Wednesday, July 3, 2013

RAMADHAN DATANG LAGI


Bulan Ramadhan bakal tiba. Seorang jiran telah kembali ke rahmatullah dengan selamatnya. Semua kaum keluarga dan sahabat handai merasa kehilangan dengan pemergiannya. Di surau Imam memohon derma ikhlas untuk jamuan berbuka, kalau boleh jumlahnya biarlah lebih banyak daripada tahun-tahun sebelumnya. Di surau juga Imam mengingatkan ahli jemaah tentang kelebihan merindui bulan penuh rahmat ini, rindukan pahala berganda-ganda, rindukan rahmatNya yang tidak terduga, rindukan aura Ramadhan yang tidak boleh dipisahkan dengan solat tarawih dan qiamullailnya. Lebih syahdu lagi  rindukan lailatul qadar yang dijanjikan, sudah pasti pada umatNya,  malam yang sarat dengan pahala, rahmat dan barakahNya.

Untuk mendapat pahala Ramadhan yang berganda-ganda, marilah kita semak bagaimana caranya. Selain menjaga haram halalnya, marilah kita lihat sunat-sunat semasa menjalankan ibadat puasa yang dikongsikan oleh Iman dengan kami.
- sahur 15 minit sebelum terbit fajar
- berbuka dengan tamar, zam-zam dan air tidak dimasak
- mandi selepas maghrib supaya tidak mengantuk sembahyang tarawih
- memberi jamuan kepada orang berbuka puasa - pahalanya sama dengan orang puasa sepenuhnya
- sembahyang tarawih tiap-tiap malam - siapa bersembahyang dengan penuh keimanan tiap-tiap malam, diampunkan dosa
- jaga sembahyang witir - sunat berjemaah, baca nyaring dan sunat baca qunut selepas 15 hari bulan puasa
- banyakkan baca alQuran
- jaga sunat rawatib yang mengiringi sebelum dan selepas sembahyang fardhu, kerana ia lebih afdhal, jangan tinggal 
- banyakkan membaca alQuran, melakukan amalan baik, berselawat dan membaca doa alMakthurat
- bersungguh-sungguh beribadat  10 malam terakhir, kerna mencaari lailatulqadar
- lapangkan perbelanjaan untuk keluarga
- elakkan bertengkar

Mudah-mudahan dengan sedikit perkongsian itu dapatlah kita  meningkatkan keberkatan bulan Ramadhan al-mubarak ini insyaa Allah.

Tuesday, July 2, 2013

SURATAN TAKDIR


Alangkah bersyukurnya, menjelang bulan Ramadhan yang mulia terjumpa seorang teman lama, yang jarang-jarang dapat berjumpa. Banyak cerita yang dapat dikongsi bersama. Cerita anak-anak yang sudah membesar dan berjaya. Cerita tentang perjalanan usia yang sudah semakin meningkat dan menghampiri senja. Terasa masih baru kenangan bersama membesarkan anak-anak; ambil Buku Rekod Kemajuan di sekolah, baca Yaasin dan Mohon Restu, kelas renang, kelas piano, kelas tuisyen, kelas lukisan, pesta sambutan hari kelahiran dan berbagai-bagai lagi aktiviti anak-anak yang dikongsi bersama. Bermula dengan persahabatan anak-anak, akhirnya menjadikan ibu dan bapa juga kawan. Sungguh nostalgik dan amat mengesankan, dan bila dikenang-kenang amat menyentuh perasaan.

Dan yang paling menyentuh hati, bila sama-sama menyentuh soal kesihatan. Bila sudah mencecah lebih setengah abad, maka ada saja penyakit yang datang menyapa. Sedih juga mendengar ceritanya yang mengalami 'slip-disc'. Kisahnya semasa mudanya,  selalu dia  berulang-alik, boleh dikatakan setiap minggu melawat anak di KL. Bermula di Sekolah Berasrama Penuh, kemudian di Kolej Mara pula. Bila terbang bawalah pelbagai makanan dingin beku yang pelbagai untuk anak-anak  kesayangan. Maka amat beratlah beg yang terpaksa diuruskan saban minggu semasa melawat anak-anak, seorang  lepas seorang, tiga orang semuanya. Bukan itu saja bila anak di luar negara, bermula pulalah perjalanan yang lebih jauh dengan rutin yang sama juga. Alangkah, alangkah dalamnya kasih ibu kepada anak-anak yang amat dicintai.

