Sunday, January 8, 2017

TUNKU PUTERI INTAN SHAFINAZ




TUNKU PUTERI INTAN SAFINAZ

PEMANGKIN KEMAJUAN PENDIDIKAN KEDAH
Oleh: Hajah Rahinun Mohd Noor
DITERBITKAN OLEH BULETIN LINDUNGAN BULAN 2015



Siapa yang tidak kenal Tunku Puteri Intan Shafinaz atau lebih mesra dipanggil Tunku Puteri? Sebenarnya, Tunku Panglima Besar Dato' Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz binti Tuanku Haji Abdul Halim Mu'adzam Shah, adalah  Puteri  Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah, bersama Almarhumah DYMM Tuanku Sultanah Hajah Bahiyah, dan merupakan Puteri kesayangan rakyat negeri Kedah Darul Aman. Seluruh rakyat negeri Kedah amat bergembira dan berbangga apabila Tunku Puteri diputerikan pada 22 Julai 1966. Tunku Puteri mendapat pendidikan awalnya di Sekolah St Nicholas Convent, Alor setar, kemudian meneruskan  pendidikan menengahnya  di Kolej Tunku Kursiah (KTK) dan selepas itu, meneruskan pengajian pendidikan tinggi dalam bidang Politik di Chethelmen Ladies College, England.



Yang Teramat Mulia Tunku Puteri sangat menggemari aktiviti sukan lasak seperti berkayak, bermain jetski,  paintball, dan memanjat gunung. Oleh kerana kecintaannya kepada aktiviti berkaitan  alam sekitar, Tunku Puteri dilantik sebagai Felo Diraja Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari). Di samping itu, dengan semangat semula jadinya yang kental, telah mendorongnya menyertai Pasukan Askar Wataniah, sehingga dilantik sebagai Brigader Jeneral. Penglibatan ketenteraannya itu telah membawa kepada perlantikannya sebagai Pro Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 10 Oktober 2010. Perlantikan ini menunjukkan keyakinan yang tinggi Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, atas kebolehan Tunku Puteri  untuk memberi khidmat dan memberi sumbangan, terutamanya dalam bidang pertahanan negara.



Sebenarnya, negeri Kedah ini amat bertuah kerana memiliki seorang Puteri Raja yang sangat memberikan perhatian kepada kemajuan  pendidikan negeri Kedah dan pembangunan pendidikan negara amnya. Sebagai salah seorang pencetus idea penubuhan Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) dan salah seorang pemegang amanah seumur hidup YSB, serta  Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah, Tunku Puteri sangat menumpukan masanya dan fokusnya kepada bidang pendidikan. Tunku puteri memenuhi jadualnya setiap tahun, sebagai VVIP,  hadir ke Majlis Hari Anugerah Cemerlang sekolah-sekolah di negeri Kedah seperti, Sekolah Sains Pokok Sena, SMK Sultanah Bahiyah, SMK Tunku Sofiah, SMK Dato’ Syed Omar, dan banyak lagi. Kehadirannya itu membolehkan Tunku Puteri melihat dari dekat akan pencapaian pelajar dan kemajuan pendidikan sekolah-sekolah di negeri Kedah, di samping dapat mengikuti isu-isu dalam pendidikan dengan lebih dekat. Sejak tahun 2004, Tunku Puteri telah memberikan perhatian khusus kepada SMK Sultanah Bahiyah (SMKSB), yang menjunjung nama Almarhumah bondanya. Banyak dana yang disalurkan untuk kemajuan pendidikan SMKSB. Sebagai contohnya, Tunku Puteri telah memperuntukkan sejumlah wang sebagai pemberian untuk Anugerah Pelajar-Pelajar Cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang mencapai semua A, sejak tahun 2004 hingga sekarang. Penganugerahan ini, sesungguhnya   telah menyuntik semangat kepada pelajar-pelajar untuk terus meningkat maju dan berjaya dalam pendidikan, yang kemudiannya dapat mengharumkan nama negeri Kedah.


