerai Bara Roti, milik Tuan Haji Ariff seorang penduduk tempatan.
Menu pagi ini ialah roti canai berkuah kari, nasi campur dan pulut ikan kering.
Barangkali gerai ini antara gerai yang sedap makanannya, sebab itulah sangat
ramai pengunjungnya, sehingga semua meja penuh dengan pelanggan. Lama juga kami
terpaksa menunggu roti canainya. Ada daripada anggota rombongan yang sudah
selesai makan nasi campur yang bergerak ke tepi pantai menikmati pemadangan
pagi itu. Yang lain mengambil kesempatan bertemu bual dengan beberapa orang pengunjung
kedai daripada penduduk tempatan. Ramai pengunjung pada pagi itu, kelihatannya ramai
warga emas yang baru balik daripada sembahyang subuh di mesjid. Selain itu
kelihatan juga beberapa orang remaja berjubah putih pelajar-pelajar Sekolah
Tahfiz berdekatan, yang singgah di gerai itu. Dan ada juga pelancong-pelancong
berbangsa Cina yang turut serta menikmati sarapan di gerai itu.
Lebih kurang jam 9.30 pagi, kami
bertolak ke Songkhla. Dalam perjalanan
yang agak lama itu masing-masing mengambil kesempatan untuk merehatkan diri.
Pak Mus membiarkan kami terus berehat, dia pun tidak bercerita apa-apa pagi
itu. Lebih kurang jam 11.30 pagi kami singgah di stesen minyak Klong He,
kemudian kami meneruskan perjalanan lagi.
Jam 12.00 tengah hari kami tiba di Songkhla, melintasi Jambatan Tinsu
Lanond, dan melalui sebuah Watt Siam yang di hadapannya kelihatan sebuah patung
budha besar sedang terbaring di hadapannya. Pak Mus buat lawak; jangan bising-bising, sebab budha tengah
tidur, nanti dia terjaga, semua kami tertawa.
Tak lama selepas itu kami selamat sampai di Pintu Masuk Muzeum Folklore Wilayah Selatan, yang terletak di kaki
bukit. Oleh kerana kunjungan kami adalah lawatan
rasmi, jadi kami tidak perlu membayar
tiket untuk pelancong sebanyak THB 100.00. Selepas menunjukkan surat permohonan
dan kad jemputan, van kami dibenarkan naik ke Muzeum yang terletak di puncak
bukit yang agak tinggi. Dari atas puncak bukit yang menempatkan Muzeum
Folklore, kami dapat melihat jambatan yang telah kami lalui tadi.
Kami disajikan dengan tayangan
filem ringkas dalam Bahasa Melayu, tentang Muzeum itu. Kemudiannya semua peserta
dibawa melawat sekitar Muzeum dan diberi penerangan oleh seorang petugas yang berbahasa Inggeris
seadanya. Oleh kerana kesuntukan masa
kami cuma melawat lebih kurang lima bilik pameran sahaja, iaitu bilik pakaian, bilik peralatan
pertanian, bilik peralatan logam tembaga, bilik senjata tradisional, dan bilik
peralatan dapur (kukur kelapa). Muzeum yang mempunyai 34 bilik pameran itu, tidak sempat kami jelajahi semuanya.
Bilik-bilik pameran terletak di
lereng-lereng bukit dengan susun atur dan lanskap yang cantik, kelihatan
sungguh indah apabila menikmati
pemandangannya yang menghadap ke laut.
Oleh kerana turun naik tangga ke
bilik-bilik pameran, anggota rombongan yang kebanyakanya warga emas mengambil
masa yang agak lama juga. Selepas lawatan bilik-bilik pameran, upacara penutup
dihadiri oleh Pengarah Muzeum Puan Sweetre. Beliau telah sudi menyampaikan
sijil-sijil kehadiran kepada anggota rombongan kami, selepas ucapan aluannya.
Selesai pertukaran cenderamata, kami di bawa ke sebuah Restoren Thai (Muslim Kitchen) untuk jamuan tengah hari yang
diberikan oleh Puan Sweetre. Restoren Makanan Laut itu terletak di hujung
sebuah tanjung, sehingga ia kelihatan seperti
berada di sebuah pulau. Puan Sweetre pohon untuk meninggalkan kami pada
jam 2.00 petang kerana ada urusan
mesyuarat penting. Selepas bersalaman kami terus menikmati jamuan yang sungguh enak.
Alhamdulillah.
Oleh kerana kesuntukan masa hajat
untuk melawat pondok di Ban Trap (Kampung Terap) terpaksa dibatalkan. Hajat
kami tidak kesampaian untuk membuat kunjungan dan melawat Tok Guru Pondok
keturunan dari Kedah itu. Kami terus mengunjungi Makam Sultan Sulaiman di Songkhla, walaupun terpaksa mencari-cari
tempatnya. Almarhum memang sangat banyak berjasa kepada masyarakatnya. Kini
kawasan makam itu telah dibina kota dan dijaga oleh petugas dan menjadi pusat
tarikan pelancong yang ingin melihat kesan tinggalan kekuasaan Melayu di Thailand.
Kami juga tidak sempat melawat ke
Kota Tun Silanot bekas Perdana Menteri Thailand berketurunan Melayu. Tapi kami
terus dibawa ke Pantai Samila Songkhla,
yang sangat popular dengan patung duyung dan patung naga terputus tiga bahagian
iaitu kepala, badan dan ekor, di tiga tempat yang berlainan. Oleh sebab jalan
sesak kerana pukul 5 petang waktu pejabat, jadi Pak Mus membawa kami menaiki
feri melalui jalan pintas ke Pantai Samila, dengan bayaran THB 20. Menaiki feri
memang sungguh cepat, ia hanya mengambil masa lima minit sahaja untuk menyeberangi teluk
ke pantai Samila. Kami tidak lama di pantai Samila, kerana terpaksa berkejar
untuk solat jamak asar. Kami singgah di Kampung Kao Seng , sebuah Kampung
Melayu yang sangat padat di tengah-tengah pekan di Pantai Samila itu. Mesjidnya besar dan luas terletak
di belakang deretan kedai-kedai, dan kelihatan masih ramai pengunjung yang bersolat semasa kami solat di sana.
Alhamdulillah, dari pantai Samila kami terus
bertolak untuk meneruskan perjalanan supaya dapat bermalam di Hatyai. Dalam perjalanan Pak Mus memberitahu kami
Bandar Songkhla adalah ‘bandar ilmu’. Banyak universiti seperti Universiti Rajabat,
Universiti Rajapak dan beberapa buah lagi universiti terkemuka berada di Bandar
Songkhla. Dalam van masing-masing semuanya telah keletihan jadi tidak banyak soalan dan tidak banyak cerita disampaikan oleh Pak Mus, dia membiarkan kami berehat kerana terlalu keletihan. Sunyi sepi dalam perjalan kerana semuanya sangat lelah, cuma menunggu tiba di tempat penginapan sahaja. Akhirnya apabila hari hampir senja barulah kami
tiba di Hatyai untuk berehat pada malamnya.
Malamnya kami diberikan masa untuk memenuhi acara bebas. Kami menikmati makan malam di Restoran Salma. Bersama kami Dr Ismail, Firdaus, dan beberapa orang lagi. Selepas makan kami sempat ke kedai buku untuk mencari peta, tapi malangnya tiada. Jadi kami terus pulang berehat meninggalkan rakan yang lain untuk membeli belah di pasar malam.
No comments:
Post a Comment