Friday, June 1, 2018

DAY 4 (2) OHRID - SKOPJE - PRIZREN


15 APRIL 2018 : AHAD
OHRID - SKOPJE (MECEDONIA) - PRIZREN (KOSOVO)

Pintu gerbang di Skopje berhampiran Restoran Admiral Ragusa
Di hadapan Restoran
Selepas makan tengah hari jam 2.40 petang, kami teruskan perjalanan ke Prizren Kosovo. Perjalanan ke sempadan Kosovo hampir 1 jam, dan kami  dengan cepat selesai segala urusan Imegresen pada jam 4.00 petang. Selepas itu dari sempadan ke  Prizren perjalanan makan masa lagi 2 jam. Prizren ialah sebuah bandar industri termasuklah pelancongan yang tidak jauh dari ibu negeri Kosovo, Pristina. Perjalanan yang agak lama maka eloklah kami semua berehat dalam perjalanan itu, sambil menikmati pemandangan, kerana letih berjalan dan perut yang penuh selepas makan tengah hari. 

Perjalanan  ke Prizren berbeza dari perjalanan ke Skopje. Jalan agak lurus kerana kami lalu di National Highway ke Kosovo dan kawasannya lebih lapang kerana kawasan tanah dataran. Tapi kelihatan seperti penduduknya tidak begitu ramai kerana jarang-jarang sekali kelihatan rumah-rumah di sepanjang jalan ke situ.  

 Masjid .....





Memang Kosovo ialah sebuah negeri kecil lagi miskin tapi pemandangannya sungguh cantik. Ia merdeka dari Yugoslavia pada tahun 2008. Keseluruhan penduduknya berjumlah 1.6 juta orang dan kebanyakanya orang berbangsa Albania, Turki dan lain-lain. Lebih  daripada 90 peratus daripada mereka beragama Islam, sebab itulah terdapat  banyak  mesjid di Prizren ini.


Pemandangan yang sejuk mata memandang
Satu lagi kawasan perumahan
Oleh kerana sudah agak lewat  jadi kami bercadang solat jamak asar dan zohor apabila tiba di sana, kerana kami tidak berjumpa satu masjid pun di sepanjang jalan ke Kosovo. Kami tiba di Prizren dalam jam lebih kurang 6.15 petang. Dengan tergesa-gesa kami terus melintasi jambatan menuju ke Hotel Centrum di seberangnya. Kedengaran air sungai mengalir deras, menderu-deru bunyinya. Sungguh menyamankan tapi kami tidak mampu menikmatinya kerana kesuntukan masa. Kami sempat melihat banyak mangga kunci bersangkutan di pemegang jambatan bersusun-susun, Kononnya remaja mereka mempunyai hajat dan di situlah mereka seolah-olah meminta hajat itu disempurnakan. Tak tau dari  mana datangnya kepercayaan begitu. Bila hati kosong begitulah jadinya. Dah tak tau di mana mengadu pintalah di mana-mana yang dirasakan dapat meyakinkan mereka berbuat sesuatu. Entahlah biarlah mereka dengan cara mereka.

Sungai di tengah bandar
Kami  pula terpaksalah  bergegas ke bilik hotel untuk sembahyang di bilik kerana masa sudah agak lewat takut terlepas waktu pula. Selesai solat, tiba waktu maghrib kami dengar azan berkumandang dari banyak masjid bersahut-sahutan. Terasa seperti di Malaysia pula, sungguh tersentuh perasaan kami. Di bumi Kosovo sudah boleh kedengaran azan, alhamdulillah syukur pada Mu Ya Allah. Semoga saudara Islam kami akan terus mendapat hidayah dan pertunjuk demi menghidupkan Islam sebagai addeen. Mereka sudah lama kosong jiwanya semasa di bawah Komunis. Kini tidak lagi, mereka sudah boleh mengamalkan agama, dan dapat kami rasakan sudah mulalah syiar Islam menyinari kehidupan mereka.