Di samping itu, Tunku Puteri juga amat meminati dan bersungguh-sungguh berusaha memelihara unsur seni budaya warisan Melayu seperti permainan angklong. Setiap kali menghadiri majlis Hari Anugerah Cemerlang di SMKSB Tunku Puteri sangat teruja dan berulang kali mengucapkan tahniah kepada pencapaian pasukan angklong sekolah. Tunku Puteri sanggup turun padang bercemar duli melawat ke asrama untuk meninjau keperluan pasukan angklong sekolah. Atas kemurahan hati Tunku Puteri memberikan dana untuk pelbagai keperluan, maka kemantapan pasukan angklong telah membantu sekolah memenangi Anugerah Seri Asrama Terbilang Kebangsaan tahun 2007. Bagi menyemarakkan lagi semangat pelajar, pasukan angklong juga sering dijemput mengadakan persembahan semasa Hari Penyayang YSB. Selain itu, Tunku Puteri juga meminati seni muzik,  dan turut menyumbang ke arah pembangunan pasukan Mini Orkestra SMKSB. Keperihatinan dan kesungguhan Tunku Puteri menyalurkan pelbagai sumbangan, telah mencemerlangkan pasukan orkestra sehingga membantu SMKSB memenangi Anugerah Sekolah Cemerlang peringkat kebangsaan tahun 2008.


Sesungguhnya Tunku Puteri amat mudah didekati, dan tidak memiliki sifat tinggi diri. Namun Tunku Puteri tetap dihormati dan disegani kerana berjiwa rakyat, perihatin, pemurah dan penyayang. Golongan yang memerlukan tidak pernah dilupainya. Setiap tahun pelajar-pelajar miskin akan menerima sumbangan baju raya, telekung dan duit raya. Dan yang paling manis semua pelajar asrama dapat menikmati kek hari keputeraaan DYMM Sultan Kedah, dihantar oleh Tunku Puteri setiap tahun. Semua hasil usahanya ke arah pembangunan pendidikan  menggungguli peribadi Tunku Puteri sebagai pemangkin ke arah kecemerlangan pendidikan. Sebab itu, sangat sesuailah Tunku Puteri Intan Shafinaz telah dimasyhurkan menjadi  Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) yang baru pada 8 Nov 2014, dan juga menjadi Pro Canselor  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pelantikan Tunku Puteri Intan Shafinaz  sebagai Canselor, amat menjadi kebanggaaan rakyat Kedah dan telah mencipta sejarah kerana menjadi  wanita pertama menyandang jawatan itu di UUM.


Ketika makalah ini ditulis, Tunku Puteri adalah salah seorang daripada Jemaah Pemangku Raja yang dilantik pada 13 Disember 2011, bersempena Tuanku Sultan Kedah melaksanakan tugas sebagai DYTM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Monday, January 2, 2017

MENIMANG CUCU - CATATAN BUAT EMAK YANG AMAT KUSAYANGI


Apabila melihat kawan-kawan menimang cucu, dan mendengar berita kawan-kawan mendapat cucu baru, aku turut tumpang rasa gembira dan terharu. Terbayang jelas di ingatan betapa gembiranya aku semasa menimang cucu, satu lepas satu sehinggalah sudah lima orang cucu semuanya. Alangkah sungguh bahagianya mendapat orang baru dalam keluarga, yang dinamakan cucu. Aku masih ingat bagaimana gembiranya kedua orang tuaku semasa mereka menimang cucu sulung yang dinamakan Khairul Amilin anak adikku. Kemudian diikuti pula dengan kelahiran anak sulungku Danial Fa-iz. Oleh kerana aku dan adik bekerja maka kedua cucu itu ditinggalkan untuk dijaga oleh kedua orang tua dengan penuh kasih sayangnya. Betapa mereka membelai kedua-dua orang cucu itu seperti menatang minyak yang penuh. Kemudian bertambah lagi anak-anakku Haidar Najiyah, Fatin Zahirah, dan Mahya Diyana. Sementara adikku pula bertambah anaknya Nabila Anith, Haifa Nazia,  Mohamad Naufal dan Juwaini Athirah. Kasih dan sayang mereka tetap melimpah ruah. Semasa cucu mereka masih kecil, semua keperluan dijaga sehinggalah semuanya membesar dan masuk sekolah, mereka masih meneruskan khidmat menjaga cucu-cucu atas dasar kasih sayang yang tidak terhingga. 