Kini anak kesayangan sudah berjaya semuanya, seorang Doktor, seorang Farmasis dan seorang lagi bidang Ekonomi. Alangkah bahagianya suratan Allah ditakdirkan kepadanya. Pada masa yang sama alangkah besar ujian penanggungannya, kerana terlalu sangat mengangkat beg-beg yang berat dia mengalami sakit tulang belakang yang teramat sangat. Sungguh amat insaf melihat pengorbanan seorang sahabat yang sangat kasih kepada anak-anaknya yang tercinta. Sekarang anak-anak tercinta yang semuanya berjaya sibuk dengan kerjaya.  Siibu pula sekarang  sibuk merawat sakitnya pula. Maha suci Allah, begitulah suratan takdir adanya kepadanya. Mudah-mudahan sabarlah ibu menerima takdirnya  yang tertulis kepadanya itu.  

Monday, July 1, 2013

MENJADI DIRI SENDIRI


Sejak berkahwin, berkerjaya, dan berkeluarga, rutin harian memang sangat padat. Apatah lagi apabila diamanahkan jawatan pula. Sejak memegang jawatan, kalau tidak kena gayanya memang tiada masa langsung  untuk diri sendiri. Setiap masa difikirkan untuk urusan di tempat kerja, banyak masa untuk urusan keluarga, dan masa-masa yang lain untuk serbaguna. Begitulah saban hari yang telah ditakdirkan atas ketentuanNya.

Oleh itu selalu juga diingatkan kepada rakan, sesekali kita perlu jadi diri kita sendiri. Jadi antara program yang boleh merealisasikannya ialah  'team- building'. Melalui program ini kita boleh melaksanakan aktiviti yang boleh merehatkan fikiran dan minda, dan boleh juga mengurangkan stress yang berganda-ganda. 

Jadi amatlah bersyukurnya kami dapat melapangkan masa untuk 'team-building' yang sangat singkat tapi amat bermakna. Walaupun cuma dua hari satu malam, tapi masa yang dilalui bersama amat berharga dan bermakna; perjalanan ke destinasi yang sama,  tinggal di apartment sama, 'boating' bersama, dan  makan bersama-sama. Sama-sama berpanas dan sama-sama berhujan, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Tahniah kepada semua yang terlibat, together we go for excellence, excellence is a reality......

Saturday, June 29, 2013

MARI BERSEDEKAH




Sesungguhnya semua orang amat tahu dan amat sedar tentang baiknya sifat pemurah dan suka bersedekah.Tapi berapa ramaikah yang menghayatinya? Berapa ramaikah yang mendalaminya? Dan berapa ramaikah dapat mengaplikasinya dalam semua aktivit yang dilalui saban hari dalam semua aktiviti kehidupan? Ramai orang mengaitkan bersedekah itu dengan berderma wang ringgit. Ramai juga yang faham bersedekah itu lebih jauh sedikit, iaitu menolong orang dengan kudrat dan tenaga yang dapat disumbangkan, pun juga satu sedekah. Dan alangkah nikmatnya jika kita dapat menghayatinya dan menrenungkan amalan sedekah dalam pekerjaan seperti seorang guru. Banyak sungguh sedekah yang ditaburkan oleh guru yang tidak terbayangkan balasannya di sisi Allah nanti. Bayangkan kelas tambahan setiap hari, kelas ulangkaji setiap hujung minggu, kem setiap cuti sekolah, tidur bersama pelajar setiap kali Qiamullail, majlis berbuka, majlis-majlis lain waktu malam, dan banyak lagi yang memerlukan guru bekerja di luar waktu pejabat, dan meninggalkan anak isteri, suami dan rumah tangga untuk melaksanakkan tugas tanpa bayaran apa-apa. Sangat jelas ramai guru yang sedar dan merasai nikmat bersedekah itu kerana tiadak pernah sedikitpun mencari helah untuk tidak hadir, tidak pernah sedikit pun merungut, malah sentiasa terlibat dengan sungguh bersemangat, dan rela. Semoga Allah sajalah yang layak memberikan balasanNya.........

Sunday, June 16, 2013

JALAN-JALAN KE LANGKAWI


14 JUN 2013
KUALA PERLIS

Lama sudah tidak menjenguk blog ini. Dalam perjalanan balik kampung ke Langkawi terpanggil untuk menulis pula. Pertama, tidak disangka-sangka ramai pula orang di jeti Kuala Perlis yang sudah berubah rupanya dan moden, lengkap dengan tempat duduk yang cantik kerusinya, sehinggalah kepada hawa dingin yang sejuk, menyenangkan semua penumpang. Cuma orangnya yang terlalu ramai, barang kali saiznya tidak cukup besar, berbanding pengunjung yang sudah semakin meningkat.