Sungai yang menambahserikan bandar Prizren
Selepas selesai solat maghrib di kamar, di Malam yang dingin, kami berkumpul semula di Lobby jam 7.30 malam untuk melawat Prizren Old Town dan berjalan ke sebuah restoran menikmati jamuan makan malam di situ. Bandar Tradisi Prizren ini sungguh unik, kerana  bandarnya dipisahkan oleh sungai dari sebahagian bandar baru Prizren yang lainnya. Bentuk muka buminya pula tidak rata kerana terletak di kaki bukit. Sambil melihat kedai-kedai yang kami lalui, didapati  jalannya dibuat daripada batu batan untuk pejalan kaki sahaja, dan boleh dikatakan kenderaan tidak lalu di situ. Kebanyakan kedai sudah mula ditutup, yang masih buka  ialah sebahagian kedai-kedai kecil seperti bazaar. Kelihatan ramai pengunjung sedang  menikmati kopi dan  makan-makan di restoran. Ramai sungguh orang lepak-lepak di kedai kopi menikmati suasana dingin malam, bersama haruman segar kopi yang mengasyikkan. Kehidupan malam di Prizren sungguh meriah, kerana mereka dengan tenangnya menghabiskan masa di situ. Patutlah Mr Liere kata orang Alabania malas dan suka bersenang-senang sebab itu mereka susah
 
Menikmati Pemainan gendang sebelum makan malam
Sambil menuggu di hadapan restoran di suatu kawasan lapang seperti dataran, kelihatan ramai orang menghabiskan masa di situ, terdapat beberapa kumpulan budak-budak bermain gendang untuk mengutip wang sebagai mata pencarian. Kami bagi 2 EURO, ditanya nama dan dia terus menyanyi sambil bermain gendang tradisi mereka. Menurut Liere ini suatu sindiket minta sedekah, menggunakan anak-anak untuk mencari nafkah. Macam-macam cerita pula. Tapi kami lihat budak-budak itu dengan gendang, mereka satu kumpulan tiga orang, bergerak dari meja ke meja di restoran tempat orang sedang makan-makan atau minum kopi, untuk menghiburkan sambil mendapatkan habuan mereka pula. Macam-macam pula kerenah dunia dalam zaman yang serba susuh ini, hanya Allah saja yang tahu. Mudah-mudahan mereka mendapat hidayah insya Allah.


Jam 8.00 kami dipelawa masuk ke restoran. Ramai sungguh orang menjamu selera di situ. Barangkali sedap masakannya, kami terus ke atas kerana sudah ditempah lebih awal makananya. Sajian kami malam itu kebab daging panas-panas. Sedaplah juga makan daging panas, sup dan salad seperti biasa. Bolehlah sekadar mengalas perut bagi meneruskan perjalanan esoknya. Oleh kerana terlalu letih selesai makan kami terus pulang ke kamar untuk melejangkan otot. Dan kami akan berjumpa lagi pagi besok pagi jam 5.30 untuk solat subuh berjemaah di masjid insyaaAllah.


 

Thursday, May 31, 2018

DAY 4 (1) 15 APRIL: OHRID - SKOPJE - PRIZREN


15 APRIL 2018 - AHAD
OHRID - SKOPJE (MECEDONIA) - PRIZREN (KOSOVO)


Pagi di Ohrid Mecedonia, yang semakin ke utara Albanaia, sungguh nyaman, lebih nyaman rasanya daripada Berat. Kami solat subuh di ruang legar hadapan Lobby yang agak luas dan selesa di Hotel Flaminggo. Selepas solat kami exercise untuk menguatkan lutut sebagai persediaan supaya terus kuat berjalan hari ini.  

