MENGIMBAU KENANGAN
TAHUN 70AN DI
SUTANAH ASMA SCHOOL (SAS)
Dulu-dulu kalau dapat melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam, memang suatu yang sangat besar. Tidak ramai pelajar dapat masuk ke tingkatan enam, berbanding jumlah pelajar yang mengambil peperiksaan SPM atau MCE di tingkatan lima. Menduduki tingkatan enam waktu itu, bermakna memasuki sekolah ternama seperti Sultanah Asma. Dalam tahun 1973 setelah menduduki peperiksaan MCE, dan
lulus mendapat Gred 2, dengan pencapaian agreget sebanyak 24,
saya dan
rakan-rakan yang lain seramai tujuh orang, telah berhijrah ke sekolah baru,
waktu itu lebih popular dikenali sebagai
SAS atau Sultanah Asma School, oleh kerana di Sekolah Menengah Pulau Nyior tidak ada kelas Tingkatan Enam. Kemudian dalam tahun 1974 bermulahlah era baru
dalam arus pembelajaran, saya telah berjaya melanjutkan pembelajaran ke
Tingkatan 6 Rendah di Sekolah Sultanah Asma.
Tahun-tahun
sebelum ini, pelajar dari Pulau Nyior di hantar ke Kolej Sultan Abdul Hamid
untuk melanjutkan pelajaran Tingkatan Enam Rendah. Jadi pada tahun itu,
merupakan tahun pertama penempatan Tingkatan Enam dari sekolah-sekolah luar bandar
ditempatkan ke SAS. Kedatangan saya dan rakan-rakan buat pertama kalinya, dari
kawasan pedalaman seperti Kodiang, Jitra, Changlun dan Pendang ke SAS,
merupakan suatu kejutan kepada pentadbir sekolah. Ini kerana kami terpaksa
memohon untuk menginap di asrama, kerana rumah kami terlalu jauh untuk kami
berulang-alik setiap hari ke sekolah.
Pihak sekolah terpaksa dengan segera menambah jumlah katil di asrama, untuk
menampung jumlah pelajar Tingkatan Enam Rendah yang baru mendaftar. Ini pun
merupakan satu sejarah juga, kerana sebelum ini tidak pernah ada pelajar
Tingkatan Enam yang menginap di asrama.
Pengalaman
hidup di asrama, tidak banyak berbeza dengan kehidupan asrama pelajar sekarang.
Segala peraturan dan masa yang ditetapkan perlu dipatuhi, tidak ada kompromi.
Kami seperti pelajar lain patuh dan akur kepada semua undang-undang asrama.
Tambahan pula kami diminta untuk memberikan contoh supaya menjadi teladan
kepada adik-adik pelajar yang junior. Tapi yang paling mengesankan hingga kini
ialah, menanti dan menikmati mee goreng
mamak yang dibawa oleh kereta sorong pada setiap malam masa kami sedang prep malam. Sungguh klasik menunggu
kedatangan mamak mee yang seolah menjadi rutin harian kebanyakan pelajar semasa
prep. Dia selalunya akan memukul
kualinya dari jauh lagi, melalui lorong yang betul-betul di belakang pagar
asrama. Bila dia tiba kami dah siap
kertas order dan siap dengan duit bayaran sekali, diberikan kepada mamak mee.
Bila dah siap dia akan panggil nama ketua yang menghantar pesanan. Ketika itu
mee mamak panas terasa sungguh sedap, macam ketagih pula, setiap hari kami
hendak saja membelinya.
Pada
hujung minggu pula kami ada outing
boleh keluar ke Bandar untuk jalan-jalan atau membeli barang keperluan. Jadi
kami akan berjalan kaki dari asrama ke pasaraya atau ke kedai buku atau
kadang-kadang tengok wayang beramai-ramai. Satu yang paling diingati ialah
makan mee bandung di gerai depan sekolah sebelah masjid Derga. Jadi pelajar
yang tidak ke mana-mana kami akan keluar beramai-ramai menikmati mee bandung
istimewa itu. Pada waktu itu terasa sungguh sedap dan istimewa menikmati mee
bandung panas-panas. Kadang-kadang kami makan di situ, kadang-kadang kami
bungkus bawa balik makan di asrama.