Aku masih ingat dengan jelas, setiap hari abah dan emak akan datang ke rumahku. Emak akan membasuh pakaian cucu-cucunya. Kebetulan semua anak adikku berhimpun di rumahku selepas balik sekolah. Emak memang rajin dan pandai memasak jadi semua anak cucunya dapat makan tengah hari yang sungguh enak setiap hari selepas balik sekolah. Emak juga masak untuk minum petang dan makan malam sekali. 

Setiap bulan puasa dan hari raya, kami berhimpun di rumahnya. Emak akan masak makanan kegemaran cucu-cucunya. Kuih-kuih untuk berbuka puasa seperti buah melaka, pulut seri muka, tepung talam, lopeh, kuih jala, cucur udang dan macam-macam lagi. Di samping itu makanan kegemaran seperti  ayam masak merah, gulai ayam atau daging, dan juga rendang akan disediakan bila anak cucu berhimpun dan beramai di rumahnya. Setiap petang raya dia akan masak ketupat dan rendang menunggu kami balik. Dia tidak pernah lupa merebus tulang kaki untuk dibuat sup, supaya anak cucunya boleh menikmati bihun sup istimewanya. Atau dia juga akan masak laksa buat anak cucunya yang menggemari makanan itu. Setiap pagi raya emak akan masak nasi tomato, atau nasi daging dan dalca ayam untuk kami anak beranak menjamu selera. 

Itulah emak dengan anak cucunya.  Dia sentiasa berkorban, dia sentiasa berbakti, dia sentiasa mengingati, dia tidak pernah lupa di hati akan anak cucunya yang amat dikasihi. Sekarang dia dia terlantar sakit, cuma boleh duduk  atas di katil. Dia tetap sangat ingat akan anak cucunya. Dia sentiasa sangat ingat akan arwah cucunya Nabila Anith. Setiap hari dia akan bertanyakan cucu-cucunya, dia rindukan mereka. Dia tidak akan pernah faham bahawa cucunya tinggal jauh dan tidak boleh menjenguknya setiap hari. Setiap hari dia akan bertanya siapa  balik, bila mereka akan balik, dan kenapa tak panggil mereka balik. Dia sering minta buat kenduri arwah, dan dia suruh telefon anak cucunya supaya balik makan kenduri.

Aduhai emakku sayang, alangkah tersentuhnya hati mengenangkan, sangat kuat ingatan dan kasihnya kepada semua cucu yang dijaganya semasa mereka masih kecil dan kanak-kanak, sehinggalah mereka dewasa. Masa sudah berubah wahai emak yang banyak berbakti. Mereka semuanya sudah berkeluarga. Mereka sudah tidak lagi dapat berhimpun semuanya serentak seperti dulu-dulu. Mereka akan menjenguk emak bila ada kelapangan dan ada cuti atau pada hari perayaan. Tapi pada waktu lain mereka mesti bekerja mencari sesuap nasi untuk keluarga masing-masing. 

Ya Allah, bagaimana dapat aku jelaskan kepadanya, kerana sekarang dia tidak begitu faham akan keadaan. Padanya cucunya masih perlu berhimpun dan berkumpul supaya dia dapat menyediakan masakan untuk anak cucunya, barulah dia rasa puas dan lega. Ya Allah pandanglah kepada emakku dengan pandangan redhaMu, berilah dia balasan yang setimpal dengan pengorbanannya. Hanya Engkaulah yang selayaknya yang dapat memberi kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat kepada emakku. Ya Allah kasihanilah kedua orang tuaku seperti mana mereka mengasihi kami semasa kami masih kecil Ya Allah. Ampunilah dosa mereka dan tingkatkanlah mereka setinggi-tinggi darjat di sisiMu. Amin  