Salji masih ada..
Sarapan kami di Flamingo, disajikan pelbagai jenis roti, pelbagai jenis cheese, salad dan buah-buahan ala kadarnya. Itu pun sudah cukup kenyang, dan rasanya dapat bertahan hingga ke tengah hari. Tepat jam 8.00 pagi, kami siap siaga untuk meneruskan  perjalanan ke Skopje (disebut Skopie). Mr Berto    dengan senyum lebar memulakan  perjalanan, Dua hari bersamanya dia memang seorang pemandu yang professional, memadu dengan sabar, tekun dan cermat. Alhamdulillah kami dikurniakan seorang pilot yang membawa kami sepanjang hari dengan sungguh tenang walaupun perjalanannya beratus kilometer sepanjang hari. Setia menemani kami Mr Liere dan Zehra pula bertugas di Mecedonia dengan pelbagai informasi di Skopje nanti.
Perjalanan ke Skopje ibu negeri Mecedonia melalui kawasan berbukit bukau. Pemandangan yang indah ciptaan Tuhan di sepanjang perjalanan 3 jam itu  sungguh mengasyikkan. Di kiri kanan jalan, ladang-ladang padi, jagung, dan kentang menghijau dibarisi pokok-pokok anggur, kadang-kadang pokok epal dan pokok pine. Ada kawasan yang baru dibajak tanahnya, selepas musim salji yang baru berlalu, dan kawasan lainnya pula tanaman sudah subur tumbuhnya.


Sesekali ladang epal dan plum menghiasi pemandangan dengan bunganya yang putih gebu menyejukkan mata memandang. Sungguh indah lakaran alam anugerah Tuhan kepada makhluk yang amat dicintai, yang sedang menyaksikan kebesaran Ilahi, yang maha agong lagi masa pengasihani. Alhamdulillah maha suci Allah, yang telah mentakdirkan kami dapat bermusafir dengan izinNya jua. Sesekali di kejauhan kelihatan sayup-sayup banjaran gunung yang puncaknya masih diliputi salji. Tak hairanlah pagi itu sungguh sejuk dan nyaman dapat kami rasakan. 

Singgah di pertengahan jalan
Di pinggir bandar Skopje   
Alhamdulillah, lebih kurang jam 11 pagi kami tiba di Skopje, bandar kelahiran Alexader The Great. Bandar seluas 25 hingga 35 kilometer persegi itu penduduknya lebih kurang 2 juta orang sahaja, dan masyarakatnya terdiri daripada campuran masyarakat penganut agama Christian Orthdoks berasal dari Albania, orang-orang Gipsee beragama Islam dan orang Serbs beragama Christian Protestant. 

Mecedonia  dipisahkan kepada dua bahagian oleh Sungai Valdar, sungai terbesar di sana. Negera ini adalah negeri pertanian, tanahnya agak subur, jadi sumber  pendapatannya  banyak  dari hasil  pertanian seperti   padi, jagung, ubi kentang, buah epal, dan buah anggur serta ternakan lembu dan kambing yang menghasilkan susu dan makanan lainnya.  Pendapatan dari hasil industri tidak begitu banyak, contohnya  seperti kilang arak dan choclat sahaja dan gaji pekerja di kilang juga agak murah. Walau bagaimanapun Mecedonia kaya dengan  bahan galian seperti emas, tembaga dan batu permata rubi merah yang kebanyakannya dieksport.
Membelakangi Masjid Mustaffa Pasha
Lawatan kami yang pertama ialah berkunjung ke Masjid Mustaffa Pasha. Indah tersergam masjid yang terletak di atas bukit ini, sayangnya kami tidak dapat solat di dalamnya kerana masih dalam proses pengubahsuaian. Usaha penambahbaikan ini dijalankan secara kerjasama dengan kerajaan Turki. Melihat dari seni bina dan reka bentuk binaan zaman Othmaniah yang masih kekal di mesjid  ini, tergambar zaman keagungan Islam suatu masa dahulu, yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapapun.  Sekararang Masjid Mustaffa Pasha merupakan  sebahagian daripada kompleks dalam Kota Othmaniah, di samping 3 buah universiti yang ada di situ. Di situ diberikan pendidikan percuma walaupun kepada pelajar-pelajar bukan Islam. Kagum ada sedih pun ada, begitulah ketentuan Tuhan, jika agama tidak dipelihara maka musibahnya akan ditanggung oleh semua.