Di
samping itu, pembelajaran dalam kelas pun
merupakan satu kejutan kepada kami. Kami pelajar luar bandar yang baru
masuk ditempatkan di Kelas Enam Rendah B. Dulu-dulu di sekolah lama kami diberi
nota, diajar dengan penuh bimbingan dan mendapat perhatian daripada guru-guru.
Di Tingkatan Enam cik gu bagi tajuk-tajuk penting kemudian minta kami baca,
buat perbincangan kumpulan dan buat assignment
secara berkumpulan untuk dibentangkan dalam kelas. Semua itu dapat dilalui
dengan mudah selepas beberapa waktu.
Namun
selepas beberapa bulan belajar, timbul
isu tentang mata pelajaran yang ditawarkan kepada kami. Antara mata pelajaran
yang ditawarkan ialah Sejarah Eropah iaitu Sejarah Kertas 2, di samping Kertas
1, Sejarah Malaysia. Kami dapati Sejarah Eropah ini kurang relevan dengan kami
dan tidak membantu pelajar untuk lulus pada waktu itu. Tambahan pula mengikut
analisis yang diberikan guru yang mengajar, jarang-jarang pelajar boleh
mencapai kelulusan cemerlang mendapat gred A, bagi mata pelajaran tersebut.
Malah didapati ramai yang gagal dalam mata pelajaran sejarah. Ini amat
membimbangkan kami kerana kami amat memerlukan kelulusan cemerlang, bagi mata
pelajaran Sejarah untuk melayakkan kami dapat masuk ke universiti. Jadi kami
perlu lulus cemerlang dalam Kertas 1 dan Kertas 2 untuk mendapat gred
cemerlang.
Jadi
selepas itu, semua pelajar Enam Rendah B telah mencapai kata sepakat untuk
memohon kepada pihak sekolah agar membenarkan kami dapat belajar mata pelajaran
Sejarah Islam dan menduduki peperiksaan bagi mata pelajaran Sejarah Islam dalam
peperiksaan Higher School Certificate (HSC). Hasrat kami itu disampaikan kepada
Penyelia Tingkatan Enam terlebih dahulu, tapi beliau tidak boleh memberi
keputusan. Kemudian kami telah menghantar wakil berjumpa Pengetua Cik Maimudah,
untuk menyatakan hasrat kami itu. Dalam perjumpaan itu barangkali beliau kurang
yakin permintaan itu merupakan permintaan ramai dan sebulat suara. Jadi beliau
meminta agar semua pelajar Enam B dapat berjumpanya pada hari dan masa yang
telah ditetapkan.
Perjumpaan
dengan Pengetua sungguh merupakan perjumpaan yang bersejarah. Majlis berlansung
di bilik kelas. Ia lebih berupa dialog dua pihak – antara pelajar-pelajar dan
Pengetua. Penyelia Tingkatan Enam yang turut serta cuma menjadi pemerhati,
tidak pun memberikan sebarang komen. Kami diminta mengemukakan sebab-sebab dan alasan, kenapa
kami minta diajarkan mata pelajaran Sejarah Islam, menggantikan Sejarah Eropah.
Selesai bersoal jawab, Pengetua memberitahu kami, sekolah tidak dapat mengajar
mata pelajaran yang kami minta kerana tiada guru opsyen itu. Kami merayu kepada
Pengetua agar dapat memberikan kebenaran kepada kami untuk dapat mendaftar dan mengambil
mata pelajaran itu dalam peperiksaan HSC
nanti. Kalau sekolah tidak dapat menyediakan guru kami sanggup mencari guru
mata pelajaran itu untuk membantu kami belajar. Tidak sangka pula Pengetua
marahkan kami dengan cadangan yang dikemukakan itu. Katanya duit biasiswa yang kami
dapat, jumlahnya sedikit untuk kegunaan beli buku, untuk bayar yuran asrama,
untuk tambang bas dan untuk belanja keperluan harian. Mana nak dicari duit
untuk bayar guru tuisyen. Jadi bukankah lebih baik, belajar mata pelajaran yang
diajarkan di sekolah tanpa mengeluarkan belanja tambahan kepada guru tuisyen
Sejarah Islam.