Sunday, January 1, 2017

BELUKAR LODGES IN THE MAKING




Selepas bersara pada tahun 2013, ramai rakan taulan bertanya apa yang bakal dilakukan untuk mengisi masa. Aku sendiri pun tidak pasti kerana sepanjang hayat sejak kecil, remaja, dan dewasa masa terisi dengan takdir Tuhan yang mengaturkan jalan hidup dengan aktiviti mengikut keadaan dan masa. Semasa kecil dan remaja masa terisi dengan aktiviti persekolahan. Bermula dengan memasuki sekolah rendah, kemudian ke sekolah menengah dan seterusnya ke universiti. Sesudah mendapat segulung ijazah, maka  masuklah pula era berkecimpung dalam bidang kerjaya. Mula-mula menjadi guru penolong, kemudian Guru Kanan, Penyelia Petang, Penolong Kanan dan akhir sekali menyandang jawatan Pengetua. Selama lebih tiga puluh dua tahun segala masa, tenaga, minda, hati dan perasaan semuanya tertumpu kepada kehidupan dan pekerjaan. Sehinggala genap masa untuk bersara wajib dalam usia 56 tahun, barulah aku mula menjadi diri sendiri. Mula melakukan apa saja yang diinginkan tanpa terikat dengan peraturan dan perintah.

Dalam tahun pertama 2014, tidak banyak yang dilakukan kerana memang sengaja diaturkan begitu, supaya dapat aku berehat, sambil beribadat dan menikmati kehidupan seadanya sebagai orang pencen. Untuk memenuhi masa lapang aku mengedit buku, kemudian terbitlah dua buah buku yang telah diusahakan suamiku. Tahun kedua dan seterusnya, menyaksikan sedikit perubahan, aku mulakan kelas pengajian tajwid, ilmu fiqah, tafsir dan hadith segara berperingkat-peringkat.


Selepas itu, dalam tahun 2015, aku mula mengorak langkah untuk membina beberapa buah bilik di tanah pusaka Langkawi. Jadi setiap hujung minggu sibuklah kami berulang-alaik ke Langkawi untuk memantau kerja-kerja pembinaan. Akhirnya awal tahun 2016 siaplah 6 buah bilik, yang kami namakan Belukar Lodges, hasil brain-storming anak beranak. Banyak perkara kami putuskan secara ukhwah, dan musyawarah. Maka jadilah Belukar Lodges sebuah tempat tempat dengan 6 buah bilik berkonsepkan bunk-beds yang kami targetkan kepada golongan remaja, dan budget travellers.  Diharapkan dua jenis bilik iaitu Type A - family room dan Type B group room, akan dapat memenuhi citarasa pelanggan yang ingin bercuti ke Langkawi. 


Akhirnya dalam bulan Februari, sebagai tanda syukur akan nikmat Allah terhadap tinggalan orang tua kami meninggalkan sebidang tanah itu, kami mengadakan kenduri kesyukuran sempena pembukaan rasmi Belukar Lodges. Syukur alhamdulillah semua anak beranak balik bercuti ke Langkawi menginap di Belukar Lodges. Maka tanggal 1 Mac 2016, dengan rasminya Belukar Lodges dibuka kepada umum secara rasminya, alhamdulillah. Kini dengan berakhirnya tahun 2016, maka sudah genap 10 Belukar Lodges beroperasi. Semoga Belukar Lodges akan terus berkembang menjadi satu legasi keluarga yang berterusan memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara. Amin.




Tuesday, December 20, 2016

SUATU KETIKA DAHULU DI SAS




MENGIMBAU KENANGAN 
TAHUN 70AN DI SUTANAH ASMA SCHOOL (SAS)


Dulu-dulu kalau dapat melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam, memang suatu yang sangat besar. Tidak ramai pelajar dapat masuk ke tingkatan enam, berbanding jumlah pelajar yang mengambil peperiksaan SPM atau MCE di tingkatan lima.  Menduduki tingkatan enam waktu itu, bermakna memasuki sekolah ternama seperti Sultanah Asma. Dalam tahun 1973 setelah menduduki peperiksaan MCE, dan lulus mendapat Gred 2, dengan pencapaian agreget  sebanyak 24,  saya dan rakan-rakan yang lain seramai tujuh orang, telah berhijrah ke sekolah baru, waktu itu lebih popular  dikenali sebagai SAS atau Sultanah Asma School, oleh kerana di  Sekolah Menengah Pulau Nyior  tidak ada kelas Tingkatan Enam. Kemudian dalam tahun 1974 bermulahlah era baru dalam arus pembelajaran, saya telah berjaya melanjutkan pembelajaran ke Tingkatan 6  Rendah di Sekolah  Sultanah Asma. 

