SYARAHAN USTAZ ABDUL WAHID - ALKAHFI AYAT 45
SURAU DARISYFAK – 9 APRIL 201
Allah menunjukkan misalan contoh atau perbadingan yang ada dalam ayat ini. Allah umpamakan hidup manusia seperti air hujan yang Allah turunkan dari langit, kemudian becampur dengan tanah, maka tumbuhlah pokok, berbunga, kemudian jadi buah, akhirnya habis kering; samalah dengan kehidupan kita manusia di dunia ini, bermula di alam janin, dilahirkan, membesar, tua dan akhirnya mati. Jika dilihat air hujan yang banyak membawa kepada banjir, tetapi selepas banjir, tidak tau ke mana hilangnya air yang banyak itu, kadang-kadang surut dengan sekejap saja. Begitulah kehidupan manusia pun lazimnya dalam sekitar 60 tahun, selepas itu hilanglah dan lenyaplah kehidupan yang dirasai, dinikmati dan dikagumi di bumi ini, bagaikan sekelip mata jua adanya.
Allah umpamakan kehidupan dengan
air hujan atau banjir, kerana air bukanlah
dari jenis yang tetap, malah adanya atau kewujudanya hanya
untuk sekejap saja. Begitulah jua manusia
tidak akan kekal di dunia ini. Dengan keyakinan
bahawa kehidupan yang dilalui amat singkat
ini, maka manusia mesti berusaha melakukan amalan soleh dan beramal untuk
mengharungi masa yang sangat pantas adanya.
Manusia takut dengan keadaan air yang banyak, kerana air yang banyak pada bila-bila masa pun akan dan telah memudaratkan kehidupan manusia, dan merosakkan harta benda yang ada. Malah tumat-umat terdahulu yang kufur dan lupa diri tidak mengingat Allah, kebanyaknanya mengalami kemusnahan dengan air. Lihatlah kaum Nabi Noh, dimusnahkan dengan banjir besar yang Allah turunkan. Lihatlah Firaun ditenggelami air laut yang ditimpakan kepadanya beserta kaumnya yang gilakan dunia semata-mata. Begitulah juga hidup kita di dunia, kalau terlalu leka dan melebihkan dunia, seolah-olah hanyut di air banjir, dan lebih teruk lagi jika tenggelam di arus banjir. Jika manusia ‘menyelam’ dalam kehidupan dunia, banyak antara manusia di dunia ini akan sesat dan bergelumang dengan fitnah dunia. Sebaliknya air kalau sedikit akan memberi manafaat kepada kehidupan manusia, begitulah juga dunia kalau ‘sedikit’ dalam lingkungan syukur dan redha Allah, akan memberi kesejahteraan kepada kehidupan dunia atau di kehidupan kekal abadi di alam sana adanya.
Bagaimanakah menjadikan kehidupan
kita menjadi baik, seperti air takungan yang sedikit yang bermanfaat? Yang paling penting,
ambillah iktibar dan ingatlah pada setiap masa dengan penuh yakin, akan amaran
Allah, bahawa kita akan dihidupkan semula selepas mati untuk menerima segala
balasan atas daya usaha kita yang singkat di dunia ini. Buktinya seperti yang
dinyatakan dalam Surah Yasin ayat 78 yang bermaksud, Allah berkuasa
menghidupkan manusia selepas mati, lagi mudah, sedangkan belum hidup pun mudah
Allah menghidupkan manusia.
Sesungguhnya Allah beri hidayah
kepada semua manusia, dan Allah tunjukkan jalan melalui Rasul pilihan, jadi
terpulanglah kepada kita untuk memilih, sama ada mahu tenggelam dalam keduniaan ataupun sebaliknya.
Dalam al-Quran banyak ditunjukkan pengkhianatan isteri atau anak para Nabi
utusan Allah untuk menjadi iktibar kepada kita dalam memilih jalan yang benar,
contohnya anak dan isteri Nabi Noh serta isteri Nabi Luth. Sebaliknya Allah
tunjukkan juga dalam surah Attahrim ayat 4, bagaimana isteri Firaun beriman walaupun hidup
bersama-sama orang yang fasik lagi zalim
takabbur. Jadi sama-samalah kita memohon kepadaNya agar diberi pertunjuk jalan
yang benar dan hidayah, supaya kita tidak leka dan lalai lalu tenggelam di lautan dunia. Mohonlah
juga agar kita mendapat redha Allah supaya dunia tidak memudaratkan kita,
insyaa Allah……
Berikut dicadangkan antara amalan-amalan yang memberi manfaat untuk diamalkan. Amalkanlah membaca Qulhuwallah huahad 10 kali (sekurang-kurangnya) setiap hari, Allah akan bina sebuah mahligai untuk kita di syurga nanti. Di samping itu amalkan sembahyang sunat sebelum zohor 4 rakaat, selepas zohor 2 rakaat, selepas maghrib 2 rakaat, selepas isyak 2 rakaat, dan sebelum subuh 2 rakaat, Allah akan bina kepada kita, mahligai juga di syurga. Mudah-mudah dapat kita sama-sama amalkan amalan baik ini, di samping melaksanakan amalan-amalan wajib yang lain untuk menambahserikan lagi kehidupan kita di sana nanti insyaa Allah. Mudah-mudahan Allah redha kepada kita.
Berikut dicadangkan antara amalan-amalan yang memberi manfaat untuk diamalkan. Amalkanlah membaca Qulhuwallah huahad 10 kali (sekurang-kurangnya) setiap hari, Allah akan bina sebuah mahligai untuk kita di syurga nanti. Di samping itu amalkan sembahyang sunat sebelum zohor 4 rakaat, selepas zohor 2 rakaat, selepas maghrib 2 rakaat, selepas isyak 2 rakaat, dan sebelum subuh 2 rakaat, Allah akan bina kepada kita, mahligai juga di syurga. Mudah-mudah dapat kita sama-sama amalkan amalan baik ini, di samping melaksanakan amalan-amalan wajib yang lain untuk menambahserikan lagi kehidupan kita di sana nanti insyaa Allah. Mudah-mudahan Allah redha kepada kita.
No comments:
Post a Comment