Sampai
di situ kami pun terkedu juga. Tapi Allah telah membantu kami, memberikan idea
dan kami memberitahu Pengetua bahawa kami hanya perlu belajar beberapa kali
saja. Selainnya kami akan belajar sendiri menggunakan masa Sejarah Eropah, dan
waktu petang, untuk membuat perbincangan dan pembentangan topik-topik yang yang
kami pelajari dari guru tuisyen kami itu. Kami juga memberitahu Pengetua kami
sudah aturkan tuisyen itu diadakan di sekolah, jadi tidak perlu kos
pengangkutan lagi. Akhirnya Pengetua bersetuju memberikan kebenaran untuk kami
belajar Sejarah Islam dan menduduki peperiksaan mata pelajaran itu dalam HSC.
Peluang
yang diberikan itu kami gunakan sebaiknya. Kamu menghadiri kelas tuisyen dengan
cik gu Othman seorang guru Sejarah di KSAH yang berpengalaman luas dan amat
mahir dalam subjeknya.. Bayaran yang dikenakan sangat minimum, iaitu RM10 untuk
sekali hadir ke kelasnya. Kami hanya diperlukan hadir empat kali saja,
mengikuti kelasnya. Kelas yang pertama beliau memberikan keseluruhan silibus
bagi mata pelajaran Sejarah Islam yang akan kami ambil peperiksaan nanti.
Menurut cik gu Othman dengan mengetahui silibus, pelajar dapat mengetahui
topik-topik yang akan dipelajari. Di samping itu dapatlah pelajar memberi
tekanan kepada topik-topik penting yang masih belum disoal dalam peperiksaan. Kelas yang kedua kami
diberikan pendedahan topik-topik yang
ada dalam dalam Bahagian A dan topik-topik yang perlu diberi penekanan untuk
persediaan menghadapi peperiksaan dalam bahagian ini. Seterusnya dalam kelas
yang ketiga kami didedahkan pula dengan topik-topik dalam bahagian B dan topik
penting yang perlu dibaca dengan mendalam kerana dijangkakan akan ada soalan
dari topik berikut. Akhir sekali kelas yang keempat cik gu Othman membawakan
kepada kami kertas soalan Sejarah Islam bagi 10 tahun ke belakang. Beliau
membantu kami membuat analisis soalan-soalan tersebut. Kemudian beliau membantu
kami membuat pemilihan topik-topik yang perlu kami berikan fokus untuk belajar
dalam kumpulan supaya kami dapat sama-sama bantu membantu bagi pembelajaran
sendiri tanpa guru dalam kelas. Beliau telah membantu kami memeriksa jawapan
yang kami jawab secara kumpulan dengan memberikan tunjuk ajar tentang
kelemahan-kelemahan untuk dibaiki, supaya kami boleh mendapat markah cemerlang.
Alhamdulillah
segala usaha kami dibantu Allah, dan kami yang mengambil mata pelajaran Sejarah
Islam kebanyaknya lulus cemerlang dalam mata pelajaran Sejarah berbanding
pelajar yang mengambil mata pelajaran Sejarah Eropah. Kami mengucapkan
berbanyak-banyak terima kasih kepada Puan Pengetua yang bermurah hati
membenarkan kami mendaftar dan mengambil mata pelajaran Sejarah Islam di
sekolah walaupun tanpa guru. Sebelum kami pulang daripada mengambil keputusan
peperiksaan HSC, Puan Penyelia Tingkatan Enam membisikkan kepada kami, dia akan
membuka kelas mata Pelajaran Sejarah Islam untuk pelajar Tingkatan Enam Rendah
yang baru mendaftar selepas kami. Alhamdulillah kami amat bersyukur, dengan
perjuang kami itu, pelajar lain telah mendapat manfaat. Sejak tahun itu SAS
telah berusaha mendapatkan guru untuk mata pelajaran Sejarah Islam bagi pelajar
Tingkatan Enam untuk mata pelajaran Sejarah.
No comments:
Post a Comment