Tahun-tahun sebelum ini, pelajar dari Pulau Nyior di hantar ke Kolej Sultan Abdul Hamid untuk melanjutkan pelajaran Tingkatan Enam Rendah. Jadi pada tahun itu, merupakan tahun pertama penempatan Tingkatan Enam dari sekolah-sekolah luar bandar ditempatkan ke SAS. Kedatangan saya dan rakan-rakan buat pertama kalinya, dari kawasan pedalaman seperti Kodiang, Jitra, Changlun dan Pendang ke SAS, merupakan suatu kejutan kepada pentadbir sekolah. Ini kerana kami terpaksa memohon untuk menginap di asrama, kerana rumah kami terlalu jauh untuk kami berulang-alik  setiap hari ke sekolah. Pihak sekolah terpaksa dengan segera menambah jumlah katil di asrama, untuk menampung jumlah pelajar Tingkatan Enam Rendah yang baru mendaftar. Ini pun merupakan satu sejarah juga, kerana sebelum ini tidak pernah ada pelajar Tingkatan Enam yang menginap di asrama.

Pengalaman hidup di asrama, tidak banyak berbeza dengan kehidupan asrama pelajar sekarang. Segala peraturan dan masa yang ditetapkan perlu dipatuhi, tidak ada kompromi. Kami seperti pelajar lain patuh dan akur kepada semua undang-undang asrama. Tambahan pula kami diminta untuk memberikan contoh supaya menjadi teladan kepada adik-adik pelajar yang junior. Tapi yang paling mengesankan hingga kini ialah, menanti  dan menikmati mee goreng mamak yang dibawa oleh kereta sorong pada setiap malam masa kami sedang prep malam. Sungguh klasik menunggu kedatangan mamak mee yang seolah menjadi rutin harian kebanyakan pelajar semasa prep. Dia selalunya akan memukul kualinya dari jauh lagi, melalui lorong yang betul-betul di belakang pagar asrama.  Bila dia tiba kami dah siap kertas order dan siap dengan duit bayaran sekali, diberikan kepada mamak mee. Bila dah siap dia akan panggil nama ketua yang menghantar pesanan. Ketika itu mee mamak panas terasa sungguh sedap, macam ketagih pula, setiap hari kami hendak saja membelinya. 

Pada hujung minggu pula kami ada outing boleh keluar ke Bandar untuk jalan-jalan atau membeli barang keperluan. Jadi kami akan berjalan kaki dari asrama ke pasaraya atau ke kedai buku atau kadang-kadang tengok wayang beramai-ramai. Satu yang paling diingati ialah makan mee bandung di gerai depan sekolah sebelah masjid Derga. Jadi pelajar yang tidak ke mana-mana kami akan keluar beramai-ramai menikmati mee bandung istimewa itu. Pada waktu itu terasa sungguh sedap dan istimewa menikmati mee bandung panas-panas. Kadang-kadang kami makan di situ, kadang-kadang kami bungkus bawa balik makan di asrama.

Di samping itu, pembelajaran dalam kelas pun  merupakan satu kejutan kepada kami. Kami pelajar luar bandar yang baru masuk ditempatkan di Kelas Enam Rendah B. Dulu-dulu di sekolah lama kami diberi nota, diajar dengan penuh bimbingan dan mendapat perhatian daripada guru-guru. Di Tingkatan Enam cik gu bagi tajuk-tajuk penting kemudian minta kami baca, buat perbincangan kumpulan dan buat assignment secara berkumpulan untuk dibentangkan dalam kelas. Semua itu dapat dilalui dengan mudah selepas beberapa waktu.
Namun selepas  beberapa bulan belajar, timbul isu tentang mata pelajaran yang ditawarkan kepada kami. Antara mata pelajaran yang ditawarkan ialah Sejarah Eropah iaitu Sejarah Kertas 2, di samping Kertas 1, Sejarah Malaysia. Kami dapati Sejarah Eropah ini kurang relevan dengan kami dan tidak membantu pelajar untuk lulus pada waktu itu. Tambahan pula mengikut analisis yang diberikan guru yang mengajar, jarang-jarang pelajar boleh mencapai kelulusan cemerlang mendapat gred A, bagi mata pelajaran tersebut. Malah didapati ramai yang gagal dalam mata pelajaran sejarah. Ini amat membimbangkan kami kerana kami amat memerlukan kelulusan cemerlang, bagi mata pelajaran Sejarah untuk melayakkan kami dapat masuk ke universiti. Jadi kami perlu lulus cemerlang dalam Kertas 1 dan Kertas 2 untuk mendapat gred cemerlang. 