Skopje Old Town
Berkumpul untuk ke Skopje New Town


Kemudian kami berjalan ke bandar Skopje Old Town. Di situ terdapat lebih kurang 200 buah kedai seperti bazaar yang menjual pelbagai jenis hasil kraftangan dan cenderamata. Di sepanjang bazaar itu ramai penduduknya Islam, boleh dikatakan hampir semua yang diberi salam menjawab salam kami dengan sempurna, sungguh terharu kami melihat saudara-saudara seagama berlainan rupa dan berlainan bangsa dipertemukan untuk sama-sama dapat merasakan kebesaran Allah yang Maha Kuasa. Di situ kami masih dapat merasakan kuatnya syiar Islam yang masih menjadi amalan masyarakat setempat. Alhamdulillah.
Memasuki  Skopje New Town
Di jambatan Sungai Valdar untuk ke bandar baru
Permulaan cerita Alexander
Kemudian kami bergerak ke bandar baru Skopje. Dapat dilihat bagaimana Mecedonia pandai menggunakan unsur tempatan untuk menarik minat pelancong. Bandar Skopje dipenuhi patung-
patung yang dibina khusus sebagai hiasan dan menjadi daya  tarikan pelancong, semuanya berkaitan dengan Alexader The Great. Sayup mata memandang binaan patung-patung yang tersergam itu menghiasi keseluruhan bandar dan menjadi mercu tanda untuk dilawati pelancong-pelancong. Sungguh kreatif dan strategik perancangan yang dibuat pihak berkuasa bandar itu, barangkali perancangan  sebeginilah yang perlu dibuat di Malaysia, agar dapat menentukan aspek-aspek yang boleh ditambah sebagai produk pelancongan. 



Akhir sekali kami berjalan untuk makan tengah hari di sebuah restoran tempatan. Nampaknya bandar baru Skopje ini tarikannya hanyalah unsur budaya yang berasaskan patung-patung menceritakan tentang Alexander The Great sahaja. Legenda itu menjadi unsur bahan pelancongan yang dinikmati oleh pengunjung.  Tengah hari itu, setibanya di restoran, menunya sama juga sup sayur dan roti, ikan dan nasi, serta baklava lagi. Untuk mengumpul tenaga, kami terpaksa juga makan bagi meneruskan perjalanan ke Prizren Kosovo yang masih jauh, insya Allah.


Saturday, May 26, 2018

Day 3 (2) OHRID LAKE MECEDONIA


14 APRIL - SABTU
BERAT (ALBANIA) - STRUGA - OHRID MECEDONIA

Pemandangan di Sempadan  Albania Mecedonia
 Kapacah (Kjafasan)  
Kami kemudiannya tiba di sempadan Albania,  lebih kurang jam 11.45 pagi. Urusan cop passport keluar dari Albania dan masuk pula ke Mecedonia semuanya selamat. Urusan Imegresen di dua sempadan itu memakan masa lebih daripada sejam kami terpaksa menunggu di dalam bas. Lebih kurang jam 12.30 tengah hari bas kami mula bergerak meninggalkan sempadan menuju ke Ohrid pula.




Melihat pemandangan di Mecedonia, jelas dilihat bentuk mukabumi yang berbeza sedikit dari Albania. Mecedonia kelihatan lebih maju. Jenis tanamannya sudah kelihatan lain. Kadang-kadang sesekali kelihatan pokok-pokok pine tirus memagari dan menghiasi ladang-ladang mereka. Dan lebih banyak pokok plum kelihatan ditanam oleh peladang-peladang yang menghiasai di halaman rumah mereka.