Kedua, amatlah seronoknya dapat naik bot yang besar dan kelihatan baru. Tempat duduk nombornya 567 dan 568, kerana bot sebesar itu muatannya untuk 600 orang penumpang.. Dalam perjalannan selepas letih membaca kami terlena.Tapi bila ramai dan riuh rendah bunyi tangisan budak-budak kami terjaga. Patutlah ramai yang menangis. Kalau orang dewasa tidak malu, sudah pasti semuanya akan menangis  juga. Bot cantik sebesar itu, 'aicond' tidak dapat dirasai, dan penumpang sangat panas dan seolah-olah sesak nafas. Sungguh satu penderaan yang tidak sepatutnya. Kalau mereka mengaut keuntungan, berilah sedikit keselesaan kepada penumpang. Barulah adil - menang-menang. Tapi inilah realitinya sejak dulu hingga kini, perjalanan ke Langkawi jarang ada yang sempurna.

Alangkah baiknya kalau perjalanan ke Langkawi dapat meninggalkan kenangan manis. Alangkah indahnya pula  kalau percutian ke Langkawi diiring  dengan semua yang indah dan menyenangkan, supaya dapat dikenang sampai bila-bila.

Tuesday, May 7, 2013

MALAM SONGOM DERAMPUN


Songom derampun  berasal dari perkataan suku kaum Bajau, bermaksud berkumpul dan bersatu, jadi malam songom derampun bermaksud  malam berkumpul Pengetua  beramai-ramai dari seluruh Malaysia, yang dapat  mengeratkan lagi perpaduan. Sesungguhnya  berkumpulnya pengetua-pengetua seluruh Malaysia,  pada malam ini sebagai tanda kukuhnya perpaduan barisan peneraju sekolah, menyokong kuat program-program KPM, demi kemajuan dan kecemerlanag pendidikan negara. Memang sangat tepat, tema persidanagan, " Kepimpinan berprestasi tinggi menjana kepimpinan berkualiti". Yang manisnya jamuan pada mAlam ini  ditaja oleh Kerajaan Negeri Sabah bagi mengalu-ngalukan dan meraikan semua Pengetua yang hadir bermesyuarat.

Sungguh tidak dapat disangkal, besarnya peranan Pengetua, bersama guru-guru, sbg pemangkin kecemerlangan pendidikan. Sesungguhnya, Pengetua mahupun guru, mesti melihat semua keperluan untuk menjayakan KPI yang ditetapkan.  Sesungguhnya kepimpinan warga guru yang berkualiti akan dapat menjana kualiti sekolah, terutamanya kpd pelajar. Semuanya perlu dilaksanakan dgn penuh bijaksana. Sesungguhnya bukanlah mudah menjana kecemerlangan anak bangsa, semuanya memerlukan komitmen, kesungguhan, ketelitian, kesabaran dan akal budi yang amat tinggi.

Begitulah ucapan tetamu utama Pengarah Pelajaran Negeri Sabah mewakili Ketua Menteri yang sangat sibuk dengan urusan pilihan raya yang sudah sangat hampir. Tambah syahdu lagi, kami berkongsi cerita sebuah kisah benar yang dilalui sendiri oleh Pengarah semasa menjadi Pengetua.  Kisah itu menunjukkan betapa besarnya peranan guru, betapa keramatnya sentuhan seorang yang bernama guru, dan impaknya kepada anak bangsa. Apalah ada kepada guru, kerana pada guru, tiada lain melainkan melihat kpd persepsi seorang murid semata-mata. 

Suatu waktu dahulu di  sabah, Seorg guru perempuan selalu mengadu, tentang pelajarnya, nakal, tidak buat kerja sekolah, tidak beri perhatian pada guru, tidak kemas, dan ada saja masalah, yang kurang menyenangkan. Guru yang bersemangat mengajar selalu merungut tentang muridya itu, dia dikatakan malas, dan bodoh.

Suatu hari Sabtu, guru itu berkunjung ke rumah pelajarnya. Alangkah, alangkah sayu dan tersentuhnya hati seorang guru. Pelajar yang sering dimarahinya, telah menyambutnya dengan sopan, disambut oleh emak dan adiknya juga, di tepi tangga yang usang. Rupanya bapanya telah lama meninggal,  lama sudah. Rumahnya beratap rumbia, berlantai buluh, juga tangganya buluh, tiada bekalan elektrik, mandi diperigi, tiada bilik tidur, cuma ada ruang kosong  sebagai ruang tamu dan dapur untuk memasak.  Tiada juga tempat untuk belajar, waima meja untuk membuat kerja sekolah pun tiada juga.  Alangkah tersentuhnya hati, alangkah sangat malangnya anak ini. Ubi rebus dan air kopi yang dihidang rasa tak dapat nak ditelan walaupun kelihatan sangat menyelerakan.

