Monday, June 1, 2015

GURU RAJIN, PELAJAR ?




Saya selalu mendengar guru-guru mengeluh. Kadang-kadang sambil menikmati makan di kantin, kadang-kadang  sambil  duduk di padang  atau
berehat di bawah Anjung atau kadang-kadang dalam mesyuarat kurikulum, mesyuarat panitia, malah mesyuarat guru juga. Saya selalu mendengar dengan penuh prihatin dan simpati kerana guru yang mengadu dan mengeluh itu bukanlah guru-guru yang malas, bukan juga guru yang mencuri tulang, tapi guru yang sungguh berdedikasi dan rajin-rajin pula.


Mereka selalu mengadu murid tidak berminat belajar, dan tidak peduli untuk membuat kerja rumah yang cikgu  berikan. Mereka sangat  risau  kalau murid malas, tidak minat atau enggan  belajar. Memang wajar,  dan  memang patutlah  guru risau kalau murid tidak belajar, kerana tidaklah dikatakan ada pembelajaran dan pengajaran atau (PdP) dalam kelas, jika murid tidak belajar. Masalah ini sungguh berat dan memeningkan kepala semua orang yang terlibat dengan pendidikan di Malaysia kini, terutamanya golongan guru.

Saya ingin berkongsikan pengalaman (PdP) yang barangkali boleh membantu guru. Ini pernah saya cadangkan kepada seorang guru yang pernah saya cerap. (PdP) yang menarik dan berkesan mesti bercorak ‘hands-on’. Murid akan lebih seronok belajar jika mereka lihat dan terlibat sama dalam pembelajaran.  Contohnya dalam subjek Kemahiran Hidup, banyak topik boleh melibatkan murid seperti jahitan. Guru boleh memberikan aktiviti kumpulan kepada pelajar supaya mereka menjahit beberapa jenis jahitan tangan. Kemudian mereka boleh diberi projek untuk membuat hasil tangan yang mereka pilih seperti lapik gelas atau lapik pinggan, sapu tangan, alas meja, penanda buku, hiasan dinding dan banyak lagi. Hasil itu boleh dibuat pertandingan dan muridlah yang memberi markah dan mencari pemenangnya.  Kemudian hasil kerja itu  dipamerkan atau boleh dijual pula. Dengan terlibat secara langsung pelajar akan belajar dalam kelas dan akan membuat kerja rumah yang diberikan, tanpa dipaksakan.

Sebenarnya (PdP) dengan menjalankan aktiviti berkumpulan sangat menarik dan berkesan tapi mesti dirancang dengan teliti supaya dapat menarik perhatian pelajar secara maksimum. Aktiviti yang dirancang mestilah juga dapat mengaitkan pelajar dengan kehidupannya seharian yang boleh dilihat dan dinikmati. Jika tidak walau serajin mana pun guru, kalau pelajar tidak dapat  merasai dan menikmati apa yang dipelajari,  guru akan terus kecewa kerana pelajar tidak akan berminat belajar dengan apa yang diajar secara tradisional. Pelajar akan lebih menyenangi apa yang dapat dilihatnya, dipegangnya, dirasanya, atau mendengarnya, di alam reality,  bukan bayangan dan teori saja.   

Thursday, April 30, 2015

KENALI TASAUF


Tazkirah Jumaat 4.1.13
Kitab Penawar Hati

Dalam pendahuluan kitab ini  Nabi  berpesan,  Janganlah kita terpisah  daripada majlis ilmu dalam masa 40 hari,  apabila berlalu 40 hari tiada  dalam  majlis ilmu,  dua kesan tidak baik akan  terjadi kepada  kita, iaitu yang pertama hati akan  menjadi keras, hati  jadi mati, dan semakin malap. Yang kedua kita berani melakukan dosa besar, nauzubillah.