Untuk ke Ohrid kami melalui bandar Struga. Walaupun tidak singgah tapi dapat dilihat bandarnya cantik dan tersusun. Rumah-rumah kediaman nampak cantik tersergam, ada yang tiga tingkat pun. Di kawasan lain ada juga kelihatan kawasan rumah-rumah pangsa. Di  satu kawasan kediaman kami lihat sebuah mesjid yang agak besar dan di sebelahnya pula ada sebuah gereja, dan kubur ada di belakangnya pula. Barangkali kawasan di situ ramai orang Islam. Bandar Struga memang cantik dihiasai sungai dan tasik yang airnya mengalir deras dibarisi gunung yang masih bersalji di puncaknya.. Cuaca yang nyaman dapat kami rasai, kerana dapat dilihat orang ramai berjalan-jalan dan menaiki basikal di situ.  Kami sempat singgah sekejap di sebuah stesen minyak untuk melejangkan otot dan qadha hajat. 


Lebih kurang jam 2.00 petang kami selamat tiba di bandar tradisi Ohrid (Ohrid Old Town). Di bandar itu bas tidak boleh masuk, jadi kami berjalan beramai-ramai  ke Restoran untuk menikmati jamuan tengah hari. Sungguh ramai pelawat dan masyarakat tempatan pada waktu tengah hari ini, semuanya berjalan-jalan dengan berbagai-bagai tujuan. Ada yang duduk-duduk sambil menikmati suasana kesibukan kota, ada yang membeli belah dan ramai juga memenuhi restoran-restoran sedang menikmati jamuan atau minum-minum kopi.




Lebih kurang sepuluh minit kami tiba di restoran tempatan disambut mesra oleh petugasnya. Dengan pantas pula selepas kami memenuhi tempat-tempat duduk, makanan pun dihidangkan. Menu kami nasi briyani ayam panggang, salad sayuran dan kentang goreng. Sungguh sedap nasi briyani lauk ayam itu. Tapi tidak seorang pun mampu menghabiskannya kerana setiap orang diberikan setengah ekor ayam panggang.





Berjalan ke jeti
Akhirnya kami bungkus ayam-ayam itu dan disedekahkan kepada asnaf miskin yang mengemis di sekitar bandar pelancongan itu. Dalam diam kami terasa sedih kerana yang miskin dan minta sedekah itu ialah orang Islam. Tidak nampak pula orang lain mengemis-ngemis di bandar itu. Kami juga diperingatkan selain pengemis di situ juga kami mesti berhati-hati dengan penyeluk saku. Alhamdulillah kami diselamatkan Allah dari musibah itu kerana antara kami saling berhati-hati dan berjaga-jaga.
 
Bergambar kenangan di Jeti sebelum boat-riding
Pemandanga indah tasik
Sebelum berkunjung ke Tasik Ohrid kami solat jamak Asar Zohor di masjid hadapan restoran. Lama juga kami terpaksa menunggu giliran, sebab tempat wudhuk hanya satu dan ruang solat pula sempit. Setelah semua selesai solat kami  berjalan semula ke jeti untuk "boat-riding" di Ohrid Lake. Kami mula menaiki bot jam 3.15 petang dan dijangka akan mengambil masa  45 minit di tasik itu.  


Kawasan perumahan tepi tasik
Pemandu pelancong tempatan Zara menunjukkkan kepada kami di atas lereng bukit sebelah kanan  kelihatan tembok besar yang agak panjang sebagai benteng keselamatan penduduk di situ pada zaman silam, masih teguh berdiri hingga ke hari ini. Rumah-rumah kediaman amat mempesonakan dan menghiasi pemandangan tasik yang indah itu di sebelah bawah tembok. Ya Allah sungguh besar ciptaanMu, maha agong  Engkau Ya Allah, menciptakan tempat-tempat indah yang dapat kami terokai dan nikmati sebagai lambang kebesaran dan rahmatMu.  Berada di atas bot sambil menikmati angin yang sepoi-sepoi bahasa dan menikmati pemandangan indah di kiri kanak tasik sungguh mengasyikkan. Alhamdulillah syukur padaMu Ya Allah Engkau telah memilih kami dapat menerokai bumi Balkan yang cantik ciptaanMu ini.