Jadi selepas itu, semua pelajar Enam Rendah B telah mencapai kata sepakat untuk memohon kepada pihak sekolah agar membenarkan kami dapat belajar mata pelajaran Sejarah Islam dan menduduki peperiksaan bagi mata pelajaran Sejarah Islam dalam peperiksaan Higher School Certificate (HSC). Hasrat kami itu disampaikan kepada Penyelia Tingkatan Enam terlebih dahulu, tapi beliau tidak boleh memberi keputusan. Kemudian kami telah menghantar wakil berjumpa Pengetua Cik Maimudah, untuk menyatakan hasrat kami itu. Dalam perjumpaan itu barangkali beliau kurang yakin permintaan itu merupakan permintaan ramai dan sebulat suara. Jadi beliau meminta agar semua pelajar Enam B dapat berjumpanya pada hari dan masa yang telah ditetapkan.

Perjumpaan dengan Pengetua sungguh merupakan perjumpaan yang bersejarah. Majlis berlansung di bilik kelas. Ia lebih berupa dialog dua pihak – antara pelajar-pelajar dan Pengetua. Penyelia Tingkatan Enam yang turut serta cuma menjadi pemerhati, tidak pun memberikan sebarang komen. Kami diminta  mengemukakan sebab-sebab dan alasan, kenapa kami minta diajarkan mata pelajaran Sejarah Islam, menggantikan Sejarah Eropah. Selesai bersoal jawab, Pengetua memberitahu kami, sekolah tidak dapat mengajar mata pelajaran yang kami minta kerana tiada guru opsyen itu. Kami merayu kepada Pengetua agar dapat memberikan kebenaran kepada kami untuk dapat mendaftar dan mengambil mata pelajaran itu dalam  peperiksaan HSC nanti. Kalau sekolah tidak dapat menyediakan guru kami sanggup mencari guru mata pelajaran itu untuk membantu kami belajar. Tidak sangka pula Pengetua marahkan kami dengan cadangan yang dikemukakan itu. Katanya duit biasiswa yang kami dapat, jumlahnya sedikit untuk kegunaan beli buku, untuk bayar yuran asrama, untuk tambang bas dan untuk belanja keperluan harian. Mana nak dicari duit untuk bayar guru tuisyen. Jadi bukankah lebih baik, belajar mata pelajaran yang diajarkan di sekolah tanpa mengeluarkan belanja tambahan kepada guru tuisyen Sejarah Islam.

Sampai di situ kami pun terkedu juga. Tapi Allah telah membantu kami, memberikan idea dan kami memberitahu Pengetua bahawa kami hanya perlu belajar beberapa kali saja. Selainnya kami akan belajar sendiri menggunakan masa Sejarah Eropah, dan waktu petang, untuk membuat perbincangan dan pembentangan topik-topik yang yang kami pelajari dari guru tuisyen kami itu. Kami juga memberitahu Pengetua kami sudah aturkan tuisyen itu diadakan di sekolah, jadi tidak perlu kos pengangkutan lagi. Akhirnya Pengetua bersetuju memberikan kebenaran untuk kami belajar Sejarah Islam dan menduduki peperiksaan mata pelajaran itu dalam HSC.