Hal ini akan  menjauhkan kita daripada  rahmat Allah kerana  kriteria  ahli syurga yang Allah  janjikan ialah berilmu pengetahuan yang memberikan manfaat. Berilmu juga akan menjadikan kita rindu kepada  Allah, dan  berilmu juga  akan menjadikan kita sentiasa  insaf, dan jika kita berdosa kepada Allah, kita akan segera  kembali bertaubat  kepada Allah. Jika kita  tersilap melakukan kesalahan dan cepat-cepat kembali bertaubat, kita akan mendapat redha Allah. Insyaa Allah

Kenapa kita berani melakukan kemungkaran? Tidak lain kerana kita tiada ilmu; ilmu  itu cahaya hati yang dapat menyuluh hati kita  supaya tidak sesat. Sebab itulah perlu belajar ilmu tasauf untuk mengenal Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.

Sebenarnya banyak cara untuk mengenal Allah. Sesetengah ulamak seperti  Hassan Al-Basri berpendapat kita dapat mengenal Allah melalui melalui sifat-sifat Allah yang 20. Salah satu cara lagi ialah dengan mempelajari ilmu tasauf. Makna tasauf itu boleh dilihat melalui asal perkataan  Tasawuf  itu sendiri. 
Ta      
taqwa kpd Allah
Sad
sabar , Nabi bersabda antara amalan yg boleh masuk syurga, jangan cepat marah,   
            tahan diri drp keluh kesah, sabar dalam kepala, sabar dalam melakukan
            ketaatan kpd Allah, sabar daripada melakukan maksiat, 
Wau
warak - meninggalkan perkara larangan dan syubhah
Fa   
fakir - sentiasa berhajat kepada Allah, semua yang kita lakukan kerana
             kebesaran Allah, bersihkan hati supaya dapat redha Allah, Allah
             menentukan segalanya,  sekelian manusia yang fakir kepada Allah

Dengan adanya empat sifat yang dirangkumi ilmu tasauf di atas iaitu taqwa, sabar, warak dan fakir, barulah kita boleh dekat dengan Allah, Contohnya Nabi saw sangat merendah diri, dan sangat tawadhuk, contohnya kasut baginda carik dijahitnya sendiri, baju baginda  koyak baginda buat sendiri juga. Melalui ilmu Tasawuf kita tahu kelakuan hati kita, kita dapat belajar apa yang Allah suka, seperti Nabi saw, baginda melaksanakan dengan sungguh-sungguh dengan sukanya apa yang Tuhan  'suka'. Melalui tasauf juga kita dapat tahu kelakuan yg dicela Allah, supaya dapat kita jauhi, seperti perasaan  dengki, dan takabbur, yang sangat  tidak disukai Allah. Mudah-mudahan penjelasan di atas dapat memberi sedikit  manfaat untuk dihayati dan menjadi pendorong untuk kita terus mengenali Allah yang maha besar, insyaaAllah.

Wednesday, April 29, 2015

SIFAT-SIFAT TERPUJI


Dalam Al-Quran banyak disebutkan sifat-sifat terpuji  yang patut menjadi amalan kita untuk mencari redha Allah. Berikut diturunkan ayat-ayat Al-Quran yang menerangkan sifat-sifat terpuji itu,  agar kita dapat menghayatinya dan seterusnya dapat mengamalkannya:

1. Sifat taat
Surah Muhamad  -  ayat 14
Adakah orang-orang  (yang beriman dan taat)  yang  keadaanya  sentiasa berdasarkan  bukti yang nyata dari Tuhannya: sama seperti orang-orang (yang  engkar - derhaka)  yang telah  diperhiaskan  kepadanya (oleh syaitan) akan  kejahatan amalnya ( sehingga dipandangnya  baik),  dan  yang  telah menurut  hawa nafsunya?  ( sudah tentu tidak sama)!

Surah al-Ahzab - ayat 35 - Sifat taat
Sesungguhnya lelaki / perempuan yang Islam,  yang beriman, yang taat, yang benar,  yang sabar, merendah diri kepada Allah, yang bersedekah,  yang berpuasa, yang memelihara kehormatan, yang menyebut nama Allah banyak- banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.