Selepas itu kami diberi sedikit masa dari jam 4.30 hingga 5-30 petang untuk membeli belah di Bandar tradisi Ohrid yang indah. Ramailah yang mengambil kesempatan membeli cenderamata  sebagai kenang-kenangan seperti rantai kunci, magnet peti sejuk dan sebagainya lagi. 

Kami diminta berkumpul di dataran berhampiran sebuah pokok tua yang dipercayai berusia  lebih 100 tahun dikenali sebagai old Cinar Tree. Pokok tua itu selalu dipangkas supaya rimbun dan dapat  mengekalkan saiznya supaya dia tidak terlalu tinggi dan besar. Orang barat ni memang pandai mengambil kesempatan. Apa saja yang boleh dijadikan bahan komersial akan diguna pakai. Pokok ini ialah pokok zaitun, dan pokok zaitun memang terkenal tahan lama. Ia sangat tahan walaupun pada masa musim sejuk. Ia akan tumbuh subur semula pada musim bunga dan berbuah pada musim panas. Jadi jika pikok ini diberi penjagaan yang sempurna ia akan hidup sangat lama. Dan itulah yang dilakukan oleh pihak berkuasa bandar Ohrid sebagai tarikan pelancong yang berkunjung ke situ. 

Dataran Old Cinar Tree di Bandar Tradisi Ohrid
Selesai membeli belah bila semua telah berkumpul, di Dataran Old Cinar Tree kemudian kami bergerak ke hotel  untuk berehat dan mengumpul tenaga bagi perjalanan seterusnya esok. Pukul 6.00 petang kami check-in di Hotel Flamingo Ohrid. Kami makan malam di situ tapi ramai yang yang tidak termakan sebab kurang sesuai dengan tekak kami. Menunya sepinggan salad kobis kosong, ikan dan nasi - aduh semua kami tidak makan salad yang setimbun itu. Pencuci mulut baklava yang sangat manis itu pun dah tak diterima tekak kami yang dah veteren ini. Aduhai lain padang lain belalang. Kalaulah ada sambal ikan bilis alangkah sedapnya.  Cuma dapa menelan liur saja sebab perjalanan baru bermula. Bersabarlah.

    

Tuesday, May 8, 2018

DAY 3 (1) 14 APRIL: BERAT - STRUGA - OHRID (MECEDONIA)


14 APRIL - SABTU
BERAT ALBANIA - STRUGA - OHRID MECEDONIA



Pagi di Berat Albania nyaman dan damai. Sayup-sayup kedengaran bunyi azan dari mesjid terdekat dengan Hotel Grand White City tempat kami menginap. Kami telah diaturkan berjemaah sembahyang subuh di sebuah bilik yang ditempah khas oleh Kak Zaharah ketua kumpulan kami. Sungguh syahdu berjemaah di bumi Albania yang satu masa dahulu tidak dibenarkan mana-mana agama sekalipun diamalkan oleh penduduk negeri itu. Tapi sekarang semua telah berubah. Sinar Islam sudah mula berkedip dan syiarnya dapat dirasakan bila berada di sini, dan masyarakat Islam pula sudah mula berjinak-jinak dengan agama. Sekurang-kurangnya sudah dapat kedengaran azan bergema di masjid-masjid. Selepas itu ada penduduk yang berjemaah di sana, itupun sudah merupakan satu pencapaian, ke arah menegakkan syiar Islam. Waktu subuh masuk pukul 4.20 pagi waktu Albania, tapi penduduk tempatan mendirikan sembahyang subuh lebih sejam selepasnya, jadi kami pun solat subuh pagi itu jam 5.40 pagi. Sungguh syahdu dirasakan oleh semua jemaah semasa bermunajat di bumi Balkan itu. Walau suasana dan bumi yang berbeza, cuaca juga berbeza, orang yang tidak sama budaya, berlainan pula rupa parasnya, tapi disatukan oleh satu pegangan iktikad yang serupa menjunjung keesaan Allah yang satu. 