Peluang yang diberikan itu kami gunakan sebaiknya. Kamu menghadiri kelas tuisyen dengan cik gu Othman seorang guru Sejarah di KSAH yang berpengalaman luas dan amat mahir dalam subjeknya.. Bayaran yang dikenakan sangat minimum, iaitu RM10 untuk sekali hadir ke kelasnya. Kami hanya diperlukan hadir empat kali saja, mengikuti kelasnya. Kelas yang pertama beliau memberikan keseluruhan silibus bagi mata pelajaran Sejarah Islam yang akan kami ambil peperiksaan nanti. Menurut cik gu Othman dengan mengetahui silibus, pelajar dapat mengetahui topik-topik yang akan dipelajari. Di samping itu dapatlah pelajar memberi tekanan kepada topik-topik penting yang masih belum disoal  dalam peperiksaan. Kelas yang kedua kami diberikan pendedahan  topik-topik yang ada dalam dalam Bahagian A dan topik-topik yang perlu diberi penekanan untuk persediaan menghadapi peperiksaan dalam bahagian ini. Seterusnya dalam kelas yang ketiga kami didedahkan pula dengan topik-topik dalam bahagian B dan topik penting yang perlu dibaca dengan mendalam kerana dijangkakan akan ada soalan dari topik berikut. Akhir sekali kelas yang keempat cik gu Othman membawakan kepada kami kertas soalan Sejarah Islam bagi 10 tahun ke belakang. Beliau membantu kami membuat analisis soalan-soalan tersebut. Kemudian beliau membantu kami membuat pemilihan topik-topik yang perlu kami berikan fokus untuk belajar dalam kumpulan supaya kami dapat sama-sama bantu membantu bagi pembelajaran sendiri tanpa guru dalam kelas. Beliau telah membantu kami memeriksa jawapan yang kami jawab secara kumpulan dengan memberikan tunjuk ajar tentang kelemahan-kelemahan untuk dibaiki, supaya kami boleh mendapat markah cemerlang. 

Alhamdulillah segala usaha kami dibantu Allah, dan kami yang mengambil mata pelajaran Sejarah Islam kebanyaknya lulus cemerlang dalam mata pelajaran Sejarah berbanding pelajar yang mengambil mata pelajaran Sejarah Eropah. Kami mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Puan Pengetua yang bermurah hati membenarkan kami mendaftar dan mengambil mata pelajaran Sejarah Islam di sekolah walaupun tanpa guru. Sebelum kami pulang daripada mengambil keputusan peperiksaan HSC, Puan Penyelia Tingkatan Enam membisikkan kepada kami, dia akan membuka kelas mata Pelajaran Sejarah Islam untuk pelajar Tingkatan Enam Rendah yang baru mendaftar selepas kami. Alhamdulillah kami amat bersyukur, dengan perjuang kami itu, pelajar lain telah mendapat manfaat. Sejak tahun itu SAS telah berusaha mendapatkan guru untuk mata pelajaran Sejarah Islam bagi pelajar Tingkatan Enam untuk mata pelajaran Sejarah.

Thursday, November 24, 2016

BUAT PELAJAR-PELAJARKU DI DATO SAGOR LANGKAP


Aku amat bersyukur dengan perkembangan teknologi, dunia menjadi semakin 'kecil'. Yang jauh tak dapat berhubung dan terputus hubungan dapat dihubungkan kembali. Yang hanya wujud dalam kenangan dapat dilihat kembali di alam maya. Yang menjadi sangat nostalgik dapat dijelmakan dan terasa keberadaannya sehingga dapat dilihat boleh dikatakan saban hari. Begitulah yang terjadi dan telah ditakdirkan pada diriku. Sejak meninggalkan daerah Langkap, semua kenangan pahit manis  sentiasa bermain di fikiran. Ia tidak pernah  sedikitpun menjadi pudar. Seringkali ia dijadikan cerita lisan buat memberi semangat, pabila sesuai keadaannya. Seringkali ia diceritakan bila terkenang saat yang silam yang telah lama ditinggalkan. Pendek kata cerita-cerita di Langkap tempat aku mula mengajar itu tetap segar dalam ingatan sehinggalah aku sudah meninggalkan dunia pendidikan. Pernah juga sekali dalam hidupku selepas keluar dari daerah bersejarah itu, aku menjenguk Langkap untuk merasai kembali saat-saat yang pernah kulalui di sana.