2, Amanah - Surah Al-Anfal  -  ayat 27
Wahai orang-orang  yang beriman! Janganlah  kamu  mengkhianati  (amanah) Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).
- mengkhianati  amanah Allah dan  RasulNya ialah dengan  meninggalkan  suruhanNya  dan melanggar laranganNya. Mengkhianati  amanah 'kamu' pula ialah amanah  kepada diri sendiri dan  amanah  orang, sama ada yang berupa harta benda, rahsia, dll.

2. Sambil lewa - Surah Muhamad  - ayat 16
Dan di antara mereka yang hadir di majlismu wahai Muhamad ialah orang yang munafik, yang mendengar ajaranmu dengan sambil lewa, sehingga apabila mereka keluar dari sisimu, berkatalah mereka (secara mengejek- ngejek, kepada orang yang diberi ilmu (dari kalangan sahabat-sahabatmu yang setia): Apa yang dikatakan oleh Muhamad tadi? Mereka (yang munafik) itu ialah orang- orang yang dimeteraikan Allah atas hati mereka, dan itulah org yang menurut hawa nafsunya.

3. Mementingkan diri sendiri - Surah Al -Munafiquun - ayat 9
Wahai orang- orang yang beriman, janganlah kamu dilalaikan dengan (urusan) harta benda kamu dan anak pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan ( ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang - orang yang rugi.
- Oleh kerana tabiat orang-orang munafik yang hanya mementingkan dirinya dan harta bendanya semata-mata, maka dengan ayat ini dan ayat-ayat berikutnya, Allah Taala mengingatkan orang-orang yang beriman supaya jangan berlaku demikian.

Surah At-Taghaabun - ayat 14 - Mementingkan diri
Wahai orang2 yang beriman, sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu. Oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka dan kalau memaafkan dan tidak marahkan mereka serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha pengasihani.
- Kerana ada di antara isteri dan anak-anak menyebabkan suami dan bapa masing-masing terdorong melakukan sesuatu yang dilarang Allah, atau terhalang daripada melakukan sesuatu yang baik atau amalan yang dituntut.

Surah At- Taghaabun - Ayat 15 - Mementingkan diri
Sesungguhnya harta benda kamu dan anak kamu itu hanyalah menjadi ujian,  dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.

Sura al-Anfal ayat 28 - Mementingkan diri
Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian,  dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.
- Oleh itu janganlah kamu,  kerana kamu sayangkan harta benda dan kasihkan  anak-pinak lalu kamu terdorong melanggar perintah-perintah Allah, kerana Allah menyediakan pahala yang besar bagi orang-orang yang mematuhi perintah-perintahNya dan mengutamakan keredhaanNya lebih daripada harta benda dan anak-pinak  yang dikasihi.

Al Kahfi ayat 46 - Mementingkan diri sendiri
Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.

4. Berbuat baik - Surah Al Waqiah - ayat  10
Dan (puak yang ketiga pula ialah) orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik- baiknya di akhirat kelak).
- ayat 11  -  mereka itulah orang- orang yang didampingkan di sisi Allah.

Al- Maaidah - ayat  100 - Berbuat baik
Katakanlan wahai muhammad, tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk iru menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.

Surah Yaasin - Ayat 68 - mengharap balasan Allah
Dan hendaklah diingat bahawa sesiapa yang kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kejadiannya (kepada keadaan yang serba lemah;  hakikat ini memang jelas)  maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?


Muda-mudahan dapatlah dimanfaatkan dan menjadi panduan untuk kita mengejar keredhaan Allah untuk kesejahteraan di akhirat nanti, insyaaAllah. Janganlah hendaknya kita tergolong dalam golongan orang yang tidak taat, tidak amanah, mementingkan diri sendiri dan tidak baik pekerti, kerana semua sifat itu akan menjauhkan kita daripada nikmat Allah subhanahu wataala.