Sungguh terharu, sungguh amat sayu, Budak itu melakukan kesalahan tidak hadir ke sekolah, bukan kerana nakalnya, tapi kerana sukarnya perjalanan ke sekolah yang jauh. Budak itu sangat comot dan kotornya bajunya. Masakan tidak, baju dan kasut dipinjam drp jirannya. Aduhai anak nan malang, sungguh sayu, sungguh sangat terharu. Yg amat menyedihkan lagi, semasa guru turun tangga untuk pulangnya, budak itu berdiri di tangga dan berkata, "maafkan saya cik  gu, rumah saya buruk dan jauh, makanan pun tiada, cuma makanan kampung". Bagai hancur luluh hatinya, melihat dan merenung mata  anak yang kerdil dan tubuhnya yang tak bermaya itu.

Terasa luluh hati hatinya lagi, sebelum pulang, dia dibekalkan pisang, jagung, dan ubi kayu sbg buah tangan. "ini saja yang saya ada cik gu, maafkan saya.'  Guru itu sangat terharu dan hatinya sungguh sayu tak terhingga. Akhirnya, anak yang malang itu nasibnya terbela. Guru yang prihatin itu mengambil anak itu menjadi anak angkatnya, tinggal di rumahnya, belajar bersamanya, dan ditanggung sepenuhnya. Dengan izin Allah anak malang itu akhirnya  berjaya dalam peperiksaannya, dan berjaya ke menara gading.

Maha suci Allah besarnya perhatian guru, dengan sedikit sentuhan rasa, telah mengubah persepsi seorang anak malang, menjadi anak yang berjaya mengharungi ranjau menuju kejayaan dalam hidupnya. Semasa bercerita itu berkali-kali Tuan Pengarah menyebut 'aramaite'  untuk mengurangkan sebak di dadanya dan juga sebak di dada kami. (Bahasa kadazan dusun  - bermaksud berkumpul beramai-ramai untuk bergembira). Begitulah terharunya malam songom derampun yang kami lalui.

SEKOLAH DATUK PETER MOJUNTIN KK


Lawatan ke SMK Datuk Peter Mojuntin, Penampang
24 April 2013
Sek Sukan Negeri dan Sekolah Kluster Kecemerlangan Luar Bandar
Pengetua Pn Noraini Fauzia bt Derin
Visi sekolah  - Lestari Penjana Generasi Gemilang

Tepat jam 1.45 th kami semua menaiki bas menuju ke SMK Peter Mojuntin, Penampang, Kota Kinabalu, Sabah. Lawatan penanda aras ini dirancangkan khusus untuk Pengetua-Pengetua yang bersidang di negeri di bawah bayu ini. Hujan lebat menyambut ketibaan kami, bersama Pengetuanya yang masih muda serta barisan pengurusan dan sejumlah guru-guru dan pelajar-pelajar yang mengiringi kami dengan payung ke Bilik Mesyuarat.

Berjalan menuju ke Bilik Gerakan, terasa seperti berada dalam sebuah taman indah yang nyaman. Di kiri kanan laluan dihiasi pokok-pokok hiasan pelbagai jenis dan rupa bentuk yang indah, tersusun rapi dan subur.  Disambut di bilik gerakan memang kelihatan budaya cemerlang seluruh warganya. Kami mendengar taklimat Pengetua, memang sangat menarik dan ternyata sesuai menjadi sekolah kluster kecemerlangan, sekolah luar bandar. Yang paling menarik, taklimat pengetua turut dikongsi bersama pelajar-pelajarnya. Barang kali inilah juga caranya meningkatkan 'self-esteem pelajar', dan inilah juga caranya berkongsi kejayaan dengan seluruh warga sekolah.

Walaupun berada di band 4 dan ranking sekolah berada di tahap  809 / 2012 tapi kami semua, sungguh rasa teruja dengan keindahan persekitaran sekolah yang sungguh indah dan ceria.  The reward goes to Penolong Kanan  Kokurikulum, yang sungguh tekun, sungguh teliti, dan  sungguh komited, merangka keceriaan dan melestarikan keceriaan sekolah dan dapat mengekalkan keindahan, dan kebersihan pada setia masa dan ketika.