Dulu-dulu  dalam tahun 1980an, dapat mengajar buat pertama kalinya di Langkap, dirasakan amat jauh sekali dari kampung halamanku. Apa tidaknya perhubungan pada waktu itu cuma dengan surat sahaja. Jadi bila ada hal-hal yang sangat penting yang memerlukan tindakan segera, maka surat registerlah yang terpaksa menjadi pilihan. Ia menjadi alat perhubungan yang paling pantas masa itu. Waktu itu telefon bukanlah suatu perkara yang biasa, ia hanya ada satu-satunya di sesebuah pekan  iaitu telefon awam yang dikenali sebagai pondok telefon. Jadi tidak bolehlah kita menghubungi sesiapa di kampung kerana tiada satu pondok telefon pun  di kampug.

Selepas dua tahun mengajar di Langkap, sejak tahun 1981 hingga1982, kemudiannya aku kembali ke kampung halaman di Kedah. Kenangan di Langkap tersusun indah dalam lipatan sejarah hidupku. Sarat sungguh kenangan silam yang dibawa balik dari sana. Banyak sungguh cerita tentang Pengetua dan rakan-rakan guru serta staff sokongan sehinggalah kepada Pak Itam Dan Yap penjaga kantin. Tidak dikira lagi dengan kisah anak-anak murid sulungku yang belajar di tingkatan 4 dan tingkatan 5 pada tahun-tahun itu. Mengajar mereka sungguh merupakan satu cabaran yang amat besar. Cabaran menjadikan mereka dapat digilap potensi masing-masing agar dapat keluar daripada jaringan sosial yang mencengkam. Amat dirasakan pada waktu itu mereka perlu keluar dari kepompong, dan jalannya tidak lain, melalui pendidikan di sekolah, sama ada yang formal atau yang tidak. Jadi aku telah pun mencubanya, walau sekejap cuma.

Dan kini aku amat berterima kasih kepada anak-anak murid yang menjalinkan semula hubungan silaturrahmi yang telah sekian lama terputus. Terima kasih DSU Johari, yang mencetuskan permulaan terbukanya ruang lingkup yang telah lama tertutup. Terima kasih yang lain-lainnya Nazir, Poniti Ruwiyo, Mohd Nadri, Abu Hanipah, Masamah Mokri, Faizul Penasor, Rozita, Salbani, Rosli Sardi, Maznan, Hamisah, Suhaimee, Mustafa dan banyak lagi. Saya pohon maaf kepada yang lain yang tidak disebutkan namanya di sini. Faktor usia menjadikan saya tidak mampu berbuat demikian. Tapi saya masih ingat muka-muka kalian sehingga kini, sejak tarikh saya meninggalkan Langkap, Telah terbukti semua potensi telah tergilap, daya kepimpinan telah tercungkil, kemahiran unggul telah terserlah dan yang paling penting semua anda telah memiliki jati diri unggul sehingga melantunkan anda keluar dari jaringan sosial asal, membina jaringan sosial yang jauh lebih baik dari keluarga anda sendiri di kampung. Syabas saya sungguh berbanggan melihatnya. Bila sesekali kalian pm saya, saya memang ingat dengan jelas muk-muka anda semua semasa muda remaja. Terima kasih kepada  yang selalu saja pm saya, kadang-kadang mengucapkan salam, menyampaikan ucapan  dan paling tidak pun bertanyakan  khabar. Terima kasih juga yang upload gambar kenangan lama saya di Dato Sagor, sungguh nostalgik.

Saya amat bersyukur dapat melihat kalian semuanya berjaya dalam bidang masing-masing. Walaupun cuma di alam maya tapi dapat juga saya kongsikan, dan turut sama merasai kehidupan kalian yang masih segar dalam ingatan, yang telah mewarnai dan memeriahkan hidup saya, serta banyak memberikan pengajaran, pengalaman, ilmu dan keinsafan yang amat bermakna suatu masa dahulu hingga sekarang. Saya amat bersyukur kalian semua telah semuanya berkeluarga dan dapat dilihat semuanya amat bahagia dan menjadi orang yang bersyukur dengan segala yang dianugerahkan Allah. Syabas dan tahniah untuk semua. Saya amat teruja kalau suatu hari nanti saya dapat berjumpa dengan kalian semua, insyaAllah.