HINDARI SYAITAN

Tuesday, April 28, 2015

JAGALAH HATI


BUKU SOAL HATI
OLEH PAHROL MOHAMAD JUOI
BAB 5: JAGALAH HATI

Hati umpama raja dalam kerajaan diri manusia. Jadi untuk melahirkan diri  yang baik perlu dimulakan dengan membersihkan hati atau menjaga hati. Jagalah hati supaya kuat iman yang merupakan kunci utama kepada kesejahteraan diri manusia.  Balutilah ia dengan sifat amanah, pastikan ia dipenuhi rasa ikhlas dan selalu bersangka baik kepada semua perkara yang dilalui.  Hati boleh dijaga melalui melaksanakan ibadat suruhan Allah yang maha esa seperti mendirikan solat, berpuasa mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan menjalankan korban. Di samping itu amalan seperti zikrillah, dan membaca alQuran, dapat membantu membersihkan hati. seterusnya untuk dapat menjaga hati amatlah digalakkan untuk manusia  mengingat mati, dan menjauhi segala dosa. Semua amalan di atas membolehkan hati kita dijaga untuk mencapai keharmonian dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat nanti, insyaaAallah.

Sunday, April 26, 2015

KUALITI HATI


BUKU SOAL HATI
OLEH PAHROL MOHAMAD JUOI
BAB 4 - KUALITI HATI

Sebarang tindakan manusia dipengaruhi oleh nilai yang menjadi pegangan. Kadang-kadang manusia mengalami konflik antara nilai dan tujuan hidup, kerana nilai berubah-ubah mengikut konteks dan situasi manusia. Cuma nilai dalam agama Islam sahaja yang tidak berubah, kerana Allah yang menentukan apa yang dianggap benar, baik dan betul yang diterangkan oleh al-Quran dan Sunnah. 

Orang Islam sepatutnya berpegang kepada nilai yang Allah tentukan, sama ada dalam bentuk suruhan atau larangan, yang terangkum dalam Rukun Iman, Rukun Islam, di samping  panduan oleh Rasulullah saw. Jadi penghayatan kepada segala suruhan Allah, dengan menunaikan segala ibadat dan amalan Rasulullah, akan membentuk hati yang berkualiti. Kualiti hati terletak kepada keimanan iaitu kecintaan kepada Allah dan Rasul dengan sungguh-sungguh sehingga   membentuk peribadi, sikap dan tingkah laku seseorang, iaitu beriman dan berakhlak mulia.





Wednesday, April 22, 2015

MANISNYA IMAN


BUKU SOAL HATI
OLEH PAHROL MOHAMAD JUOI
BAB 3 - MANISNYA IMAN

Dalam kehidupan ada beberapa perkara penting untuk kestabilan emosi dalam menjalani hidup seharian iaitu, kesihatan, kewangan, kerjaya, ilmu pengetahuan, perhubungan dan kekeluargaan. Tapi realitinya sukar mencapai kestabilan dalam semua perkara tersebut. Jadi di sinilah peranan iman. Manisnya iman itu kerana ia akan menampung segala kekurangan dalam kehidupan dengan sifat sabar, redha, lapang dada dan tawakkal. Sebaliknya ia akan seimbangkan segala kelebihan dengan rasa bersyukur dan tidak lupa diri.

Manisnya iman itu ialah apabila hati dapat memandang, mentafsir dan bertindak secara positif, kerana dapat merasai cukup akan segala macam bentuk keperluan, pemikiran, perasaan dan kejiwaan, serta rasa nikmat melakukan ketaatan dan bahagia  meninggalkan kejahatan. Kemanisan iman boleh dipupuk dengan perasaan cinta hanya kepada Allah dan Rasul. Dengan itu dapatlah melakukan amalan baik dengan sungguh-sungguh sehingga merasai nikmatnya. Itulah kemanisan iman, marilah sama-sama kita usahakan, insyaa Allah.