Kemudiannya, pagi yang ceria itu selepas subuh diserikan lagi dengan menikmati hidangan sarapan yang sungguh meriah dengan pelbagai jenis roti, buah-buahan, dan biskut. Kami sungguh teruja dengan jem pelbagi rasa buah-buahan  seperti strawberi, buah teen dan 'peach' hasil kilang pengusaha hotel itu. Setelah merasa keenakannya  kami hampir semuanya membeli jem segar dari kilang sebagai buah tangan. Kami juga turut membeli minyak zaiton segar dari kilang milik Pengurus itu.

Tepat jam 8.00 pagi, dalam suasana dingin  di awal musim bunga, bas kami mula bergerak menuju destinasi seterusnya Mecedonia. Menurut Liere perjalanan kami akan memakan masa lebih kurang 4 jam. Keindahan bandar  Berat bandar tradisi itu sedikit demi sedikit kami tinggalkan.  

Di sepanjang jalan di pinggir bandar, kami mula melihat kawasan-kawasan ladang ditanam pokok bawang (leeks) yang bunganya kelihatan kekuningan. Ada kawasan yang pokoknya masih belum berbunga kelihatan sungguh hijau sejuk mata memandang. 

Selain itu dapat dilihat pokok-pokok epal atau plum yang sedang berbunga gebu keputihan atau kemerahan ditanam di kawasan ladang persendirian. Senario yang menarik di sepanjang jalan di kawasan pedalaman ini ialah satu kawasan ladang ditanam pelbagai jenis  tanaman, seperti bawang, anggur, epal dan plum. Ia kelihatan seperti hiasan di halaman rumah yang disusun atur dengan rapi dan kelihatan sungguh cantik.

Oleh kerana cuaca agak dingin jadi kami berhenti sekejap minum kopi di sebuah restoren di tepi sungai yang airnya sungguh deras. Kami ambil peluang juga untuk ke bilik air melepaskan hajat. Kemudian kami berhenti juga di tepi jalan untuk membeli buah-buah segar, iaitu  strawberi yang baru mula dituai.

Seterusnya kami mula melalui kawasan pedalaman yang berbukit bukau. Sesekali dapat dilihat rumah-rumah di lerang bukit. Kawasan ini adalah kawasan yang penduduknya miskin hidup bercucuk tanam. Mereka tinggal jauh dari bandar dan jauh dari sekolah, serta perhubungan pun susah dengan dunia luar. Selain bercucuk tanam tiada apa-apa hasil industri kecuali kilang alluminuim yang tidak lagi ber0perasi. Sesekali dapat juga dilihat kesan-kesan jalan keretapi yang telah rosak dan tidak digunakan lagi. Keretapi itu gunanya mengangkut aluminium untuk ke pelabuhan. 


Itu pun telah dimusnahkan semasa zaman komunis berkuasa. Liere kata Komunis sangat 'pandai' memusnahkan apa-apa yang ada.  Melihat kawasan berbukit bukau itu Liere memberitahu pada musim sejuk kawasan ini diliputi salji. Kadang-kadang kelihatan rangka-rangka jambatan besar yang telah  rosak semasa zaman komunis. Memang jelas kesan tinggalan itu, dalam diam kita mengakui kata-katanya itu. Sayang sekali semua tinggalan besar itu kata Liere dibuat atas kerahan tenaga rakyat  tapi masa zaman Komunis memerintah, aset perhubungan itu musnah begitu sahaja. Dalam diam kita amat bersyukur kerana negara kita tidak mengalami saat perit getir di bawah komunis, alhamdulillah. 
Kami kemudiannya tiba di sempadan Albania, cop passport keluar dan masuk pula ke Mecedonia lebih kurang jam 12,30 tengah hari. Urusan Imegresen di dua sempadan itu memakan masa bebih daripada sejam.